Maksu Terkena

Assalamualaikum pembaca FS. Pertama sekali aku ingin ucapkan terima kasih kepada admin FS kerana sudi menyiarkan kisah ini. Nama aku Ida. Dari kecil sampai lah sekarang keluarga aku tinggal bersama dengan nenek aku dikampung. Ayah aku merupakan anak sulung, abang kepada tiga adik lelaki dan dua adik perempuan dan kesemuanya telah mendirikan rumah tangga. Ok cukup untuk pengenalan.

Kisah ni berlaku pada musim cuti sekolah sekitar tahun 2010. Disebabkan cuti sekolah jadi makcik-makcik aku dan pakcik aku berpakat untuk balik dan berkumpul di kampung rumah nenek aku. Manakala aku dan kakak aku pulak masa tu tengah cuti semester memang akan balik kampung. Bila dah berkumpul ramai-ramai memang riuh rendahlah rumah nenek aku. Keadaan terkawal sehinggalah pada waktu maghrib lepas kami makan malam. Aku tengah sibuk kemas pinggan mangkuk memandangkan aku antara kelompok terakhir menjamu selera tadi. Tengah aku sibuk kemas tetiba aku dengar makcik aku (Maksu) menjerit-jerit marah seolah olah marahkan sesuatu.

Aku ingat dia marah anak dia, jadi aku tak ambik port terus sambung kemas. Dia berdiri sambil cekak pinggang di pintu utama rumah yang terbuka luas tak jauh dari tempat aku mengemas. Biasanya kalau dah nak dekat waktu maghrib ni kami dah siap tutup pintu, tingkap dan berkumpul dalam rumah sahaja tapi disebabkan terlalu ramai ketika itu ada yang masih lepak diluar rumah sambil berborak maklumlah jarang dapat berkumpul. Budak-budak tak payah cakap la masih bermain bebas tak ingat dunia. Maksu dah mula meracau masih lagi marah-marah sambil berkata, “Pergi kau dari sini. Dah la hodoh, pergi!”.

Aku terperanjat termasuk semua yang ada disitu. Cepat-cepat aku bangun untuk tengok apa sebenarnya yang berlaku. Paksu aku pula dah pegang isterinya yang seolah-olah tidak terkawal lagi. Paksu cuba tenangkan Maksu dengan beberapa surah pendek yang dibisikkan ke telinga Maksu. Mak Su masih lagi meracau dan tangannya menunjuk-nunjuk ke arah halaman rumah tempat ayah aku dan seorang lagi pakcik aku tengah berdiri. Ayah yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena terus mengarahkan semua adik-adik dan sepupu-sepupu aku untuk naik ke rumah dan tutup pintu.

Pelbagai usaha ayah dan pakcik aku cuba untuk menenangkan Maksu tidak berjaya, ayah mengambil keputusan untuk menghubungi seorang ustaz berdekatan datang ke rumah. Nenek aku pula dah mula menangis bimbang keselamatan anak cucunya. Beberapa minit kemudian satu ketukan kedengaran di pintu utama rumah. Masing-masing teragak-agak untuk bangun tapi ayah bangun dan membuka pintu. Anak kepada jiran kami datang memberitahu supaya kami duduk didalam rumah memandangkan rumahnya akan diadakan upacara membuang sihir, bimbang terkena ahli keluarga kami yang jarak rumah hanya beberapa meter sahaja.

Malangnya Maksu aku dah pun terkena. Terpaksa ayah ceritakan kejadian yang berlaku sebentar tadi kepada anak jiran kami. Dia meminta kami untuk bersabar sementara abangnya (Mat) berubat dan akan meminta ustaz yang sama untuk tengok-tengokan Maksu aku selepas itu. Sementara menunggu, Maksu aku tidak lagi meracau mungkin keletihan tapi mulutnya tak henti-henti sebut panas dan mukanya kemerahan seperti udang dibakar. Aku dan yang lain-lain pula hanya diam dan mulut tak henti-henti membaca surah-surah yang kami tahu. Keadaan yang seakan sudah terkawal kembali riuh apabila adik aku pula meracau tapi tidaklah seteruk Maksu. Badannya menggigil dan matanya melilau seolah mencari sesuatu.

Ayah cuba menenangkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan beberapa minit kemudian adik kembali pulih. Rupa-rupanya semasa Maksu aku marah-marah dan menghalau sesuatu tadi adikku juga nampak sesuatu yang tidak sepatutnya. Apa yang dilihat adalah wanita berbaju putih berambut panjang sampai ke kaki berdiri di belakang ayah aku di halaman rumah waktu maghrib tadi. Mukanya tidak kelihatan sebab ditutup oleh rambutnya yang panjang. Hampir jam 9 malam proses berubat dirumah jiran aku masih belum selesai. Ustaz yang sama tiba di rumah kami dan tengok-tengokkan Maksu dan adik aku. Katanya sihir yang dihantar kepada Mat sukar untuk dibuang, barangkali benda tersebut tahu Mat hendak berubat lari keluar dan itulah yang dilihat oleh Maksu dan adik aku.

