Assalam dan salam 1 Malaysia. Ato kembali lagi dengan kisah jin yang merasuki anak perempuan kakak sepupu Aku. Aku namakan dia Aminah.(bukan nama sebenar)
Petang tu seawal jam 3, sepupu aku datang rumah katanya ada perkara yang hendak dibincang dgn ayah aku. Seperti kebiasaannya, apabila ada tetamu, aku akan masuk bilik dan berkurung sehingga tetamu balik. Konon-konon jadi anak teruna pemalu. Petang tu aku tidak pasti apa perbincangan antara sepupuku dan ayah.
Sekitar jam 5 gitu, kakak sepupuku kembali lagi tapi kali ni dia dengan anak-anaknya membawa beberapa barang. Satu bantal dan sebuah beg. Aku hairan apa sudah jadi kepada sepupu aku. Tidak lama kemudian, abg sepupu aku pula naik dengan membawa tilam. “Sah ada masalah ni” bisik hati ku.
Tilam dibentang di bilik kakak sulung aku. Kakak sulung pula terpaksa menumpang sementara di bilik abang ku. Kami adik beradik lelaki tidur di ruang tamu sahaja. Patutlah kakak aku sibuk sangat mengemas bilik semasa kakak sepupu aku balik selepas berbincang dangan ayah. Rupa-rupanya ada sesuatu yang tidak kena pada anak kakak sepupuku. Tidak lama selepas tu, anak kakak sepupuku di usung naik ke atas rumah dan terus masuk ke bilik. Keadaannya sangat lemah dan tidak berdaya dengan badan yang dah semakin kurus.
Menurut kakakku no.2, anak kakak sepupu tersebut sudah sakit seminggu lebih dan tiada selera makan serta selalu meracau. Telah beberapa kali dihantar ke hospital namun penyakitnya tidak juga dapat dikesan. Lantaran itu, kakak sepupu aku mencari ikhtiar untuk berubat dengan bomoh. Dia meminta izin dari ayah supaya selama berubat, anaknya ditempatkan di rumah kami kerana rumahnya kecil dan sempit. Ayah aku memang sayang semua anak-anak buahnya. Dia pernah berkata bahawa anak-anak buah tiada beza seperti anak-anaknya juga. Sebab tulah ayah aku sangat disayangi oleh adik beradiknya dan anak-anak buahnya. Ayah menjadi tempat rujukan sekiranya ada masalah keluarga terdekat hatta morang kampung sekalipun.
Untuk pengetahuan pembaca, ketika itu dalam tahun 1980an, bangsa kami amat percaya akan power yang ada pada bomoh. Ketika itu juga amat susah mencari perubatan Islam. dan pendedahan tentang perubatan Islam belum ada ketika itu kalau ada pun mungkin sebab belum tersebar meluas. Macam-macam dah bomoh di bawa ke rumah kami untuk merawat anak kakak sepupu aku. Lain bomoh lain penyakit dan lain bayaran. Beribu juga habis selama proses rawatan.
Pada suatu hari, seorang bomoh yang dikatakan handal telah berjaya dibawa ke rumah. Bau kemenyan menyelinap ke seluruh pelusuk rumah. Ketika itu ramai ahli keluarga yang datang menyaksikan proses rawatan. Aku pula ketika itu tiba-tiba berminat menyaksikan cara perawat yang merawat Aminah.
Mantera mula dibacakan. Aku tidak faham sepatah pun apa yang bomoh tu baca. Tiba-tiba,Aminah bangun dan duduk bersila. Namun cara bangunnya tu macam cara penggusti Undertacker bangun. Bangun dan duduk tanpa bantuan tangan. Sedangkan ketika itu, badannya sangat lemah dan tidak bermaya. Tu maknanya dah ada yang merasukinya. Dengan cara bangunnya sahaja sudah cukup membuatkan aku rasa seram.
Aminah : Siapa kau?
Bomoh : usah ditanya siapa aku… Siapa yang hantar kau untuk menyakiti perempuan ini.
Aminah : hahahaha… (suara garau lelaki). Itu bukan urusan mu… jangan nak menyibuk.
Bomoh : Urusan perempuan ini adalah urusan aku juga. (Sambil membaca mantera)
Ketika bomoh membaca mantera, Aminah ketawa mengilai sambil tepuk-tepuk tangan. Dia mula tuding-tuding jari kepada orang yang ada pada masa tu. Macam-macam gelaran dia bagi pada orang. Lagak Aminah seperti seekor monyet yang gembira mendapat pisang. Sekali sekala Aminah menyanyi lagu tepuk amai-amai sambil menggaru-garu bahagian sisi badannya. Cara menggarunya pun seperti monyet.
