#Nasa – Encik, saya dah bunuh orang.

#Psycothriller #CN.

Aku membetulkan skrin CCTV di pejabat. Aneh! Baru semalam rasanya pihak maintenant datang. Aku ketuk kotak televisyen itu beberapa kali. Kemudian duduk semula menghirup secawan kopi yang siap dibancuh. Mataku masih tak lepas dari melihat skrin CCTV. Sekeping roti bakar turut aku siapkan bersama, masih lagi panas. Sebagai penyedap tekak di malam hari. Boleh juga buat menghilangkan mengantuk.

“Kita tunggu esok pagi. Suruh orang tu betulkan semula.” Sapa rakanku Zubir. Duduk melunjur kaki di atas meja sambil membaca surat khabar. Dia turut menyanyi kecil mengikut lagu rancak di radio yang kami pasang.

Jam dinding sudah menunjukkan pukul 12, jam berbentuk bulat putih yang tergantung itu sudah makan usia hampir 2 tahun. Tidak pernah terniat antara kami membersihkan habuk yang besarang padanya. Bentuknya agak unik sebab menggunakan ukiran lama sebagai hiasan. Dinding berwarna pink itu nampak serasi dengan perhiasan tersebut.

Pintu depan terbuka, muncul seorang wanita. Rambutnya ikal mayang, panjang mencecah bahu. Mulanya dia sekadar berdiri tegak dan menunduk, kemudian baru dia berjalan perlahan lalu duduk di sofa lobi. Duduknya tertib dan sopan.

Lobi itu tidaklah luas, ruang depan hanya cukup menempatkan dua sofa. Lagipun hotel tempat kami bekerja itu hanya hotel murah. Suasana sepi. Wanita atau aku boleh katakan gadis, kerana susuk tubuhnya yang kecil dan kurus itu tidak menggambarkan seperti dia sudah berkahwin, terus duduk tanpa menoleh ke arah kami.

Dia kelihatan berpeluh, berbaju tshirt lengan panjang warna coklat, berseluar jeans biru yang sedikit lusuh. Duduk memandang lukisan yang tergantung di hadapan.

Kalau dari sudut aku, aku memandangnya dari sisi. Hidungnya jelas kelihatan kerana mancung, malah sebahagian wajah tertutup dengan rambut yang terjurai ke hadapan.

Zubir dan aku berpandangan. Lelaki itu mengangkat kening. Aku tahu dia lelaki yang miang. Pantang nampak wanita semua ingin dicuba.

“Cik… er… cik… ada apa boleh saya bantu?.” Aku tanya berhemah, gadis itu dari tadi tidak bercakap. Masih lagi duduk di sofa. Memandang kehadapan dengan kedua tangan diletakkan di atas peha. Tapi aku perasan ada sedikit luka di lengannya.

“Saya dah bunuh orang…” Ujar wanita itu masih tidak menoleh.

Aku dan Zubir sekali lagi berpandangan. Tidak tahu untuk percaya atau tidak. Lama juga aku berdiri terdiam. Masakan begitu mudah untuk seseorang mengaku jenayah berat sebegitu? Lantas aku berfikir mungkin gadis itu hanya bergurau. Kedua kami menoleh ke arah gadis itu semula.

“Saya dah bunuh orang…” Sekali lagi gadis itu mengulang. Masih dalam posisi tadi, duduk memandang hadapan dengan kedua tangan di atas peha.

Muzik rancak yang aku pasang bertukar kepada lagu inggeris lama di lobi itu secara tiba-tiba. Suasana luar sangat sunyi, tidak ada kenderaan lalu lalang. Lampu jalan cukup terang walaupun hanya satu yang terpasang. Hanya seorang pejalan kaki sahaja yang kelihatan, Namun beberapa saat kemudian pejalan kaki itu hilang dari pandangan.

Sekali lagi lagu inggeris lama nyanyian ‘Bryan Adama – I do it for you’ itu mengambil tempat di telingaku. Membuang minda dari berfikir tentang apa yang baru diucapkan oleh gadis berambut ikal mayang.

