#Izul – Tibanya Ajal (Part 3, Akhir)

Selesai menunaikan solat sunat di surau hospital, aku terlelap di bangku di hadapan ICU. Kaca-kaca yang pecah tadi telah pun dibersihkan cuma cermin tingkap sahaja sudah tiada. Jadi, agak sejuk aku tidur ketika ini. Nasib baik ada kain pelikat, aku gunakan untuk selimut kaki. Kalau tidur, memang dah di ajar oleh arwah umi dahulu, kaki kena tutup. Kalau tidak, syaitan akan geletek-geletek kaki masa tidur. Sebab itu lah selalu dapat mimpi ngeri. Wallahualam.

Qayyum tidur di dalam wad menemani Pak Ngah. Jika berlaku lagi kejadian seperti tadi, Qayyum boleh terus berlari keluar memanggil aku. Insya-Allah tidak akan berlaku lagi gangguan malam ini. Aku dah pagarkan seluruh bilik Pak Ngah. Harap-harapnya tiada siapa yang datang memutuskan “pagar” yang telah aku siapkan.

Sedang aku nyenyak tidur, aku didatangi mimpi yang luar biasa. Di dalam mimpi itu, aku berada di suatu kawasan pedalaman. Cukup terpencil jauh di dalam hutan tebal. Pokok-pokok di dalam hutan ini semua berada di dalam keadaan terbalik. Akar-akar pokok menghadap ke langit, manakala dahan-dahan dan daun-daun pokok menghadap tanah. Terpinga-pinga aku di situ memandang sekeliling, mengamati lama keadaan luar biasa pokok-pokok ini.

Aku mula melangkah, mencari jalan keluar. Cukup payah untuk aku berjalan. Daun-daun pokok yang lebat menyukarkan pandangan. Waktu senja yang kian berlabuh, menambahkan lagi kesukaran aku untuk mencari jalan keluar. Bibir aku tidak putus berdoa.

Perjalanan tetap diteruskan. Aku hanya melangkah mengikut naluri hati. Langkah aku semakin perlahan apabila pandangan hadapan aku semakin gelap. Malam kini menjelma ditemani bunyi-bunyi serangga yang sepertinya cuba membantu aku yang sesat tetapi disebabkan aku tidak mempunyai kebolehan memahami bahasa haiwan, makanya berpusing-pusinglah aku di dalam hutan. Hampir satu jam berjalan, aku menemui satu pintu gerbang yang berukiran tengkorak. Pintu gerbang besar yang diperbuat daripada kayu meranti ini, seakan tidak luput dek masa. Kayunya masih baru dan ukiran tengkorak yang banyak masih jelas kelihatan dan tidak sedikit pun pudar atau pun terhakis. Aku melangkah melepasi pintu gerbang tersebut dan terlihat satu susuk tubuh sedang duduk mencangkung di tengah-tengah kawasan (seperti berada di dalam dewan yang sangat besar).

Aku melangkah merapati susuk tubuh tersebut. Adakah ianya manusia atau pun jin? Semakin aku menghampiri, aku masih tidak dapat pastikan siapakah dia. Aku kini sudah berdiri betul-betul di hadapannya tetapi kehadiran aku di situ sedikit pun tidak disedari olehnya. Kedengaran jelas mantera-mantera yang dibaca tetapi aku tidak dapat memahami butir-butir perkataan yang disebutkan. Berbeza benar dengan bahasa harian yang kita gunakan. Tidak dapat aku pastikan asal usul bahasa dalam mantera orang itu. Terhuyung-hayang kepalanya sambil tangannya diangkat dan diturunkan seperti memuja-muja sesuatu. Di depannya ada sebuah bekas yang telah di asap-asapkan beserta sekeping gambar. Aku dekatkan diri untuk melihat dengan lebih jelas gambar tersebut.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar..” laungan azan daripada telefon bimbitku mengejutkan aku dari mimpi. Sudah Subuh rupanya. Tidak sempat aku melihat gambar di dalam bekas tersebut, aku sudah terjaga. Adakah ini semua hanyalah mainan syaitan atau pun petunjuk dari Allah S.W.T. Wajah orang yang memuja itu juga tidak dapat aku kenal pasti siapa.

Aku bangun menuju ke tandas hospital untuk membersihkan diri sebelum waktu Subuh berlabuh pergi. Sakitnya tangan kanan bila aku mengangkat takbir. Ya Allah, lebam semalam masih ada, terasa perit sakitnya. Aku tawarkan sebotol air minuman yang aku beli dari kedai semalam dan aku sapukan ke seluruh kesan lebam di bahu kananku.

“Izul, kau sapu ape tu?” terkejut aku dengan teguran Qayyum. Salam sepatah pun tak bagi, main terjah je belakang aku. Nasib baik tak tumpah air dalam botol minuman yang aku pegang.

“Lebam ape ni weh? Teruk sangat ni aku tengok.” Qayyum menilik-nilik lebam besar di bahuku.

“Tak ada apalah. Sikit je ni. Kau pergi solat cepat. Dah nak habis waktu dah ni.” aku sekadar nak sedapkan hati Qayyum.

“Nak berahsia dengan aku lagi kau ni kan. Kau gerak la dulu, boleh kau masuk tengok Abah. Aku nak baring-baring dekat surau ni jap.” Aku bangun dan menuju ke bilik Pak Ngah. Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja tanpa sebarang gangguan. Pak Ngah masih lagi tidak sedarkan diri. Aku ambil botol minuman yang telah aku tawarkan tadi, aku sapukan di seluruh muka, lengan kanan dan lengan kiri Pak Ngah.

