Assalamualaikum warga FS. Semoga semuanya berada di dalam keadaan yang baik-baik.
Satu kisah hanya untuk hiburan semata. Selamat membaca.
———————————————————
Lentik jarinya menujah angin.
Gemalai tubuhnya mengiring nada.
Lentok punggungnya membuai rasa.
Asyik sungguh sang penari.
Menguasai setiap jiwa mencuri setiap tumpuan.
Melati menari bagai dibawa angin.
Suaranya merdu mengalun lagu Kisah Puteri Mak Yong.
Dalam mahsyur ada pengerasnya.
Beginilah nasib seorang perawan.
Perawan bukan sebarang perawan.
Perawan penari istana golongan bangsawan.
———————————————————
Siapa yang berani melawan Tuan Bahadur? Meski pun Tuan Bahadur adalah bangsawan kasta paling rendah tetaplah juga dia seorang bangsawan. Apalah daya Melati dan seluruh keluarga pentas Mak Yong bila diugut?
Jemputan Tuan Bahadur ke istananya yang dianggap rahmat rupanya nasib malang bagi Melati. Anak dara Mak Som yang baru meningkat remaja menjadi sasaran mata lelaki jongos Tuan Bahadur.
Melati dikurung di dalam sebuah bilik di penjuru istana. Setiap hari Tuan Bahadur melawatnya sambil menghambur kata-kata manis serta kekayaannya. Melati enggan menurut. Tuan Bahadur itu, tidak memiliki kemuliaan akhlak sebagai bangsawan bukan pilihan hatinya.
Tuan Bahadur bukan lelaki yang sabar. Disuntik pula hasutan syaitan. Separuh nyawa Melati dikerjakan. Perawannya dirampas. Tubuhnya remuk redam. Dia dibuang ke sungai tanpa ehsan, dengan harapan tiada lagi nafas tersisa. Raungan Mak Som bergema hanya membingitkan telinga Tuan Bahadur. Lantas seluruh ahli seni pentas Mak Yong dihalau seperti binatang juga tanpa upah yang telah dijanjikan.
———————————————————
Jamal, pemuda yang sering membawa watak Pak Yong menemui Melati setelah seharian mencari. Sekaratul maut di rengkungan Melati dan akhirnya meninggal di dalam pelukan Jamal, kekasihnya. Jamal tidak berniat mengkhabarkan berita itu kepada Mak Som dan yang lainnya. Dia mempunyai rencana tertentu.
———————————————————
Jenazah Melati diperasapi dengan kemenyan. Asap yang menjadi kesukaan bangsa jin. Jamal memandang sayu ke arah jenazah Melati. Jenazah yang sepatutnya diuruskan pengebumiannya dengan teratur penuh dengan keagamaan.
Namun, Jamal tertipu dengan perasaan sendiri. Syaitan membisikkan api dendam ke dalam hatinya. Perbuatan Tuan Bahadur harus dibalas. Dan yang membalasnya biarlah Melati sendiri. Tanpa Jamal sedari, perbuatannya itu dikutuk Allah serta isi langit ciptaanNya.
Bomoh separuh Siam separuh Pattani yang bertunjang dengan agama syaitan itu khusyuk memukul jenazah Melati sambil membaca mantera dalam bahasa yang tidak difahami oleh Jamal.
Jamal berdebar-debar sepanjang ritual pemujaan dijalankan. Dia tersentak. Hampir saja Jamal tumbang bila jenazah Melati tiba-tiba bangkit dalam keadaan duduk. Kain menutup tubuhnya selajur terbuka. Melati hidup semula. Tiada luka tiada lebam bahkan tubuhnya bugar wajahnya seperti ketika hidup. Namun, Jamal ragu-ragu. Wajah itu walaupun cantik tetapi auranya kelam.
Hijab Jamal tertipu oleh ulah tentera syaitan. Jenazah Melati tidak pernah sekali pun bangkit mahupun hidup semula. Yang mati tetap mati. Tidak mungkin kembali.
“Allah lah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.” (Surah az-Zumar, ayat 42)
Jiwa Jamal berkecamuk lantas melarikan diri meninggalkan si bomoh dan juga Melati. Dari kejauhan, Jamal mampu mendengar dekahan ketawa si bomoh. Berselang seli dengan hilaian Melati. Menyesalnya, ya Allah… Jamal menangis lagi namun lebih hebat daripada ketika menangisi kematian Melati.
——————————————————–
Kematian ngeri berlaku selang beberapa malam. Mayat yang ditemui dalam keadaan ngeri. Kepala terputus dari badan. Isi perut terburai. Namun yang pelik, tiada hamburan darah. Malah kadang-kadang tiada darah ditemui.
Para rakyat jelata di perkampungan Tuan Bahadur gempar. Pemangsa tidak mengenal mangsa. Lelaki, perempuan, tua dan muda semua dihabisi.
