MOYANG 2 : MAK LONG & NENEK

MOYANG 2 : MAK LONG & NENEK by CIKEDOT
Bismillah. Assalammualaikum warga FS yg dihormati, dan setinggi penghargaan buat admin yang sudi menyiarkan kisah ini. Buat pembaca yang ketinggalan cerita sebelum ini, boleh klik link https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=408447719497786&id=210245742651319
untuk lebih memahami pangkal cerita. Terima kasih warga FS kerana berlapang dada membaca kisah sebelumnya yang agak panjang. Berkemungkinan besar, lanjutan kisah ini juga agak panjang penceritaannya. Maaf. Mohon dibaca dgn tenang. Sebelum aku mulakan cerita, aku ingin mengajak kalian untuk sama2 membaca terjemahan doa dari surah yaasin, ayat 9. ” Dan Kami adakan dihadapan mereka dinding dan dibelakang mereka dinding (pula) dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat”. Semoga kita semua dilindungi Allah swt. Amin

Imbasan…..

”Anak buah maklong. Lepas ni kalau ada apa2,cerita dengan mak long ya. Mak long sentiasa ada di sisi kamu bila d perlukan, seru aje mak long, nanti mak long datang dalam mimpi. Sihat kamu, sihatlah mak long. Sakit kamu, sakitlah maklong. Kita SATU ingat tu”.

Cerita mak bermula begini….

TAHUN 1984

“Makcik. Mun teringin sangat nak makan ubi rebus dengan sambal ketuk. Kalau ada kelapa lagi sedap, gaulkan dgn ubinya”, kata mak pada Nek Jah (nenek sedara aku) sambil menelan liur.

“Lain benar permintaan kau ni Mun. Barangkali ada isi kot?”, balas Nek Jah sambil matanya tepat ke arah perut mak.

“Kau berbadan dua Mun? Mari sini aku usap perut kau”, kedengaran suara Moyang di sebalik dinding kamarnya. Entah bila munculnya orang tua ni, tau2 dah ada. Keresahan datang tiba2, peluh mula terbit di dahi licin mak. Bukan kali pertama mak mengandung tapi ini adalah kandungannya yang keempat. Bukan sengaja mahu dirahsiakan tetapi kali ini rasanya lain benar. Seboleh-bolehnya mak ingin merahsiakannya dari pengetahuan sesiapa kecuali ayah. Ini semua sebab tekak, kalaulah tak mengidam pasti tak pecah rahsia. Hamun mak dalam hati.

“Mun…kemari!”, laungan suara moyang memecah lamunan mak.

Dgn langkah longlai, mak menuju ke kamar moyang. Perlahan-lahan pintu dikuak, dan bauan bunga melur menerpa terus ke rongga hidung sehingga merinding bulu roma. Moyang sedang duduk sambil mngunyah sireh. Mata mak meliar, jantungnya berdegup resah, seolah2 ada mata yg sedang memerhatikannya.

“Baring Mun…biar aku alin perut kau”. Dengan terpaksa rela, mak baring berlunjur kaki. Sepasang tangan moyang yg berselirat uratnya mendarat ke perut mak bersama sebiji limau purut. Terdengar bacaan dari mulut moyang tapi ayatnya kurang jelas.

“Hermmm….” Sebaris senyuman terukir di bibir moyang. Gayanya dah macam mak lampir. Mak menahan getar di dada. “Akhirnya. Perempuan Mun. Jangan kau terlalu lasak dan renyah bekerja. Jaga kandungan kau. Dah, kau boleh keluar.” Mak diam, dan terus diam. Mak bangun menuju ke luar pintu.
“Aku titipkan kalian penjagaku untuk cicitku”, kata moyang perlahan tapi jelas di telinga mak. Kegusaran mak bertambah. Allah, kau lindungilah bayiku.

Burung terbang petang, senja sudah melabuhkan tirainya. Sedang mak berkira-kira ingin mengunci pintu depan, dari kejauhan mak lihat ada suluhan lampu menuju ke arah rumah. Jangkaan mak ayah yang balik ,mungkin ingin menjemputnya dan anak2 lebih awal. Tapi mak terfikir, takkan pula ayah datang jalan kaki? Selalunya ayah akan datang menggunakan kereta dutson tonggek yang dipinjam dari atok (sebelah ayah). Siapa pulak ni? Mak tidaklah takut ketika itu tetapi lebih kepada ingin tahu. Semakin hampir tubuh hamba Allah tersebut ke perkarangan rumah, barulah mak dapat menangkap siapa gerangan beliau. Mak long!!

HAJAT
Sesampai mak long di muka pintu, baru mak mahu membuka mulut bertanyakan sesuatu, Mak long terlebih dahulu bersuara, “Kau mengandung Mun? Anak perempuan ya? Sampai hati kau berahsia dengan kak long!”.

Mak tergamam. Mulut mak seakan terkunci. “Aikkk, pelik bin ajaib ni. Macam mana pulak mak long tau mak mengandung? Jantina pun dia tau! Sah depa semua ni main hantu”, omel mak dalam hati.
“Masuk la dulu kak long. Bawa2 lah berehat dulu, mandi segarkan badan. Nanti Mun siapkan makan malam kita makan sekali. Makcik, nenek dan anak2 ada di dalam”, jawab mak potong cerita. “Aku tahu…”, jawab mak long sambil memandang mak kemudian masuk meluru ke dalam rumah.