Lebih kurang pukul 8 pagi, Mak Ngah dan Alang tiba di hospital. Mak Ngah bekalkan aku dan Qayyum sarapan pagi, nasi lemak hasil air tangan Mak Ngah. Berselera betul aku makan masakan Mak Ngah. Memang sedap sangat. Sesudah sarapan, Alang masuk dahulu menjenguk Pak Ngah manakala Qayyum tidur di dalam surau. Tinggal aku dan Mak Ngah sahaja di bahagian menunggu di luar wad.

“Mak Ngah, Izul nak tanya sikit, boleh tak?” penuh berhati-hati aku bertanya.

“Aik..Apa pelik sangat kamu ni. Tanya je apa yang kamu nak tanya. Mak Ngah tak adanya nak telan kamu,” berseloroh pulak Mak Ngah ni. Kurang sikit debar hati aku mendengar.

“Ermmm..Sebenarnya, petang semalam Pak Ngah sedar sekejap masa Izul masuk melawat. Tapi, sebelum Pak Ngah tak sedarkan diri semula, Pak Ngah pesan suruh Izul tanyakan pada Mak Ngah cerita sebenar. Kata Pak Ngah, Mak Ngah tahu kenapa,” aku memandang Mak Ngah, menanti jawapan darinya.

“Pak Ngah sedar semalam? Ya Allah, rindunya Mak Ngah nak dengar suara Pak Ngah kamu tu. Baru semalam Pak Ngah kamu tak sedarkan diri tapi Mak Ngah rasa dah berbulan Mak Ngah tak berbual mesra macam selalu dengan dia. Cerita apa yang Pak Ngah kamu suruh Mak Ngah cerita sebenarnya?” kelihatan air mata bergenang di tubir mata Mak Ngah. Mungkin Mak Ngah terimbau kembali saat-saat Mak Ngah dan Pak Ngah yang seperti belangkas, ke mana-mana pasti berdua dan kini, bila Pak Ngah terlantar sakit, tiada lagi peneman setia Mak Ngah kecuali anak-anak sahaja. Itu pun, bila masing-masing sudah mula bekerja, Mak Ngah akan tinggal sendirian di rumah jika Pak Ngah masih lagi ditahan di hospital.

Aku mengusap lembut belakang Mak Ngah, memberikan kekuatan kepadanya. Allah uji Mak Ngah sekeluarga sekarang kerana Allah tahu Mak Ngah, Pak Ngah, Qayyum dan Alang mampu mengharungi dugaan berat ini.

“Maafkan Izul Mak Ngah kalau Izul buat Mak Ngah rasa sedih. Izul seboleh mungkin cuba nak tolong Pak Ngah pulih semula. Sakit Pak Ngah ni Izul syak kerana dendam dan hasad dengki manusia. Berkali-kali Pak Ngah diganggu semalam. Izul tak sanggup nak tengok Pak Ngah macam ni Mak Ngah. Mungkin Mak Ngah tahu sebab musabab kejadian-kejadian macam ni menimpa Pak Ngah,” aku memalingkan muka ke arah lain, menyembunyikan air mata yang hampir menitis.

“Mak Ngah tak faham. Hasad dengki manusia?” terpinga-pinga Mak Ngah memandang aku.

“Pak Ngah ada tak berselisih pendapat atau bertengkar mulut dengan sesiapa sebelum ni? Mungkin tanpa sedar Pak Ngah dan Mak Ngah, ada hati yang mungkin terguris dan berniat untuk membalas dendam,” aku memandang tepat ke wajah Mak Ngah, menanti jawapan.

Aku lihat Mak Ngah melepaskan keluhan berat. Namun, diceritakan juga apa yang dikongsi oleh Pak Ngah selama ini.

Mengikut cerita Mak Ngah, beberapa bulan yang lepas, Pak Ngah ada mengadu mengenai rakan kongsinya, Salleh. Pak Ngah dan Salleh berkongsi modal membuka satu restoran di ibu negeri awal Januari tahun ni menjual makanan western (chicken chop, lamb chop, beef steak, fries dan macam-macam lagi). Aku pernah berkunjung ke restoran Pak Ngah pada awal pembukaannya dahulu. Disebabkan terlampau sibuk dengan kerja, aku tidak berkesempatan untuk berkunjung ke restoran Pak Ngah selepas itu.

Restoran Pak Ngah sambutannya biasa-biasa sahaja. Menguntungkan tapi tidak lah sampai tahap pembeli yang datang terpaksa menunggu untuk mendapatkan tempat duduk. Restoran ini dibuka dari pukul 4.00 petang sehinggalah malam lebih kurang pukul 12 tengah malam, barulah tutup waktu operasi. Pada awal pembukaannya, Pak Ngah cukup berpuas hati dengan hasil jualan. Walaupun tak banyak, tapi tetap ada keuntungan. Tapi, berlainan pula dengan Salleh, rakan kongsi Pak Ngah. Bagi Salleh, untung bersih yang hanya RM 300 ke RM 400 sehari tidak mencukupi.

