Klise

Aku pernah terbaca, “A good writer will steer clear of cliches”. Benar. Setiap penulis pasti pernah mengalami masalah untuk menghasilkan karya baru. Cuba lari daripada klise, norma cerita yang membuatkan pembaca dapat meneka, atau seperti tahu akan sesuatu cerita itu. Lebih-lebih lagi, kisah seram atau paranormal. Seringkali pernah terbaca cerita yang berulang, atau klise? Tema hantu pocong di kampung sekian, sekian? Gangguan ‘penumpang’ asing di dalam kereta?

Inilah kisah aku. Sebuah kisah klise. Aku Baizura. 23 tahun. Masih menempuh liku-liku kehidupan, sebagai seorang pelajar. Kehidupan yang normal, seperti anak gadis yang lain. Punyai abang dan kakak, anak bungsu dalam keluarga. Abang ngah aku, hanya beza setahun denganku. Along pula sudah berumahtangga. Seorang anak lelaki berusia empat tahun. Suami yang penyayang.

Alkisah, along diduga dengan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Hari Rabu, along pulang dari kerja seperti biasa. Memandu seorang pulang. Sampai sahaja di rumah, dia berehat sebentar, kemudian mula memasak. Rutin biasa seorang suri rumah separuh masa. Menyiapkan makan malam sementara menunggu suami pulang bersama anak yang seharian ditinggalkan di rumah pengasuh.

Berlainan pula pada hari ini. Usai Maghrib, masih belum kelihatan kereta suaminya tiba di perkarangan rumah. Along mula risau. Berdoa agar tiada apa-apa berlaku kepada suami dan anaknya. Panggilan telefon yang tidak diangkat, berulang-ulang kali.

Sehinggalah selepas Isyak, barulah dia menerima panggilan telefon daripada suami. Malangnya, bukan suara suaminya. Sebaliknya, orang asing. Saksi kejadian kemalangan. Along diminta segera ke hospital kerana suami masih bertarung nyawa di sana. Anaknya? Tidak dijawab oleh saksi tersebut. Perkara yang sangat-sangat ditakuti, berlaku. Suaminya juga tunduk kepada takdir Ilahi. Pergi buat selama-lamanya. Menemani pemergian anak kesayangan mereka.

Aku diminta menemani along, bimbang jika along berbuat sesuatu di luar jangkaan dek kerana tidak dapat menerima kenyataan. Tambahan pula, selepas seminggu ibu menemaninya, tiada sebarang panggilan telefon yang diangkat. Aku akur dengan permintaan ibu. Naluri ibu perlu diambil berat.

Aku sampai di perkarangan rumah along lewat petang, hampir Maghrib. Syukur, along menyambutku seadanya di pintu rumah. Aku sudah menghantar pesanan ringkas sehari sebelumnya. Mungkin sudah dibaca, getus hatiku. Along menyambut dengan ramah. Sememangnya, itulah sifatnya. Cuma, aku tidak dapat membaca fikiran along. Sama ada dibuat-buat ramah, atau sememangnya dia sudah dapat menerima khabar sedih itu.

“Eh, Jura. Kenapa tak maklum awal-awal nak datang? Mari masuk. Mujur along dah masak lebih untuk makan malam. Jom, letak barang dulu di ruang tamu. Kita makan.”

Aku mengangkat kening sebelah. Maknanya, dia tidak membaca mesej aku. Aku biarkan sahaja. Menurut sahaja kata-kata along. Barang diletak, aku terus menuju ke meja makan. Di sini, aku sudah berasa aneh. Along sedang menyenduk nasi untuk aku, sebagai tetamu. Di meja makan itu, tersedia lagi tiga pinggan berisi nasi yang masih belum disentuh. Aku cuba bertanya kepada along, ada tetamu lainkah di situ? Tiada pula kenderaan lain di luar. Soalan aku terbantut, along sudah berbuat sesuatu yang sekaligus menaikkan bulu roma aku.

“Abang, jom makan! Danish, mak masak ayam goreng. Your favourite.”

Sah. Along masih belum dapat menerima kenyataan. Aku cuba mengambil hatinya, sekadar diamkan sahaja. Aku duduk, lalu mengambil lauk-lauk untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong. Along mengambil ayam goreng, lalu diletakkan di atas pinggan ‘Danish’. Juga mengambilkan lauk untuk diletakkan ke pinggan ‘suaminya’.

“Makan ya, anak mak.”

