Kalsom

Salam dan selamat sejahtera pentadbir dan warga FS. Ini ialah kisah aku dengan penghuni bilik tidak berdaftar yang bernama Kalsom.
*****
Sindrom pelajar universiti di minggu peperiksaan. Tidur lebih lewat dari biasa. Suasana agak meriah di setiap blok asrama. Jam sudah menunjukkan pukul 1.45 pagi. Aku dan Flora, teman sebilik masih gigih mengulangkaji. Dua orang lagi rakan sebilik belajar secara berkumpulan di bilik rakan sekelas mereka. Kemudiannya aku terasa hendak pergi ke tandas. Selesai urusan aku di tandas, aku pun bergegas ke bilik. Suasana menjadi sangat sunyi. Sedangkan tadi kedengaran amat meriah. Persekitaran turut menjadi kelam. Angin lembut menyapa mukaku. Bulu romaku merinding serta-merta. Aku tergamam sekejap. Di hadapan aku, di depan bilik selang sebilik dari bilik aku.. dia muncul.

Ya, penghuni tidak berdaftar yang aku ceritakan dalam kisah Hitung Kepala dan Pilot Episode. Kali ini dia menampakkan diri di hadapan aku. Kami saling berhadapan, bertatapan. Masa seolah terhenti ditambah pula telinga aku terasa berdesing tiba-tiba. Penampakan itu tidaklah jelas sangat. Seolah bayangan namun masih nampak riak mukanya. Wajah yang indah. Rambutnya keriting halus, tebal dan paras pinggang. Bahagian pinggang ke bawah memang seolah bayangan saja. Berbaju kurung. Aku masih kaku. Tidak bergerak atau tepatnya tidak mampu berrgerak. Dia menunjukkan ke arah dinding sebelah pintu bilik. Aku melirik ke arah yang ditunjukkan.

KALSOM – tertulis di situ. Bentuk tulisannya klasik. Senada dengan rupa parasnya. Wajah wanita melayu klasik yang mempersona.

“Kalsom?” Ujarku, separuh berbisik.

Dia mengangguk lalu bergerak menghala ke bilik. Menembusi pintu bilik dan menghilang. Serta merta suasana seperti biasa. Meriah dan hingar, suasana biasa di minggu peperiksaan walaupun sudah jauh malam. Kelam menjadi terang benderang. Jantungku berdetak kencang terus. Peluh dingin merecik di dahi. Aku berlari meluru ke bilik.

“Engkau kenapa? Nampak hantu?” Tanya Flora. Aku menggangguk laju. “Ganggu engkau ke?” Bersahaja dia tanya. Budak berani Flora ni kut. Aku menggeleng kepala. Aku rasa tiada keperluan untuk berkongsi pengalaman tadi dengan Flora.
“Tak ada apalah. Jom, sambung belajar. Tak pun, engkau tidur saja. Esok ujian.” Hai, beruntung aku ada teman sebilik berani macam dia. Aku beransur tenang.

Selepas itu agak lama aku tidak bersua muka dengan Kalsom. Aku agak-agak sajalah nama dia Kalsom. Lagi pun, setiap kali hendak ke tandas di waktu malam, aku ajak Flora sekali. Dia pun tidak keberatan. Sehinggalah satu malam di hujung semester. Lampu bilik sudah ditutup. Aku dan rakan-rakan sebilik dah lena lama. Dan aku terjaga. Aku mamai. Tadi aku terasa seolah ada hembusan di muka. Pedulilah. Saat aku ingin menyambung tidur, bulu roma aku merinding. Terasa hembusan yang sama di muka. Aku bangkit serta-merta. Kalsom di depan katil aku, memandangku. Perasaan aku waktu itu, nak dikatakan takut tidak juga. Tapi sejuk dingin juga rasa kakiku.