Restoran yang baru dibuka tidak sampai pun dua bulan cukup memberangsangkan jualannya. Jika didarab keuntungan bersih tersebut untuk sebulan, Pak Ngah dan Salleh masih mampu memperoleh lebih kurang RM 4,500 seorang. Sewa kedai, bil elektrik, bil air, gaji pekerja, bahan-bahan mentah, semuanya sudah ditolak. Salleh masih tetap tidak berpuas hati. Katanya, restoran western sepatutnya boleh mendapatkan keuntungan sehingga RM 20,000 sebulan. Entah dari mana Salleh memperoleh maklumat tersebut.

Bulan ketiga restoran tersebut dibuka, pelanggan yang datang naik mendadak. Sehinggakan tidak cukup meja dan kerusi yang disediakan. Pelanggan yang mahu menjamu selera di restoran itu haruslah membuat tempahan terlebih dahulu kerana terlampau ramai pelanggan sehingga tidak menang tangan melayan. Pak Ngah terpaksa turun padang membantu membersihkan meja dan menghidangkan makanan kepada pelanggan. Salleh hanya duduk di meja cashier, tidak berganjak. Walapun tiada siapa pun yang mahu membuat pembayaran, dia tidak akan bangun dan membantu mana-mana yang perlu. Bagi Salleh, pekerja dah dibayar gaji, buat lah sendiri kerja. Sempat ke tak sempat bukan masalah dia.

“Pak Ngah kau dah rasa pelik masa tu. Kenapa pelanggan boleh ramai macam tu sekali tapi Pak Ngah anggap mungkin Allah turunkan rezeki untuk anak-anak,” cerita Mak Ngah sambil tangannya membetul-betulkan tudung yang semakin longgar ke hadapan.

Sambung Mak Ngah, sikap Salleh sejak dari itu, semakin teruk.

Tukang masak di situ ada meminta untuk dinaikkan gaji disebabkan pelanggan pun semakin ramai, tambahan pula hanya dua orang sahaja tukang masak yang ada untuk menyediakan semua jenis menu. Pak Ngah bersetuju untuk menambah bilangan chef yang ada dan menaikan gaji mereka dan juga gaji pekerja-pekerja lain. Keputusan Pak Ngah dibangkang keras oleh Salleh. Salleh tidak bersetuju menaikkan gaji mereka. Katanya, siapa tak puas hati, berhenti terus. Ramai lagi yang mahukan kerja di restoran dia. Bertikam lidah Pak Ngah dan Salleh waktu itu.

Dua orang chef tersebut akhirnya cabut lari, berhenti tanpa notis dan Salleh menggantikan dengan dua orang chef baru. Tanpa apa-apa perbincangan dengan Pak Ngah, Salleh sendiri yang pilih dan gantikan dua orang chef tersebut. Kualiti makanan memang teruk; rasa masin, makanan yang masih mentah bila dihidangkan kepada pelanggan dan kuantiti makanan yang makin hari makin sedikit, tidak berbaloi langsung dengan harga makanan yang dicaj. Entah dari mana Salleh angkut dua orang chef ni. Tapi yang anehnya, pelanggan semakin hari semakin bertambah. Dengan kualiti makanan yang teruk sebegitu, sepatutnya pelanggan dah lari dah tapi sebaliknya pula yang berlaku.

Pak Ngah sudah mula berasa curiga dengan Salleh. Kalau boleh semuanya hendak dikurangkan kos disebabkan terlampau kejarkan keuntungan dirinya. Gaji pekerja dibayar murah, bahan-bahan mentah yang dibeli pun dicarinya daging yang tidak segar sebab nak kurangkan kos. Pak Ngah seperti orang asing walaupun dia ada hak ke atas pengurusan restoran itu. Hampir setiap hari Pak Ngah akan bertengkar mulut dengan Salleh.

Sehinggalah sehari sebelum kejadian, Pak Ngah singgah di restoran awal pada hari itu, lebih kurang pukul 10 pagi. Pak Ngah sudah belikan siap-siap bahan mentah yang segar di pasar bagi mengelakkan Salleh membeli bahan-bahan yang sudah tidak elok rasanya dan hendak menyimpan bahan-bahan tersebut di dalam peti ais di restoran. Semasa Pak Ngah sedang memunggah barang-barang ke dapur, Pak Ngah terdengar satu bunyi dari bilik stor di tepi dapur. Bunyi seperti “sok sek sok sek” tanpa jelas butir bicaranya.

Pak Ngah menghampiri pintu stor yang sedikit terbuka. Kelihatan di dalamnya Salleh yang sedang duduk tegap di tengah-tengah stor dan di depannya terdapat sebuah bekas yang di asap-asapkan sambil membaca jampi-jampi yang entah asalnya dari bahasa mana. Dari posisinya yang duduk, tiba-tiba Salleh bangun dan menyeru sesuatu. Tidak jelas apa yang disebut oleh Salleh tapi Pak Ngah yakin pemujaan tersebut pastinya pelaris yang Salleh gunakan untuk melariskan jualan restorannya. Selama ini, Pak Ngah seboleh-bolehnya tidak mahu bersangka buruk dengan Salleh bila melihatkan restoran mereka yang semakin laris hari demi hari. Kini, apa yang Pak Ngah cuba sangkal selama ini mengenai Salleh, sudah jelas di depan mata.

Pak Ngah yang terlampau berang menolak pintu stor dengan kuat.