Usai makan malam, mak long datang menghampiri mak. Seperti dapat membaca hati mak long, mak mohon mak long tunggu sebentar kerana mak mahu sediakan tempat tidur anak2. Siap semua, mak bangun dan menghampiri mak long yang kelihatan tidak tentu arah lagaknya. Kejap mengeluh, kejap menunduk. Sudahnya mak yang buka mulut. “Apa yang kak long nak cakap? Cakap je lah, Mun dengar”, kata mak. “Mun, kak long ada hajat. Kak long harap Mun dapat tunaikan hajat kak long”, ujar mak long. “Apa dia hajatnya? Nak berbesan anak2 mun semua jantan, belum bersunat plak tu, huhuhu”, mak aku wat lawak bijak.

“Begini. Kak long berhajat mahukan anak yang Mun kandung sekarang ni. Kak long tau Mun kandungkan anak perempuan. Kak long da x boleh mengandung, Mun pun tahu kan. Boleh la ya Mun”, pinta mak long. Mak aku ni terpinga2 dengan permintaan tak masuk akal mak long. Mak long ingat minta anak ni macam main pondok2 ke. Sah2 lah mak aku ada anak semuanya lelaki, kalau benar lah yang dikandungnya sekarang ni perempuan, pasti mak aku dan ayah lah yang paling happy.

Ehhh, mak aku susah payah ngandung, tup2 mak long boleh minta macam gitu je?? Tanpa berfikir panjang, mak terus jawab, “Maaf kak long. Berat sungguh permintaan kak long ni. Walaupun yang dikandung mun ni anak lelaki sekalipun, mun takkan serahkan anak mun pada kak long. Dia masih ada mak dan ayah, tak mungkin kak long”. Mak bangun dan tinggalkan mak long sendirian. Mak long diam tak berkutik, tunduk melayan kekecewaan hati.

Hari demi hari bersilih ganti, genap 9 bulan 10 hari, maka pada tarikh sekian2, lahirlah seorang baby yang comel lagi montok iaitu…..AKU.

MAKLONG
Seperti yang kalian sedia maklum, wanita ini adalah kakak kepada mak aku. Seorang yang sangat rupawan dari usia remaja tetapi dia tidak ‘kosong’. Ibarat kecil2 cili api, bertubuh kecil tapi dalamannya berisi dgn ilmu duniawi (akhirat wallahualam). Berkahwin sebanyak 4 kali namun 3 perkahwinannya terdahulu gagal dan berakhir dengan penceraian. Sehingga kini masih kekal bersuamikan suami ke empat. Dan agak ting tong kalau memikirkan kenapa semua bekas suaminya gila selepas bercerai??

BUNGA-BUNGA PERALIHAN
Hubungan akrab aku dan mak long tidak boleh disangkal. Sejak dari kecil mak long memang kerap berulang alik ke rumah menjenguk aku. Jika tidak berkesempatan, paling tidak pun bertanya khabar melalui telefon. Waktu cuti sekolah jika tidak pulang ke kampung bertemu Nek Jah, rumah mak long menjadi destinasi aku untuk melepak. Selalunya kami akan tinggal berdua sahaja kerana pak long aku banyak bekerja di luar daerah manakala kedua2 anak mak long masing2 tinggal di Pahang dan Sabah kerana bertugas di sana. Sepanjang bersama ,apa yang aku perasan mak long aku ni selalu bercakap-cakap, seolah-olah sedang berborak dengan seseorang dalam biliknya. Tapi sikap malas amik port aku terbawa-bawa dari dulu sampailah sekarang. Aku anggap itu biasa-biasa sahaja.

Pada suatu petang, aku lihat mak long duduk di beranda rumah sambil tangannya sibuk melerai-leraikan kelopak bunga di atas dulang. Disisinya ada sebuah baldi yang berisi air. Aku membuka langkah menghampiri mak long dan bertanya, ”Mak long buat apa ni?”. Jawab mak long, ”Ni mak long siapkan mandian cinta bunga dari 7 jenis bunga dan kasturi untuk adik. Biar naik seri bila mandi bunga ni. Adik kan anak gadis, mesti selalu wangi dan cantik”. Aku membulatkan mata tanda teruja. Di usia aku menginjak 17 tahun, aku mula tertarik dengan kecantikan. Iyalah baru pertama kali aku dengar pasal mandi bunga ni maka syoknya jadi berlebihan. Bau yang harum dan warna bunga yang pelbagai membuat aku tidak sabar untuk mandi. Kata maklong waktu yang paling mujarab adalah mandi pada waktu rembang senja kerana auranya lebih umphhhh.

Usai dari mandi bunga, mak long ajak aku masuk ke dalam rumah dan aku diarah menunggunya di ruang tamu. Di atas meja telah tersedia sebuah buku dan sebatang pen. Awalnya aku agak blurr namun terdetik dalam hati, mungkin mak long mahu menemani aku ulangkaji pelajaran memandangkan aku bakal menduduki SPM tahun tersebut. Khayalan aku terhenti tatkala aku melihat mak long keluar dari bilik dengan sepersalinan kebaya songket, bersanggul emas dan berlipstick merah.