Kenapa bulu romaku meremang? Mana tidaknya. Aku sangka along sedang ‘roleplay’ dalam kemurungan itu. Namun, aku sedari sesuatu keanehan. Apabila makan, aku akan memandang sepenuhnya pinggan ketika menyuap. Aku angkat muka melihat kepada pinggan ‘suaminya’, di sebelah kiri aku pada meja bulat itu. Ayam goreng sedikit tercubit, sebahagian nasi berkuah sudah hilang dari pinggan itu. Aku curi pandang pinggan ‘Danish’ di hadapan, ayam sudah tiada! Aku cuba lihat pula pada pinggan along, kalau-kalau ada dua ketul ayam, termasuk ayam yang telah dia berikan kepada Danish. M**i selera. Tiada.

“Eh, Jura. Makanlah. Kenapa diam saja?”

“Ya, ya along. Nak makanlah ni.”

Itulah makan malam paling panjang pernah aku rasakan. Seksanya untuk aku paksa makan supaya tidak mewujudkan kecurigaan along. Ditambah pula lauk habis licin dimakan. Aku rasa macam mahu balik sahaja selepas itu. Ini bukan kemurungan. Aku pula yang murung nanti.

Malam itu, aku tidak terus masuk ke bilik. Menjadi tugas aku untuk terus menemani along, juga menjadi ‘petugas’ untuk melaporkan keadaan along kepada ibu di kemudian hari. Dalam mesej aku kepada along itu, aku sudah nyatakan aku akan tinggal di rumahnya sekurang-kurangnya tiga hari. Melihatkan keadaan sekarang, aku bimbang. Hatiku berbolak balik. Mungkin esok aku akan angkat kaki pulang ke rumah.

Kami berdua menonton cerita CSI di televisyen pada malam itu. Sekali sekala, aku lihat along seperti bercakap seorang diri. Kali ini, aku memberanikan diri untuk bertanya.

“Along. Along cakap dengan siapa?”

Bagaikan terkejut, along berpusing kepadaku. Muka sayunya, seperti dipaksa tersenyum.
“Eh, tak ada apa-apalah.”
Jam menunjukkan pukul 11 malam. Cerita juga telah tamat, lalu along beransur ke biliknya. Dia terlupa membawa telefon bersama. Tertinggal di sofa. Aku biarkan sahaja. Inilah peluang untuk menyiasat, lagak seperti CSI sahaja. Melayan mood cerita yang baru sahaja ditonton.

Aku mengambil telefon bimbit itu, lalu membuka aplikasi Whatsapp. Mataku terpandang kepada senarai ketiga dari atas, bertulis ‘Prince Charming’ pada nama itu. Berjela-jela mesej rindu dan syahdu daripada along kepada suaminya itu. Tidak berbalas, sejak tarikh kejadian. Aku tidak cuba mencari yang lain. Hanya membaca mesej satu persatu di ruangan mesej suaminya itu. Jika ada mesej masuk, pasti ada tanda nombor pada hujung bawah ruangan Whatsapp itu. Ya. Tiba-tiba, ada notifikasi ringkas bernombor di hujung kanan ketika aku sedang membaca mesej-mesej di atas.

“Sudah tahu, ya?”

Sebaik sahaja aku membaca mesej itu…

“Syuuuushhhh….”

Suatu bisikan supaya aku hanya berdiam diri, aku dengar pada telinga kiriku. Angin bunyi itu juga terasa di telinga. Musibat. Aku tidak berani memandang ke belakang. Bangun, lalu menuju ke bilik tetamu dan meninggalkan telefon bimbit along di tempat asal. Bilik tetamu yang aku akan gunakan untuk tidur. Tidurkah aku malam itu?

Sudah tentu tidak. Malam itu, aku dengar rintihan, tangisan mendayu-dayu. Aku pasti, itu tangisan along. Dia belum tidur agaknya. Kemurungan? Aku tidak pasti. Aku sepatutnya pergi memujuknya, bertindak sebagai pendengar setia sekurang-kurangnya. Hati aku berat, lalu aku diamkan sahaja. Pastikah aku itu along? Kejadian pada malam itu, menjadikan aku ragu-ragu. Entah bila aku terlelap malam itu.

Bangunku dikejut dengan senyuman along. Menyuruh aku segera bersolat. Sembap matanya. Aku pula rasa menyesal. Pastilah, semalam itu tangisan along. Mana mungkin ‘benda’ lain. Jika benar ada yang ‘mengganggu’, bukankah perlu bersuara kanak-kanak menyerupai Danish, atau setidak-tidaknya menyerupai kewujudan suami along?

Selepas Subuh, aku bersiap-siap untuk pulang. Walaupun hatiku berbelah bahagi, aku rasa sudah cukup kesimpulan yang dapat dibuat. Laporan pantas perlu diberi kepada ibu. Mungkin nasihat ibu lebih baik untuk along. Sama ada mendapatkan khidmat nasihat yang arif tentang psikologi, atau pergi berubat dengan yang lebih arif tentang perkara ‘terselindung’. Bagiku, tugas sudah selesai walaupun singkat daripada jangkaan.

