Jangan Pasang Lagu Tu! (Seram)

Ada sebab kenapa aku tak pernah benarkan rakan-rakan pasang lagu Ulek Mayang waktu latihan tarian beberapa hari lepas. Tapi aku pula yang dikecam. Kata mereka, aku percaya benda tahyul. Tak apalah. Aku terima saja, asalkan kami semua selamat.

Sehari selepas tu pula, salah seorang rakan aku whatsapp dalam jam satu pagi macam tu. Dia kata, dia dah faham kenapa aku tak benarkan lagu tu dimainkan waktu latihan tempoh hari. Aku pun tanyalah, kenapa? Ada apa-apa jadi ke? Dia tak balas whatsapp aku.

Esoknya, rakan aku yang whatsapp semalam tu tak datang kelas. Malam tu pula, kami ada latihan tarian lagi. Macam biasa, kami semua dalam 12 orang pakai t-shirt, dipadankan dengan seluar track-bottom. Yang rakan aku seorang ni pula, siap dengan baju kurung dan bunga merah yang diselitkan di celah telinga. Rakan-rakan lain dah tergelak jeling dia. Yalah, kan susah nak berlatih tarian dengan baju kurung? Tapi aku senyap saja. Aku rasa macam ada yang tak kena.

Selesai berlatih dua atau tiga lagu, rakan aku yang berbaju kurung tu capai kaset dari rak studio, terus pasang track Ulek Mayang. Rakan-rakan yang lain ni terujalah. Memang dari mula mereka nak sangat menari diiringi lagi Ulek Mayang. Waktu tu jam dah menunjukkan pukul 10:30 malam. Dalam hati aku kata, mungkin tak ada apa-apa. Awal lagi.

Tapi aku tak turut serta menari. Aku beri alasan migrain. Mereka pun mulakanlah tarian tanpa aku. Kalau korang semua nak tahu, tarian asli yang kami belajar ni, langkah-langkah dia boleh masuk dengan kebanyakan lagu-lagu asli. Langkahnya sama saja. Tapi bila aku perhati rakan aku yang berbaju kurung ni, dia menari dengan langkah lain. Lemah gemalai. Aku tak pernah tengok tarian seindah tu. Tapi disebabkan dia ni menari belah belakang sedikit, rakan-rakan yang lain ni tak berapa nak perhati dia sangat. Aku yang tak menari, duduk belakang ni, memang nampak jelaslah. Sambil menari tu, mata dia melirik-lirik macam orang menari tarian jawa.

Tengah mereka asyik menari, aku tengok rakan aku yang berbaju kurung berhenti tiba-tiba, berdiri tegak, lepas tu berjalan keluar dari studio tu. Aku sedapkan hati, kata dia pergi tandas. Tapi masa tu aku dah genggam telefon bimbit dah. Kalau apa-apa senang. Lepas beberapa minit dia keluar tu, tiba-tiba studio tu blackout. Gelap-gelita. Menjeritlah rakan-rakan aku yang lain. Dah semua perempuan, tak ada siapa pun yang berani nak pergi check fuse-box dalam stor studio tu.

Tengok kami semua duduk berhimpit-himpit dekat belakang studio, tiba-tiba radio yang dah terpadam tadi mainkan semula lagu Ulek Mayang tadi. Tapi kali ni tak ada muzik. Suara nyanyian sahaja. Kami dah mula berpelukan. Aku sampai berpeluh-peluh tak cukup nafas. Lagu Ulek Mayang tu pulak masih berterusan. Lepas tu, aku perasan sesuatu. Suara nyanyian Ulek Mayang tu tak sama dengan yang dalam kaset tu tadi. Macam lebih bergetar dan mendayu-dayu. Tapi aku senyap saja.

Lagi beberapa k***t sebelum lagu tu tamat, kami dengar lantai studio tu berkeriut (lantai studio ni kayu). Suara nyanyian tu pulak macam semakin dekat. Aku rasa lengan aku disentuh tangan yang sejuk. Padahal suhu badan masing-masing waktu tu semua dah panas berkuap. Lagu tu tamat, kemudian ulang semula dari mula. Aku pejam mata rapat-rapat. Tangan sejuk tu genggam pulak lengan aku. Aku tarik kuat-kuat, tapi genggamannya tak dilepaskan. Dia pulak tarik aku. Mula-mula aku melawan sendiri saja. Tapi bila aku rasa tarikan dia semakin kuat, aku menjerit.

“Tarik aku! Tolong! Pegang badan aku!” Aku genggam baju rakan-rakan aku mana yang sempat. Mereka pun tanpa tanya banyak, genggam baju aku. Masa tu semua dah mengerang ketakutan. Mungkin mereka rasa badan aku ditarik. Benda tu macam nak aku bangun, menari dengan dia. Tenaga dia kuat luar biasa. Lebih kuat dari beberapa orang lelaki kot. Baju t-shirt aku pakai tu koyak habis. Masa tu aku dah menangis merayu-rayu.