Aku perasan bahawa cucuk sanggul emas dan cincin yang dipakai maklong adalah 2 barang dari 3 serangkai yang pernah aku berikan kepadanya 2 tahun lepas. Hatiku terkata, ”Ehh, macam arwah moyang masa muda lah!”. Kecantikan mak long terserlah walaupun ketika itu usianya sudah menjangkau 50-an tetapi body shape masih mantap. Maklong duduk bersimpuh dihadapanku. Dia tersenyum dan mula bergurindam. Bulu romaku merinding dan perasaan seram mula bertandang. Aku seolah-olah dibawa semula ke waktu bersama arwah moyang dahulu.

Mungkin mak long perasan akan perubahan raut wajah aku, kemudian maklong pun bersuara,
”Apa yang mak long titipkan ini, adik tulis. Kemudian baca, hafal dan praktikkan. Ini adalah ayat2 pendinding buat adik. Amalkan ya”. Aku ibarat kerbau dicucuk hidung, menjadi dungu dan angguk tanda setuju. Telinga kupasang dan aku catit setiap bait kata2 yang mak long tuturkan. Selepas siap sesi mencatit segala ayat, mak long meminta aku membayar pengeras sebanyak 25 sen. Dalam tidakku sedari aku sudah pun berguru. Bermula dari detik itu, jujur aku katakan bahawa aku telah mengamalkan beberapa potong ayat yang mak long perturunkan pada aku.

Aku gunakan ayat2 tersebut kononnya sebagai pendinding, menundukkan yang angkuh dan melembutkan yang keras. Aku amalkan semasa berkawan dan di alam pekerjaan. Saat itu aku rasa betah kerana diriku mudah disenangi dan disayangi teman2. Jejaka2 pula ramai yang menagih cinta dari aku, tetapi sesuatu yang aku pelik, aku tidak boleh bertahan lama dalam sesebuah perhubungan yang melibatkan perasaan kerana aku jadi mudah bosan dan panas lebih2 lagi jika jejaka tersebut kuat amal ibadahnya.

Buat pengetahuan kalian, ayat2 itu masih dalam ingatan aku sampai sekarang. Demi Allah aku sudah tidak lagi mengamalkannya malah sebolehnya aku tidak mahu sebut2. Bertahun2 aku cuba lupakan tapi tak boleh. ”Astaghfirullahalazim”, itulah kalimah yang suami aku sering ingatkan kalau aku tiba2 teringat akan ayat2 itu. Kadang2 ia datang dengan sendiri seolah2 minta dibacakan. Jikalau ada kejadian atau musibah yang melanda ia lebih kerap hadir berlegar dalam otak.” Hasbunallah wani’mal wakil ”. Cukuplah Allah sebaik-baik pelindung!!

PERISTIWA & KEBOLEHAN

Okay, disini aku perincikan sedikit pada kalian apa kebolehan mak long aku yang pernah aku saksikan dengan mata kepala sendiri dan perolehan cerita dari mulut mak. Tiada niat dihati untuk mencanang kehebatan beliau, tetapi sekadar memberi contoh manusia yang tunduk dengan syaitan dan ilmu duniawi semata.

1) TUNDUK- Jika diajak berdebat, dia tidak pernah kalah. Kalau orang datang hendak menyerang dalam keadaan yang sangat marah sekalipun, akan tiba-tiba sejuk, menunduk dan mulut mereka ibarat terkunci hanya dengan pandangan sahaja.

2) KUAT- Dia memang rajin mengemas dan suka pindah2 perabot serta barang2 dalam rumah. Tapi dia angkat barang2 semuanya sendirian. Peti ais, almari yang penuh baju, sofa, katil kayu jati yang bertilam, cabinet yang penuh barang kaca semua dia angkat macam angkat kotak kosong. Setakat tong gas yang penuh tu sebelah tangan je dia jinjing dari kedai ke rumah macam jinjing bag plastic.

3) TOLAK HUJAN- Masa majlis perkahwinan anak sulongnya, hujan mula turun rintik2 sebelum pengantin berarak. Dia masuk ke dalam rumah, ambil segenggam beras langsung dikunyah. Kemudian dia campak beras tersebut terus ke atap rumah sambil menyeru, ” wahai si ……….. aku seru akan kau, jelmalah bawakkan awan payungi jajahanku”. Sambil mulutnya terkumat kamit dengan beberapa lagi potongan ayat. Dan ya, maka hujan pun berhenti dan sinar matahari terus menerik.

4) ILMU PENGASIH- Ilmu ini kata mak, mak long sudah gunakan sejak dari umurnya belasan tahun. Berkat dari ilmu keparat inilah maka dia menjadi kegilaan ramai jejaka termasuk 3 orang bekas suaminya yang umurnya jauh lebih tua. Motif dia berkahwin dengan bekas2 suaminya hanyalah kerana inginkan harta dan kekayaan. Selepas berkahwin, dia mengunci nafsu dan mendungukan mereka dengan ayat penunduk. Habis dikikis harta barulah dia menuntut cerai. Natijahnya adalah pada bekas2 suami mak long kerana mereka menjadi gila dan jatuh miskin. Hal ini tidak berlaku kepada suaminya yang sekarang kerana kata emak, ini adalah cinta sejatinya sementelah suaminya juga bukanlah biasa2. Maka bertemu buku dengan ruas lah.