Gadis itu menoleh, berpaling menghadap aku. Sepasang anak matanya yang kelihatan hijau jelas menggambarkan yang dia berdarah kacukan. Kulitnya putih dan bibirnya merah, benar! Hidungnya mancung. Walaupun rambutnya tidak diurus baik, atau mungkin sahaja memang dia berdandan begitu, tapi dia kelihatan cantik! Untuk seketika aku terdiam, hanyut dalam keindahan wajah gadis persis dari Itali.

Gadis itu bangun dan berjalan mendekati kaunter pertanyaan, kali ini wajah itu lebih jelas di depan mata. Dia tidak tersenyum, berdiri tegak, sedikit menunduk namun rautnya muram. Tapi masih lagi manis pada pandangan mata aku.

“Saya dah bunuh orang….” Masih lagi gadis itu mengulang perkataan yang sama. Wajahnya redup memandang kami. Wajahnya umpama gadis belasan tahun. Comel!

“Cik dah pergi balai polis?.” Tanya Zubir.

Gadis itu menggeleng.

“Kenapa jumpa kami di sini?.” Tanya aku pula.

“Nak minta tolong.” Matanya yang bundar menerkam wajahku. Aduh! Ini yang aku lemah! Tapi aku kawal perasaan teruja tersebut. kalau nak diikutkan, wanita begitu lah menjadi pilihan, aku tidak lah kacak, tapi manisnya ada. Ramai sahaja gadis yang keluar masuk di hotel tersebut, tapi yang berada di depan sekarang ini, benar-benar menarik kalbu.

“Awak membunuh?.” Tanya Zubir teragak-agak. Memang tidak percaya. Dengan keadaan gadis itu yang lemah lembut dan cantik, dia tidak langsung dilihat sebagai pembunuh, lagipun dia nampak rasional. Mungkin sahaja ada sebab tertentu dia mengaku begitu. Gadis itu masih memandang aku, tidak langsung melirik ke arah Zubir. Sudah tentu sahaja kerana rupa parasku lebih menarik.

“Ya.. saya membunuh.” Gadis itu sedikit mengangguk. “Saya bunuh adik saya, mak saya dan tukang kebun saya.” Tuturnya lembut tidak langsung meninggi. Nampak tenang untuk mengaku satu kesalahan yang aku kira sudah pasti ke tali gantung. Lalu dia mula bercerita bagaimana dia melakukannya. Ibu, adik dan lelaki itu dibunuh kejam tanpa belas kasihan. Dia menggambarkan dengan bersungguh namun masih dalam keadaan tenang.

Aku terpaku mendengar cerita itu, atau sebenarnya aku terpaku dengan kecantikannya? Aku sendiri tidak pasti. Setiap kali berbicara, bibirnya menjadi perhatianku. Biarlah yang penting apa yang diberitahu gadis itu tidak langsung menerjah di kepala. Aku pandang susuk tubuh genit itu, kecil, molek…

Membunuh! Langsung aku tidak percaya!

“Kalau macam tu saya teman cik ke balai polis ya?.” Ujar Zubir tiba-tiba, dia menyuruh aku tinggal di lobi itu sementara dia yang akan menemani.

“Pergi sekali lah.” Jawab gadis tadi. “Saya risau kalau pergi berdua.”

Untuk kali ini aku bersetuju. Lalu aku dan Zubir meneman. Lobi itu aku tinggalkan, lagipun jarak balai polis tidak jauh, nanti selepas selesai, aku akan pulang ke hotel itu semula.

DALAM KERETA, aku sering menjeling melalui cermin belakang. Gadis itu hanya memandang ke luar tingkap. Dia tidak bersuara. Rambut ikalnya terbang lembut setiap kali angin menerpa, membelai wajah putih dan mulusnya.

Apabila gadis itu menoleh ke depan, cepat-cepat aku palingkan wajah. Berpura memandang ke arah lain.

“Boleh ke rumah saya dulu?.” Tanya gadis itu.

“Balai polis di depan sana cik.” Jawab Zubir.

“Saya tahu… tapi boleh ke rumah saya dulu?.” Tiba-tiba gadis itu menangis. Intonasinya sayu, kedua tangannya menutup wajah. Radio kereta memang kami tidak hidupkan, melalui keadaan dan situasi gadis itu, rasanya tidak sesuai, lalu kami semua terdiam.