“Woi Salleh! Biadap kau! Ini keje kau selama ni. Aku jadikan kau rakan kongsi aku atas dasar percaya, tapi ini yang kau buat belakang aku,” Pak Ngah menendang kuat bekas yang di asap-asapkan oleh Salleh tadi.
Salleh yang jelas kelihatan terkejut tidak sempat menghalang Pak Ngah.

“Kau keluar dari restoran ni sekarang! Keluar!” kuat lagi nyaring suara Pak Ngah menghalau Salleh.

“Kau tak payah nak berlagak alim la sekarang. Untung restoran ni pun kau jugak yang rasa.” Salleh tidak mahu mengalah.

“Aku tak nak makan duit haram macam ni! Kau jangan bukak restoran ni hari ni. Aku akan panggil ustaz, buang semua jin pelaris kau.” keras amaran Pak Ngah.

Pak Ngah menolak Salleh keluar dari restoran tersebut dan mengunci semua pintu.

Enjin kereta dihidupkan dan Pak Ngah memandu terus ke rumah Ustaz Badrul, kenalan lama Pak Ngah. Tapi malangnya, Ustaz Badrul tiada di rumah kerana ada jemputan di luar negeri. Mengikut kata jiran Ustaz Badrul, esok baru Ustaz Badrul pulang.

“Lepas tu, Pak Ngah kau terus pulang ke rumah. Tengok muka dia yang lain dari kebiasaan, Mak Ngah tanya la dia kenapa. Lepas Pak Ngah habis cerita, Mak Ngah pulak rasa nak pergi lempang-lempang si Salleh tu,” cerita Mak Ngah sambil menggosok-gosok kedua-dua tapak tangannya gaya seperti tengah mengasah tangannya sebelum pipi Salleh menjadi korban.

Sambung Mak Ngah, malam tu Pak Ngah mula mengadu sakit-sakit dada. Pak Ngah memang selalu akan rasa dadanya sakit setiap malam tapi malam ini semakin teruk. Mak Ngah dan Alang membawa Pak Ngah melakukan pemeriksaan di klinik tapi doktor kata tak ada apa-apa masalah. Doktor hanya memberikan ubat tahan sakit untuk Pak Ngah bagi hilangkan rasa sakit. Mungkin Pak Ngah penat angkat barang-barang dapur pagi tadi tu yang sakit dada, itu apa yang difikirkan oleh Mak Ngah.

“Lepas Pak Ngah makan ubat tahan sakit malam tu, dia terus tidur. Esoknya waktu Subuh, dia bangun nak ambil wudhu’ macam biasa dalam bilik air. Tiba-tiba, Mak Ngah dengar bunyi kuat dari dalam. Nasib baik pintu tak berkunci. Bukak je pintu, Mak Ngah tengok Pak Ngah kau dah terbaring atas lantai,” cerita Mak Ngah dengan mata yang dah berair. Isteri mana tak bimbang bila suami yang ke mana-mana asyik nak berkepit je, kini terlantar sakit.

Menurut Mak Ngah juga, Pak Ngah sudah lama mengadu sakit-sakit dada dan lemah tulang belakang. Namun, ini kali pertama Pak Ngah pengsan di dalam bilik air.

“Mak Ngah banyakkan bersabar yer Mak Ngah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya.” aku cuba memujuk Mak Ngah.

Dari jauh, aku lihat seseorang sedang berjalan menuju ke arah aku dan Mak Ngah. Susuk tubuhnya seperti aku pernah lihat sebelum ini.

Semakin hampir, orang tersebut menegur Mak Ngah, “Assalamualaikum Salmah. Aku datang nak tengok Rusman. Risau aku bila dengar dia masuk hospital semalam.”

Ya Allah! Tidak syak lagi. Inilah orang tua yang aku nampak berdiri di atas lori semasa perjalanan pulang ke sini dan orang tua yang sama aku nampak berdiri di atas dada Pak Ngah ketika di dalam wad semalam. Aku agak orang ini adalah Salleh sebab terdapat dua ekor belaan dia mengikut rapat di belakang lagak seperti pengawal peribadi. Tajam jelingan makhluk-makhluk tersebut terhadap aku. Kini, yakinlah aku ini semua angkara dia. Aku tidak pernah bertemu Salleh walaupun aku hadir ketika pembukaan restoran awal-awal dahulu tapi aku tidak berpeluang bertemu dengannya.

“Pak Cik Salleh yer?” aku bertanya meminta kepastian.

Disebabkan tiada sebarang jawapan, memang sah lah pak cik ni Pak Cik Salleh. Aku menyambung, “Sekarang ni hanya kaum keluarga yang terdekat je dibenarkan melawat Pak Ngah. Sebarang perkembangan mengenai Pak Ngah, saya akan suruh Qayyum update Pak Cik Salleh nanti.”

“Kau ni siapa?? Aku tanya si Salmah ni, bukan tanya kau!” suara Salleh bertukar marah.

Mak Ngah masih tidak tahu Salleh lah punca Pak Ngah terbaring sebegini. Tidak cukup dengan menggunakan pelaris di restorannya, Pak Ngah pun di hantar jin belaannya supaya restoran yang mereka kongsi itu hanylah miliknya seorang.

“Kalau Pak Cik Salleh datang nak buang ‘pagar’ yang saya dah buat kat dalam wad Pak Ngah tu, Pak Cik Salleh boleh lah balik sekarang. Bawak sekali dua ekor belaan Pak Cik Salleh ni balik sekali,” secara lembut aku halau Salleh balik.