5) DUIT- Dia boleh menukarkan daun menjadi duit. Aku pernah dipertontonkan kejadian ini didepan mata. Kata mak long ilmu ni bukan sembarangan, jika berhajat maka galang gantinya adalah darah.

6) SERU- Dia boleh muncul dalam mimpi bila orang mengumpat dan bercakap pasal dia. Kadang2 dia datang siap kasi warning lagi!!

Dan banyakkkk lagi sebenarnya ilmu mak long ni. Mak kata dari kecik lagi mak long aku ni dah menuntut dengan arwah moyang, Nek Jah dan beberapa orang tok pawang. Konsep dia, ialah dengar, hafal dan praktikkan sampai jadi.

NENEK aka NEK JAH (NENEK SEDARA)

Satu2nya anak perempuan yang masih hidup hasil dari perkahwinan ke dua arwah Moyang bersama Tok Yang Dahlan.

DULANG, BONDA & 3 SERANGKAI

Selepas pemergian arwah moyang, aku dan keluarga kerap juga balik ke kampung menziarahi Nek Jah. Almaklumlah, walaupun Nek jah ni ada anak2 dan cucu tetapi dia memilih untuk tinggal sendirian di rumah pusaka moyang dari tinggal bersama anak2ya. Katanya nak jaga rumah, nak dekat dengan kubur moyang biar terjaga, sementelah adik beradiknya yang lain masih ada di kampung itu. Keakraban aku dgn Nek Jah boleh tahan lah, memandangkan aku ni dah xda moyang dan nenek kandung dari sebelah mak dan ayah maka Nek Jah ni lah tempat aku menumpang kasih dan sendu huhu.

Banyak juga yang Nek Jah kongsikan dengan aku. Kadang2 bila bersama Nek Jah, aku rasakan seperti aku bersama arwah moyang. Nek jah juga suka bergurindam bila aku teman dia petik bunga dan sayur mayur belakang rumah, cuma dia xdalah cakap dekat aku “dengar dan hafal” macam arwah moyang. Nek Jah ni lebih straight forward tak main kias2. Dia lebih praktikal….maksudnya, bila dia buat sesuatu dia ajak aku buat sekali dan ikut bacaannya dgn jelas. Seperti ini….

Ketika ini umur ku sudah menginjak 13 tahun. Di pagian hari, Nek Jah mengajak aku ke belakang rumah sementelah mak dan ayah ke pasar di pekan kecil membeli barangan basah utk dimasak. Tinggallah aku, abg2 aku yang masih membongkang dan Nek Jah di rumah. Aku membontoti Nek jah yang berjalan sambil menatang sebuah dulang berisi secupak beras, beberapa biji limau purut, setepak kemenyan dan helaian benang 7 warna. Nek Jah membawa aku keliling rumah dan mengarah aku memetik kuntuman bunga melur dan beberapa jenis bunga lain.

“Ikut bacaan nenek ya cu, baru petik bunganya….sambil berlagu ” 7 bunga si penjaga tanah, Buat jamuan seteruku..berkat pengajar guru aku”. Jujurnya, aku hanya mengikut tanpa sedikit pun memahami akan maksudnya. (Astaghfirullahhalazim..) Selesai sesi petik memetik kemudian aku terus di bawa ke belakang rumah menghala ke baroh ulu sungai. Buat pengetahuan kalian, inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini kerana selama ini mak sangat menghalang keras aku ke situ lebih2 lagi bila diajak arwah moyang.

Mula2 dulu aku fikir, agaknya tempat ni angker barangkali tu sebab mak halang tapi…..bila sampai je tempat itu mata aku bagaikan terpaku. Cantiknya…..jernih betul air sungai ni. Nek Jah panggil tempat tu sebagai bonda ( bacaan secara bahasa baku ya) . “Cucu nak mandi? Jom Nek Jah temankan…” Aku senyum simpul sesimpulnya…. weii, swimming pool yang colour biru tu pun tak boleh lawan jernihnya air kat bonda ni tau. Ibarat kau masukkan kaki, kau pandang bawah kau boleh nampak kaki kau CLEAR sangat! Bayangkan sahabat2 ku…..betapa jernihnya air tu. Macam cermin! hehehehe. Aku tanpa berlenggah, terkedek medek aku masuk ke dalam air. Nek Jah mengiringiku. Dulang tadi dia letakkan sementara di tebing sungai dan melayani perangai jakun aku kat dalam bonda. Nek jah menceduk air menggunakan tangannya dan menyiram aku sambil mengusap2 kepala, wajah dan ke dua2 belah tanganku.

Tiba-tiba Nek Jah bergurindam, badannya meliang liuk mengikut nyayiannya. Kemudian…..
“Ibu, aku bawakan cicitmu bertemu dengan seteru. Ku persembahkan jambangan bunga dari air tangannya. Santaplah wahai putih si hulubalang…kepadamu jua wahai sisik si cantik puteri”. Gulppp…..apakah??? Aku mula cuak tapi masih berlagak cool. Sekonyong angin datang lalu hinggap ke mukaku bersama dedaunan kering yang berterbangan, bulu romaku naik serta merta. Aku spontan memejam mata rapat kerana ketakutan yang amat sangat. Lagak cool tadi hilang secara total! Weiii, memang hati kering betul lah Nenek aku pedajal aku ke hapa ni? Dalam hati aku tak putus2 sebut kalimah Allah…Allah…Allah… Dari kejauhan aku terdengar deruman enjin kereta, syukur alhamdulillah…. Barangkali ayah dan mak sudah pulang.

