JAM sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Amran masih lagi menghadap komputer ribanya. Sudah lewat malam pun dia masih mengulang kaji. Ketika itu, hanya dia seorang sahaja yang tinggal di hostel. Rakannya yang lain masih belum pulang dari membuat assignment di luar hostel. Terpaksalah dia bersendirian di hostel tanpa ada sebarang peneman ketika itu. Walaupun agak takut tetapi dia menguatkan sahaja dirinya berdepan dengan situasi sunyi ketika itu.
Amran sudah mula menguap. Beberapa kali tangannya diterkup ke mulut. Matanya digosok laju. Kepalanya diurut rapi dengan perlahan. Memang penat, tapi dengan kehendaknya untuk mendapat anugerah dekan di semester 4, dia terpaksa bertungkus-lumus dengan mengulang kaji pelajarannya. Buku serta alat tulis di atas meja bersebelahan komputer ribanya berselerak. Tak lama selepas itu, dia menyusun buku-buku serta kertas-kertas di suatu tempat agar nampak lebih kemas dan teratur.
Ketika itu, Amran mengulang kaji pelajaran bersebelahan tingkap gelongsor yang terbuka luas. Sengaja dia memilih tempat itu untuk mendapatkan keselesaan. Kalau dia berasa bosan, ada sahaja pemandangan yang dapat dilihat. Kalau dia berasa panas, angin bertiup sipi-sipi mengena kulitnya. Oleh itu, segala perkara yang membuatkannya tidak selesa dapat dihilangkan dengan pemandangan dan angin yang bertiup.
Sedang asyik menelaah buku di dakapannya, Amran terasa ingin ke tandas. Tanpa berlengah, dia terus mengangkat punggungnya beredar dari situ. Buku yang dipegangnya tadi diletakkan betul-betul di atas komputer ribanya. Semasa menuju ke tandas, sempat dia melihat langsir di dalam bilik rakannya yang agak gelap itu mengibas seolah-olah ada angin yang kuat. Amran menjadi hairan. Kemudian, kepalanya ditundukkan seolah-olah ada yang sedang melintas di kepalanya tentang pandangannya terhadap langsir tu sebentar tadi. Perasaan ngantuknya sebentar tadi hilang dengan serta-merta.
Kemudian, matanya terus tertumpu pada langsir yang bergerak itu. Lalu, dia menghampiri bilik tersebut dengan perlahan. Matanya ligat memerhati ke kiri dan ke kanan sebagai langkah berjaga-jaga. Berdebar juga dadanya apabila ingin sampai ke dalam perut bilik itu. Sudahlah tiada cahaya yang menerangi, di tambah lagi dengan keadaan yang agak sejuk ketika itu.
Senior yang pernah duduk di bilik itu juga takut dengan tragedi yang pernah berlaku. Sempat juga dia mengumpul segala maklumat daripada penghuni lama hostel tersebut. Tapi, bagi Amran semua perkara itu adalah karut-marut. Dia tidak percaya semua benda aneh itu berlaku. Setiba sahaja di hadapan langsir, Amran terasa ingin menyentuhnya. Tapi, langsir itu terus berhenti mengibas dan melambai dengan serta-merta. Niatnya tadi terus dipatahkan sebaik sahaja langsir itu berhenti bergerak.
“Takda angin, tapi…” kata Amran pendek yang tidak berpenghujung.
Tuk, tuk, tuk!
Bunyi ketukan pintu di bahagian dapur jelas kedengaran. Amran terperanjat. Berderau darahnya ketika itu. Takkan lah ada orang yang cuba melalui jalan dapur sedangkan pintu hadapan berdiri kukuh. Amran terus keluar dari bilik itu. Sempat matanya dilirikkan ke arah langsir itu. Kelihatan tidak lagi seperti tadi. Tapi, bunyi ketukan pintu pula yang mengganggunya. Bukan perlahan tetapi kuat kedengaran. Kalau diketuk dalam masa yang lama, pasti roboh pintu itu.
“Ish, siapa pulak ni.”
Amran menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia berasa sungguh hairan. Setiba sahaja di separuh jalan, Amran memusingkan kepalanya menghadap bilik rakannya semula. Entah kenapa pandangannya selalu sahaja untuk melihat langsir itu. Ternyata langsir itu bergerak semula. Malah lebih kencang dan tidak berhenti. Bunyi ketukan pintu juga lebih kerap berlaku. Naik gugur jantungnya berhadapan dengan situasi aneh yang serentak berlaku itu. Amran menjadi takut. Tangannya terus memeluk tubuh. Badannya menggigil. Kelihatan peluh-peluh sejuk sudah terembes di kepalanya.
“Amran!”
Amran terus terperanjat. Badannya dipusingkan ke arah suara tersebut. Suara itu datangnya dari arah pintu masuk hadapan. Seakan seperti suara kawannya, Hasnol. Dalam fikirannya, mujur kawannya sudah pulang. Tak adalah dia berasa takut lagi. Dapat juga dia seorang peneman ketika itu.
“Apasal Hasnol?”
Setelah itu, Amran membatu seketika setelah membuka mulut menyoal Hasnol. Dia tidak bergerak. Kepalanya pula buntu. Dia tidak melihat sebarang perbuatan yang membuka pintu. Malah, orang yang masuk juga tidak kelihatan. Tubuh Hasnol juga tidak muncul di hadapan matanya.
“Suara siapa tadi? Macam suara Hasnol. Habis tu mana Hasnol pergi?”
