Assalamualaikum. Pada admin dan kawan-kawan di FS. Terima kasih juga pada kawan-kawan yang bagi sokongan pada Nana menulis. Akhirnya identiti diri terpaksa didedahkan setelah lima cerita Nana hantar di FS. Masih lagi tiga kisah abah yang Nana hendak kongsikan, harap janganlah bosan membacanya. Lagipun Nana bukan penulis, hanya sekadar berkongsi cerita serta pengalaman abah dari zaman kecil, remaja hingga dewasa. Kali ini ceritanya mungkin kurang seram tetapi lebih kepada misteri nusantara… Okeylah mari ikuti perjalanan ceritanya.
KISAH SATU- AKU DAH SERIK…!!!
Dalam tahun 1968, ketika itu umur abah 12 tahun, ketika ini sifat nakal dan degil sememangnya sinonim dengan abah. Memandangkan usia abah yang sedang meningkat remaja, pelbagai aktiviti abah dan kawan-kawan seangkatan dengannya lakukan. Antaranya adalah, seperti memikat burung, ayam hutan serta masuk hutan memasang perangkap haiwan terutamanya landak. Sedang abah berjalan pulang dari memikat burung terkukur bersama kawan baiknya (Rahman) berserta sepupunya…, (Kasim, dalam cerita kedua BERTEMU BUKU DENGAN RUAS, kisah santau), mereka terpaksa melalui beberapa laluan kecil yang dikiri kanannya dipenuhi dengan hutan kecil serta ditumbuhi pohon-pohon liar. Waktu itu suasana sudah menginjak ke tengah hari. Kemudian mereka bertiga perlu menempuh satu kawasan tanah yang tidak berapa luas milik Haji Leman.
Memandangkan ingin berbudi kepada tanah dengan rajinnya Haji Leman telah menanam beberapa pokok buah-buahan, antaranya manggis dan rambutan. Sedang mereka berjalan merentas semak dan belukar terpandang abah akan buah rambutan yang masak merah meranum di atas pokok, maka mulalah menggamit perasaan abah, Kasim dan Rahman saat itu. Lalu, berkira-kiralah abah and the gang ingin merasai nikmat manisnya buah rambutan tersebut. Sedang ralit abah memanjat dahan disalah satu pokok rambutan itu sambil diperhatikan oleh Rahman dan Kasim dari bawah, tiba-tiba mereka disergah oleh Haji Leman, tuan tanah itu.
“Woii…!!! Buat apa tu..!!? Korang nak curi buah rambutan aku ye…!!?”
Terperanjat abah, nasib baik tidak jatuh dari dahan pokok rambutan tersebut. Manakala Rahman dan Kasim berpeluh menahan gentar, takut mereka diapa-apakan oleh Haji Leman. Manalah tidak takutnya, mereka bertiga sedang melakukan kesalahan iaitu mencuri. Sudah tentulah perasaan takut sedang menguasai diri. Lalu Haji Leman berdiri dihadapan Rahman dan Kasim sambil abah turun dari pohon rambutan.
“Aku kenal mak bapak korang, jangan sampai aku bagi tahu apa yang korang buat…!” Haji Leman memberi amaran. Justeru itu abah, Kasim dan Rahman meminta maaf akan keterlanjuran mereka. Kemudian sempat abah bertanya pada Haji Leman.
“Haji, memandangkan haji dah ada kat sini, boleh tak bagi kami setangkai dua rambutan? Banyak tu, merah-merah lagi…” Sambil memuncungkan mulut menunjuk ke arah rambutan yang merah meranum itu.
“TAK BOLEHHH….!!!!” Ringkas jawapan kedekut dari Haji Leman.
“Berambus korang dari dusun aku….!!!!” Demikian sambungan seranah dari Haji Leman, sambil mengacukan parang kontotnya. Terpempan abah mendengar jawapan bakhil aka kedekut dari Haji Leman. Sebenarnya Haji Leman memang terkenal dengan pelokeknya. Biarlah buah rambutannya hitam membusuk didahan atau jatuh ketanah dimakan kerengga namun hendak disedekah atau diberi pada orang…, tidak sekali-kali. Kalau hendak haruslah membeli darinya. Haji Leman hanya berbudi pada tanah tetapi tidak mahu berbudi pada manusia. Tetapi abah tidak berpuas hati, sakit benar hatinya mendengar jawapan Haji Leman itu, lantas abah telah membuat satu rancangan dan rancangan itu dipersetujui oleh Rahman dan Kasim. Agendanya menunggu malam nanti.
