Assalamu’alaikum. Aku Hulk Koko. Terima kasih kepada admin kerana telah menyiarkan kisah pertama aku iaitu, #Kaklang: Permulaan. Dari tajuk kisah aku tu pun dah boleh difahami yang kisah itu adalah baru sebuah permulaan untuk cerita kaklang aku. Jadi, entry kali ini aku akan bawakan episod yang kedua kepada korang semua. Harap semuanya difahami dengan baik dan dapat diambil pengajaran dari kisah aku ni. Jangan jadi macam Tok Ara. Siapa Tok Ara? Jom, kita baca sama-sama kisah dibawah ini.
…………………………
“Ummi, benda apa yang kacau kaklang ni? Kaklang takut lah.”, mengadu kaklang pada ummi. Perlahan saja suaranya sambil riak wajahnya jelas ketakutan. Ummi diam tidak membalas pertanyaan kaklang sambil memandang kearah Ustaz Ishak yang sedang menyelesaikan saki baki ruqyah keatas kaklang untuk memagarinya dari dimasuki oleh jin itu lagi. Ummi seakan masih belum dapat menerima hakikat dengan apa yang disaksi oleh mata kepalanya sebentar tadi, sambil air matanya mengalir perlahan membasahi pipi.
“Benda ni datang bersinggah saja. Dia tengok kaklang lemah kot, sebab tu dia berkenan.”, beritahu Ustaz Ishak apabila selesai menyempurnakan bacaan ruqyahnya. Mendengar jawapan Ustaz Ishak itu, ummi menjadi tersentak sedikit. Terkejut barangkali kerana aku fikir fikiran ummi ketika itu masih terawang-awang memikirkan nasib kaklang. Setelah itu, ummi berbual-bual dengan Ustaz Ishak sambil bersungguh-sungguh meminta bantuan darinya untuk terus merawat kaklang, agar dipulihkan penyakit misteri yang menimpa kaklang itu dengan izin Allah.
Aku sebenarnya menjadi keliru dan tertanya-tanya setelah mendengar jawapan dari Ustaz Ishak, kerana jika benar jin itu sekadar datang menumpang tubuh kaklangku ni, mengapa ketika sesi berdialog diantara Ustaz Ishak dan jin itu tadi, jin itu menyebut bahawa dia sudah lama tinggal didalam tubuh kaklang? Ah, sudah. Berserabut aku fikirkan benda ini sorang-sorang. Aku akan bawa kembali beberapa keratan dialog pada episod permulaan itu disini semula untuk memudahkan para pembaca memahami situasi yang sebenar.
…………………………
“Kamu siapa? Kenapa datang mengganggu budak ni?”, tanya Ustaz Ishak tegas.
“Akulah!”, tengking jin itu.
“Sebutlah nama, baru kami tau hang siapa.”, ummi mencelah sambil cuba menahan sendunya.
“Aku dah lama duduk dalam budak ni. Hi hi hi. Nanti hampa tau lahh.”, sinis sahaja jawapannya. “Aku lapaq, aku nak makan! Dah lama tuan aku tak jamu aku makan.”, sambung jin itu.
…………………………….
Persoalan demi persoalan bermain didalam fikiran aku. Tetapi,aku terasa seolah-olah lidahku dikunci dari mempersoalkan perkara ini kepada mereka. Aku hanya mampu melihat kaklang lemah bersandar di dinding sambil menjulurkan kedua kakinya. Tudung bawal yang kaklang pakai pun dah takda rupa bawal, dah macam bawal tiga rasa rupanya. Ummi masih asyik berbual dengan Ustaz Ishak sambil-sambil mereka memandang kearah kaklang.