Menurut ustaz, sihir dihantar untuk pisahkan Mat dan bakal isterinya. Wallahualam. Ustaz bacakan beberapa ayat suci lalu diberi minum kepada Maksu dan adik aku untuk pulihkan semangat. Setelah selesai, ustaz kembali ke rumah Mat untuk sambung berubat. Tapi tak semudah yang disangka, maksu belum lagi pulih. Diringkaskan, upacara membuang sihir berlangsung di rumah jiran. Seperti pesta ada bunyi gendang dan beberapa alat muzik klasik kedengaran. Disebabkan perasaan takut, kami yang perempuan dan budak-budak tinggal dirumah manakala yang lelaki dah ke rumah jiran untuk tengok apa yang berlaku.

Orang kampung dah mula berkumpul. Mungkin bunyi alat muzik menarik perhatian. Halaman rumah jiran aku dah penuh dengan orang yang datang untuk menyaksikan upacara berubat. Jangan tanya aku kenapa upacara tersebut pelik sebab aku pun pertama kali menyaksikan upacara sedemikian. Dirumah aku pulak, Maksu aku yang tadi dibaringkan di sofa bangun dan mula menari-nari mengikut lenggok muzik yang kedengaran. Tarian klasik mungkin sekali tengok ala-ala tarian ulik mayang. Kami yang tengok ni dah sah la tercengang. Makin lama makin seram pulak aku tengok. Ahh memang tak boleh jadi, aku dan dua orang adik aku beranikan diri keluar rumah pergi rumah jiran dan panggil ayah serta pakcik aku balik. Apalagi masing-masing terperanjat tengok keadaan Maksu. Tariannya lebih kurang pulak tu dengan si Mat.

Ayah aku dan yang lain-lain bergegas bawa Maksu ke rumah jiran untuk berubat. Sampai disana, kelihatan Mat berdiri dihalaman rumah, diatas kain kuning yang agak besar saiznya, di depannya seorang lelaki berpakaian lengkap baju silat dan dua lagi lelaki berpakaian sama tidak jauh dari situ. Beberapa minit berlangsung lawan silat antara Mat dan lelaki tadi sampai Mat kelihatan begitu keletihan dan terpaksa diangkat masuk kerumahnya. Apa yang aku dengar, Mat akan sambung berlawan lagi selepas itu. Sekarang Maksu pula di bawa ke gelanggang tempat berlawan. Lawannya seorang lelaki bersaiz besar kukira jauh lagi kuat tenaganya berbanding Maksu, dipanggil Guru.
Perlawanan bermula antara Maksu dan Guru. Paksu aku pulak setia menemani diluar gelanggang, gaya bersedia sekiranya berlaku apa-apa.

Aku pulak hanya mampu tengok jela huhu. Gaya Maksu berlawan seperti dia mahir bersilat padahal tak pernah sekalipun dia belajar silat dimana-mana. Pelik kan. Ok tak pe, Guru pulak aku tengok sengaja membiarkan dirinya diserang dan berlawan sehingga Maksu keletihan. Bunyi muzik kedengaran sepanjang perlawanan berlangsung. Bila je muzik berhenti Maksu berhenti, bila muzik kedengaran dia sambung lawan. Hampir 10 minit perlawanan berlangsung, Maksu masih menyerang dan akhirnya berjaya jatuhkan lawan. Bayangkanlah Maksu yang kecik tu boleh kalahkan lelaki bersaiz dua kali ganda darinya, guru silat pula tu. Memang Maksuku bukan Maksuku. Apabila diumumkan Guru kalah dalam perlawanan, Maksu terus terduduk keletihan dan seolah-olah baru sedar dari mimpi.

Terpinga-pinga kenapa dia berada disana. Alhamdulillah, Maksu dah pulih dan kami bawa balik ke rumah. Menurut cerita Maksu, waktu maghrib tu dia ternampak perempuan tersangat hodoh rupanya berdiri sebelah ayah aku. Dia takut, nak lari masuk rumah tapi sebabkan dia lemah semangat dan kebetulan pula dia cuti tak boleh solat sebab tu senang terkena. Kejadian dia lawan dan menari tu dia tak ingat sangat apa yang jadi. Mat pula kena berubat lagi beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya. Tu je yang mak aku bagitau. Tapi Mat dah kawin dengan bakal isterinya. Dah ada anak dah pun. Alhamdulillah.

Maaf sekiranya cerita ini tidak seram tapi inilah kejadian yang berlaku pada aku sekeluarga. Sebenarnya ini bukan kejadian pelik pertama dan terakhir yang aku saksikan. Ada beberapa kisah pelik yang berlaku setiap kali semua adik beradik ayah aku berkumpul. Kalau ada yang berminat nanti aku cerita lagi. Terima kasih kerana sudi membaca dan maaf sekiranya penulisan kurang baik.

3 thoughts on “Maksu Terkena”

  1. zaman kecik dulu mmg ada pn org wat rawatan cam ni…ye la org dulu bab2 rawatan islam ni x meluas lg kan….org panggil naik ‘seh'(sorry tak brapa pandai nk eja) ..menari pn ada…silat pn ada…tp yg pasti family kitaorg mmg x kan pegi tgk la…sbb tau x brapa elok cara rawatan ni…n sy pn seriau kalo tgk org cam mengamuk masuk hantu ni…jgn kecam yer hehe..ini pendapat sy je..

    Reply

Leave a Comment