Malam yang dirancang pun tiba…., abah berserta Kasim dan Rahman berjalan meredah dikepekatan malam. Gelap, langsung tidak kelihatan kecerahan bulan dan ribuan bintang dilangit. Hanya berbekalkan lampu minyak tanah milik Kasim. Sesekali terdengar guruh dilangit menandakan kemungkinan hari hendak hujan.
“Jai rasanya macam nak hujan malam ni..! Kau pasti ke nak teruskan rancangan kita…!!”, Kasim bersuara gelisah. Ada resah diwajahnya.
“Pasti..!! Apasal..? Kau takut..!?” Balas abah angkuh.
“Mana ada takut. Tapikan orang kampung cakap, kat kawasan tanah Haji Leman tu ada penunggu…!!”
Kasim berjalan mengikut langkah abah yang semakin laju menuju ke destinasi. Sambil Rahman mempercepatkan hayunan langkahan kakinya mengekori langkah abah dan Kasim.
“Ya, aku ada dengar tapi…, bukan penunggu. Belaan orang tua kedekut tu jugak…!” Abah membalas jawapan yang ditanya Kasim.
“Oooo….patutlah……..”
“Apa OOO….!!Diam boleh tak…!! Banyak sangat tanya, jalan cepat sikit boleh tak, lambat sangat…!! Kata macam dah nak hujan ,tapi jalan macam pengantin…!!!”, Terus abah memintas ayat yang tidak sempat hendak dikeluarkan dari mulut Kasim. Kasim mulai diam, malas hendak membalas kata. “Tanya pun tak boleh…?”, Kasim bermonolog sendirian. Namun Rahman pula mendekati abah dan menyuarakan ketidakpuasan hatinya. “Malam-malam ni nampak ke..? Kenapa tak tunggu siang…?”. Abah mula mengerutkan dahi mendengar soalan Rahman. “Takpelah malam, kita ambik je mana yang boleh, siang tadi pun kita dah terserempak dengan tuan tanah. Tak lama, sekejap je…” Lalu sampai sahaja tempat yang dituju, abah pun mengarahkan Kasim dan Rahman tunggu dibawah, sementara abah memanjat pokok rambutan tersebut. “Aku nak cantas habiskan semua yang bahagian bawah ni,korang kutip rambutan dari bawah. Atas tu biarkan je,gelap tak nampak, takut aku jatuh karang..! Kasim kau tolong halakan lampu tu kat aku dari bawah. Man kau tengok-tengok sekeliling, kalau-kalau ada orang…!!”
Abah memberikan tugasan pada kawan-kawannya. Memang malam itu abah hendak membalas dendam terhadap Haji Leman. Walau apabila difikirkan memang mengarut. Sudah tentulah mencuri itu salah (jangan tiru aksi ini), tetapi sudah minta izin pun tidak diberinya juga. Bersungguh-sungguh abah cuba memanjat dahan pokok rambutan itu walaupun hanya berbekalkan lampu minyak tanah yang dipegang Kasim. Tiba-tiba…., PRAKKKK…. jelas kedengaran bunyi seseorang sedang berjalan seperti memijak ranting kayu atau daun kering. PRAKKKK…..PRAKKKK…..Abah, Kasim dan Rahman berpandangan sesama mereka. Meliar mata mereka mencari arah manakah bunyi itu.
Abah cuba meninjau sekeliling dari atas dahan pokok. “Kasim… ko suluhlah sana bodoh..! Yang ko suluh muka aku buat apa…! Ko nak tengok lubang hidung aku ke…!!!?” Marah abah. Lalu Kasim pun menyuluh sekeliling dusun, memandangkan lampu minyak tanah hanya ada satu sahaja ditangannya. Namun tiada apa yang kelihatan..,gelap. Yang kedengaran hanya bunyi cengkerik dan unggas hutan sahaja yang bersahut-sahutan sejak dari tadi.