“Eh, Jura dah nak balik? Kata nak tinggal tiga hari?” Pulak. Baca rupanya mesej aku. Semalam bukan main lagi terkejut aku sampai. Aku mula menyusun ayat di dalam kepala.

“Semalam dapat mesej daripada kawanlah, along. Dia mintak tolong sikit dengan assignment dia.”Aku menyumpah dalam hati. Satu, aku terpaksa menipu. Dua, aku terima tugasan menemani along. Angah pun boleh teman. Tinggal di rumah, ulang alik sahaja ke kelas dari universiti. Aku yang jauh pula yang diseru.

Melihatkan kesayuan along, aku menukar fikiran. Mungkin aku perlu meluangkan sikit lagi masa dengannya. Sekurang-kurangnya bertanyakan tentang dirinya. Pagi-pagi, mungkin lebih sesuai tajuk yang ingin aku soalkan. Aku mengajak along untuk ke kompleks beli belah, window shopping. Atau ke kedai kopi. Dia bersetuju. Hujung minggu pula. Sarapan pagi di rumah sahaja. Seperti semalam, ‘berempat’. Rimas, aku rimas.

Memang benar, dia perlu mengisi waktu iddahnya seperti orang lain yang kehilangan suami secara berpisah m**i. Aku tidak peduli. Dia perlu keluar daripada rumah ini. Bagaimana aku hendak bertanyakan tentang ‘kewujudan’ suami dan anaknya, jika benar mereka masih ‘ada’ di situ. Aku memainkan peranan untuk meneruskan watak ‘role play’ ini, berlakon seperti mereka masih sebuah keluarga yang sempurna. Sekurang-kurangnya, hanya hari ini.

Sebelum keluar dari pintu rumah, along melaung ke dalam. Memaklumkan ‘suaminya’ yang kami sudah mahu keluar. Pintu ditutup, tidak dikunci. Aku menegurnya.

“Along, kuncilah pintu rumah. Kalau Abang Sham tak dengar, kan tak terkunci pintu nanti.” Aku mula memainkan peranan, berlagak seperti masih wujud suaminya. Along, acuh tak acuh, mengunci pintu.

Kami mengisi masa lapang itu bersama. Window shopping, jadi bershopping pula. Dia berjaya menghasut aku supaya membeli high heels baru. Kemudian, kami menonton wayang. Cerita hantu, di siang hari. Hint aku untuk along. Kami terus ke kedai kopi selepas solat zohor di situ. Cerita hati ke hati bermula.

“Along, along jangan marah, ya. Jura ada benda nak cakap.”

“Apa dia?”

“Setiap yang hidup, pasti akan m4ti, along. Kita ni, bila-bila saja, akan pergi. Kena yakin dengan Allah. Qada’ dan Qadar. Allah lebih sayangkan mereka.”

“Apa maksud Jura ni? Siapa yang m4ti?” Denial. I need to drop the bomb.

“Abang Sham, Danish. Mereka dah pergi, along. Dua minggu lepas. Along banyak bersabar, ya. Mereka di tempat yang lebih baik sekarang. Lepaskan mereka, ya Along?”

“Apa kau merepek ni, Jura. Tadi kita sarapan bersama-sama. Malam tadi, makan malam sama-sama. M**i apa ni? Kau jangan melampau.” Tegang. Ini yang aku tidak suka. Aku tunduk, juraian air mata sendiri menitik di atas meja.

“Please, along…”

Along bangun. Mengajak pulang. Anti klimaks penamat jalan-jalan kami. Aku berdiam diri, biarkan sahaja along melayan perasaan dalam panduan keretanya itu. Aku sudah reda, dia pula yang menangis sambil memandu. Risau juga aku. Jangan kemalangan sudah.

Sampai sahaja di rumah, along mengambil beg aku yang sudah tersedia dari pagi tadi di ruang tamu. Diserahkan kepadaku.

“Sorry, Jura. I think you need to go.”

Aku mengangguk faham. Cukuplah along menderita. Biarlah ibu pula mengambil peranan selepas ini. Tiba di situ usai Maghrib semalam, pulang juga menjelang Maghrib. Aku mengambil beg, lalu diletakkan ke dalam bonet belakang. Memandu pergi. Along tidak menunggu di pintu melihat aku pergi. Sedih. Buntu pula aku. Apa yang boleh dibuat.