Berubah air muka Salleh bila belaannya pun aku boleh nampak.

“Hei Salmah! Kau nasihatkan anak buah kau ni jangan nak biadap sangat! Aku dengan niat baik datang sini nak melawat laki kau, dihalaunya aku. Jangan sampai pecah muka dia aku tumbuk,” di kepal-kepal penumbuknya menghala ke muka aku.

Tahap kesabaran aku sudah sampai ke tahap yang tertinggi. Tak cukup dengan apa yang dia dah buat pada Pak Ngah, berani dia datang sini untuk melawat. Orang tua ni memang tak tahu malu dan tak takut langsung dengan balasan Allah.

“Kau nak balik sendiri atau kau nak aku hantar kau balik! Kalau aku hantar balik, dua ekor belaan kau ni memang aku akan hantar terus ke neraka!” kolar baju Salleh aku genggam kuat dan badan Salleh aku tolak kasar ke dinding. Tidak perlu rasa hormat pada orang tua yang sudah terpesong akidahnya. Cakap cara lembut tak jalan, baik aku terus gunakan kekasaran. Dah puas aku bersabar demi Mak Ngah dari tadi. Walaupun bahu kanan aku masih terasa sakit, aku tidak hiraukan dan terus menekan Salleh.

Mak Ngah yang pelik dan terkejut dengan tindakan aku pantas memegang lengan kananku, cuba memujuk.

“Mak Ngah tahu tak, Salleh ni lah yang buat Pak Ngah sampai jadi macam ni sekali! Saya dah tak boleh nak sabar tengok muka dia dengan dua ekor belaan dia kat sini,” dah hilang rasa hormat aku dengan Salleh ni. Tak ada dah panggilan Pak Cik Salleh aku bahasakan bila marah. Sikit lagi penumbuk aku nak kena muka Salleh tapi dengan iman di dada yang masih bersisa, aku lepaskan genggaman tangan aku di kolar baju Salleh.

Mak Ngah yang mendengar terjelepok jatuh ke lantai, masih tidak percaya sahabat karib suaminya sendiri sanggup melakukan perbuatan keji seperti ini. Menduakan Allah, melakukan khianat ke atas orang lain sehingga nyawa-nyawa ikan dan tanpa rasa bersalah boleh pula datang sini konon-kononnya nak melawat.

Qayyum yang baru tiba di depan wad ICU menerkam ke arah Mak Ngah dan membantu Mak Ngah untuk duduk di atas bangku. Mukanya terpinga-pinga memandang Mak Ngah dan memandang aku silih berganti mengharapkan penjelasan. Keadaan menjadi sangat tegang.

Salleh yang tadinya angkuh dan yakin dapat masuk menjenguk Pak Ngah dan meneruskan niat jahatnya, kini menunduk menahan amarah. Tanpa menoleh ke arah aku dan Mak Ngah, Salleh berlalu pergi meninggalkan perkarangan hospital.

Aku menerangkan serba sedikit kepada Qayyum perihal yang berlaku dan meminta Qayyum menjaga Mak Ngah di situ. Bimbang jika Salleh yang sudah hilang akal warasnya melakukan sesuatu terhadap Mak Ngah. Aku berjalan menuju ke arah taman di luar bangunan hospital, menghirup udara segar bagi mengawal emosi yang kurang stabil. Aku mengambil telefon bimbit dan terus mendail nombor Ustaz Bakar, guru yang mengajar aku mendalami ilmu perubatan islam.

Aku meminta bantuan Ustaz Bakar bagi menghalang gangguan dari belaan-belaan Salleh. Dengan kecederaan yang aku alami, aku tidak mugkin dapat menangani kesemua belaan Salleh. Aku pasti masih banyak lagi belaannya yang tidak dibawa tadi. Bukan calang-calang ilmu yang dituntut oleh Salleh. Salah langkah, buruk padahnya.

Melalui bacaan-bacaan ayat suci dan ayat-ayat pelindung dari Ustaz Bakar yang dilakukan di rumahnya sendiri sahaja sudah mampu melemahkan mereka. Aku akan ke rumah Pak Ngah sebentar lagi mencari segala jenis ‘benda’ yang ditanam di sekeliling rumah dan sihir ini akan kembali semula kepada tuannya.

Setelah memutuskan talian, aku kembali semula ke bangku di depan wad ICU untuk berbincang dengan Mak Ngah dan Qayyum. Mak Ngah dengan berat hati bersetuju membenarkan aku dan Qayyum balik ke rumahnya. Demi menyembuhkan semula Pak Ngah (juga dengan izin Allah S.W.T), Mak Ngah harus bersetuju.

Selepas Maghrib, aku dan Qayyum bergerak balik ke rumah Pak Ngah di kampung. Qayyum memandu keretaku kerana keadaan bahu aku yang masih lebam dan berdenyu-denyut menyukarkan aku untuk memandu. Perjalanan hanya memakan masa 15 minit saja. Sampai di kampung, aku berdiri betul-betul di hadapan rumah Pak Ngah. Tanpa naik ke atas rumah rumah, aku duduk bersila di atas tanah berhadapan dengan rumah Pak Ngah. Qayyum hanya berdiri di belakang aku sambil berzikir. Aku keluarkan dua botol air minuman yang telah dicampur dengan garam yang telah pun di Ruqyah kan.