PRAKKKK…. PRAKKKK….PRAKKKK….., kedengaran lagi. Makin lama semakin dekat bunyi itu. Tiba-tiba pokok yang abah sedang duduk didahan itu bergoyang-goyang seperti ada yang menggoncang. Kasim dan Rahman sudah bermandi peluh menahan ketakutan. Tiba-tiba abah memandang disatu tempat, seakan sedang memandang “sesuatu”. Begitu ralit abah memandang sehinggakan tanpa abah sedari kawannya yang dua orang itu telah lari lintang-pukang meninggalkannya diatas pokok. Mata abah masih lagi ralit memandang. Sedang abah cuba untuk memastikan benda apakah yang sedang dilihatnya, sedikit demi sedikit benda itu mula menunjukkan diri. Ya…, ia semakin hampir, walaupun gelap dikawasan itu tetapi bunyi PRAKKKK…., PRAKKKK…,PRAKKKK…,itu membolehkan abah mengetahui yang “DIA” semakin dekat. Kini….,”BENDA”itu sudah betul-betul berada dihadapan abah. Kemudian abah melompat terjun kebawah untuk bersedia bila-bila masa sahaja untuk membukajurus langkah seribu kalau-kalau ia terus menerpa kearah abah. Pembaca semua nak tahu apa yang sedang berada dihadapan abah….?
Satu benda bulat sebesar bola keranjang tetapi ia berbungkus dengan kain putih, pergerakannya hanya berguling- guling…seakan kita menggolekkan bola. Abah gelarkan dia…”HANTU BUNGKUS “. Benda itulah yang berada dihadapan abah sekarang. Didalam hati abah mula terfikir apakah yang harus abah lakukan? Berdiri tegak tanpa melakukan apa-apa sehingga kesubuh atau….lari sambil membiarkan sahaja benda itu mengejar dari belakang? Akhirnya abah membuat satu keputusan yang sangat hebat iaitu…., LARIII……..!!!!! Laju abah berlari meredah kepekatan malam itu, sesekali sempat abah menoleh kebelakang. Ya….,terlihat Sibungkus itu sedang mengejarnya dengan kelajuan yang sama abah berlari.
Bergolek-goleklah ia mengejar abah dari belakang, sehinggakan sesekali melantun-lantun Sibungkus akibat terlanggar batu atau pun lopak. Abah sudah mati akal dibuatnya untuk melepaskan diri dari Sibungkus itu. Lalu abah berhenti sebentar ditepi satu rumpun buluh kerana terlalu penat berlari dikejar Sibunkus. Termengah-mengah abah menahan lelah. Terasa dilengannya rintik-rintik hujan mulai menitik. “Apa punya jadah hantu ni, tak penat ke kejar aku..!!? Taknak pulak terkoyak kain dia..,hantu jenama apalah belaan Haji Leman ni…!!?” Abah bersuara sendirian. Kemudian abah menoleh lagi kebelakang untuk memastikan Sibungkus sudah tiada. Namun…,telahan abah salah sama sekali, Sibungkus tetap ada dibelakang abah jaraknya antara 3 depa sahaja. Ia tetap statik diatas tanah. “Huih….Ada kau kat belakang…!!” Abah bermonolog sendirian. “Takpe…kawan aku lagi hantu dari kau..! Sampai hati diorang tinggalkan aku…!!!” Abah merungut lagi.
Tiba-tiba dalam abah mengomel sendirian, abah terdengar satu suara dirimbunan pohon buluh itu. Seakan suara perempuan sedang ketawa tapi halus sahaja bunyinya. HEE…HEE…HEE…HEE…HEE…HEE…HEE… “Sapa lah yang gelakkan aku ni…?” Abah bertanya sendirian. HEE…HEE…HEE…HEE…., abah terdengar lagi. Kali ini abah sudah bertekad hendak melihat siapakah yang sedang asyik menggelakkannya. Berpaling sahaja abah kerimbunan buluh itu terlihat abah satu sosok seseorang, berpakaian putih lusuh dan labuh dengan rambutnya yang panjang terjurai ketanah, walaupun ketika itu samar-samar keadaan suasana ditempat itu tetapi abah masih boleh lagi nampak dan pasti dengan apa yang dilihatnya.