Amran terduduk. Ketika itu, tiada sebarang kata-kata yang sempat keluar dari mulutnya. Dia terus membeku. Kakinya dilipat hingga ke dada. Tangannya memeluk kedua belah kaki. Kepalanya pula ditundukkan. Entah apa yang terjadi pada dirinya pun tidak tahu.
“Jangan ganggu akulah!”
Amran terus menjerit ketika kepalanya penuh ditundukkan ke bawah. Suatu bunyi heretan kerusi kedengaran. Amran terkejut. Dia terus memandang ke arah bunyi tersebut. Habis matanya dibulatkan. Tangannya digenggam erat seperti ingin menumbuk sesuatu. Timbul kesan-kesan urat di tangannya.
Sekali lagi kerusi itu diseret tanpa siapa yang menyentuhnya. Amran terus berlari menuju ke dalam biliknya, tanpa menghiraukan sesiapa di belakangnya. Dia sudah mula takut dengan kejadian yang berlaku di hadapan matanya itu.
Tiba sahaja di perkarangan bilik, lantas tangannya menutup pintu. Kemudian, terus mengunci pintu biliknya. Dengan dada yang tenggelam timbul dek pernafasan yang tercungap-cungap, Amran membongkokkan badannya. Melepaskan nafas beberapa kali. Wajahnya merah padam. Benih-benih peluh terhias rapi di dahinya. Tetapi, langsung tidak dilap ketika itu. Dia membiarkan sahaja sehingga peluhnya menitik ke atas jubin putih biliknya.
Kini, biliknya pula diganggu oleh sesuatu benda aneh. Pintu locker dibuka dan ditutup oleh sesuatu secara perlahan. Amran hanya memandang sahaja perbuatan aneh itu. Mulutnya hanya terbuka dan terlopong. Perbuatannya kaku. Selepas itu, kelihatan sesuatu yang terjulur di bahagian lockernya. Seakan jari-jari kaki yang keluar dari dalam locker. Bergerak perlahan sehinggalah keluar sepenuhnya. Terlihatlah sebentuk kaki yang menghitam dan sedikit berbau busuk. Seakan sudah terbakar sehingga rentung. Ada kawasan yang bernanah sempat dilihat oleh Amran.
Ketika itu, Amran terus berjalan ke belakang hingga ke dinding secara perlahan. Tangannya meraba-raba dinding yang akan disandar. Badannya kini dipenuhi air peluh yang banyak. Menggigil dia menahan ketakutan. Wajahnya sedikit berkerut melihat satu kaki yang keluar dari dalam lockernya. Penjelmaan kaki itu pun sudah membuatkan Amran takut. Belum lagi melihat tubuh makhluk itu sepenuhnya. Amran menjerit. Suara nyaring keluar dari dalam kerongkongnya. Tetapi, makhluk aneh itu masih berada di situ. Tidak langsung takut untuk menghilangkan diri setelah suara Amran keluar dari mulutnya.
Lampu bangunan hostel terpadam secara tiba-tiba. Amran terperanjat. Matanya melilau memerhati ke sekeliling. Perasaan takut terus menyelubungi dirinya. Ketika itu, bunyi aneh dari dalam locker semakin kuat kedengaran. Seakan suatu benda pelik yang besar ingin keluar dari kepompongnya.
“Tolong jangan kacau aku, tolong,” Amran merintih dan merayu. Seakan anak kecil yang sedang disakiti oleh seseorang.
Dia kemudiannya menghampiri tingkap gelongsor yang tidak berjaring di biliknya yang terbuka luas. Dalam keadaan gelap itu, dia meronta-ronta ke luar jendela. Memohon agar ada pertolongan daripada sesiapa yang melihatnya menjerit di tingkap biliknya itu. Namun, hasratnya langsung tidak tercapai. Tiada sebarang respon daripada penduduk yang duduk berdekatan dengan hostelnya itu.
Benda aneh itu masih mengganggunya. Langsir di biliknya pula bergerak kencang. Ketukan pintu di luar biliknya kedengaran kuat. Seretan kerusi di ruang tamu hostelnya kerap kali berbunyi. Semuanya berlaku serentak. Ketika itu, suatu dengusan nafas kedengaran hampir di telinganya. Amran terus tertancap pada bunyi tersebut. Perlahan kepalanya berpusing.
Amran terkejut. Tubuhnya terus memanjat tingkap. Seakan ingin melepaskan diri dari sebarang gangguan. Kemudian, melompat tanpa berfikir panjang. Terhuyung-hayang badannya jatuh dari tingkat empat biliknya. Tiba di permukaan, badannya terkulai. Kepalanya terhantuk kuat menyebabkan retak dan berdarah.
Lampu bangunan yang terpadam secara tiba-tiba tadi menyala semula. Setelah itu, suara jeritan seorang wanita jelas kedengaran melihat Amran yang mati terjun dari bangunan hostel tingkat 4.
-Tulus.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
MATI
kejadian yang sama berulang ker..seram wey
boring.
Cerita mcm direka on-the-go je. Xfaham apa jalan cerita yg cuba disampaikan. Bosan..
Terima kasih semua sebab baca.
Setelah itu, Amran membatu seketika setelah membuka mulut menyoal Hasnol. Dia tidak bergerak. Kepalanya pula buntu. Dia tidak melihat sebarang perbuatan yang membuka pintu. Malah, orang yang masuk juga tidak kelihatan. Tubuh Hasnol juga tidak muncul di hadapan matanya.
ok x paham part ni.
dan cerita ni mcm baca novel seram je.. maybe gaya penulisan kot, buat rse mcm bc novel..