#June – Honeymoon Bittermoon

Honeymoon Bittermoon

Assalammualaikum admin FS & pembaca sekalian. Terima kasih andai kata nukilan aku dikongsikan buat santapan mata penggemar cerita seram. Maaf sekiranya cerita dari pihak aku tidak mencapai tahap seram yang anda semua inginkan.

Cerita ini aku alami seminggu selepas aku diijab kabulkan iaitu dua tahun yang lalu. Sungguh aku akui detik detik hitam ini masih menghantui diri ku. Genap seminggu selepas sah bergelar suami isteri, kami berdua akhirnya bersetuju untuk memilih Korea Selatan sebagai lokasi honeymoon kami. Alhamdulillah Allah mengurniakan kami keselamatan sepanjang perjalanan yang berjam lamanya. Setibanya kami di sana, kami terus pergi ke hotel yang telah dibook oleh suamiku. Hotel yang terletak di tengah bandaraya sibuk Seoul, aku pasti mungkin anda semua tidak percaya dengan apa yang kami telah lalui.

Seperti kebiasaannya ketika melancong, kami berehat di dalam bilik melepas lelah setelah berjam jam di udara. Aku tersedar sekitar 5 petang (masa Malaysia), dan pada ketika itu di Korea pukul 6 petang. Beza masa hanyalah satu jam. Aku bingkas untuk menunaikan solat. Semasa sedang mengambil wudhu’, aku dengar suara suamiku memanggilku. Aku diamkan dengan niat untuk mengambil wudhu’ dulu. Sedang aku mencuci telinga, aku dengar suara suamiku semakin kuat dan kasar memanggilku. Pelik bagiku kerana suamiku bukanlah seorang yang kasar dari segi tutur bicaranya. Ini merupakan kali pertama dia meninggikan suara kepada ku. Aku mempercepatkan langkah ku dah usai siap mengambil wudhu’ aku cepat cepat keluar dari toilet. Aku panggil suamiku. Pelik. Suamiku masih lena tidur di katil. Siapa pula yang memanggilku tadi? Bulu roma ku menegak dan sejurus itu, terasa angin kuat melanggar aku sehingga membuat aku hilang kawalan dan terjatuh. Astaghfirullah al azim. Aku mengucap panjang. Aku menguatkan diri untuk bangun lalu mengejutkan suamiku. Ketika ini aku masih mengunci mulut dan tidak menceritakan perihal ini kepada suamiku. Bimbang akan merosakkan suasana honeymoon kami. Usai solat berjemaah bersama, kami memilih untuk makan maggi cup sahaja malam itu kerana tenaga belum cukup untuk meneroka bandar Seoul, mencari restoran halal. Walaupun perasaan bercampur baur untuk tinggal di dalam bilik itu, aku akur. Ketika kami tengah menikmati makan malam kami, tiba tiba lonceng bilik ditekan, “Room service.” Suara lelaki jelas kedengaran namun sayu sahaja bunyinya. Aku menjeling suamiku untuk membuka pintu, kerana aku malas untuk memasang tudung. Suamiku menurut tanpa membantah, alhamdulillah suamiku tidak terus membuka pintu ketika itu. Dia melihat gerangan siapakah di sebalik pintu melalui peephole. Namun, tiada sesiapa di luar. Hairan melihat suamiku kembali tanpa membuka pintu, aku bertanya, “Kenapa, bang?” Suamiku menjawap, “Tiada sesiapa kat luar sana.” Aku hairan. Belum sempat suamiku melabuhkan punggung di sofa, sekali lagi loceng bilik kami berbunyi. Kami saling berpandangan. Suamiku pergi semula ke ruang depan namun kali ini dia tidak melihat peephole. Dia hanya membacakan ayat Qursi dan 3 Qul sebagai pendinding untuk melindung kami suami isteri. Selepas itu, tiada gangguan yang menimpa kami.

Namun, itu semua hanyalah permulaan bagi sejarah hitam hidup kami. Aku masih merahsiakan gangguan yang aku alami dari suamiku. Dua hari selepas itu, kami menikmati bulan madu kami dengan menerokai bandar Korea Selatan. Aku akui perasaan takut ketika melangkah masuk ke dalam bilik penginapan itu masih menebal. Aku tetap tidak menceritakan kepada suamiku kerana tiada gangguan lain yang terjadi selepas kejadian pertama.