Aku buka mata dan menoleh ke arah Nek Jah berada. ”Aikkkk…mana Nek Jah???” Aku kalih pandangan ke kiri dan ke kanan, seriously memang sah aku dah kena game dengan orang tua ni. Boleh dia tinggalkan aku sorang2 kat bonda ni?? Sedang aku ralit mencari kelibat Nek Jah, mata aku tertancap pada dulang yang di parking kat tebing sungai tadi. Mulut aku melopong…dulang tu kosong!! Tapi……bila aku amati dengan jelas, ada sebentuk cincin berbatu, kuku harimau dan cucuk sanggul emas di atas dulang. Dalam takut2, aku melangkah keluar dari bonda mendekati dulang tersebut.

Tangan aku hulur perlahan2 dengan niat ingin mencapai cincin tersebut. Dan ketika dan saat itulah aku terdengar, “Adikkkkkkkkk!!!!! Ohhh adikkk!!!!”. Aku terpempan dengan laungan tersebut. Macam kenal ini suara??? Oppsss my super wonder women, MAK!! Aku sarung selipar mencicit lari meluru terus ke pintu dapur belakang rumah yang memang sudah tersedia terbuka. Aku terus masuk ke dalam bilik air. Nampakkk, bijak kan? Bahaya wei kalau mak aku dah jadi peluru berpandu soal itu ini, payah nak jawab.

Keesokan harinya ,kami berangkat pulang ke KL. Kejadian semalam terhenti begitu sahaja, Nek Jah langsung tidak bercakap walau sepatah pun dengan aku. Aku juga mengambil pendekatan untuk diam dari bertanyakan kenapa dia tinggalkan aku semalam walaupun dalam hati menuntut jawapan. Usai mandi aku berkira-kira ingin baring melepaskan lelah di atas katil, namun teringatkan arahan mak menyuruh aku menyusun semula baju dari dalam bag ke dalam almari membantutkan keinginan aku untuk bermalasan. Bag aku capai dan segala isi perutnya aku keluarkan.

Mata aku tertancap sebuah bungkusan kain guni yang dijahit keliling dan diikat tali berbentuk uncang. Setahu aku, ini bukan milikku. Lalu aku ambil uncang tersebut dan membukanya. Ya sahabat, tekaan kalian benar!! 3 serangkai di depan mata, sebentuk cincin, sebatang cucuk sanggul emas dan sepotong kuku harimau. Perihal ini aku diamkan dari pengetahuan mak tetapi aku ceritakan hanya pada Mak long pada hari kunjungan ke rumah seminggu selepas itu. Mak long minta aku menyerahkan 2 barang dari 3 serangkai dan kuku harimau menjadi simpananku.

BERTEMU EMPAT MATA

Jam di dinding tepat pukul 6.00 petang, aku lihat Nek Jah sibuk memasukkan kuih bahulu ke dalam plastik sambil dibantu mak. Nek Jah mengambil tempahan secara kecil-kecilan kepada yang berhajat. Memang tidak dinafikan bahulu hasil air tangan beliau sangat sedap, maklumlah proses kejadiannya juga agak rumit. Dari memukul puluhan biji telur, gula dan tepung di dalam tempayan kecil berbunga ikan emas, sehinggalah ke proses membakar di mana tanah dikorek dan diletakkan tempurung serta sabut kelapa sebagai bahan bakar dibawah dan diatas acuan tembaga. Hasilnya memang tip top, rangup diluar dan lembut di dalam. wallah….

Memandangkan ketika itu cuti sekolah, ayah menghantar kami 3 beranak iaitu mak, aku dan adik aku. Oh ya, aku dah punya seorang adik perempuan ketika ini. Kebongsuan aku diragut serta merta tanpa dapat disangkal. Memandangkan abg2 aku dah besar panjang, along, angah dan alang sudah bekerja. Maka benarlah kata org2 tua, bila anak2 dah bujang sesi mesi balik kampung memang tidak lagi diminati hehehehe.

Berbalik kepada usul cerita, petang itu aku diajak Nek Jah menghantar tempahan ke rumah Nek Som yg terletak di pinggir jalan masuk ke ladang sawit. Berjalan kaki sambil menjinjing plastik dipenuhi bahulu mengambil masa 15 – 20 minit perjalanan. Memang berpeluh dahi basah ketiak wei. Takpelah demi berbakti pada warga emas, ku turutkan jua. Pada awalnya, mak aku berat hati nak lepaskan aku pergi tetapi memandangkan bungkusan agak berat, jika dibahagi kepada dua orang bebannya akan kurang. Maka berpergianlah aku bersama Nek Jah dalam rembang petang menyelusuri 3 ladang utk sampai ke rumah Nek Som.

Usai bungkusan bertukar tangan, senja mula melabuhkan tirai. Nek Jah pamit meminta diri dari tuan rumah dengan alasan tidak betah meninggalkan mak dan adikku berduaan di rumah. Bertemankan lampu suluh, aku berjalan beriringan dgn Nek Jah. Baru suku perjalanan, tiba2 aku terdengar bunyi sesuatu menyusup di tepi semak. Awalnya aku tak ambil endah tetapi makin lama bunyi tersebut makin kuat dan ia terlalu hampir denganku. Aku memegang kejap tangan Nek Jah dan perjalanan kami terhenti.