Kalsom menunjuk ke bawah pintu bilik. Teragak-agak aku memandang ke situ. Dapat aku rasakan mataku terbeliak sikit. Kelihatan kepulan asap masuk melalui lubang pintu. Asap berwarna hitam, berpusar perlahan masuk ke bilik. Bau agak hangit. Macam bau getah terbakar. Aku mengalih pandang ke muka Kalsom. Dia juga memandang aku sejenak sebelum menghilang. Pusaran kepulan asap semakin tebal. Tapi yang aku perasan, ia berpusar statik di situ cuma makin meninggi dan membesar. Aku bangkit segera. Membuka lampu bilik sambil berteriak menyebut nama rakan sebilik yang lain. Mereka segera perasan dengan asap tersebut.

“Api ke?! Kebakaran?!” Tiada seorang pun yang menjawab pertanyaan Alice. Aku cuba membuka tombol pintu. Keras. Tidak dapat diputar. Asap hitam masih berpusar dan berputar. Kenapa pintu tak dapat buka pula? Kedengaran riuh juga dari bilik sebelah. Mungkin terjaga mendengar jeritan panik kami. Pada ketika itu, asap yang semakin besar dan berpusar tadi semakin mengecil dan keluar dari bilik melalui lubang pintu. Bau hangit juga serta-merta hilang. Kami terpinga-pinga. Aku rasa muka akulah yang paling pucat. Serentak itu juga kedengaran bunyi tapak kaki berlari di tangga kecemasan yang bertentangan dengan bilik kami.

Kedengaran ketukan di pintu bilik dan suara memanggil nama kami sebilik. Aku kenal suara itu. Suara kak Huda. Flora segera membuka pintu. Mudah saja pintu terbuka. Riuh koridor aras 2 malam itu. Kelihatan beberapa pelajar senior lain bersama kak Huda. Pelajar lainnya terjenguk-jenguk dari pintu bilik masing-masing. Semua perasan kehadiran bekas-bekas tapak kaki di depan pintu bilik kami. Tapak kaki itu kelihatan menapak dari tangga kecemasan dan juga menapak semula ke situ. Saiz tapak kaki itu saiz dewasa. Apa yang paling menonjol ialah, tapak kaki itu berwarna hitam pekat dan seolah-olah berlendir.

Berita tentang asap hitam hangit dan bekas tapak kaki itu tersebar ke seluruh blok asrama siswi sebelum tengah hari. Meluas sehingga ke blok siswa kabarnya. Sejak itu, para siswi di asrama sentiasa berjaga-jaga. Belum ada yang ingin mengesahkan berita tersebut walau ada saksi. Persekitaran blok asrama siswi reda hanya untuk 2 malam. Selepas itu kedengaran lagi isu tapak kaki. Kali ini ia ditemui di dalam salah satu bilik di blok 3. Kisah asap hitam tidak pula kedengaran. Tidak lama kemudian disusuli dengan beberapa gangguan daripada si pemilik tapak kaki itu, disertai sekali dengan kabar angin mengenai orang minyak.

Sepanjang blok asrama siswi heboh dengan kisah orang minyak, Kalsom kerap menampakkan diri kepadaku. Tanda-tanda kemunculannya tetap sama. Suasana sunyi serta-merta dan kelam, telinga berdesing, bulu roma merinding dan akhir sekali terasa angin lembut menyapa di muka. Semuanya berlaku di dalam bilik ketika rakan-rakan sebilik yang lain dah tidur. Dia pandang aku, aku pandang dia. Beberapa detik sebelum dia menghilang. Begitu sajalah relationship goal aku dan Kalsom. Namun setiap kali selepas kemunculan dia, akan tersebarlah berita kemunculan orang minyak.