Kemudian pontianak itu kelihatan semakin dekat menghampiri abah. “Ha….kau pontianak, aku ingatkan perempuan gatal mana tadi gelakkan aku…!!” Terus abah lari tak cukup tanah meninggalkan pontianak yang mulai mengilai-ngilai saat ditegur abah. Namun abah sempat mengerling kebelakang untuk memastikan Sibungkus tadi tidak mengejarnya lagi. Tetapi Sibungkus tetap setia mengejar abah walaupun pontianak yang masih berdiri statik dirimbunan pohon buluh itu masih lagi mengilai dan ketawa seolah terhibur melihat gelagat abah dikejar Sibungkus itu. Sehingga terkeluar suara abah menjerit kerana ketakutan. “AAAA…..Udah le tu ngejor aku….,takkan sekali dua ekor nak kacau aku malam niiiiii….!!!!” Kemudian sampai sahaja abah dilaman rumahnya.., ada sedikit keberanian datang dalam diri abah.
Lalu dengan segera abah ambil pelepah kelapa lalu dilibas-libas Sibungkus itu dengan pelepah tersebut, seperti mana abah pernah melibas sililin dahulu. “Ha….ambik kau…,ambik kau…,kejar aku lagi..!! Meh sini dekat lagi..,aku pepah kau hantu bodoh…!!” Sambil menghayunkan pelepah kelapa kearah Sibungkus itu. Di saat itu…., kata abah langsung tidak terfikir dikepalanya segala Surah,ayat pendinding atau ayat Qursi untuk dibacanya…apa yang ada dikepalanya hanya pelepah kelapa..!! Dalam keadaan takut-takut hendak melibas Sibungkus itu timbul pula perasaan seronok, kerana ketika abah menghayun-hayunkan pelepah itu, bergolek-goleklah Sibungkus itu kekiri kekanan diatas tanah yang lecak, sehingga berkecah-kecah air lecak dibuatnya. Mungkin disebabkan hujan lebat mulai turun sebaik abah tiba diperkarangan halaman rumahnya menyebabkan tanah lanar mulai berlecak. Kata abah lagi, disebabkan hujan sudah turun menderu malah semakin lebat, tiba-tiba Sibungkus itupun terus ghaib dari pandangan abah.
Keesokannya abah ada bertanyakan tentang belaan Haji Leman itu pada arwah atuk. Benarkah benda yang berbentuk bola berbungkus kain putih itu belaan Haji Leman dan apakah yang ada didalam kain tersebut..? Lalu jawapan atuk…..”YA…MEMANG ITU HAJI LEMAN PUNYA…, UNTUK JAGA TANAH DIA, SENANG NAK KEJAR KALAU ADA PENCURI WAKTU MALAM….ENTAHLAH BAPAK PUN TAK TAHU…., BAPAK DENGAR KAT DALAM KAIN TU ADA KEPALA….!!!” Terkedu abah mendengar jawapan dari arwah atuk dan abah sendiri tidak tahu akan asal usul hantu bungkus tersebut, KEPALA APA ataupun SIAPA. Dan…,walaupun itu adalah pertama kali abah cuba untuk mencuri tetapi rasanya….itu adalah perkara terakhir dia melakukannya kerana terasa serik apabila dikejar hantu bungkus dan sekali gus terserempak dengan pontianak. Lalu suara hati abah mula menerjah kejiwa dengan keinsafan, “AKU DAH SERIK……!!!!”
KISAH DUA- TUJU PENGANTIN…..
Beberapa tahun lepas abah dan emak ada mengikut rombongan pengantin ke Pahang. Sepupu emak (Azli) kahwin dengan orang Pahang, nama daerah tu biarlah rahsia. Ada empat buah kereta dari pihak pengantin lelaki datang mengikut rombongan. Memandangkan rombongan pengantin lelaki dari Selangor, maka keluarga sebelah perempuan telah menyewakan sebuah homestay untuk keluarga lelaki. Sampai sahaja abah and family disana, masing-masing kagum dengan homestay tersebut sebab rumah itu abah kata besar…,kiranya banglo setingkatlah. Halaman luarnya punyalah luas.
Tetapi tidak diketahui kenapa anak-anak tuan rumah tidak mahu tinggal dirumah itu selepas ibubapa mereka meninggal dunia. Masa ni aku tak ikut sebab malas hendak berjalan sebab baru sahaja baik dari demam. Tetapi sebenarnya bukan kisah rumah itu yang aku hendak ceritakan. Sebab kata abah tidak ada apa yang menakutkan fasal rumah itu kecuali ada satu gambar lama seorang wanita dilihat sedikit menggerunkan. Gayanya seperti orang zaman 60an mengikut dari segi pakaian yang dipakainya dan boleh tahan besar juga saiz gambar itu serta siap diframe cantik tergantung kemas diruang tamu. Melihat pada dari raut wajahnya seakan-akan hidup dan kalau dipandang lama, seakan kelihatan bertukar menjadi nenek tua yang sedang menjegilkan mata malah matanya juga seakan hidup seperti dia pula yang memerhatikan kita(begitulah kata abah). Tetapi…. Alhamdullillah,
sepanjang dua hari tinggal disitu tidak ada sebarang gangguan walaupun ada bayi dan kanak-kanak.