Tuan Bahadur, bukan saja tidak prihatin dengan orang kampung malah mengetatkan lagi kawalan di istananya. Dirinya kesamparan kerana takut. Sudah hampir sebulan Melati mendatanginya. Menyanyikan lagu Kisah Puteri Mak Yong dengan lenggok yang ghairah.
Malam itu, Tuan Bahadur tidak dapat melelapkan mata. Seperti malam-malam sebelumnya. Dia sepertinya tahu, Melati akan tiba juga nanti. Mata Tuan Bahadur meliar ke setiap sudut ruang tidurnya.
“Ahhh, Tuan mencari daku?” Gemersik suara yang menyeramkan kedengaran.
Nafas Tuan Bahadur tersekat di rengkungan.
“Mana engkau Melati? Mana?” Terketar-ketar suara Tuan Bahadur. Celaka para pengawal yang tidak mampu menghalang Melati, fikirnya.
“Carilah daku, kekasih… Belahan jiwamu ini rindu kepadamu.”
Nada bisikan itu tepat di cuping telinga kanan Tuan Bahadur. Tuan Bahadur bingkas berdiri sambil menghunus golok. Kedengaran Melati ketawa dengan sinis.
“Ahhh… beginikah Tuan menyambut kedatangan kekasih?” Lalu kedengaran lagi lagu Kisah Puteri Mak Yong yang sayu.
Mata Tuan Bahadur terus meliar. Mana si Melati sial ini? Akan aku cabut jantungnya dengan golok ini. Kata hati Tuan Bahadur meskipun tangannya terketar-ketar.
“Hik.. hik.. hik…” Melati ketawa. Terbeliak mata Tuan Bahadur bila melihat Melati berada di palang rumah dalam keadaan terbalik. Dengan kakinya bergantung pada palang, badannya berayun dan rambut panjangnya terbuai.
Golok yang memang tidak kejap dalam genggaman terlepas. Tuan Bahadur sudah terduduk. Melati ketawa dan melayang lalu duduk di pangkuan Tuan Bahadur. Tuan Bahadur mengerut kesakitan. Pahanya seolah ditindih bata beratnya sepikul.
“Tidaklah molek Tuan, melayani Melati begini. Kecil hati, tahu.” Melati masih ingin bersenda. Tanpa menghiraukan air mata yang mengalir di muka Tuan Bahadur, Melati menjilat pipi Tuan Bahadur. Dek kerana busuknya bau lidah Melati, Tuan Bahadur muntah.
“Tuan…” Melati pura-pura terkejut. “Usah begini. Malam ini, Mawar.. Tuan yang punya.” Melati berterusan menjilat muka Tuan Bahadur.
Wajah Tuan Bahadur pucat bagaikan kering darah. Seluarnya lencun kerana air kencingnya. Sungguh, Melati yang jelita sudah berubah wajah yang hodoh, buruk dan berbau busuk. Bau bangkai!
Melati asyik menguliti wajah Tuan Bahadur berhenti. Kukunya yang panjang dan tajam mengelus leher Tuan Bahadur.
“Hmmm… halus sungguh kulit orang-orang bangsawan ini ya. Tetapi kebalkah?” Melati menusuk satu kukunya ke leher Tuan Bahadur. Jeritan Tuan Bahadur bergema. Namun, tidak didengari oleh puluhan pengawal di luar biliknya.
Melati… yang bukan Melati sebenar. Yang wujud kerana mainan musuh manusia menghabisi nyawa Tuan Bahadur. Kepalanya terpisah dari batang tubuh. Isi perutnya terburai. Darahnya kering. Melati mengilai lalu melayang keluar ke perkarangan istana. Barulah orang-orang istana gempar dengan kemunculan Melati.
Melati mengamuk bukan main. Nyawa manusia tidak berdosa dihabisi. Dia berasa seolah-olah dialah tuhan, yang menentukan mati hidup manusia. Melati ketawa megah dan angkuh.
Tanpa Melati sedari, beberapa batu dari situ orang-orang laksamana Ratu Pattani berarak ke situ. Perkumpulanan pahlawan yang menentang kejahatan dan kemungkaran itu ke situ atas aduan Mak Som mengenai penganiayaan Mawar.
Meskipun terlewat membicara dan menghukum Tuan Bahadur, mereka bakal menghalang lebih banyak nyawa melayang akibat Mawar. Tidaklah Mawar ketahui, buku bakal bertemu dengan ruas.
Tamat.
———————————————————
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Si heroin mak yong teraniaya – melati. Tp siapa mawar?
ku kompius… yg mati n dipuja mayatnya melati
bertukar jd hantu guna nama mawar pulak ke
melati mawar…..mawar melati????
x paham…..
Haah ek..sape mawar? Hmmm *garu dagu*
tak faham…cerita tak eloborate.