Assalamualaikum. Saya ingin berkongsi beberapa kisah yang saya dan housemates saya alami ketika baru sahaja menuntut di UiTM Puncak Alam. Terlebih dahulu, saya mohon maaf kiranya pembaca kurang gemar dengan cara penulisan saya. Saya cuba susun cerita ini seeloknya agar mudah difahami dengan jelas oleh pembaca Fiksyen Shasha. Semoga cerita saya mudah difahami. Aamiin yarabbal alamin.
Cerita ini berlaku awal tahun 2015. Masih baru lagi dan masih segar dalam ingatan. Kami ditempatkan di Kolej Bunga Kuning Pertama. Saya elak untuk menulis secara terus nama kolej ini. Bimbang, penghuni selepas ini tidak selesa. Rumah kami di tingkat tiga. Penghuni rumah ada lapan orang kesemuanya iaitu Aida, Maya, Isha, Athira, Mawar, Eva, Hawa, dan saya sendiri. Saya duduk sebilik dengan Hawa.
Selepas mendapat bilik masing-masing pada hari pertama pendaftaran, saya dan housemates melakukan kerja-kerja pembersihan rumah sehingga lewat petang. Housemates saya semuanya tidur awal malam itu gara-gara keletihan. Dalam pukul 11.30 malam saya ke bilik air untuk mencuci baju-baju kotor. Di tingkat satu sebenarnya ada mesin basuh tapi saya malas hendak turun ke tingkat satu jadi saya hanya mencuci pakaian di bilik air. Di situlah kejadian pertama bermula dan saya lah orang pertama yang diganggu antara kami berlapan. Orang kata, pembuka tirai. Ketika sedang mencuci pakaian, tiba-tiba saja ada suara perempuan mengilai.
Dalam hati, perempuan mana yang buang tabiat test vokal tengah malam begini? Suara itu sangat kuat seolah-olah berada di bahagian luar bilik air itu sahaja. Sangat kuat sehingga meremang bulu roma saya. Saya berusaha sedaya upaya menepis segala perasaan takut memandangkan pakaian masih banyak perlu dicuci. Mungkin ada individu yang sengaja ingin menakutkan saya. Tapi individu mana pula yang rajin memanjat bahagian luar rumah hingga ke tingkat tiga tengah malam begini semata-mata untuk menakutkan saya? Cepat-cepat saya selesaikan cucian dan terus ke ruang tamu. Di ruang tamu setiap rumah ada satu ampaian. Sedang sibuk menggantung baju-baju di ampaian, tiba-tiba pintu utama berbunyi seolah-olah ditutup.
Pintu utama terletak di sebelah ampaian sahaja dan sangat mudah untuk saya melihat pintu itu. Pintu itu berkunci! Tapi tadi memang pintu itu yang saya dengar ditutup disebabkan bunyi yang kuat dan dekat dengan saya. Perasaan takut saya pada waktu itu hanya Allah saja yang tahu tapi sekali lagi saya berusaha menepis perasaan takut, berlagak seolah-olah saya tidak mendengar apa-apa dan meneruskan kerja saya. Sekali lagi pintu itu berbunyi seolah-olah ditutup.
Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari ke bilik membawa baki baju yang belum digantung di ampaian. Seperti yang saya ceritakan tadi, housemates saya semuanya sudah masuk tidur. Hanya saya seorang yang masih berjaga. Hendak menjerit pun rasanya sia-sia. Housemates pasti tidur mati gara-gara keletihan. Saya menunggu agak lama di dalam bilik, kalau-kalau ada bunyi suara mengilai ataupun bunyi pintu ditutup lagi tapi sudah tiada. Saya kembali ke bilik air untuk mandi. Ikutkan hati kalau boleh memang tak mahu kembali ke bilik air tapi saya sedang ‘kotor’. Kalau tidak mandi, lagilah ‘dia’ suka kacau.
Nasib baik tiada lagi suara perempuan mengilai. Tapi perasaan lega saya ternyata cuma seketika. Suara perempuan mengilai itu muncul semula. Selesai mandi, saya terus berlari masuk semula ke dalam bilik, tapi suara perempuan mengilai itu masih belum hilang dan semakin kuat. Hendak bangunkan Hawa, kesian pula. Tak apalah, saya cuba tidur untuk hilangkan perasaan takut. Agak lama juga suara mengilai itu kedengaran. Hampir 10 minit dan sepanjang tempoh itu saya cuma mampu berbaring dan menekup kepala saya dengan bantal sambil membaca ayat kursi di dalam hati hingga tertidur. Esoknya baru saya ceritakan pada Hawa.