Dan ini kisah sebenar yang ingin aku ceritakan….
Keesokan tengah hari selepas solat zohor di sebuah masjid di daerah tersebut. Kebanyakan jemaah sudah ramai yang pulang kecuali ahli keluarga lelaki, keluarga perempuan,sahabat handai dan beberapa orang kampung. Pengantin perempuan dan kesemua hadirin sudah sedia duduk ditempat masing-masing. Maka acara akad nikah akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja. Gementar, gelisah semuanya bercampur baur didalam diri pakcik Azli. Imam dari masjid berkenaan mula menghulurkan tangan bersalam dengan pakcik Azli. Segala sesi soal jawab pada pengantin lelaki sudah selesai maka berlangsunglah majlis akad nikah. “Aku nikahkan dikau dengan Fauziah binti Arshad dengan mas kahwin sebanyak RM600.00 tunai…..” Sambil imam menghayunkan tangan pada pakcik Azli. Tetapi pakcik Azli hanya…. “Aku….aku…..aku……aku……” Yang kedengaran hanya aku, aku, aku dan aku. Lagi sekali imam melafaskan akad tetapi tetap..,”Aku….aku….aku….aku….” Adalah dalam lebih kurang enam kali salam dan hayunan sehingga berpeluh-peluh imam dan para hadirin yang hadir.
Pengantin lelaki tidak usah cakaplah sampai basah baju melayu yang dipakainya. Saat itu abah sudah rasa ada sesuatu yang tidak kena, lantas pakcik Azli dan atuk ucu (bapa pakcik Azli) segera abah panggil. “Masa kau nak akad tu apa yang kau rasa…?” Abah bertanya pada pakcik Azli. “Tak boleh langsung nak keluar suara, macam tersekat dekat kerongkong. Dada ni asyik berdebar- debar je,panas pun ada….” Pakcik Azli menerangkan keadaannya. Lalu atuk ucu berbisik sesuatu kepada abah.”Cuba kau buat sesuatu, aku rasa ada orang kacau dia….” Abah hanya mengangguk sahaja.
Jadi, tamatlah sesi berehat separuh masa pertama untuk pengantin dan acara berlangsungnya majlis akad nikah di separuh masa kedua mula bersambung. Buat kali ketujuh imam bersalam dan sebaik sahaja tangan dihayunkan terus sahaja abah memegang belakang pakcik Azli dengan telapak tangan kanannya dan membaca beberapa ayat. Dengan izin Allah.., sekali lafas sahaja pakcik Azli dapat melafaskan akad nikahnya. Syukur alhamdullillah…, kalau tidak terpaksalah pakcik Azli mandi air bunga. Sebenarnya…, semasa kejadian itu abah sudah terasa ada sesuatu yang tidak kena, ini kerana abah ingin memastikan bahawa adakah pakcik Azli terkena gangguan atau hanya masalah gugup. Iyalahkan orang hendak menikah, mestilah gugup hendak berhadapan dengan jurunikah dan mata-mata orang sekeliling yang melihat. Jadi, selepas sudah dapat memastikan apa yang sedang berlaku barulah abah segera bertindak walaupun sedikit terlambat.
Sebenarnya semasa sesi pertama lagi abah sudah terlihat ada seorang lelaki duduk betul-betul disebelah pakcik Azli. Apabila ditanya pada bapa pengantin perempuan siapakah lelaki itu,abah dimaklumkan lelaki itu bukan saudaranya tetapi hanya jiran sekampung. Ditangannya ada beberapa keping tisu muka dan apa yang abah lihat seperti dia sedang melipat sehelai tisu dalam bentuk tiga segi, lalu di masukkan tisu itu dibawah bantal tempat duduk pengantin lelaki semasa hayunan akad nikah yang pertama lagi. Begitulah seterusnya dia melipat tisu itu lalu dimasukkan kebawah bantal sehingga hayunan akad yang keenam. Semasa itu abah duduk jauh sedikit dari pengantin, jadi sudah tentulah abah ternampak akan perlakuannya. Selepas menempuh beberapa kali akad yang tidak menjadi, akhirnya selepas akad yang ketujuh dalam separuh masa kedua (macam bola sepak pulak), dengan izin Allah dan sedikit bantuan abah yang tidak seberapa, pakcik Azli sah bergelar suami kepada Fauziah binti Arshad.