“Tolonglah jangan kacau saya. Tolonglah…” rayu aku. Belakang aku, aku dah mula dengar rakan-rakan aku baca ayat-ayat suci. Aku dah tak boleh berfikir apa dah masa tu. Dalam hati aku ingat tuhan sahaja.

Tak sampai beberapa saat lepas tu, kami dengar bunyi orang hidupkan enjin motor dekat luar studio. Otak aku tiba-tiba ligat berfikir. Kalau aku tak ambil kesempatan ni untuk menjerit, memang orang yang naik motor tu takkan tahu kami ada dalam studio tu. Sebab gelap. Aku pun menjeritlah sekuat hati. Aku rasa seumur hidup aku, tak pernah aku menjerit sekuat tu. Makin kuat tarikan benda tu tadi. Aku dah tesengguk-sengguk ke depan dah waktu tu.

“Siapa?!” Aku dengar suara seorang lelaki jerit dari luar. Apa lagi, kami semua pun pakat menjeritlah. Tolong! Tolong!

Sesaat kemudian, bunyi enjin motor tu dimatikan. Kami dengar bunyi tapak kaki meredah kawasan kaki lima studio. Perlahan-lahan aku rasa lengan aku dilepaskan. Serentak itu juga, pintu studio tu berdentum terbuka. Kami masih menjerit-jerit lagi minta tolong. Siapa yang masuk tu, kami pun tak nampak. Cuma yang pasti, seorang lelaki. Lelaki tu pun menggagau-gagau cari telefon bimbit dia dari dalam kocek seluar. Sebaik sahaja dia pasang lampu suluh, barulah kami nampak muka lelaki tu. Pakcik guard yang selalu pesan pada kami jangan bising-bising sangat masa latihan. Aku cepat-cepat menyorok belakang rakan-rakan, sebab baju aku dah koyak rabak. Aku pandang kiri kana, mencari-cari benda yang tarik lengan aku tadi. Tak ada sesiapa pun. Yang ada cuma rakan-rakan aku tu sajalah.

Pakcik guard tu pun masuk dalam stor, dia buat apa entah dengan fuse-box tu, lampu dan penghawa dingin terus terpasang semula. Lega sangat-sangat rasanya hati waktu tu. Aku pun capailah kain tuala yang busuk gila dari ampaian belakang studio tu, lepas tu tutup badan aku. Malu sungguh.

Pakcik guard pun tanyalah kami, apa yang terjadi. Kami pun ceritalah. Tapi bila sampai part yang dengar nyanyian lagu Ulek Mayang lepas blackout tu, rakan-rakan aku cerita benda lain. Yang mereka dengar adalah suara mengilai. Aku dah berkerut. Kenapa aku dengar Ulek Mayang? Lepas tu, aku pun ceritalah tentang rakan aku yang berbaju kurung tu. Lepas dia melangkah keluar dari studio tu, langsung dia tak masuk semula dah.

Esoknya, kecohlah satu kampus tentang cerita kami ni. Mesti rakan-rakan aku yang mulut tempayan yang cerita. Rakan aku yang berbaju kurung tu pulak tak datang kelas. Memang kami dah pakat kalau jumpa dia nak soal siasat habis-habisan. Lepas tu, kami dapat tahu yang ada orang jumpa dia pengsan dekat dalam tandas perempuan tingkat paling atas sekali bangunan studio tu. Tandas yang jarang orang guna. Masa orang jumpa dia tu, dia tak pakai baju kurung pun. Dia pakai baju tidur saja. Dekat lengan dia penuh kesan calar-balar. Penyudahnya, pensyarah panggil ambulans datang kampus, bawa dia ke hospital.

Lepas dia dah sembuh tu, dia pun datang semula ke kelas. Aku tak ingat dah berapa lama dia duduk wad, tapi tak berapa lamalah. Tak sampai seminggu pun. Kami pun pergi jumpa dia, tanya elok-elok apa yang berlaku.

Dengan muka jujur ikhlasnya, dia jawab, memang dia tak ingat satu apa pun tentang apa yang terjadi. Dia tak ingat pun dia pakai baju kurung datang latihan tarian malam tu. Dia langsung tak ingat macam mana dia boleh berada dalam tandas tingkat atas bangunan studio tu. Perkara terakhir yang dia ingat adalah dia whatsapp aku malam tu. Yang dia beritahu aku tentang lagu Ulek Mayang tu. Dia kata, masa tu dekat dalam hostel dia tak ada orang. Dia ni pun gedik, saja-sajalah pasang lagu Ulek Mayang tu dekat Youtube. Lepas tu hostel dia blackout. Lagu Ulek Mayang dekat laptop masih bermain. Tapi dalam masa yang sama, dia dengar ada orang lain nyanyi lagu Ulek Mayang juga. Macam sahut nyanyian dari laptop tu. Makin lama makin dekat. Dalam keadaan bilik gelap yang hanya disinari cahaya dari laptop tu, dia nampak makhluk yang nampak macam seorang perempuan berambut panjang kusut-masai merangkak keluar dari katil dia. Saiz perempuan tu besar. Macam dua kali ganda berbanding manusia. Sambil merangkak tu, dia masih menyahut-nyahut lagu Ulek Mayang dari laptop tu. Rakan aku tu tergamam tak boleh bergerak. Perlahan-lahan perempuan tu tarik lengan dia, macam nak bawa dia pergi dari situ. Lepas tu, dia langsung tak ingat apa dah.