Suasana sunyi itu menjadikan suara mendayunya sedikit menyeramkan. Zubir menoleh kearah aku, wajahnya mahukan jawapan, tapi aku pun tak tahu, bukan aku yang memandu.

kereta berhenti!

“Adik saya hidup lagi…” Jawab gadis tu tanpa ditanya. Air matanya merembes di pipi. Matanya sayu menoleh ke arah aku. Aku leka dan tenggelam dengan keayuan gadis kacukan ini. Penampilannya ringkas tapi menarik!

Sebenarnya aku dan Zubir tidak percaya, gadis itu membunuh. Pada fikiran aku sekarang, mungkin sahaja dia tertekan atau pun sedang mengalami masalah. Alah gadis zaman sekarang, suka mencari penyelesaian dengan lari dari masalah.

Gadis tadi menyeka air mata. Aku hulur tisu, dia menyambut dengan senyuman dan mengucapkan terima kasih. Suaranya lunak sesuai dengan dirinya yang aku kirakan paling indah pernah ku jumpa.

Kenderaan lain mula hon apabila Zubir memarkir agak ketengah dari laluan utama. Aku kerling jam di dashboard. Sudah 1.00 pagi.

Zubir membelok ke arah kanan, menyimpang dari jalan utama-menuju ke rumah gadis itu. Belum sempat aku tanya nama untuk lebih rapat, kerana pertemuan kami malam ini tidak sesuai untuk aku berkenalan, lantas aku tinggalkan niat tersebut, sengaja aku biarkan untuk hari berikut.

Gadis tadi berhenti menangis dan dia menoleh ke luar semula. Duduk bersandar dan perjalanan tadi diteruskan tanpa ada bicara.

KAMI SAMPAI di hadapan sebuah rumah yang sedikit mewah dari luar. Rumah berbatu. Di hadapan rumah tersebut penuh bunga.

Tulisan “Selamat datang” seolah-olah mengalukan kehadiran kami, diukir di hadapan pintu dan tergantung kemas, sebagai perhiasan. Ukirannya berwarna ungu, langsung tidak kena dengan tulisan yang diletak merah, ‘colour blocking’. Aku dapat lihat jelas sebab cahaya lampu masih terang di luar pintu.

Gadis tadi keluar tanpa disuruh, dia berjalan dan sudah pun berdiri di mana tulisan tadi kelihatan. Kemudian wajahnya menoleh ke arah kami. Dari jauh dan kesamaran, dia melambai, mengajak kami turun. Bayangnya agak memanjang di sinari lampu luar rumah.

Aku menoleh sekeliling. Tidak jauh dari situ terdapat juga beberapa rumah lain, tapi penghuni sudah tidur. Kawasan itu nampak tenang, luar rumahnya kelihatan cantik berhias.

“Mari saya tunjukkan mayat ibu dan tukang kebun.” Jawab gadis itu, pelawaannya seperti kami sedang lakukan lawatan di muzium! Dahiku berkerut – sedikit pelik!

Aku dan Zubir melangkah, entah kenapa pula aku mengikut. Kaki aku menapak walaupun hati aku kata tidak. Mungkin sebabnya adalah kerana aku tidak percaya! Bagi aku gadis itu nampak sangat baik dan peramah. Hatinya mudah tersentuh. Masakan dia telah membunuh!

Sepanjang melewati laman hadapan, aku sempat menoleh kawasan. Aku perhati, bunga yang ditanam itu tidak mengikut urutan. Berterabur dari segi kesamarataan – sedikit hairan sebabnya untuk apa menanam sedemikian rupa?.

Aku teringat pula laman atok dulu – pun suka menanam bunga, tapi letaknya tersusun. Bunganya nampak rata dan cantik. Malah setiap kawasan itu akan diletak batu-bata agar kelihatan lebih sempurna, berbeza dengan rumah gadis ini, tanamannya hanya ala kadar. Tanahnya digembur tidak berkemas. Kali ini apa yang ada di depan mata amat berbeza.