Yang peliknya, suara itu tidak akan muncul apabila saya suruh Hawa berjaga untuk dia dengar sendiri. Mungkin ‘dia’ takutkan Hawa sebab Hawa alim orangnya. Mungkin lah. Suara itu terus mengganggu saya setiap malam dan akhirnya hilang begitu sahaja. Beberapa malam selepas itu, kejadian lain pula yang mengganggu. Acap kali saya terdengar bunyi guli dan kerusi diseret dari tingkat atas pada waktu malam. Sejujurnya, saya memang tidak tahu bunyi guli pada waktu malam rupanya tanda-tanda rumah kita ada jin dan saya hanya mengetahuinya selepas saya mengadu pada Hawa, saya sukar untuk tidur malam disebabkan penghuni rumah tingkat atas selalu membuat bising, bermain guli, mengheret kerusi dan sebagainya.
Terus berubah muka Hawa. “Rumah atas kosong lah. Mana ada student duduk”, kata Hawa. Terhenti seketika jantung saya. Malam-malam seterusnya saya masih dengar bunyi yang sama iaitu bunyi guli, bunyi kerusi tapi selagi ‘dia’ tak ganggu saya ‘secara kasar’, saya masih boleh bertahan. Bunyi-bunyi itu berlarutan hampir setiap malam sehingga Hawa pun terdengar sama.
Salah seorang housemate saya; Mawar pula pernah terjaga lewat malam dan terkejut apabila mendapati seorang perempuan berambut panjang dan berpakaian serba hitam sedang tunduk merenung Eva tidur dan duduk di hujung kaki Eva. Cerita Eva pula, semasa dia duduk di meja study, dia ternampak cik lang dengan rambut panjang terbang di luar tingkap bilik. Bilik Eva dan Mawar cuma berada di sebelah bilik saya sahaja. Pernah sekali semasa Mawar tiada di bilik kerana ada study group dengan classmatesnya, Mawar whatsapp saya suruh tengokkan keadaan Eva dalam bilik. Dia risaukan Eva kerana Eva tinggal berseorangan dalam bilik malam itu.
Baru saja saya masuk untuk tengokkan Eva dalam bilik, saya lihat Eva sedang berselubung di dalam selimutnya dan menangis. Eva kelihatan sangat takut, mukanya pucat tapi dia tidak mahu ceritakan apa-apa. Berulang kali saya tanyakan kenapa, dan dia cuma katakan dia tidak apa-apa. Tidak lama selepas itu Mawar pun pulang. Mawar cadangkan supaya kami tidur beramai-ramai malam itu. Memandangkan bilik saya agak luas (banyak ruang kerana katil saya dan Hawa telah digabungkan), jadi kami semua bersetuju untuk tidur dalam bilik saya. Masing-masing membawa tilam dan bantal lalu tidur berjemaah dalam bilik saya.
Hari-hari berikutnya, giliran housemate saya si Aida pula yang diganggu. Ketika kami serumah sedang duduk melepak dalam bilik Mawar dan Eva, tiba-tiba Aida keluar dari bilik tersebut dan masuk ke dalam biliknya sendiri. Dia keluar secara tiba-tiba. Kami sangkakan Aida sakit. Rupa-rupanya, Aida kata dia ternampak perempuan berpakaian serba hitam tunduk berdiri di hujung bilik Mawar dan Eva sambil memerhatikan kami. Ya Allah. Selepas seorang, seorang lagi penghuni rumah itu diganggu.
Kami mula mencari ikhtiar untuk menghalau ‘dia’ dari rumah kami. Setiap malam selepas solat maghrib, kami adakan bacaan yassin di rumah dan cuba ‘memagarkan’ bilik masing-masing dengan air dan garam yang telah dibacakan surah-surah di dalam Al-Quran. Selepas peristiwa itu, agak lama juga kami tidak diganggu. Syukurlah tak pernah ada yang terkena histeria di dalam rumah itu walaupun kerap kali diganggu. Semuanya kuat semangat. Alhamdulillah. Sekarang kami masing-masing berada di tahun akhir dan sudah pun berpindah ke kolej lain. Tapi kisah-kisah yang kami alami itu terus segar dalam ingatan.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Mcm pernah baca jer ? double post nii
aahla..mcm pnh baca…
Double post ekk…?
Mangkuk post repeat post