Nek Jah menyuluh tepi semak dan mencapai sebatang kayu dan ditegakkan menjadi tongkat. Baru hendak melangkah, bunyi itu datang lagi. Kali ini ditambah pula bunyi seperti “pssstttt…pstttt…” Nek Jah menghentak kayu ke tanah…..”wahai putih si hulubalang….si sisik cantik puteri ..jangan terlalu dekat. Cucuku belum kuat bertemu kalian”. Allahhu, bala apa pulak ni? Aku terpinga-pinga. “Dah, jalan! Jangan toleh belakang”, arah Nek Jah. Aku hayunkan langkah kaki membontoti Nek Jah. Namun kalau dah degil semulajadi, apa yang ditegah itu lah aku buat. Dengan keinginan yang kuat, aku pun terus toleh ke belakang. Aku lihat 2 pasang mata yg berkilau tepat memandangku bersama bunyi “Hmmmmmghhhh……”. Allah!!!! Bupp,aku pengsan.

Aku demam seminggu dan seperti biasa aku rahsiakan dari pengetahuan mak. Aku diberi air penawar oleh Nek Jah hingga demamku kebah. Nek Jah berdalih mengatakan aku pitam di tengah jalan. Dan hingga ke saat hari ke tujuh aku demam, aku tak pasti macam mana Nek Jah angkut aku balik. Takkan dia tampung aku dibelakang, papah ke atau dia seret aku?. Takkanlah! Kata mak, aku dah terbaring masa mak buka pintu bila Nek Jah ketuk. Sehinggalah diberitahu, “Hulubalang yang bawa cu sampai ke rumah. Nenek nak angkat tapi takda kudrat”. Ohhoo.

TELINGKAH

Aku pulang dari kerja part time di 7E yang terletak tidak jauh dari rumah. Ketika ini aku sudah tamat menduduki SPM dan menanti result. Selepas memberi salam, aku masuk ke dalam rumah. Mata aku di jamu sesosok tubuh tua yang sedang berbaringan di atas sofa. Ehh, Nek Jah? Bila masa pulak dia datang? Mak tak bagitau pun. Seperti klise, tapi nilah yang terjadi. Tiba2 mata Nek Jah yang tadi sedang tidur terbuka luas, dia memandang tepat ke arahku dan tersenyum. Adehh, dah gaya mak lampir pulak. Tegak bulu roma. Aku pergi ke arahnya dan menghulurkan tangan bersalam sambil berbahasa basi, “bila nenek sampai?”. “Baru kejap tadi, pakngah Ipin yang hantar. Bermalam sehari dua jadilah, datang nak jengok cucu”, balas Nek Jah. Aku tersenyum hambar dan meminta diri untuk ke bilik membersihkan diri sebelum keluar semula menjamu masakan mak bersama Nek Jah.

Aku membelek-belek majalah di tangan melayani mata yang semakin kantuk.Tiba-tiba pintu bilikku di ketuk dari luar. Aku bangun dan memulas tombol pintu, wajah Nek Jah menjengah sambil tersenyum. Aku jemput dia masuk kerana aku tahu pasti ada hajat yang mahu disampaikannya. Aku mempelawa Nek Jah duduk sambil menantikan perkara apa yang mahu dikhabarkan. ”Mana uncang 3 serangkai?Bawa keluar!”. Gulppp, aku menelan payau liur di tekak. Aduhh, macam mana ni? Apa yang nak aku cakap ni? Melihat aku yang sedang berteka teki dan hanya pegun duduk diatas katil, Nek Jah menyentuh bahuku perlahan.

”Cu…dengar apa yang nenek cakap?”, kata Nek Jah. Dengan berat aku nyatakan, ”Nek, sebenarnya. 2 barang dari 3 serangkai mak long dah ambil lama dah. Yang tinggal pada adik hanya kuku harimau je nek”. Dammmm!! Panahan mata Nek Jah bagai menikam anak mataku. Aku tunduk menahan rasa takut yang mula menjalar. ”Kenapa kamu serahkan? Itu hak kamu!! Dia benar2 mencari nahas dengan aku nampaknya. Dasar perempuan tamak. Tak cukup dengan segala jin dan khadam yang dia ada!?”, hambur Nek Jah. Aku terkebil2 menahan suara pekikan Nek Jah. Lantas pintu bilikku ditolak, wajah mak kelihatan.

“Kenapa makcik terjerit2 ni? Adik, kenapa ni?”, tanya mak. Baru sahaja aku ingin membuka mulut menjawab pertanyaan mak, Nek Jah terlebih dahulu memotong. ”Takda apa Mun, aku terperanjat ada lipas terbang masuk kain aku”, jawab Nek Jah slumber. Mak tergelak dan menggelengkan kepala lalu menutup semula pintu bilik. Nek Jah kembali menatap aku dengan matanya yang bugar, ”Aku akan buat perhitungan dengan mak long kau. Kuku itu kau bawa ke sini”.