Tetapi….!!! Lelaki yang telah mengenakan tuju pengantin kepada pakcik Azli itu datang bertemu abah sambil menghulurkan salam kepada abah. Salamnya disambut abah ,tiba-tiba dengan angkuhnya dia bersuara perlahan pada abah. “Tahniah….!!Sebab kamu dah berjaya mematahkan serangan aku….” Abah tersenyum faham akan maksud kata-kata orang tua itu,lalu dengan slumber abah menjawab…”Terima kasihlah, sebenarnya kami memang tak tahu style orang sini. Kalau ada yang tersinggung tu maaflah. Dari luar jangan dianggap kosong,mungkin ada ISI di dalamnya, mungkin isi tu BANYAK dan PENUH pulak. Tak apelah benda dah jadi, lagipun kesian tengok pengantin kan….?”
Demikian ayat perli abah pada lelaki itu. Dengan perasaan malu lelaki itu terus keluar dari masjid. Kemudian datang imam yang menikahkan pakcik Azli itu tadi kepada abah. “Biar je, dia memang macam tu, pantang tengok orang luar datang nak menikah,tambah-tambah dengan anak dara kampung ni….memang kena kacaulah dengan dia. Saje nak test power…,tapi tak sangka pulak terjumpa dengan orang ada ilmu…hahaha….!!!!” Jelas imam itu sehingga tertawa. “Takpelah…. Saya tolong setakat yang termampu…” Balas abah merendah diri. Alhamdullillah….., segala perancangan berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Majlis perkahwinan pakcik Azli dan isteri berlangsung dengan meriah tanpa sebarang gangguan.
KISAH TIGA- ORANG TUA MISTERI….
Dalam awal tahun 2010 abah telah terlibat dalam kemalangan sewaktu hendak pergi ke tempat kerja. Motosikal yang abah bawa telah dirempuh lori membawa ais. Saat dikhabarkan berita tersebut mengeletar kepala lutut aku apabila diberitahu kemalangan tersebut. Aku dan emak hanya mampu bertawakal dan berdoa sahaja kepada Allah agar abah selamat. Lantas aku dan emak berkejar ke hospital dan sampai sahaja dihospital abah sedang berada di zon merah. Lama juga menunggu semasa abah didalam zon merah. Selesai segala prosedur, kemudian abah dihantar ke ward tingkat lima. Ketika di ward emak diberitahu oleh doktor yang merawat abah, selepas doktor melihat ujian xray abah, kelihatan ada 10 patah didalam badannya. Tulang serangka sebelah kiri patah 9 dan 1 tulang bahu. Adalah dalam sepuluh hari abah didalam ward. Peneman setia abah sudah tentulah emak dan ramai juga saudara mara yang datang menjenguk abah termasuklah kawan-kawan abah dari tempat kerja. Apa yang ingin aku ceritakan ini adalah ketika hari ketujuh abah didalam ward.
Badan dan dada abah terasa sakit, terasa amat berat sekali untuk bangun, tambahan pula abah telah diberi ubat tahan sakit oleh seorang staff nurse yang memeriksa keadaan abah. Emak sejak dari tadi tidak kelihatan, sebab katanya hendak turun ke kantin. Petang tadi katil didepan abah yang kosong itu sudah menerima pesakit baru. Memandangkan abah tidak mampu bergerak hanya dapat melihat dengan ekor mata sahaja jadi abah masih boleh dapat melihat segala situasi didepannya. Apa yang sedang abah lihat didepannya, keadaan seorang lelaki yang mengalami bengkak gusi yang teruk. Seperti yang dilihat, lelaki itu tidaklah tua mungkin umurnya dalam lingkungan 40an. Dikhabarkan dia mengalami bengkak gusi yang teruk sehingga menampakkan bengkak di sebelah mukanya. Mengikut apa yang diceritakan isterinya kepada emak, beberapa hari lalu pada mulanya suaminya hanya mencabut gigi geraham di klinik gigi tetapi selepas itu sakit bahagian cabut itu tidak juga sembuh, malah keadaan gusinya bertambah teruk sehingga membengkak dengan lebih besar.
