Moreh Lepas Tarawih Belakang Masjid

Masih segar di ingatan aku sewaktu bulan ramadhan 20 tahun yang lalu. Waktu itu aku berumur 10 tahun. Masih seorang kanak-kanak lelaki riang yang hanya inginkan bermain dan bermain.

Tarawih malam itu sudahpun menginjak ke malam ke 18. Masjid makin sunyi tidak seperti malam permulaan ramadhan. Manakala rumah-rumah pula sudah mulai riuh dengan persiapan hari raya. Kadang terdengar bunyi meriam buluh di segenap pelusuk kampung.

Kebiasaanku dan juga kawanku Mail, datang ke masjid untuk solat tarawih itu tujuan kedua. Tujuan utama adalah untuk makan juadah moreh yang disediakan. Jika bernasib baik, dapatlah memakan nasi beriani, ayam percik, paling koman pun bihun goreng. Biasalah, budak-budak waktu itu, manalah pentingkan ibadat.

Selesai sahaja imam membaca doa witir, tanda solat sudahpun selesai. Aku turut mengaminkan doa.Sambil itu aku menolak-nolak bahu Mail menandakan bersedia untuk pergi ke luar masjid mengambil juadah moreh.

Juadah moreh malam itu adalah Nasi Beriani Ayam kari hasil sedekah Pak Haji Hamid, orang kaya kampung. Piring kertas sudahpun tersedia di tepi, tinggal berlari untuk menjadi yang pertama.

“Mail, jom”
“Jom” Balas Mail.

Aku dan Mail bingkas bangun dan akhirnya berjaya menjadi yang pertama berbaris di hadapan. Selesai mengambil makanan kami, kami pergi ke port biasa untuk menikmati makanan, iaitu di belakang masjid.

Di belakang masjid, keadaan gelap suram sedikit. Hanya ditemani sebiji lampu neon yang sudah usang.

Tanpa mempedulikan orang lain, aku dan Mail pun melantak Nasi tadi dengan penuh semangat.

“Untunglah kita Mail malam ni.Dapat Nasi Beriani. Kemarin dapat kuih ketayap je.”
“aah”Balas Mail.
“Rugi Udin tadi, balik awal tak ikut kita tarawih sampai habis kan.” Sambil itu aku menyuapkan ke mulut ayam kari berlemak disulami air sirap.
“Hmm”

Waktu itu aku mulai rasa pelik. Dah kenapa si Mail ni diam je. Selalu dialah yang paling banyak mulut. Lebih-lebih lagi dapat rezeki sedap macam tu.

Tiba-tiba Mail mendengus..

“Hnsss, hnsss”

Dah kenapa pula dia ni. Bisik hatiku.

“Mail, engko ni ok ke tak? Tak sedap ke nasi tu?”

“Grrrr!”
Mail meneloh kearahku. Alangkah terkejut aku. Mail yang duduk makan bersama aku tadi, sudah bertukar rupa menjadi budak bergigi tajam,mukanya buruk, rambut mengembang..

“Makkkkk!” Itu sahajalah yang keluar dari mulut ketika itu.

Lutut terketar, akan tetapi aku gagahkan juga bangun berlari ke arah orang jemaah di depan masjid yang sedang menjamah moreh.

“Makkkkk!” Aku berlari sambil menjerit.

Terkejut semua jemaah.

“Engko ni kenapa Pian?” Pak Saudara yang kebetulan ada disitu,segera mendapatkan aku.
“Pak Ngah, tadi Pian nampak hantu kat belakang tu, mula-mula tu Mail, lepas tu tiba-tiba tukar jadi hantu.”
“Ko cakap apa ni? Mana ada hantu bulan puasa ni. Tu kawan ko Mail elok je tengah makan kat tangga tadi.” Pak Ngah tunjuk ke arah Mail yang waktu itu juga melihatku kehairanan.
“Tak Pak Ngah. Betul, betul!”
“Dah, dah mari aku hantar ko balik rumah” Pak Ngah tidak mempercayaiku.

Sesampai di rumah, aku menceritakan segalanya pada Mak. Berharap Mak percaya padaku. Ya, memang Mak percaya , tapi siap mendapat pakej tazkirah dari mak.

“Itulah, orang ke masjid nak sembayang, nak dapat pahala.Ko pula pergi sebab nak makan je.”
“Alaa Mak, Pian sembayang juga tadi. Sampai habis rakaat tadi.”
“Dah,dah.Pergi mandi, bersihkan badan. Kang benda tadi ikut pula.”
“Tapi mak, bukan ke hantu syaitan kena rantai masa bulan puasa?Yang tadi tu apa benda?”
” pergi mandi”

Aku pun bergegas mengambil tuala untuk mandi. Satu hal pula nak mandi ni. Bilik mandi terletak berdekatan dapur di bahagian bawah. Biasalah rumah kayu kampung design macam ni.

Aku pun masuk ke dalam bilik mandi dan bersedia membasahkan diriku. Mandi di kolah air dalam bilik mandi sememangnya perkara paling best waktu kecil dahulu. Yelah, badan kecik, masih muat masuk ke dalam kolah dan bermain-main. Tapi kalau Mak dapat tahu, habis dipiat telinga.

Aku pun menggantungkan tuala pada pintu bilik mandi. Baru sahaja aku menceduk gayung ke dalam kolah, tiba-tiba! Budak muka buruk, bergigi tajam yang aku jumpa di masjid tadi ada di dalam kolah. Tenggelam memandangku ke atas.

“Mak!!!” Aku menangis dan terduduk di dalam bilik mandi
Aku dengar bunyi tapak kaki berlari ke arahku.

Mak datang kepadaku..
“Kenapa ni??”
“Hantu mak!”
“Dah, dah,mari naik” Mak memelukku sambil menenangkanku yang sedang menangis, dan membawaku ke ruang tamu.

Malam itu, aku tidur sebilik dengan Abah dan Mak. Beberapa hari aku demam kerana terkejut melihat makhluk tu.

Bagaimanapun,aku dengan Mail masih lagi meneruskan makan moreh selepas tarawih. Tapi bersama dengan jemaah lain.

Itulah kisah yang masih aku ingat sehingga kini. Apabila balik sahaja ke kampung dan berjumpa Mail, kisah ini selalunya yang akan menjadi perbualan kami. Moreh tetap tidak kami tinggalkan selepas solat tarawih..hehe. Tapi ibadat kini menjadi keutamaan.

Hantar kisah anda: fikysenshasha.com/submit


Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 4.8]

4 thoughts on “Moreh Lepas Tarawih Belakang Masjid”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.