Aku bangun dan ambil uncang yang tersorok di atas almari dan ku suakan pada Nek Jah. ”Aku amanatkan kau agar perasapkannya pada malam jumaat keliwon. Lama benar kau biarkan hulubalang berlapar, itu sebab dia datang pada aku meminta santapan. Ini aku titipkan kemenyan untuk kau gunakan”, kata Nek Jah. Tangan aku ditarik dan sebutir kemenyan sebesar 50 sen diletak atas tapak tanganku. Sejujurnya aku tidak bersedia untuk ini semua. Aku hanya diam tidak berkutik. Rupanya dalam tidak aku dan Nek Jah sedari, mak mendengar butir bicara Nek Jah di sebalik pintu sambil mengurut dadanya. Ada linangan airmata yang menitis perlahan dipipi mak.

TAHUN 2016

”Erghhhhhh…..erghhhhhh…” Aku cuba melepaskan diri namun cubaanku agak sukar. Puas aku menjerit dan memanggil suamiku di sebelah namun suaraku tersekat dan aku semakin payah untuk bernafas. Aku berbanyak kali beristighfar menenangkan diri, ku kumpul segala kudrat yang ada. Lalu aku laungkan azan sekuat yang boleh didalam hati sambil cuba menggerakkan ibu jariku. Alhamdulillah, aku terlepas dari himpitan yang sangat menyesakkan. Kali ini lebih thrill kerana benda itu menyakitkan aku. Terasa perutku dipulas2, sakitnya bukan kepalang. Aku bangun dari perbaringan dan lantas mengejut suamiku. Aku memeluknya dan menangis.

MAK LONG – Dari cerita mak yang disampaikan oleh saudara maraku, Mak long diserang angin ahmar dan lumpuh satu badan. Apa yang memeranjatakan semua, selepas seminggu dari ditimpa penyakit tersebut dia kembali sihat semula. Mereka menjadi takut untuk menziarahinya kerana kata mereka dia bukan seperti mak long. Selera makannya berlainan benar, pandangan matanya tajam dan dia sering ketawa sehingga mengilai. Tiada lain melainkan perasaan benci dan rasa terkilan aku padanya, semua kerana beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang aku bertunang dan berkahwin.

NEK JAH– Sejujurnya aku rindu pada wanita ini namun kata mak ini bukanlah masanya yang tepat untuk aku bertemu dia. Mak takut kalau dia ingin menyerahkan saka kepada aku memandangkan sejak akhir-akhir ini kekerapan aku bermimpikan beliau yang datang ingin menyerahkan sebuah peti kepadaku. Kata Mak, Nek Jah sedang sakit terlantar dan kini menggunakan lampin pakai buang kerana tidak mampu lagi untuk bangun. Dia kita dijaga oleh anak lelakinya, iaitu Pakngah Ipin. Rumah pusaka arwah moyang juga kini ditinggalkan kosong tidak berpenghuni. Hanya didatangi anak2 Nek jah kadang kala sahaja untuk dibersihkan.

Tahun ini genaplah 8 tahun usia perkahwinanku. Dan sepanjang tempoh ini aku tidak pernah bertemu bersua muka dengan dengan mak long dan Nek Jah melainkan dalam mimpi. Begitu juga putih si hulubalang dan sisik cantik puteri. Mereka sudah lama tidak hadir tetapi kini muncul kembali dalam mimpi datang bersama arwah moyang dan Nek Jah. Tambah buruk lagi, adikku diyana juga sudah mula didatangi mimpi mereka. Buat pengetahuan kalian, aku dan suami masih belum lagi dikurniakan zuriat. Selama tempoh 8 tahun ini pelbagai usaha termasuk berjumpa doctor pakar dan menjalani rawatan islam bersama para2 ustaz.

“Biduk berlalu kiambang bertaut”. Seikhlas hati, aku dah lama memaafkan mereka. Cuma aku terkilan kenapa sampai begini sekali mereka mempergunakan aku untuk meneruskan warisan keturunan ini?Sedih kerana hidup aku dari kecil hingga remaja dimanfaatkan dengan ilmu duniawi sehingga membawa aku syirik pada Allah. Ya Allah, sedihnya hatiku tiada siapa yang mengerti. Buat kalian, aku mohon dititipkan doa agar aku diberi keampunan dari Allah dan disembuhkan penyakit yang aku alami kini. Kata suamiku, semoga sakit dan kifarah ini adalah medium sebagai penghapus dosa2ku yang lalu. Katanya dia tidak pernah putus doa agar aku diampunkan dosa, diberikan kesembuhan dan dimasukkan ke dalam syurga.

“Andai ada sumur di ladang, izinkan saya menumpang mandi. Kalau ada umurku panjang,pasti kita berjumpa lagi”. InsyaAllah.Wassalam.
-CikEdot

37 thoughts on “MOYANG 2 : MAK LONG & NENEK”

  1. mnarik ceritanye.. tp agk confuse, knape mak awk masih biarkan awk melepak dgn nek jah n mak long sbl ni..even dah tau yg mereka ni ade membela? hmm. hopefully ade sambungan, nak tau lbh detail psl gangguan yg dibuat oleh maklong spjg awk bertunang n kahwin. ppe pun smoge awk sentiase dilindungi Allah swt.