Rawatan aku seperti biasa dimulakan dengan ayat-ayat pelindung diri dan juga ayat-ayat Ruqyah ke atas seluruh kawasan rumah Pak Ngah.

“Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:”Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan”. Surah Yunus, Ayat 81.

Ketika ayat-ayat Ruqyah dibacakan, pelbagai bunyi kedengaran dari dalam dan luar rumah. Bunyi cakaran, bunyi jeritan, bunyi seperti perabot di dalam rumah di baling-baling dan pelbagai bunyi lagi yang boleh didengari. Setelah habis bacaan, aku bangun dan berjalan di sekeliling kawasan luar rumah. Kawasan di mana kaki aku berpijak terasa panas, aku siramkan dengan air Ruqyah yang telah dicampur garam tadi. Apabila kawasan tanah itu di siram dengan air Ruqyah, keluarlah asap berkepul-kepul dan lama-kelamaan hilang menandakan kawasan yang telah disihir dan ditanam sesuatu.

Qayyum menggali kesemua kesan kehitaman yang tinggal di atas tanah setelah asap tersebut hilang dan pelbagai alat-alat sihir dijumpai. Hampir 30 lubang digali di sekitar halaman rumah Pak Ngah. Allahu, banyaknya sihir yang dihantar. Bunyi-bunyian yang mengganggu tadi sudah pun hilang dan keadaan kembali sepi. Di belakang rumah Pak Ngah terdapat satu perigi yang telah lama tidak digunakan. Aku menghampiri perigi tersebut dan menyiramnya dengan air Ruqyah. Tidak semena-mena sebatang pokok yang berada di dalam keadaan terbalik muncul dari dalam telaga berkenaan. Segera dibakar pokok sihir tersebut sebelum memudaratkan lagi kesihatan Pak Ngah.

Melihatkan keadaan pokok ini, aku teringatkan mimpi yang aku alami awal pagi tadi. Jika mimpi tersebut adalah petunjuk dari Allah S.W.T, maka tugas aku masih belum selesai kerana di dalam mimpi itu, aku ada melihat pintu gerbang yang berukir tengkorak dan bekas kemenyan yang diasap-asapkan oleh seorang tua yang memang tidak lain dan tidak bukan adalah Salleh. Aku harus hapuskan bekas kemenyan tersebut yang digunakan untuk memuja. Aku duduk di tangga rumah, memikirkan di mana bekas kemenyan itu mungkin diletakkan. Disebabkan ia digunakan untuk pemujaan, bekas itu mesti disimpan di rumah Salleh atau pun…………… yes!!! Baru aku teringat cerita Mak Ngah tadi.

Aku menarik tangan Qayyum ke arah kereta dan meluncur laju ke arah restoran Pak Ngah. Sampai sahaja di restoran Pak Ngah, aku nampak pintu masuk ke restoran diperbuat oleh kayu berukir tengkorak menjadikannya satu pintu gerbang yang besar.

“Eh, bila Pak Ngah buat gerbang kayu macam ni Qayyum?” aku ajukan soalan pada Qayyum. Macam masuk rumah hantu pulak.

“Pintu gerbang? Pintu gerbang kayu mana pulak?” Qayyum pula bertanya aku dengan kening berkerut-kerut.

Okay, tahulah aku hanya aku sahaja yang boleh nampak pintu gerbang ni. Tanpa mempedulikan soalan Qayyum, aku ingin meluru masuk ke dalam restoran tersebut tetapi belum sempat melangkah, telefon bimbit Qayyum berbunyi menandakan ada panggilan masuk.

“Abang Long, kau kat mana? Abang Long, A…bah…Abah…. Doktor kata keadaan Abah tenat sekarang. Dia suruh semua ahli keluarga bersedia. Aku takut ni Abang Long,” suara Alang yang terketar-ketar menembusi corong telefon.

Qayyum yang mendengar sudah resah tidak tentu hala.

“Alang, kau duduk tepi abah. Jangan putus baca surah Yasin. Kau kena kuat! Kejap lagi aku sampai,” Qayyum memutuskan talian dan memandang aku dengan mata yang merah. Tahulah aku Pak Ngah tidak punya banyak masa lagi. Salleh masih meneruskan rancangan jahatnya. Nampaknya ‘pagar’ yang aku buatkan untuk Pak Ngah tidak bertahan lama. Aku harus cepat bertindak.

Aku terus meluru masuk ke dalam restoran. Aku berlari laju ke bahagian dapur dan mencari bilik stor yang diceritakan oleh Mak Ngah. Di sebelah kanan bahagian dapur, terdapat satu pintu yang ditutup rapat. Aku cuba membuka pintu tersebut tetapi tidak berjaya. Berkunci dari dalam.

Aku dan Qayyum merempuh pintu tersebut berulang kali dan akhirnya berjaya dibuka. Salleh yang ketika itu sedang menjalankan aktiviti pemujaannya tidak sedar kedatangan kami kerana keadaannya yang di luar sedar.

Aku mengambil bekas asap pemujaan milik Salleh dan baru sahaja aku hendak tuangkan air Ruqyah ke atasnya, badan aku tercampak ke dinding bilik dan botol air Ruqyah terjatuh di atas lantai. Qayyum yang berada di situ telah diangkat ke siling bilik dan dihempas ke lantai berulang kali. Belum sempat Qayyum bangun, badannya diangkat lagi ke atas siling dan dihempas ke atas lantai. Aku yang melihat menjadi berang.

