Kenangan Adik di Pangsapuri

Cerita ini dikisahkan kepada saya oleh Ibu sepanjang kenangannya bersama Adik.  Sehingga kini Abah, Ibu, Abang dan Kakak masih ada hanya Adik telah pergi. Kejadian berlaku di salah sebuah dari berpuluh Pangsapuri di tepi Selat Melaka.

Tidak semua rumah di Pangsapuri ini berpenghuni terutama di tingkat atas. Ibu tinggal di tingkat 2 sementara di tingkat 3 hingga 5 masih kosong.
Setiap hari Ibu ditemani oleh Adik yang berusia 6 tahun kerana Abah, Kakak dan Abang pergi bekerja.

Ibu sering sakit dan Adik gemar berbaring bersama Ibu di atas katil. Kadang-kadang Adik mengurut dada atau perut Ibu dan kadang-kadang Ibu pula yang akan mengusap badan dan kepala Adik dengan manja.

Abang hanya balik hujung minggu iaitu pada petang Jumaat sehingga Ahad. Setiap kali Abang balik Adik akan nampak lelaki berjubah putih masuk dari balkoni ke bilik Abang apabila azan berkumandang. Jadi sebelum azan Adik akan menunggu di depan pintu bilik Abang untuk melihatnya tetapi dia hilang sejurus Abang masuk selepas berwudhuk. Seperti biasa Abang akan memandang Adik dengan muka pelik dan bertanya “Kenapa Dik?” Adik malas nak jawab kerana pasti Abang tak faham dan Adik berjalan perlahan lalu duduk di sebelah Ibu.

Ibu  mengusap badan Adik dengan penuh kasih sayang dan berkata “Biarlah Dik hanya kita berdua saja yang nampak”. Adik merenung tajam wajah Ibu dan Ibu bersuara lagi : “Sejak Ibu sakit hijab Ibu telah terbuka..boleh nampak apa yang Adik nampak” sambil memeluk Adik erat.

Pada suatu malam kedengaran bunyi orang menumbuk lesung batu di tingkat atas Pangsapuri. Adik terus berlari mendapatkan Ibu di dapur lantas Ibu berkata pada Adik ” Agaknya ada orang baru pindah di tingkat atas tu Dik”. Esok malam kedengaran bunyi orang ‘drill’ dinding pula. Pada kali ini Abah bising pada Ibu : ” Apalah kontraktor ni ‘drill’ dinding waktu malam.. buatlah di siang hari..nak tidur pun tak senang”

Esok pagi sebelum Ibu ke kedai Ibu naik ke tingkat 3 untuk berkenalan dengan jiran baru sambil diekori oleh Adik. Sebaik saja Ibu sampai pintu rumah telah terbuka. Ibu dan Adik menjengok ke dalam tetapi ia kelihatan tidak berpenghuni dan penuh sampah. Ibu naik ke tingkat 4 dan kemudian ke tingkat 5. Situasinya sama seperti di tingkat 3. Cepat-cepat Ibu dan Adik menuruni tangga dan pergi ke kedai.

Seperti malam sebelumnya bunyi bising kedengaran lagi malah berlanjutan sehingga beberapa lama.  Bunyi ‘drill’ dan lesung batu ditumbuk silih berganti sampai Ibu, Abah, Abang dan Kakak lali.  Pada waktu tengah malam bunyi perabut berat dialihkan atau diseret atas lantai pula kedengaran. Biasanya Adik akan mendongak ke siling setiap kali bunyi bising atau berlari ketakutan ke arah Ibu. Ibulah yang sentiasa menenangkan Adik dengan membawanya tidur bersama.

Tiba-tiba bunyi bising berhenti beberapa malam dan Adik pula kerap mengintai di celah bawah pintu depan rumah. Ibu membiarkan kelakuan Adik kerana asyik menonton tv. Apabila tv dipadamkan Ibu dan Adik terus melompat terperanjat. Di skrin gelap tv kelihatan sekujur tubuh berbalut kain persis pocong. Ibu dan Adik terus lari ke bilik menunggu hari siang.

Pada harijadi Kakak, tunangnya telah menghadiahkan sebuah patung beruang besar berwarna merah. Kakak amat gembira lalu menunjukkan kepada Adik. Entah mengapa tiba-tiba Adik berang terus mencakar sehingga koyak sedikit muka beruang. Kakak hanya gelak sambil membawa patung beruang ke dalam biliknya dan berkata : “Adik jeleslah tu”.

Ibu masuk ke bilik Kakak dan memandang tepat ke mata patung beruangnya.  Dengan tegas Ibu berkata : “Kakak, Ibu rasa ada benda dalam patung beruang ni. Cuba tengok matanya tajam. Sebab tu Adik cakar mukanya. Buang jer!” Kakak monyok seharian sehinggalah tunangnya berjanji akan menukarkan patung beruang itu dengan kasut kesukaannya.

Kebiasaan setiap pagi Adik melompat turun ke tanah dari balkoni ke pokok bersebelahan. Tapi pagi itu Adik pergi tak kembali. Puas dicari namun hampa. Ibu sedih sementelah iklan raya MAS juga mengisahkan seekor kucing bernama Adik sehinggalah saya hadir membawa kucing baru dan cerita Ibu pasal Adik

18 thoughts on “Kenangan Adik di Pangsapuri”

  1. Hahahah.. aku ingat adik tu manusia.. bila korg ckp dia seekor kucing, baru la aku perasan.. tp mak dia mmg berani dok sorg² kt umah.. klu aku xtau la nk ckp ape…

    Reply
  2. Aku masih terharu dengan kesilap fahaman aku mengenai status wujud si “Adik” dalam kisah ni.. selepas beberapa bulan baru aku ada kekuatan untuk marah penulis..

    Kenapa kau buat setori yang membuatkan aku sebagai pembaca percaya bahawa “Adik” itu pada mulanya bukanlah sekor kucing.. Aku malu kalau d masa akan datang ada dari keturunan aku yang nampak komen Al-Fatihah aku kat atas tu..

    Reply

Leave a Comment