Namun, perkara ini tidak terhenti di sini. Sangkaan ku benda ini sudah pergi jauh meleset. Malam kelima kami menetap di hotel tersebut, usai solat Maghrib, kami diusik manja oleh sesuatu. Ya, aku dan suamiku diganggu pada masa yang sama. Sedang suamiku mengetuai bacaan doa, ada suara halus mengejek bacaan suamiku diikuti dengan ketawa menggilai. Dan suara tersebut datangnya dari sebelah aku. Suamiku menerus bacaan doa dan membaca ayat Qursi dan 3 Qul sebagai penutup doa dan pendinding kami. Selepas solat, suamiku berpesan agar kuatkan semangat dan jangan mudah tewas melawan makhluk Allah. Ingat kuasa Allah lebih besar. Aku angguk tanda faham namun hatiku tetap rasa tidak tenang. Malam itu, kami tidak keluar ke mana mana. Sedang aku dan suamiku melepas lelah setelah seharian berjalan, suamiku tiba tiba mengaduh sakit. Dikatakan kakinya rasa seperti diterkam sesuatu. Selang beberapa minit selepas itu, aku terjerit kesakitan apabila merasakan tangan tua menarik kasar rambutku. Suamiku bertindak dengan mengazankan setiap ruang bilik kami. Malam itu aku menangis semahu mahunya. Aku memang dikenali sebagai penakut dalam keluargaku dan kejadian ini 100% telah menghilangkan semangatku. Selesai mengazankan bilik, suamiku mendakapku lalu membaca ayat Qursi ditelingaku dengan harapan dapat memulihkan semangatku. Seketika kemudian aku mendengar suamiku mengucap panjang seakan akan terkejut. Aku mendesak agar dia memberitahu aku apa yang dia nampak walaupun hati ini berat untuk mengetahui siapa penghuni bilik ini selain kami. Suamiku kata ada seorang wanita tua yang bongkok, berambut panjang dan memakai pakaian tradisi Korea iaitu hanbok sedang merenung kami. Wajahnya terpancar kebencian seolah olah tidak suka dengan kehadiran kami. Aku mengeluh, malam itu kami berdua tidak putus putus berdoa agar diberikan kekuatan untuk menempuh malam yang panjang.

Keesokkan harinya, kaki suamiku bengkak. Jelas nampak kesan tangan berjari empat dikaki suamiku. Melihat betapa beraninya benda ini, kami bercadang untuk menamatkan tempoh bulan madu kami dan pulang ke tanah air pada hari tersebut juga. Sedih apabila hari yang dinanti untuk bersama sang suami bertukar menjadi sejarah hitam hidup kami. Sesampainya kami di tanah air, dijangka perkara ini telah pun berakhir. Rupanya, semakin mengganas. Aku perasan perubahan suamiku saat kapal terbang kami mendarat. Mukanya pucat dan enggan untuk berbicara denganku. Aku diamkan sahaja kerana mungkin suamiku sedang menahan bisa di kakinya. Malam itu, kami dijemput oleh orang tuaku. Abah ku dikurniakan dengan deria keenam. Aku pasti ada benda yang menggikut kami balik saat mata abah merenung tajam wajah suamiku. Mulutnya terkumat kamit membaca doa sebelum menghembuskan pada suamiku. Suamiku yang sedang sibuk mengheret luggage, berhenti meneruskan kerjanya dan menjeling abahku.

“Kau jangan masuk campur.” Dengusnya kepada abahku. Terkejut aku dan ummi saat menyaksikan perubahan suamiku. Abah diam dan kami dibawa balik kerumah abahku. Bimbang akan keselamatan kami. Sesampainya di rumah dan mengemas barang, abah mengajak aku untuk duduk di ruang tamu rumah. Dengan lembut abah bertanya kepadaku. “Benda apa yang kamu bawa balik ni, Jade?” Aku mendiamkan diri. Dalam hati tidak putus putus memanjat doa kepada Allah agar tidak menghentikan penderitaan ini. “Jade tak tahu, bah. Sejak kami sampai sana lagi dah kena kacau.” Aku menjawab jujur.

“Ni abah nak bagitau kamu. Kat laki kamu tu, ada benda bergantung kat kaki dia. Dari kat airport tadi dah abah tengok. Yang dalam badan Ian tu pun bukan dia. Baik kamu tinggal sini je buat sementara waktu. Abah dah call ustaz Jalil. Malam esok kita berubat.” Kata abah panjang lebar.

Perasaan ku gundah gulana. Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan ku ketika itu. Maafkan aku kerana terpaksa menghentikan cerita setakat ini buat kali ini. Aku janji akan menceritakan tentang kisah perubatan suamiku di entri yang lain.

Salam sayang, June.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

15 thoughts on “#June – Honeymoon Bittermoon”

  1. Namenye Jade ke June…?
    Kay tu jer nk tanye…
    Hehehehehhe…

    Ehh coopppp…
    Gamaknye benda tu panaasss sbb korg jenis yg jaga solat…

    Reply
  2. rasa annoying pula dengan yg suka sambung2 cerita nie. rasa mcm dorang nak sngt perhatian drpd orang yg tertunggu-tunggu dengan cerita dorang -.-

    Reply

Leave a Comment