Disebabkan itulah dia terpaksa menghantar suaminya ke hospital. Malam itu terlewat sedikit emak solat Isyak, lalu emak meminta izin pada abah untuk menunaikan solat. Terasa ada sedikit kelegaan didada abah malam itu. Tidak seperti sebelumnya dimana tulang-temulang terasa seperti dicucuk-cucuk dan ngilu apabila abah cuba menggerakkan badan. Mungkin juga kerana kesakitan yang abah rasa beberapa hari itu telah berkurangan atau sedikit lega kerana kesan ubat penahan sakit yang diberi staff nurse. Kelihatan ramai pesakit sudah mulai tidur termasuklah lelaki yang mengalami bengkak gusi itu, sesekali abah terdengar seperti dia sedang mengerang dalam tidur, kemungkinan bengkak gusi yang dihadapinya terlalu sakit yang tidak boleh digambarkan. Lelaki itu hanya bersendirian tanpa ada yang menemani.
Dalam abah terkial-kial mencari rentak matanya untuk tidur, tiba-tiba abah ternampak kelibat dari jauh seorang lelaki tua (lebih tua dari abah) berjanggut putih, berjubah putih serta berkopiah putih berjalan perlahan didalam ward, malah pakcik guard yang berdiri di tepi pintu masuk pun langsung tidak mengendahkan kehadiran orang tua itu. Selalunya kalau ada pelawat datang waktu malam, guardlah yang beria-ia menyuruh pelawat keluar dengan segera. Tetapi kehadiran orang tua itu langsung tidak diendahkannya. Termasuklah staff nurse yang sedang memeriksa keadaan tekanan darah pesakit di katil berhampiran, langsung tidak perasan atau menoleh ke arah orang tua itu yang kebetulan lalu disebelahnya. Terdetik dihati abah, siapakah gerangannya orang tua itu? Sedangkan ini bukan waktu melawat melainkan pesakit perlu dijaga oleh ahli keluarga terdekat.
Doktor ke..? Langsung tidak kelihatan seperti doktor, sebab dia memakai jubah. Sebenarnya itu persoalan abah yang sedang bermain-main difikirannya. Makin lama semakin hampir orang tua itu berjalan, kemudian orang tua misteri itu terus ke arah katil lelaki yang bengkak gusi itu sambil dia berdiri mengadap lelaki itu tanpa berkata apa-apa. Langsung tidak dipandangnya abah yang begitu ralit memandangnya. Sayu sahaja renungannya pada lelaki itu, seolah-olah sedang mengucapkan selamat tinggal. Kemudian…, secara tiba-tiba lelaki yang bengkak gusi itu mulai diam…. Sedangkan sejak dari tadi abah mendengarnya mengerang walaupun dalam tidur. Tetapi abah langsung tidak mendengar erangan lelaki tersebut.
Tetapi orang tua misteri itu tetap juga tidak berganjak, hanya berdiri statik dihadapan lelaki itu tanpa menoleh sedikit pun pada abah atau sesiapa pun disitu. Kemudian datang seorang staff nurse ke katil abah untuk memeriksa tekanan darah. “Nurse, boleh tengok dia tu tak..,saya rasa dia macam dah takde….” Abah bersuara lemah sambil menunjukkan isyarat mata ke arah lelaki bengkak gusi itu. Dengan menurut perintah, nurse itu pergi ke arah lelaki itu, lantas terus melihat keadaan lelaki itu dan memegang nadinya. Ada sedikit terkejut di riak wajah nurse itu lalu dengan segera staff nurse itu pergi memberitahu pada staff nurse yang lain termasuklah doktor yang berada di ward.
Kain tirai katil ditutup, jadi abah tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tirai tersebut. Akhirnya…., seperti sudah dijangka lelaki itu telah kembali ke rahmatullah. Seorang nurse telah diarah untuk menghubungi isterinya. Abah menahan sebak, baru petang tadi dia dimasukkan ke ward, itupun setelah dipaksa oleh isterinya. Tidak sampai beberapa minit isterinya pun sampai di ward, mujur sewaktu staff nurse menghubunginya dia baru tiba dihospital kerana pulang sebentar untuk mengambil baju dan keperluan untuk suaminya dihospital nanti. Tetapi, dia hanya dapat melihat suaminya dalam keadaan tidak bernyawa, hanya sekujur jasad suami didepannya. Sebelum isterinya pulang petang itu sempat dia bersalam dengan suaminya. Terlihat ada sedikit manik-manik jernih bergenang dikelopak mata suaminya, menggambarkan kesakitan yang ditanggung, serta… itu adalah kali terakhir dia melihat wajah isterinya dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya.