“Minggu depan bawak kaklang mai lagi sekali. Ni saya ada buat air tawar untuk kaklang. Balik nanti, air ni buat minum sikit, buat mandi sikit. Campurkan dengan air dalam kolah.”, beritahu Ustaz Ishak kepada ummi. Ummi angguk perlahan tanda faham. Ummi dan kaklang tak putus-putus ucap terima kasih kepada Ustaz Ishak atas pertolongannya. Aku bersalaman dengan Ustaz Ishak sebaik sahaja ummi meminta diri untuk pulang. Sebelum kami keluar dari premis itu, ummi sempat bertanya pasal upah rawatan ini. Ustaz Ishak hanya tersenyum manis mendengar pertanyaan ummi sambil jari telunjuknya menunjuk kearah sebuah kotak sederhana kecil saiznya. Kata Ustaz Ishak, dia mengambil upah rawatan dengan bayaran seikhlas hati oleh pesakitnya. Tambah ustaz lagi, dia takkan terima sekiranya dihulur terus kepadanya, sebaliknya duit itu harus diletakkan didalam kotak yang dia sediakan itu. Ummi hanya lakukan seperti yang Ustaz Ishak beritahu. Selesai semuanya, kami beransur pulang ke rumah selepas meminta diri dari Ustaz Ishak.
Ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah, ummi berbual-bual dengan kami dua beradik.
“Kenapa kaklang tiba-tiba menjerit masa ustaz sentuh jari kaki tadi?”, tanya ummi sambil memandu.
“Kaklang rasa sakit sangat bila ustaz sentuh jari tu tadi, padahal ustaz tu sentuh ja, bukan buat apa pun. Pelik kan ummi?”, balas kaklang sambil membuat mimik muka kehairanan.
“Kaklang sedar tak apa yang kaklang cakap tadi?”, tambah ummi.
“Sedar ummi. Tapi kaklang tak boleh ‘control’. Kaklang cakap ja apa yang terbit dari hati kaklang ni walaupun kaklang tak terfikir nak cakap macam tu. Kesian Ustaz Ishak kena terajang tadi.”, jawap kaklang.
“Hmm. Angah tak rasa apa-apa ka?”, ummi mula soal aku.
“Ntah, tak rasa apa-apa pun ummi. Awat ummi?”, aku menjawab sambil meminta pencerahan.
“Kalau tak rasa apa-apa, takpa la. Ummi risau ja.”, jelas ummi sambil matanya fokus memandang kehadapan.
“Ummi ok tak?”, kaklang bertanya.
“Ok ja.”, balas ummi pendek.
Walaupun ummi mengatakan dia tidak apa-apa, tetapi dari raut wajah ummi, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan ummi walaupun ummi cuba sembunyikan dari kami. Tapi aku tak pasti benda apa yang ummi sedangkan sembunyikan itu. Entahlah.
********************
“Ada benda yang kacau kaklang la, bang.”, beritahu ummi pada baba yang baru sahaja sampai dari tempat kerjanya. Reaksi baba sedikit terkejut tetapi baba kelihatan tenang tidak melatah yang bukan-bukan. Baba rebahkan tubuh tuanya diatas sofa. Tersandar keletihan sambil mengurut-urut bahunya yang kelenguhan. Kot hitam dan kemeja putih baba pun belum sempat ditukar,terus diajak ummi berbual.
“Teruk ka kaklang tadi?”, baba bertanya.
“Nak kata teruk tak teruk tu, kaklang menjerit sakan la jugak, bang.”, ummi menjawap. “Ustaz tu kata, minggu depan bawak kaklang pi jumpa dia lagi sekali.”, sambung ummi.
“Hmm. Minggu depan kita semua pi sekali.”, beritahu baba pada ummi. Ummi mengangguk perlahan tanda setuju.
“Ummi..”, aku memanggil ummi untuk cuba menyingkap misteri yang aku sedar sejak waktu kejadian kaklang dirasuk oleh jin itu.
“Yaa..”, ummi menyahut panggilanku sambil memaling kearahku. Tetapi kata-kataku terhenti disitu. Aku terdiam tanpa sebab.
Dalam tempoh seminggu itu, kaklang kadang-kadang menjadi seakan orang tak betul. Kadang-kadang ketawa sendirian tanpa sebab. Bila ditegur, senyap-sunyi tanpa ada sekelumit pun suara yang kedengaran. Seram.
Oh ya, sebelum keadaan kaklang jadi macam ini selepas berubat dengan Ustaz Ishak, ada satu kejadian yang agak misteri yang jadi dekat kaklang. Aku akan selitkan cerita ringkas itu dibawah.