Jarak rumah along ke rumah ibu mengambil masa lebih kurang dua jam juga. Aku pada asalnya mahu terus pulang ke kampus. Perbualan dengan ibu hanya melalui telefon kemudian nanti. Namun, ibu terlebih dahulu menelefon aku supaya pulang ke rumah. Aku membuka radio. Suara merdu Adibah Noor ke udara.

Aku sangkakan semuanya sudah tamat. Sedang aku memandang cermin pantulan ke belakang, aku nampak Danish. Juga separuh badan lelaki. Aku pasti, Abang Sham. Wajah tidak kelihatan, kerana dia di belakang aku. Aku hanya memandang sekilas. Berpeluh dahi. Berzikir di dalam hati. Tindakan aku pada waktu itu, sememangnya tipikal. Takutkan kelibat di tempat duduk belakang, tetapi masih cuba memandang ke belakang.

Leherku keras, tidak dapat memandang ke belakang. Aku rasakan ada tangan yang menghalang leherku untuk berpusing. Kuku tajam dirasa di pipi. Mahu sahaja menjerit. Suara tidak keluar dari halkum. Pasrah, aku pasrah. Panduan menjadi pantas.

“Syuuuushhhh…”

Lagi isyarat menyuruh aku diam. Aku sudah tidak ingat lagi apa-apa tentang zikir. Bercelaru. Radio masih lagi Adibah Noor ke udara, tetapi lagu yang dinyanyikannya amat berbeza. Bagai senandung syahdu. Bait berulang-ulang. Bayangkan. Adibah Noor mendayu syahdu di radio. Kepala tidak dapat dipusing. Mulut kelu. Reaksi spontanku, kembali memandang cermin pantul belakang. Danish, memberi isyarat jari di mulutnya. Seperti menyuruh aku mendiamkan diri.
Panduan yang seharusnya dua jam, singkat jadinya di jam tangan. Sejam setengah yang begitu panjang sekali bagiku. Penghawa dingin tidak mampu menghilangkan peluh dinginku. Seram sejuk. Ibu aneh. Aku pucat lesi ketika masuk ke dalam rumah.

“Ha, kamu dah kenapa Jura? Nampak hantu ke?” Oh, ibu. Sungguh celupar di malam hari. Aku tidak menjawab. Terus ke bilik. Ibu membontoti aku.

“Jura. Ceritalah. Along macam mana?”

Syuuushhh. Jangan cerita kepada ibu aku, ya. Biar sahaja along dengan semua itu. Aku tidak mahu. Kalau ibu tahu, habislah aku. Biarlah ‘mereka’ dengan along.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 5]
08

70 thoughts on “Klise”

  1. “Masih menempuh liku-liku kehidupan, sebagai seorang pelajar. Kehidupan yang normal, seperti anak gadis yang lain.

    Ada 2 perkataan yg sama dalam ayat pertama dgn kedua dlm rangkap atas ni.
    If possible ea, guna satu saja kalau tak jadi redundant. Entah macam mana nak explain tapi tak best nak baca kalau ulang2 perkataan yg sama. Lagipun, baris pertama patutnya, “Masih menempuh liku-liku hidup sebagai seorang pelajar.”


    “Along pula sudah berumahtangga. Seorang anak lelaki berusia empat tahun. Suami yang penyayang.”

    Part atas ni pun salah gak.. tergantung ayatnya.


    Pandai awak menulis. Sedap membacanya.

    Terima kasih

    #kelasBMcikguSajat

    Reply
  2. Ok.. nice..kesian juga dekat along..x dapat terima takdir..sedih bila part kedua dua orang yang tersayang bagi along meninggal..

    Reply
  3. Mana leh biarkan along tu mcm tu? Lama2 giler dia nanti..along tu perlu dibantu bukan dibiarkan sorang mcm tu..semata2 takut dgn setan yg menyerupai suami dan ank along penulis lupa kita ni manusia cuma leh takut dgn Allah..please laa..dptkan bantuan mana2 ustad utk along..dont be selfish..

    Reply
    • Sabar. Cuba baca tajuk. Fahami maksud klise. Sesuatu yang biasa dilakukan mengikut apa yang selalu orang buat. Penulis cuba nak lari dari perkara biasa orang buat, sebab itulah dibuat ending macam tu. Sekian.

      Reply
  4. Oh gongpal rupanya.patutla not bad.
    “A writer will steer clear out of cliches”

    Aku setuju. Tapi bagi aku walaupun cerita itu seakan sama,pernah dibaca, atau klise, tetapi setiap penulis punyai identiti dan DNA tulisan sendiri. Jadinya takkan ada cerita yang sama di dalam dunia ni

    Btw cerita klise ni not bad. Ada sedikit twist di akhir dan elemen keseraman yang membuatkan pembaca boleh interpretasi sendiri seram versi mereka

    Rate: 7/10

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.