Aminah : Kauuuu… (sambil menuding ke arah aku) Anak monyet. kenapa sibuk-sibuk tengok aku. hahahaha….
Aku jadi takut dan rasa seram. Kenapa aku digelarnya anak monyet. Aku pun bersembunyi di sebalik dinding bilik bahagian luar. Aminah kembali berperangai seperti monyet. Dia tepuk-tepuk bantal yang ada dipangkuannya. Kemudian dia mula menggelar semua yang ada sebagai monyet. “Kenapa banyak sangat monyet ni, suhhh suhhh suhhh. Pergiiii… jangan ganggu aku” menghalau semua yang ada sambil ketawa terbahak-bahak.
Bomoh : Sebelum aku sakiti kau, beritahu siapa tuan kau…. Iblis jahanam…
Aminah : baliklahhhh…. sia sia kau ada disini… Aku akan terus menyakiti perempuan ini. (sambil tersenyum dan membeliakkan matanya.)
Bomoh : Kau akan menyesal… ( kemudian bomoh kumat kamit membaca sesuatu.)
Aminah : hahahaha… ieeeehihihihiiiii… Kau bukan tandingan ku monyet..
Kemudian berlakulah jurus menjurus. Aminah tetap dengan gayanya ketawa dan terus memperlekehkan bomoh. Akhirnya bomoh tewas dan tersedar kerana bantuan dari jinnya telah pergi meninggalkan bomoh.
Bomoh : Aku minta maaf… aku tidak mampu melawan hantaran orang ini. Cuba cari orang yang lebih mahir. Aku ada kawan yang lebih baik dari aku. Cari dia di pitas. Sebut ja namanya pasti orang akan kenal (sambil berdiri dan berbisik kepada ayahku serta memberitahu nama orang yang dia maksudkan).
Aminah pula terus tepuk-tepuk tangan dan ketawa sambil mengilai. “semua bodoh… Monyet tiada guna… hahahaha…” Aminah berteriak kepada semua yang ada.
Setelah bomoh balik, Aminah kembali baring dan jin yang merasukinya telah tiada. Dia mula merasa sakit dan panas bahagian kaki. Dia meronta-ronta meminta tolong. Nampaknya kehadiran bomoh disedari oleh penghantar jin tersebut. Keadaan Aminah memang sangat teruk.
Ikhtiar dan usaha terus dibuat. Ayahku dan beberapa orang anak buahnya pergi ke tempat yang di maksudkan oleh bomoh. Setelah seharian mencari, akhirnya mereka temui juga orang yang dimaksudkan. Namanya Azman (Bukan nama sebenar ). Perwatakannya sederhana dan nampak gayanya dia seorang ahli jemaah di Masjid. Encik Azman kemudiannya meminta tempoh 2 hari untuk membuat persiapan. Dia meminta supaya diambil dan dihantar balik selepas merawat kerana dia tidak mempunyai kenderaan.
Setelah hari yang dijanjikan tiba. Ayah dan abg sepupuku pergi menjemput En. Azman seawal pagi sekitar jam 5. Perjalanan ke tempat perawaat sekitar 1 jam 40 minit dan pergi balik mengambil masa lebih kurang 4 jam.
Sementara itu, di ruamh pula Aminah sedang berjuang menahan kesakitan yang dia alami. kejap baring dan kejap minta bantu untuk duduk. Aku sangat kesian melihat keadaan Aminah. Ibu Aminah pula tidak habis-habis menangis mengenangkan nasib anaknya. Makan tak kenyang, tidur tak lena dan mandi pun tak basah.
Ibu mana yang tidak sayang akan anaknya. Anak saja yang kekadang tidak sayang akan ibubapa dan kekadang bersikap kurang ajar terhadap ibubapa. Banyak dah contoh anak-anak sekarang yang sanggup menghantar ibubapa ke pusat penjagaan orang-orang tua. Nauzubillahi min Dzalik.
Setelah En. Azman sampai, kakak menghidangkan sarapan disamping memberi peluang kepada encik Azman untuk berehat sebelum merawat. Setelah berehat dalam setengah jam, En Azman kemudiannya meminta izin untuk merawat Aminah.