Kami yang feeling-feeling penyiasat ni pun pergilah interview jiran-jiran hostel rakan kami tu. Menurut mereka, malam rakan kami diganggu tu, mereka dengar bunyi mengilai yang sangat-sangat kuat, sedangkan rakan aku tu pula dengar perempuan tu nyanyi lagu Ulek Mayang. Aku dah pucat pandang rakan-rakan aku. Mereka semua dengar ‘perempuan’ tu mengilai juga malam dekat studio tu. Tapi… kenapa aku dengar dia nyanyi lagu Ulek Mayang?

Tamat.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 15 Average: 4.7]

34 thoughts on “Jangan Pasang Lagu Tu! (Seram)”

  1. Aku pernah admitted di pusat rawatan ibu dan anak di hospital di kuala terengganu. Bilik betul-betul menghadap pantai. Pantai Batu Buruk. Lokasi di mana pemujaan dilakukan suatu masa dahulu. Tengah malam, kalau aku tak mengaji sebelum tidur, memang akan kedengaran lagu Ulek Mayang daripada pantai. Dah lama kut orang tak puja2 mereka. Itu yang duk oanggil sangat tu..

    Reply
    • Tapi serously, masa tu kami pergi terengganu, ad kenduri kawan, skali honeymoon la, husband mmg suka main camera dye, yela tepi pantai kan, best ambk gmbar moment.( Pantai Burok) sy stay kat regency belakang TER.(orang terengganu tahu la kut) malam tu sja nak ambik angin, husband pn ajk la g pantai burok tu,bwa camera skali, sy main hp smbil baring ats tikar,, mmg ada band menyanyi malam tu. ttiba terdengar lagu ULEK MAYANG dinyanyikan. sy ckp n husband, ” b dgr tak? tu bkn lagu berhantu k?” husband kata ” ish..tu lagu je kan, takyah la fikir bukan2,”
      tapi rasa lain macam la bila dgr, angin pantai makin kuat..
      **berdasarkan Cik Nuna ceritu tu, mungkin dyorg nyanyi lagu tu hari2 kot. tu y dok dgr,,agaknya lah..hehe**

      Reply
  2. Lagu ulik mayang ni seriuslah memang seram. Dari aku sekolah rendah kot. Aku baca ni pun meremang bulu roma. Masa practice persembahan hari kanak2 kat sekolah dulu pernah dengar jadi kat senior jugak..seram bai…

    Reply
    • Sebab lagu ulik mayang yg latest dh diubah and ade lirik yg dh kene p****g.
      Dulu kalau aku duk main kat pantai, gatal nk suruh ombak kuat, aku nyanyi lagu ni kot. Even rase mcm tahyul tp ombak memang jadi lagi kuat dari biase. Itu zaman kanak2 ribena la.. haha.

      Reply
  3. psl lagu ulek mayang ni, ibu aku kalu dgr lagu ni automatik dia xakan sedarkan diri.. dan blh tgk ibu aku menari mengikut alunan lagu..

    Reply
  4. Alhamdulillah setakat ni aq tadek la kene ganggu . Aq je yg overthinking tahap gunung ? sbb guna lagu ulek mayang yg baru tu . Haritu cg aq pasang lagu ulek mayang yg lama punye . Dia punya tahap keseraman tuh pehh ? nk buat cenna . Joget jelaa ?

    Reply
  5. Tok dengar lagu ulek mayang kat youtube tp so far x de benda pelik jadi.. semangat kena kuat kot.. btw seram juga kalau bayangkan situasi kejadian..

    Reply
  6. Aku penah duduk dgn kwn2 aku dalam satu bilik gelap, tutup lampu, lepas kitorang praktis menari. Pasang lagu ulik mayang, kononnya tutup lampu tu sebab nak feel. Xde jadi ape2 pun, melainkan guruh angin kat luar tetiber je kencang dan kuat. Mungkin sbb kitorg lelaki. Tp aku percaya je lagu ni mistik sbb pengalaman aku tu walaupun x seram, tapi cuaca berubah sekelip mata dari okey trus k.o.

    Reply
  7. Para pembaca kt sini siapa ada bran? Yg mn ada bran tu, sila pegi ke Pantai Batu Buruk, Pantai Batu Buruk ye? Bkn Pantai Buruk spt yg tertulis dlm salah satu komen di atas.Sesiapa yg ada bran tu, blh pegi ke pantai tsbt pd mlm bln penuh dan nyanyikan lagu Ulek Mayang kt situ. Insya Allah jika diizinkan Tuhan, anda blh merasa sendiri pengalaman bertemu dgn para Puteri Ulek Mayang. Usah biarkan hidup anda diselubungi…..
    MISTERIIIII….

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.