…………………………
Ceritanya selepas kaklang mendapat surat yang menyata ketidak-layakannya untuk bekerja di sebuah syarikat swasta yang pernah dia hadir untuk diinterview beberapa minggu sebelum itu. Sedih bukan kepalang lagi riak wajah kaklang saat dia membaca isi surat itu. Ummi datang menenangkan dia. Ummi suruh kaklang bersabar, belum sampai rezeki kaklang lagi kata ummi. Kaklang diam tak berkata apa dan terus masuk dalam bilik. Entah apa yang dia buat aku pun tak tahu. Tak lama lepas dia masuk bilik, aku dan ummi buat hal masing-masing. Tiba-tiba, kami dengar kaklang menjerit sekuat hati seolah meratap dan menangisi sesuatu. Ah, sudah. Benda apa pulak yang kaklang buat ni. Ummi yang tengah meyapu lantai, terhenti selepas mendengar jeritan kaklang. Begitu juga aku yang tadi sedang asyik menonton televisyen, berpaling memandang ummi. Sudahlah ditengah-tengah maghrib dia menjerit. Meremang bulu tengkuk aku. Aku tengok ummi juga mengusap-usap belakang tengkuk sambil mengerutkan keningnya.
“Kaklang, awat tu?! Sudah lahh. Menjerit apa maghrib-maghrib ni, tak elok la buat macam ni. Dah tak ada rezeki, nak buat macam mana lagi. Sabarlah.”, kata ummi sambil berjalan kearah bilik kaklang. Aku mengekori saja ummi dari belakang. Masih tiada sahutan dari kaklang.
“Krekk”, perlahan pintu bilik kaklang dibuka. “Haa, pasaipa menjerit tadi ni?”, ummi terus menyoal kaklang yang sedang duduk bersila diatas katilnya sambil memegang surat dari pihak firma tersebut.
“Menjerit? Apa ni ummi? Mana ada kaklang menjerit pun tadi. Bila masa kaklang menjerit?”, balas kaklang kehairanan.
“Aik, tadi bukan kaklang menjerit ka? Angah pun dengar, kan?”, kata ummi sambil berpaling kearah aku meminta kepastian.
“Haa, betol. Angah pun dengar kaklang menjerit tadi. Kuat gila.”, kata aku untuk meyakinkan kata-kata ummi.
“Mana adaa. Kaklang tak jerit pun lahh.”, balas kaklang yang bertambah hairan dengan apa yang telah terjadi kepada dia sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aku masih tetap dengan pendirianku mengatakan bahawa dia menjerit sebentar tadi, kerana jelas sangat kedengaran suaranya menjerit. Kemudian, ummi mencelah.
“Haaa, sudah-sudah. Kalau kaklang tak menjerit takpa lahh. Ummi silap dengar kot tadi. Ni dah maghrib, tok bilal pun dah azan, pi ambik ayaq sembahyang lekaih, lepastu sembahyang.”, ummi menamatkan perbualan kami dengan riak wajah yang sedikit resah, tetapi tidak diluahkannya. Masa pun terus berlalu dan mengubah keadaan sehingga kami pun kian melupakan kejadian itu.
…………………………
Seminggu yang terasa seakan sebulan itu akhirnya tiba dipenghujungnya. Seolah-olah ingin diperlambatkan perjumpaan kaklang dengan Ustaz Ishak untuk sesi rawatan seterusnya. Kali ini baba ada bersama kami. Setibanya kami di pusat rawatan Ustaz Ishak, baba adalah orang pertama yang melangkah masuk kedalam rumah kedai setingkat milik Ustaz Ishak itu. Ustaz Ishak juga kelihatan senang menyambut baba yang pertama kalinya menjejakkan kakinya kesana. Mereka saling berjabat tangan dan bertanyakan khabar masing-masing. Ustak Ishak mempelawa kami untuk duduk dan rehat sebentar sebelum dia memulakan rawatan keatas kaklang. Kaklang yang tadi ceria, tiba-tiba terlihat sedih dan mula menangis mendayu-dayu dengan nada yang menyeramkan. Kami masing-masing tersentak dengan perubahan kaklang sambil berpandangan sesama sendiri, kecuali Ustaz Ishak.
“Huuu huuu huuuuuu..”, nyaring tangisannya.Tangisan kaklang itu bukan sahaja mendayu dan nyaring, tetapi sungguh menyeramkan sehingga mampu mendirikan bulu-bulu roma dibelakang tengkuk kami semua. Ummi menegur kaklang perlahan sambil mengusap-usap belakang badan kaklang.