Encik Azman mengeleng-geleng kepala melihat keadaan aminah. Kemudian dia duduk bersila dan mulut dia mula kumat kamit membacakan sesuatu. ” panassssss!!!.. hentikan…”, Aminah bersuara garau. En Azman tidak mengendahkan teriakan Aminah. Dia terus membaca dan membaca sedangkan aminah sedang meronta-ronta kesakitan dan meminta supaya En. Azman memberhentikan Bacaan. “Tipu daya syaitan jangan terpengaruh” kata en. Azman kepada kami.
Kemudian Aminah menerkam En.Azman, namun seperti ada sesuatu yang menghalanginya dan tidak dapat menyentuh En. Azman walau sedikit pun. “Berhentiiii!!!.. tolong jangan teruskan” Aminah membentak lagi..
Azman : Kenapa ganggu perempuan ini.
Aminah : Dia telah merosakkan tempat makanan yang tuan aku sediakan. Tuan aku marah dan menghantar aku menyakiti perempuan ini. (Kali ini tiada lagi tawa seperti sebelum ini. kekadang ja ada senyuman terukir tetapi senyuman yang kelat.)
Azman : Perempuan ini tidak sengaja merosakkan tempat kau. Maafkan dia dan beritahu kepada tuan kau.
Aminah : Aku tidak akan mengingkari perintah tuan ku. aku akan terus menyakiti perempuan ini.
Azman : Kita sama-sama Makhluk ciptaan Allah. Allah murka bila kita menyakiti sesama kita sebagai makhluk ciptaan-Nya
Aminah : Pergi kau dari sini. Aku tidak mahu mendengar cerita karut kau. ( Muka aminah nampak sangat marah namun tidak berani menatap wajah En. Azman)
Azman : Allah maha besar. Aku tidak akan pergi selagi kau tidak menghentikan perbuatan kau terhadap perempuan ini. (Kemudian En. Azman kumat kamit mebacakan sesuatu)
Aminah : Tidakkkkkk… Tolong berhenti… panassss… (Ketika ini Aminah menghempas-hempaskan badannya kerana kesakitan yang amat dan terpaksa dikawal oleh beberapa orang.)
Azman : Panggil tuan kau. aku ingin bercakap dengannya… (Kemudian aminah terbaring dan bangkit semula.
Aminah : Apa tujuan kau memanggil aku.
Azman : Lepaskan perempuan ini. Dia tidak sengaja merosakkan harta kau.
Aminah : Langkah dulu mayatku. aku tidak akan melepaskan perempuan ini sehingga dia mati dan menerima balasan terhadap apa yang dia telah lakukan.
Rupa-rupanya Aminah pernah terlanggar satu pondok pemujaan untuk memberi makan kepada penunggu laut. Dia tidak sengaja kerana ketika itu dia berjalan sambil menolah ke arah adiknya yang sedang memanggilnya. Dia terlanggar tempat tersebut lalu roboh. (Tempat pemujaan yang dibina bukanlah kukuh. Ianya dari kayu-kayu beruti terbuang dan tiangnya pun kecil).
Tempat pemujaan ini memang banyak terdapat di sepanjang pantai kawasan perumah kampung aku. Bukan bangsa kami yang melakukan pemujaan tersebut tapi ada satu bangsa lagi yang memang kuat pegangan kepercayaan terhadap penunggu sesuatu tempat.
Azman : Aku ingin berunding cara damai. Kita Sama-sama Makhluk Allah SWT.
Aminah : Tiada apa yang perlu dirundingkan. Kau pergi dari sini. Jangan sesekali mencampuri urusanku dengan perempuan ini…
Azman : Hanya ada 2 pilihan, lepaskan perempuan ini atau aku akan…. (En Azman membaca Sesuatu)
Aminah : hahahaha…( ketawa yang dibuat-buat dan nampak sangat sedang menahan kesakitan). Kau bukan tandinganku… Bacalah sepuasnya…
En. Azman tidk mengendahkan ugutan Aminah. Dia meneruskan bacaannya. Tidak lama selepas tu,
Aminah : jangan teruskan… panassss… ( Aminah mula meronta-ronta dan terpaksa dipegang oleh beberapa orang bagi mengelakkan Aminah tercedera.)