Aku mula membaca Surah Yunus ayat 81 dan ayat 82. Kemudian aku bacakan ayat-ayat Ruqyah yang lain. Aku ambil garam yang telah aku simpan di dalam poket seluar dan aku campakkan ke arah Salleh. Menggelupur orang tua tersebut menahan pedih. Aku cuba bangun dengan keadaan belakang badan yang teramat sakit. Aku ambil botol air Ruqyah yang masih berbaki suku sahaja lagi. Aku tuang air tersebut ke dalam bekas asap pemujaan dan aku baling garam yang telah di Ruqyahkan ke dalam bekas yg sama.

Terdapat rambut, sarung tangan, stokin dan sejadah di dalam bekas tersebut. Aku yakin semua itu milik Pak Ngah yang telah dikumpul oleh Salleh bagi niat jahatnya. Keseluruhan barang tersebut aku hapuskan dan bersama dengan barang yang terhapus itu, terdengar raungan yang sangat kuat di segenap bilik. Bau bangkai yang sangat busuk dan memualkan menyelubungi seluruh bilik. Salleh yang menggelupur di atas lantai bangun dan berlari keluar.

Aku bergegas ke arah Qayyum yang masih terbaring di atas lantai. Hidung dan mulut Qayyum yang berdarah aku lap dengan tanganku.

“Qayyum, bangun! Bangun! Ya Allah, tolong lah hambaMu ini Ya Allah. Qayyum, mengucap beb. Ash Hadu Alla Ilaha Illallah…….” aku memeluk erat Qayyum di pangkuanku. Nadi Qayyum aku periksa. Sangat lemah.

Dengan tangan yang menggigil-gigil, aku mengeluarkan telefon bimbit dan menelefon ambulans. Sementara menunggu ambulans tiba, aku bacakan surah Yasin di telinga Qayyum tanpa henti.

 


4 jam Qayyum di dalam bilik pembedahan, cukup menggusarkan hati aku, Mak Ngah dan Alang yang menunggu di luar bilik bedah.
Pak Ngah? Pak Ngah sudah sedarkan diri dan rasa sakit di bahagian dada juga sudah semakin hilang. Setelah aku hapuskan semua barang-barang pemujaan dan segala jin belaan Salleh (dengan bantuan Ustaz Bakar dari jauh dan juga dengan izin Allah S.W.T), keadaan Pak Ngah beransur stabil tapi masih di bawah pemantauan doktor.

Lampu bilik pembedahan yang menyala sudah terpadam menandakan pembedahan sudah selesai. Kami bertiga dengan penuh berdebar menunggu kedatangan doktor bagi memaklumkan keadaan Qayyum. Mata aku juga sudah penat kerana dari tadi tidak berhenti mengalir airmata. Terbayang kenangan aku dan Qayyum dari kami kecik sehinggalah sudah besar. Berjuta penyesalan hadir dalam benak fikiranku. Aku tak patut heret Qayyum sekali tadi.

Sedang aku termenung jauh, seorang doktor lelaki menghampiri kami bertiga.

“Alhamdulillah, pembedahan tadi berjaya. Tangan kanannya patah dan terpaksa disimenkan. Selain dari itu, tiada luka-luka dalaman yang serius. Buat masa ini, biarlah pesakit rehat dulu. Esok pagi, puan boleh masuk melawat,” mendengarkan perkhabaran doktor itu, airmata kami bertiga merembes keluar lagi. Ini adalah airmata kesyukuran.

Syukur Ya Allah. Kau makbulkan doa hambaMu ini.

Aku juga sudah dirawat oleh doktor sebaik sahaja aku tiba di hospital tadi. Lebam di bahu kananku sudah surut serta merta tetapi kesan hentakan yang kuat ke dinding, menyebabkan sakit yang teramat sangat di bahagian belakang badanku. Doktor memberikan aku cuti sakit selama dua hari. Malam itu, aku maklumkan pada bos aku melalui khidmat pesanan ringkas.

Aku, Mak Ngah dan Alang pulang ke kampung selepas pembedahan Qayyum selesai. Masing-masing sudah keletihan dan memerlukan rehat yang cukup. Aku tidak sedar pukul berapa aku terlelap dan hanya sedar apabila azan Subuh berkumandang. Dengan belakang badan yang masih terasa sakitnya, aku bangun perlahan-lahan dan menuju ke bilik air, membersihkan diri dan hanya menunaikan solat Subuh di rumah. Tidak larat untuk berjalan menuju ke masjid berdekatan.

Selepas sarapan, kami bertiga terus bergerak ke hospital. Tidak sabar rasanya hendak melihat keadaan Qayyum dan Pak Ngah. Semalam aku dikunjungi mimpi yang indah. Pak Ngah dan Qayyum kedua-duanya tersenyum padaku dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang aku berikan. Aku yakin Pak Ngah dan Qayyum semakin beransur pulih.

Tiba di hospital, kami terserempak dengan seorang pesakit yang baru diturunkan dari ambulans dipenuhi dengan darah di badannya dan juga kepalanya. Wajahnya dan tangannya yang kehitamanan menarik perhatian pengunjung hospital. Jururawat dan doktor yang bertugas kelihatan cemas dan bertungkus lumus membawa pesakit tersebut ke bilik kecemasan. Katil pesakit itu yang melintas di hadapanku cukup membuatkan langkahku kaku.