Kemudian didalam keadaan abah menumpang simpati melihat lelaki didepan katilnya yang telah pergi mengadap Illahi, terlupa abah fasal orang tua misteri itu. Tercari-cari abah akan kelibat orang tua misteri itu dan bila difikirkan semula semasa tirai katil lelaki itu ditarik dan didalam keadaan beberapa orang doktor dan staff nurse terkocoh-kocoh melihat keadaan lelaki bengkak gusi yang disahkan sudah tiada. Langsung tidak nampak akan kelibat orang tua misteri itu. Tidak sampai beberapa minit abah melihat keadaan “huruhara” didepannya, boleh pula orang tua itu hilang begitu sahaja.
Takkanlah abah langsung tidak perasan.., bukan jauh pun jarak antara katil abah dan lelaki yang meninggal itu. Pintu laluan keluar pun betul-betul disebelah kiri abah dan kalau dia ikut laluan tadi semasa masuk pun pasti boleh nampak. Lampu dihospital yang banyak dan terang pun tidak mampu membantu pencarian abah. Akhirnya…. “Hmmm, biarlah… mungkin bukan orang, sekejap sangat hilangnya….” Abah bersuara sendirian. Alhamdullillah. Abah kini sudah sembuh dan aktif melakukan kerja seharian, walaupun masih ada lagi baki-baki kesakitan yang tinggal.
Begitulah kisah dan pengalaman abah, ini bukan rekaan, ini benar-benar kejadian. Kalau nak harapkan pengalaman aku memang takdelah, sebab tak banyak. Harap pembaca semua sukalah baca cerita aku yang tak berapa nak seram dan best ni. Sampai seru aku akan menulis lagi dan lagi dan lagi….
Salam sayang dari aku si pembaca tegar FIKSYEN SHASHA.
Penulis bukan pilihan,
#nana
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
cerita yang menarik..kalau ada lagi kisah cerita lah lagi ye..
terbaik……… 10 bintang utk anda
”Terima kasihlah, sebenarnya kami memang tak tahu style orang sini. Kalau ada yang tersinggung tu maaflah. Dari luar jangan dianggap kosong,mungkin ada ISI di dalamnya, mungkin isi tu BANYAK dan PENUH pulak. Tak apelah benda dah jadi, lagipun kesian tengok pengantin kan….?”
Haaa…
Akk mmg suke style abah ko ni…
Tingat plak kat arwah abah akk…
Style abah pon camtu gak klu membidas org…
Bukan jenis nj memaki hamun x tentu pasal…
Cukuplah ayat ayat sinis yg makan dalam dituturkan dlm keadaan muke tersenyum yg penuh ketegasan…
Dan peel arwah abah tu mmg menurun sesungguh kat akk ni haa…
Sedih sgt part org bengka gusi tu…
Sedih sgt membygkan tu lah salaman+tatapan terakhir buat isterinya…
Cume mcm agak tertanya apa yg menyebabkan bengkak gusi tu jd serius dan jadik asbab kematian tu…
Teruskan menulis… best bace pngalaman bapa nana…
Kenapa cerita ni tak dikeluarkan, yg cerita kemudian tu dikeluarkan…habis kuota tepon makcik…min..amboiii..
Min…..kenapa cerita saya yg ni tak dikeluarkan kat fb…!? Harap baca mesej ni…!!!!! Kau terlepas pandang ke min..!!!!
Oh begitu…
kisah dr taon 1968 tp diceritakn dgn detail tmasuk perbualan….hmm.. confirm bnyk tokok tambah dlm penceritaan hingga meleret2 panjang… nampak sngt penipuan….
Terima kasih sebab itu semua satu penipuan…..orang yg bercerita tu hidup lagi….,dan meleret -leret cerita aku,itu akan diperbaiki,sebabkan bulan puasa aku maafkan engkau.
Suka dngr pengalaman abah ko… Legend la
oh ok
ABAH mmg lagend