Tiba-tiba..
“HAHAHAHAHA!! Hampa semua bodohh. BODOH!! Hihihihihihihihihihi.”, jerit kaklang yang dirasuk sambil menghamburkan kata-kata kesat kepada kami sambil diselangi dengan bunyi hilaian nyaring.
Bingkas kami angkat kaklang masuk ke bilik khas untuk lanjutkan sesi rawatan. Ustaz Ishak mula mengambil tempatnya. Rupa kaklang mula berubah perlahan-lahan menjadi wajah nenek tua seperti yang aku gambarkan didalam episod permulaan tempoh hari. Kelopak matanya seolah-olah berat untuk dibuka, bibirnya menjuih kedepan, duduk membongkokkan badan sambil tangannya lembik menghayun kedepan dan kebelakang, tidak ubah seperti manusia yang berusia ratusan tahun umurnya. Kali ini ummi tidak lagi mendiamkan diri. Bermacam soalan ummi tanyakan kepada jin durjana itu. Mungkin kekuatan ummi hadir bersama kehadiran baba disana. Disebabkan kali pertama baba melihat keadaan kaklang seperti itu, baba agak kaget dan jelas diriak wajah baba seperti sedang menahan kemarahan. Ayah mana yang sanggup melihat anaknya diperlakukan sebegitu rupa, kan? Biji-biji tasbih terus diratib laju oleh baba. Lidah baba tak pernah kering dari berzikir mengingati Tuhan.
“Hang mai mana ni? Awat mai kacau anak aku?”, ummi mulakan bicaranya sambil Ustaz Ishak mempersiapkan dirinya.
“Aku Tok Ara!”, tengking jin itu sambil mengukir senyuman yang menyeramkan kepada ummi.
“Astaghfirullah,abanggg!”, beristighfar panjang ummi selepas mendengar nama itu. Baba juga kelihatan terkejut sekali lagi. Kali ini benar-benar wajah baba berubah kemerahan.
“Aku dah agak dah, mesti orang tua tu punya!”, keras suara baba membentak jin keparat itu.
“Ya Allah, abangg. Kenapa jadi macam ni?”, soal ummi. Suara ummi sudah kedengaran serak-serak basah. Menahan air mata barangkali.
“Sabaq bang, benda ni memang nak melaga-lagakan kita. Itu dah memang kerja.”, Ustaz Ishak cuba menenangkan baba. “Ermm, minta maaf saya nak tanya. Tok Ara ni siapa dia yang sebenarnya?”, Ustaz Ishak melanjutkan kata-katanya dengan sebuah pertanyaan.
Tok Ara. Seorang wanita tua yang ada kaitan dengan keluarga aku. Dia merupakan ibu mertua Achu aku atau lebih tepat dia adalah bisan tokwan aku. Achu aku berkahwin dengan lelaki pilihannya, tetapi ibu lelaki itu atau Tok Ara agak kurang menyenangi kehadirannya. Dari awal perkahwinan Achu dengan suaminya, ada sahaja yang tak kena di mata Tok Ara. Asyik bercakaran sahaja kalau berjumpa. Benci sungguh Tok Ara dengan Achu aku ni. Lama kelamaan, Achu aku pun sudah terbiasa dengan sikap mertuanya yang menjengkelkan itu walaupun segala makian dan kejian telah menjadi makanan ruji bagi Achu. Apa yang Achu perasan dengan diri Tok Ara ni, Tok Ara sering bercakap sendirian dan kudrat Tok Ara ni agak luar biasa kalau hendak diukur dengan usianya. Tok Ara juga tinggal sendirian di sebuah rumah yang agak usang dan menyeramkan. Belakang rumahnya adalah semak-samun dan hutan belantara. Perkara lebih aneh yang ummi pernah cerita dekat aku, Tok Ara ni boleh dengar dengan jelas walaupun dia duduk jauh. Satu hari tu, ummi tengah sembang-sembang dengan Achu dekat dapur rumah pusaka tokwan(Achu dan keluarganya tinggal disitu), tiba-tiba Tok Ara yang kebetulan sakit dan dibawa tinggal sekejap dirumah Achu, masuk menyampuk dari ruang tamu sedangkan dia tengah baring atas katil sebab sakit tuanya. Achu dengan ummi terperanjat besar, langsung terdiam. Kemudian, tahulah yang Tok Ara ni ada membela sesuatu.