    Reply
    • Maybe nak halang sgt pon susah sbb dh mmg sedara rapat kan…
      Pastu kerap jumpa plak…
      Nnt nk berkeras sgt kot ade yg tersinggung buat cara kasor payah gak…
      Ape yg mak die mampu buat mengawasi seboleh mgkn dan perbanyakkan doa mohon perlindungan Allah…

      Reply
      • Terima kasih lala atas doamu..

        Benar Kak yulie….sebenarnya mak tak pernah sangka akrabnya sy dgn nek jah & mak long hingga sampai ke tahap demikian.silap sy krn terlalu berahsia pd mak. bila mak dah tau,dia cuba halang…malangnya ketika tu agak terlewat krna sy lebih “patuh” arahan mak long.rentetan dari itu,mak long sanggup mngajar sy “mengguna2” kan mak..sejujurnya,sy malu dan sedih utk berkongsi ? seandainya ada kekuatan dan ruang,akan sy nukilkan buat pedoman kalian…mohon dititipkan doa buat sy dan mak.kami berada dalam kesihatan yg tdak memberansangkan…t.kasih lala n kak yulie

        Reply
  2. Terbaik kak!!! Saya doakan akak cepat cepat dapat zuriat yaa. Mungkin Allah nak bg rezeki berganda lagi. Mana tahu dapat kembar kan.

    Reply
    • Sayangnya….usia remajaku terisi dgn ilmu duniawi ??? semoga sy mendapat keampunan Allah..insyaallah jika tiada kekangan sy akan sambung cuma buat masa ni,kesihatan x mengizinkan.

      Reply
    • Jujur sy katakan….adakala sy menangis hiba krna mengenang ini semua.Memori ini bukan seperti makanan yg disuap kemudian terhadam,tapi ia ibarat luka tertoreh walau sembuh parutnya tetap ada….pelbagai rasa bersilih ganti,suka duka rindu dan dendam.,??

      Reply
  3. Dah agak dah sbnrnye, kalau xdpt sis cikedot ni, adik dia next target.. nauzubillah..
    Semoga diberi kesembuhan dan diampunkan dosa dosa yg silam.. Aamiin..

    Kalau sis ada ank pun, jg la elok2.. mmg bnde ni akan terus terusan target keturunan.. sbb janji syaitan yg direjam kepada Allah, akan menyesatkan manusia hingga kiamat..

    Reply
    • Allahu..terima kasih atas doa awak.aminn…
      Benar..kesian pd adik sy.skrg sedang menuntut di ipta,seorg pelajar pintar ttp akibat gangguan dr mimpi dan penampakan “belaan” mak long buat adik sy semakin takut dan stress.semoga dia dalam perlindungan Allah.
      Perjanjian yg termeterai antara arwah moyang sy dgn seteru…”selagi ada bulan dan bintang,kalian kekal menjadi penjaga keturunanku”….Allahu,semoga kami dan keturunan seterusnya dalam perlindungan dan rahmat Allah.

      Reply
  4. Seriously, sebelum baca cerita ni rasa resah sangat,tapi bila baca terjemahan surah yasin waktu mukadimah tu rasa aman balik hati ni

    Reply
    • Alhamdulillah….itulah ayat yg sy amalkan bila kerap diganggu.yakin dgn kalam allah,sesungguhnya Dia Maha Pelindung.insyaallah

      Reply
      • Saya pernah pergi berubat pasal hal2 ni. Saya faham sangat tentang zuriat tu. Semoga Allah kurnia kan zuriat yg soleh dan solehah buat kalian suami isteri.saya penah diganggu selepas kahwin ,dek kerana makhluk Allah ni marah benar saya kahwin.

        Saya bleeding smpai 2 bulan lepas kahwin. Dan sakit2 badan. 3 pakar gyne saya jumpa semua cakap rahim saya clear x da masalah apa2. Mungkin hormon atau pcos. Tapi result semua normal. Dr. Pun pelik sebab tak ada punca bleeding saya tu.Akhirnya beralih keperubatan islam .Alhamdulillah skrg makin pulih selepas berubat dengan seorang imam di utara . Tapi masih juga belom dikurniakan zuriat. Belom sampai masanya kali.

        Apa pun, semoga tabah dan semoga Allah permudahkan dan ringankan beban saudari.

        Reply
        • Salam sis…trima kasih sudi berkongsi kisah awak.sy ada juga cuba berubat dgn bbrapa org ustaz slepas dah beberapa kali bertemu doktor..seperti apa yg diberitahu ustaz,gangguan saka dan makhluk2 lain mnyukarkan sy utk lekat.pernah sy lewat dtg haid,kebetulan masa tu di kampung.sy mandikan anak buah,tiba2 anak buah usap perut saya…”kesian aunty,momok makan baby aunty”…terperanjat saya.sy doakan awak juga dipermudahkan urusan dan punyai zuriat kelak.amin

          Reply
  5. Arwah atuk saya juga pernah ajar ayat dan saya amalkan masa remaja belia dulu. jahilnya waktu tu. antara ayatnya sehingga tanggal kuku dan isi baru kau lupa padaku. nauzubillah bila dah tau benda macamni rasa takut pulak.

    Reply
  6. InshaAllah ada rezeki beroleh anak nanti, sentiasa sabar dan perbanyakkan ibadah dan berdoa, dikurniakan suami yang memahami pun satu rezeki juga kak

    Reply

Leave a Comment