Gangguan orang minyak pula berlanjutan sehingga dua minggu. Para siswa, terutamanya ahli persatuan silat Helang Putih dengan kerjasama pengawal-pengawal universiti mengatur jadual mengawas blok siswi di waktu malam. Usah salah sangka pula. Mereka berkawal di penjuru setiap blok yang menghadap hutan semak samun kerana dipercayai orang minyak muncul dari situ. Selain itu, ada juga para siswa yang lainnya turut serta. Jadi, tiada siswa beekeliaean sesuka hati di blok-blok asrama siswi.

Malam itu, aku didatangi Kalsom sekali lagi. Waktu aku terjaga itu, aku terdengar suara sekumpulan lelaki yang kedengarannya agak cemas. Aku tahu dari mana arah suara-suara itu. Ianya tempat ahli Helang Putih berjaga. Keras bunyi suaranya, meraung pun ada. Aku menjenguk ke tingkap. Memang tak nampak apa pun sebab mereka berjaga di kawasan semak. Rakan-rakan sebilik yang lain sudah terjaga. Mungkin juga dikejutkan dengan suara yang meraung tadi. Mereka berkerumun di tingkap bilik bersamaku. Masing-masing ingin tahu bercampur cemas. Tidak lama kemudian kedengaran azan dilaungkan dari semak itu.

Berulang kali, tidak putus-putus. Suasana reda. Kelihatan sekumpulan lelaki keluar dari semak sambil mengusung sebatang tubuh. Juga lelaki. Diketahui kemudiannya, salah seorang siswa yang berjaga diganggu oleh orang minyak. Siswa itu pengsan. Semenjak malam itu, tiada kelibat orang minyak. Gangguan juga langsung hilang. Khabarnya seluruh kawasan itu dipagar sekali lagi oleh pengamal perubatan islam. Kisah orang minyak juga semakin dilupakan. Kalsom juga tiada khabar berita. Malam itulah kali terakhir dia menampakkan diri.

Di hujung semester itu juga aku memeluk agama Islam. Untuk beberapa minggu, sebelum subuh aku merentas padang di antara blok 2 dan blok 4. Menuju ke bilik Sarimah (ya, Sarimah yang sama dalam kisah Hitung Kepala) untuk solat subuh. Aku merahsiakan keislaman aku sebab belum bersedia berhadapan dengan karenah manusia. Lagipun waktu itu aku masih berhadapan dengan konflik keluarga yang menekan dan mendesak kerana aku menukar kepercayaan.

Cuma sekali saja, aku pun tidak berapa pasti. Ketika aku menuruni tangga blok untuk solat subuh di blok 4, terasa hembusan di mukaku. Cuma ia terlalu lembut hampir tidak terasa. Kalsom ke? Fikirku sejenak. Tapi tidak pula bulu romaku merinding. Suasana pun tidaklah sepi sangat atau kelam. Telinga juga tidak berdesing. Jadi, aku biarkan saja perkara itu berlalu seolah tiada apa.

Izz nama penaku.
Terima kasih.

7 thoughts on “Kalsom”

  1. Kalsom tu mcm tolong. Tapi x baklah den nak kata anything. Den berlepas diri drpd kata2 tu…heeee

    Anyway… Ya Allah… Alhamdulillah ya mu masuk Islam, keputusan yg sngt tepat. Untung masuk Islam. Den doakan mu sentiasa dirahmati Allah dan sentisa dibimbing ke arah jalan yg benar dan tetap berada di jalan benar ni.aamiin

    Reply
  2. Kalsom hadir bile penulis berkemungkinan diancam bahaya…
    Sedih plak ble Kalsom dh terus menghilang…

    Alhamdulillah…
    Syukur Allah memberikan hidayah pada kamu…
    Semoga urusan ibadat dan rutin harian yg mendatang dipermudahkanNya…
    Aamiin…

    Reply
  3. Syukur kpd Allah yg memberikan hidayah kepada hamba2nya…saya doakan semoga family dpt menerima hakikat pengislaman saudari dan terbukak hati mereka juga utk menerima islam. Ameen

    Reply

Leave a Comment