“Aku akan cerita macam mana aku boleh ada dekat dalam budak ni.”, tiba-tiba jin itu bersuara. Gaya dan perwatakannya tetap tidak berubah. Dan kami baru perasan gaya yang kaklang buat itu mirip dengan gaya Tok Ara! Baba dan ummi cuba menenangkan diri masing-masing. Baba kembali berzikir.
“Kalau hampa nak tau, aku(Tok Ara) minat dekat budak ni lama dah. Masa aku sakit dulu, dia la yang rajin jaga aku. Aku sayang dia. Bukan macam cucu aku hat sorang tu. Pemalas!”, sambung jin belaan Tok Ara yang merasuk kaklang.
Rupa-rupanya, Tok Ara minat dekat kaklang ni sejak dari kecil lagi. Dulu masa kaklang masih budak, kaklang selalu ke rumah Achu. Kadang-kadang Tok Ara pun ada. Tok Ara kalau sakit, suami Achu selalu ambil bawak balik ibunya ke rumah Achu. Ya lah, Tok Ara dah tua, risau kalau tiba-tiba jatuh seorang diri dekat dalam rumah usang dia tu, tak ada siapa yang tahu pulak. Bila kaklang dah ada disana, dia dengan sepupu-sepupu perempuan aku yang lain pun tolong Achu aku ni jagakan Tok Ara, tapi tak sangka bila niat baik kaklang dibalas dengan cara sebegini. Kaklang adalah mangsa keadaan Tok Ara.
Ustaz Ishak masih lagi berdiam diri tanpa membuat sebarang tindakan sambil merenung tajam kearah kaklang kerana ingin mendengar penjelasan dari jin Tok Ara.
“Dulu masa depa ni mai beraya dekat rumah aku( rumah Tok Ara), tuan aku ludah aku masuk dalam cawan air yang depa minum. Dari situlah aku mula bersarang dalam badan budak ni. Bukan dalam budak ni ja yang aku hidup, dalam badan dua orang budak lagi tu pun aku ada jugak. Hihihi ”, jelas jin tersebut sambil ketawa sinis dihujung bicaranya.
“Siapa lagi dua orang budak tu?”, ummi bertanya.
“Emi dengan puteri.”, balas jin tersebut sambil ketawa kecil.
“Ya Allah, puteri tu kan cucu hang sendiri.”, ummi berkata sambil menahan amarahnya.
“Puteri tu sama la macam budak ni. Depa sama-sama baik. Lembut jaa. Sebab tu aku suka. Tapi aku tak suka kakak dia. Pemalas. Hehehe.”, jawap jin itu lagi.
Baba yang tadi sudah bertenang kembali menjadi bengang. “Ustaz, tarik buang la benda ni. Saya takmau dia kacau anak saya lagi.”, arah baba kepada Ustaz Ishak supaya ditarik jin itu keluar dari badan kaklang.
“Baik, in shaa Allah.”, balas Ustaz Ishak ringkas. Mulut Ustaz Ishak mula laju menyebut ayat-ayat suci al-Quran untuk membakar jin tersebut.
“Hoiiiiii, jangan lahhhhhhh. Aku panas lah bodohhh. Diam lahhhh!!”, jerit jin Tok Ara yang kepanasan akibat mendengar ruqyah yang dibaca oleh Ustaz Ishak. Jeritan makhluk halus itu sudah cukup untuk mendirikan bulu roma.
“Hang keluaqq lekas dan jangan masuk lagi dalam badan budak ni!”, arah Ustaz Ishak.
“Aku keluaq, aku keluaq. Diam lahh bodoh. Panas hang tau dak?!!”, raung jin itu lagi.
Tiba-tiba kaklang batuk keras seperti ada sesuatu yang tersangkut di anak tekaknya. “Aakhh-akhhh, ohokk-ohokk.”, batuk kaklang. Ustaz Ishak sempat mengambil beg plastik dan menadah dibawah mulut kaklang sebelum dia muntahkan air liur bercampur dengan sisa-sisa makanan. Ummi dan baba mengesot kearah kaklang dan terus menepuk-nepuk belakang dada kaklang.
