Hai. Aku nak kongsikan satu pengalaman masa aku mula-mula lapor diri sebagai kerani kewangan di sebuah sekolah rendah yang terletak di kawasan agak terpencil. Masa dapat surat penempatan tu, aku tak fikir apa sangat. Dalam kepala cuma fikir, janji ada kerja tetap, dapat gaji, itu pun dah cukup baik.
Sekolah tu memang betul-betul di hujung kampung. Nak masuk, kena lalu jalan tar sempit, kemudian sambung dengan jalan tanah merah yang penuh batu kerikil. Kalau musim hujan, jalan tu jadi becak, dan kereta biasa memang tak berani lalu. Aku sampai hari Ahad petang, ikut van Jabatan yang kebetulan ada hantar barang ke sekolah tu.
Guru Besar sambut aku dengan ramah. Sekolah tu kecil saja, murid pun tak sampai 100 orang. Tapi bangunannya nampak masih kukuh walaupun cat dah mula pudar. Suasana masa tu agak sunyi, mungkin sebab hari cuti. Tapi senyap dia macam… lain macam. Macam ada benda ‘tengah tunggu’, tapi kita tak tahu apa.
Lepas urusan lapor diri, GB tunjukkan aku bilik kerja yang akan aku guna. Dia cakap itu memang bilik kerani kewangan sejak dulu. Tapi dah dua tahun kosong sebab kerani lama dah bersara, dan sejak tu memang takde pengganti tetap. Bila dia buka pintu bilik tu, bau kuat terus serbu hidung aku. Bau habuk, kayu lama, dan ada sikit bau ubat gegat. Aku cuba tahan. Aku tak suka merungut awal-awal, jadi aku senyum saja dan angguk.
Dalam bilik tu ada empat buah meja. Semuanya meja pejabat lama, jenis kayu berat. Meja paling dekat pintu aku pilih sebagai tempat kerja aku. Senang nak keluar kalau rasa panas atau sempit. Tapi yang menarik perhatian aku adalah meja no.3. Letaknya di hujung sekali, betul-betul bawah tingkap. Meja tu tak berhabuk sangat berbanding yang lain. Atas dia masih tersusun, ada stapler lama, bekas pen, dan satu kesan bulat macam tapak gelas kopi. Macam baru orang guna. Tapi cikgu tadi cakap dah dua tahun takde sesiapa pakai.
Malam tu aku kemas meja aku sendiri. Buka fail-fail lama, susun dalam rak. Aku bawa laptop sendiri sebab sekolah tak sediakan komputer untuk kerani. Line internet tak kuat sangat, tapi boleh la buat kerja kalau waktu malam. Masa aku tengah susun-susun tu, aku terdengar bunyi kerusi berkeriut. Aku toleh belakang, kerusi meja no.3 bergerak sikit. Aku ingat angin. Tapi tingkap semua tutup. Kipas pun tak pasang.
Aku diam. Aku cuba tenang. Anggap mungkin aku penat. Tapi dalam hati aku mula rasa tak sedap.
Hari-hari berikutnya, aku perasan satu benda pelik. Setiap kali aku tinggalkan bilik sekejap, sama ada ke tandas, atau ke pejabat Guru Besar… bila aku balik, susunan atas meja aku berubah. Fail yang tadi aku letak atas tray, dah tergolek ke bawah. Pen yang aku letak belah kiri, dah ada kat kanan. Aku cuba abaikan. Tapi bila dah jadi hari-hari, aku mula rasa takut.
Pernah satu hari, aku tinggal sekejap nak solat di surau belakang. Bila aku balik, fail audit yang aku dah susun ikut tarikh, jadi berterabur. Benda tu tak boleh jadi kalau tak ada orang selongkar. Tapi takde siapa pun masuk. Kunci bilik hanya aku yang pegang. Bila aku tanya cleaner, dia cakap dia tak pernah masuk bilik aku sebab dia “tak suka bau dalam tu”. Bila aku tanya bau apa, dia jawab ringkas, “bau orang.”
Aku tak faham maksud dia masa tu. Tapi malam tu baru aku tahu.
Petang tu hujan turun lebat. Aku terpaksa tunggu sampai lepas Maghrib sebab jalan keluar becak. Jadi aku sambung siapkan laporan guna laptop. Suasana bilik tu makin sejuk. Lampu mula kelip-kelip. Aku matikan kipas. Dalam keadaan sunyi macam tu, aku dengar bunyi fail jatuh. Aku pusing, rak fail sebelah meja no.3 ada satu fail atas lantai. Aku bangun dan kutip.
Masa aku tunduk nak ambil fail tu, aku rasa ada benda lalu belakang aku. Tak bunyi, tak bayang, tapi cukup untuk buat bulu roma aku tegak. Bila aku pusing, takde siapa. Tapi kerusi meja no.3 dah berubah kedudukan. Tadi rapat dengan meja, sekarang senget ke belakang sikit. Macam orang baru bangun duduk.
Aku kemas barang cepat-cepat. Masa aku nak keluar dari bilik, pintu tertutup sendiri. Laju, kuat. Macam orang tarik dari dalam. Aku terus buka balik, nasib baik tak berkunci. Aku keluar tanpa pandang belakang. Laptop pun aku peluk saja, tak sempat masukkan dalam beg.
Esoknya, aku terus jumpa Guru Besar. Aku bagitahu semua. Dia dengar dengan muka tenang. Cuma dia cakap satu benda saja yang buat aku terkedu.
“Kerani lama tu memang duduk meja no.3. Dia memang suka duduk situ sebab katanya dekat tingkap, senang rasa angin. Tapi dia tak pernah balik rumah waktu kerja. Hari-hari duduk sampai lewat malam. Satu hari, dia pengsan. Orang jumpa dia dah tak bernyawa. Serangan jantung. Dalam bilik tu juga.”
Aku terus minta tukar bilik. Aku pindah ke bilik guru sementara. GB tak banyak tanya. Macam dia pun faham.
Lepas tu aku tak masuk lagi bilik tu. Tapi aku masih kena lalu depan bilik tu kalau nak ke stor simpanan. Setiap kali aku lalu, aku perasan satu benda. Kerusi meja no.3 tak pernah sama kedudukan. Kadang rapat dengan meja. Kadang jauh. Pernah sekali aku lalu lepas hujan, aku nampak kerusi tu perlahan-lahan berpusing sendiri. Tak laju. Tapi cukup untuk buat aku tak tidur malam tu.
Cerita ni takde bayang hitam, takde suara garau, takde benda merasuk. Tapi gangguan macam ni, yang tak tunjuk diri tapi tunjuk kesan, itu yang buatkan kita tak senang duduk.
Dan aku tahu, walaupun aku dah tak duduk dalam bilik tu… meja no.3 masih macam tu. Tak terusik. Tapi tak pernah betul-betul kosong.