Azman : Aku tidak akan berhenti selagi kau tidak menerima syarat-syaratku…
Aminah : tolong berhenti… ( Namun amat bengis wajah Aminah ketika ini. Gayanya seperti orang yang kelaparan sedang menanti makanan dihidangkan. Nampak sangat dia geram dengan En. Azman)
En. Azman terus dengan khusyuk meneruskan bacaan-bacaannya. Sekali sekala dia melirik ke arah Aminah yang sedang meronta kesakitan. Kekadang dia akan gigit tangan orang yang memegangnya. Aku pula sekejap sembunyi sekejap menjenguk ke dalam bilik. Aku bediri di luar di tepi pintu bilik.
Aminah : berhentiiiii!!!.. aku akan menerima syarat-syarat kau. (agaknya jin dalam badan Aminah dah tak tahan menaggung azab dan derita dari bacaan-bacaan En. Azman)
Azman : Jangan mungkiri janji. Sekiranya kau mungkir, kau akan menerima nasib celaka. Kau sedia maklum kan.? ( Azman memberi peringatan kepada Jin)
Aminah : Tolong lepaskan aku…. ( Jin mula berlembut dan merayu-rayu)
Azman : Lepaskan perempuan ini dan jangan lagi sesekali mengganggunya..
Aminah : Baiklah. aku akan mengikut apa kemahuan kau.
Azman : Bawa semua barang-barang kau yang ada pada perempuan ini. Jangan tinggal walau sebesar zarah pun. Kau tau apa akibatnya kalau ada yang tertinggal.
Aminah : Aku telah mengumpul semua barang-barangku. Tolong lepaskan aku. (“mampus kau perempuan selepas ini” = aminah bersuara perlahan ketika melafazkan kata-kata ini)
Azman : Sebelum kau sempat bagi mampus perempuan ini. Kau yang akan mampus duluan. Angkat semua barang kau termasuk yang sedangkan kau sembunyikan.
Aminah : Semua dah habis…. Aku dah ambil semua.. ( sambil meramas-ramas seluruh badan terutama bahagian kaki seperti mengutip sesuatu)
Azman : Pergilah dan jangan kembali lagi. (Sambil menyusap muka Aminah dan melepaskan di atas kepala.
Aminah kemudiannya rebah terbaring lalu pengsan. Kemudian En Azman meminta segelas air dan membacakan sesuatu lalu menjiruskannya kepada Aminah. Aminah pelan-pelan sedar dari pengsan. Kemudian En. Azman meminta izin untuk keluar.
Semasa di ruang tamu berehat, En. Azman memberitahu bahawa Aminah telah disihir secara pelahan-lahan sehingga mati. Namun semuanya telah selamat kerana perjanjian yang telah termaterai antara En Azman dan jin.
Sebelum balik, En. Azman Makan sama-sama keluarga kami. Selepas makan, ayah dan abang sepupuku menghantar En Azman pulang ke Pitas Sabah. Sebelum berjalan, ayah sempat menghulurkan sepucuk sampul surat kepada En. Azman. En. Azman menerimanya dan kemudian mengembalikan kepada ayahku pulak. Katanya, Dia menolong kerana Allah.
Bagi menghargai jasa En. Azman, Ayah dan abang sepupuku tidak terus menghantar En. Azman pulang tapi singgah ke pekan untuk membeli beberapa jenis ikan masin untuk bekalan En. Azman.
Selepas berubat dengan En. Azman, Aminah telah mulai ada selera makan dan rasa panas di kaki telah tiada. Keadaan Aminah beransur pulih selepas beberapa hari. Selepas seminggu dari rawatan, Aminah sudah boleh berjalan sendiri. Memandangkan keadaan Aminah semakin pulih, maka kakak sepupuku meminta izin dari ayah untuk balik ke rumahnya dan membawa Aminah bersama.
Untuk pengetahuan para pembaca, Kini adat-adat dan upacara memberi makan penunggu laut telah tiada. Mungkin kerana generasi baru yang kian memahami dan mendalami agama dan menyedari akan bahayanya dosa mensyirikkan Allah SWT.
Sekian dulu untuk kisah kali ini. Banyak lagi sebenarnya dialog antara bomoh dengan Aminah dan antara En.Azman dan Aminah. Mana-mana yang aku masih ingat sahaja yang dapat aku paparkan. Aminah kini aktif berniaga kecil-kecilan bersama suami. Tiada lagi gangguan-gangguan yang diterima selepas dari rawatan En. Azman.
Yang baik semua dari Allah, dan yang jahat dan silap semua dari kelemahan aku. Wallahu’alam.
#mighallazah
best cerita ni