“Ummi, sakitt. Huuu huuu.”, menangis kaklang menahan sakitnya. Ummi juga menangis bersama-sama kaklang sambil mengelap bibir kaklang yang terkena muntah dengan kain sapu tangan. Aku hanya mampu mengetap bibir menahan marah kepada Tok Ara. Sanggup dia menyeksa kaklang yang ikhlas mandikan dia tatkala dia tidak mampu mencebok diri sendiri. Betapa kerasnya hati walaupun dia tahu kaklang sedang merana akibat dari perbuatannya sendiri.
“Bukan kaklang sorang ja yang kena ni. Habis sepupu-sepupu dia kena sekali. Tak boleh jadi ni, bang. Kita kena bincang dengan keluarga depa ni.”, jelas Ustaz Ishak.
“Takpa, yang ni kita ‘hold’ dulu. Biaq settle kaklang dulu. Kita buat satu-satu.”, jawap baba. Sebenarnya tujuan baba buat macam tu bukan sebab pentingkan diri dan tak sayang anak buahnya yang lain. Tetapi Tok Ara ni orang luar yang ada kaitan ikatan kekeluargaan dengan keluarga baba. Takut bila baba suarakan perkara ni kepada Achu, suaminya akan terasa hati kerana ia seolah-olah menuduh ibunya tanpa bukti. Baba cuba elakkan konflik yang bakal timbul diantara kami dan mereka.
Setelah beberapa minggu kami berulang-alik ke Taman Syurga Yang Tak Dirindukan berjumpa dengan Ustaz Ishak untuk merawat kaklang, kaklang semakin beransur pulih dan dia mampu untuk mengawal dirinya. Gangguan-gangguan dari jin Tok Ara juga semakin berkurangan walaupun kadang-kadang jelmaan Tok Ara sering datang mengganggu didalam mimpi kaklang. Ustaz Ishak menasihati kaklang untuk beramal dengan ayat-ayat pendinding dan Ma’thurat yang disusun oleh Imam Hassan al-Banna untuk menguatkan kekuatan dalaman kaklang agar makhluk-makhluk halus ini menjauhkan diri darinya.
Kaklang juga telah mendapat pekerjaan baru di sebuah syarikat swasta yang terkemuka di ibu kota, setelah permohonan pertamanya ditolak oleh syarikat yang pertama dahulu. Mungkin ini rezeki yang tertunda yang dikurniakan kepada kaklang selepas diuji dengan ujian yang agak mencabar keluarga kami. Berbunga-bunga hati kaklang setelah mengetahui berita ini. Ummi dan baba juga tumpang gembira melihat telatah kaklang. Begitu juga aku.
Masa kian berlalu tetapi keluarga Achu masih belum tahu hal ini. Kami masih rahsiakan dari pengetahuan mereka. Sehinggalah berlaku sebuah kejadian yang tak disangka-sangka!
Bersambung.
Note:- Segala nama dan tempat didalam cerita ini aku ubah atas dasar menjaga maslahah. Dan aku minta maaf kepada semua kerana aku terpaksa membuat dalam bentuk episod-episod kerana kisah kaklang aku ni agak panjang, dan sukar untuk aku habiskan dalam satu posting. Dan untuk pengetahuan para pembaca juga, episod kali ini juga masih didalam bahagian awal penceritaan. Lama kaklang aku diuji. Masih jauh perjalanan untuk sampai di pengakhiran. Jadi, aku harap korang semua bersabar ya. Dan satu lagi, episod seterusnya mungkin tidak akan dipublish dalam masa terdekat kerana aku akan menduduki exam di universiti pertengahan bulan 5 ini, tetapi aku cuba juga siapkan episod yang akan datang itu sekiranya sempat. Doakan aku berjaya. Sekali lagi aku memohon maaf sekiranya ada kekurangan didalam penceritaan aku. Assalamu’alaikum.
-Hulk Koko.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Cepat sambung okay hulk koko ? tak sabar nak baca
Best jalan cerita ni! Taksabar tunggu episod baru ?
Exam tu jawab baik2…..dh abis exam jangan lupa sambung citer balik dehh..
Gud story kalo boleh perbanyakkan perenggan hehe
Ok best.. nnt sy cari sambungan..
sambungannya mana? tajuk apa?
Lah.. Mana sambunganya?? Cari tak Ada pun. Ke tajuk lain?
xda lg?