Salleh?? Betul ke tu Salleh. Aku mengekori ahli keluarga yang mengekori katil pesakit. Mungkin isteri dan anak-anak Salleh. Salleh dibawa masuk ke bilik kecemasan. Tidak sampai lima minit, doktor keluar dan memberitahu ahli keluarga Salleh, Salleh tidak dapat diselamatkan dan telah kembali ke Rahmatullah.

Inna Lillahi wa inna ilayhi raji’un…”Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.”

Aku tidak pasti bagaimana Salleh boleh menjadi begitu. Namun, kuasa Allah S.W.T tiada siapa dapat menidakkan. Beberapa bulan lamanya Pak Ngah menanggung sakit atas perbuatan Salleh tapi selagi ajal yang ditetapkan oleh Allah belum tiba, Salleh buat lah macam mana pun, Pak Ngah masih tetap bernyawa walau pun berada di dalam keadaan yang lemah.

Sebaliknya pula berlaku kepada Salleh. Apabila TIBANYA AJAL, tidak akan cepat atau lewat walau sesaat. Setiap yang hidup pasti akan mati kerana di dunia ini hanyalah persinggahan sementara untuk kita mengumpul bekalan yang akan dibawa ke alam kehidupan yang kekal.

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan“.
Surah Al-Munafiqun, Ayat 11


Pak Ngah dan Qayyum sudah kembali pulih seperti biasa. Walaupun kesihatan mereka belum sampai di tahap 100%, tetapi Alhamdulillah, perkembangan positif setiap hari. Lebam di bahu kanan dan sakit belakang badan ku juga sudah pulih. Restoran Pak Ngah telah ditutup. Pak Ngah tidak mahu lagi berniaga di kawasan tersebut dan mungkin akan membuka restoran baru di pekan lain. Yang pasti, Pak Ngah tidak mahu lagi berkongsi perniagaan dengan sesiapa lagi. Cukuplah pengalaman lalu dijadikan pengajaran dan pengalaman berguna dalam menjalankan perniagaan di masa hadapan.

=TAMAT=

Nota Penulis :
Seperti dinyatakan di dalam cerita pertama #Izul (Banglo Peninggalan Arwah), penulisan dari #Izul hanyalah fiksyen untuk pembacaan dan pengajaran kepada semua pembaca di FS.
Yang mana yang baik itu kita ambillah jadikan iktibar dan yang mana yang tidak baik itu, kita jadikanlah teladan.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

172 thoughts on “#Izul – Tibanya Ajal (Part 3, Akhir)”

  1. btw aku nak tanya para writer or admin sendiri, column pending post or saved draft dah takda ya di dashboard all posts? sebelum ni boleh tengok cerita yang pending or yang masih draft. atau aku sorang je yang alami benda ni?

    Reply
      • Terbaik. Penulisan yg teratur, bahasa yg digunakan mudah tetapi berkesan. ‘Sampai’ ke jiwa.
        Berdebar-debar nak menghabiskan pembacaan sebab risaukan nasib Pak Ngah, lepas tu Qayyum pulak.
        Tahniah, penulis. 👍🏻

        Reply
  2. ermmm.. hati manusia susah nak teka kan.. apapun terbaiklah #izul
    cerita kali ni buat air mata menitik sedikit..
    kawan sebab duit snggup khainat..
    #izul ada story lain tak?? kalu ada sila share yer..
    #teringtceritalama
    #kuatkaniman
    #airmatadahsapu

    Reply
  3. Yeahhh antara cerita yg ditunggu2

    Quotes : ” It Doesn’t Matter Who Hurt You, Or Broke You Down, What Matters Is Who Made You Smile Again”

    Reply
  4. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan…
    Tugas kita adalah membuat amalan, bukan mencabut nyawa orang.. Tapi yg pasti,, kita semua akan mati….

    Nice story bro Izul… Kipidap…???
    Next story please! ?

    Reply
  5. Waaa….best best. Kisah ni walaupun fiksyen je tapi tetap menyayat hati. Kita ni bukan boleh percaya 100% dengan kawan baik kita sendiri pun. Teruskan menulis ye!

    Reply
    • Alhamdulillah. Thanx beb! Next story tak taw la nya biler menyusul.
      Mungkin from my own experience or from people arround me. huhuhu~

      Reply
  6. Perbuatan menyekutukan Allah SWT salah dan perlu ditinggalkan segera. Bagi yang sedang diuji dengan kesakitan, janganlah gundah-gulana kerana kita ada Allah dan Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya.☝️?
    Kembalilah kepada Allah dengan bertaubat. Allah tidak hairan dengan dosa yang pernah kita lakukan, tetapi Allah hairan kenapa kita tak mahu bertaubat kepada-Nya??

    Reply
  7. niceeee ! betul lama tunggu part 3 ni keluar. love your writing bro, lebih kurang cam penulisan Wan SC. collabrate lah skali buat cerita baru.

    Reply
  8. walaupun cerita fiksyen tapi rasa mcm cerita real..boleh menghayati cerita ni betul2, rasa mcm tgk movie! thumbs up writter!

    Reply
  9. Nice Izul. Aku tak pernah miss cerita kau langsung. Menarik, dapat mendalami penceritaan dan rasa kau. Aku dah lama baca fiksyen shasha ni. Tapi ni first time aku comment. Terbaik bro. Sambung next story please.

    Rating 14/10 dari aku. 5 star tak cukup :3

    Reply

Leave a Comment