Gadis itu menunjuk ke arah hujung. “Dekat situ saya letak mayat tukang kebun, senang nanti orang nak jumpa.” Ucapnya seperti pemandu pelancong yang sedang menunjukkan bahagian sejarah dan kisahnya – sekali lagi aku hairan!

“Mana mayat mak awak?.” Tanya aku berani. Apa yang aku tahu, dia membunuh tiga orang. Jika satu mayat ada di luar, yang lain tentunya di tempat berbeza.

“Di dalam.” Gadis itu membuka pintu dan masuk, dia menghidupkan lampu. Zubir tanpa berfikir telus melangkah turut mengikut.

AKU berjalan di luar, melihat tempat yang dikatakan. Aku berhenti sebaik tiba di belakang. Tidak nampak apa-apa, hanya tanah yang siap digali sedalam lebih kurang tiga meter. Mungkin gadis tadi belum menghabiskan kerja.

Aku bercekak pinggang terasa ditipu! Entah tujuan apa pula aku percaya pada si gadis. Ternyata tidak ada sesiapa pun yang dibunuh. Beberapa bunga yang belum siap ditanam masih lagi bersepah di tepi. Cangkul juga ada bersama. Aku menggeleng.

“Zubir… jom balik!.” Nada suara aku meninggi. Sebab aku tahu aku telah membuang masa. Aku berpatah balik memanggil rakanku. Berjalan cepat. Kunci kereta aku keluarkan, kalau boleh aku mahu pulang segera. Seperti ada yang tidak kena dengan gadis tadi. Perwatakannya mula menakutkanku.

Tidak lama, gadis tadi pula yang keluar di laman. Menunjukkan wajahnya yang tersenyum. Kali ini aku tidak melihat wajah itu seperti wajah yang aku impikan. Hilang semua mood tersebut. Aku dipermainkan! untuk apa tujuan pun aku tak tahu.

“Mana Zubir?.” Tanyaku sedikit kasar.

“Di dalam,” Tunjuk gadis tadi, berdiri tidak bersalah seperti kanak-kanak berumur lapan tahun dengan wajah sedikit mengejek. Rambutnya sudah diselak kebelakang, menyerlahkan rupa secara keseluruhan. Kali ini dia nampak gembira. Cantik? Itu aku tidak lagi fikir. Sekarang ini aku mahu balik.

“Saya dah pergi tengok, tapi tak ada mayat pun!.” Aku sedikit membentak. Namun gadis tadi tetap tersenyum tenang.

“Tak ada ke?.” Dia bertanya semula, kedua tangannya diletak di hadapan badan, menggenggam seperti mau menyanyi koir. Rambutnya pula kemas bersikat, tidak seperti mula-mula. Angin bertiup dingin dan aku mula terasa sejuk.

“Saya nak balik!.” Aku berjalan melewati gadis itu. Bahunya sedikit tersenggol sebab aku tergesa-gesa mahu masuk. Gadis itu tertolak ke belakang.

Sebaik melihat aku masuk, gadis tadi berdiri tegak semula di luar, dalam keadaan seperti mana tadi, tetap segaris senyuman di bibir.

“Zubir mari balik! Tak payah layanlah!!.” Marah aku bersuara lantang. Aku tidak tahu di mana Zubir, tapi tidak susah mencari memandangkan rumah itu setingkat sahaja, bilik pun sederet dan mudah kelihatan.

Aku melepasi dapur yang mana aku lihat ada beberapa hidangan. Disediakan di dalam pinggan, tapi tidak tahu untuk siapa. Disusun kemas dan sebiji pinggan kosong siap dengan nasi sudah terletak tapi dibiarkan. Asap masih lagi kelihatan pada setiap makanan, menunjukkan yang lauk itu baru siap disediakan.

Berdepan dengan dapur itu, sebuah bilik yang sudah terkuak pintu, aku menolak sebab aku lihat Zubir duduk di kerusi membelakangi aku.

“Zubir mari balik!.”

Masih lagi Zubir tidak berganjak.

Aku menarik tangan Zubir pantas dan ketika itu Zubir tergolek di atas lantai. Aku terperanjat. Darah memenuhi tubuh Zubir dan lelaki itu sudah tidak bernyawa.

Aku terdiam mendekati, terkejut melihat Zubir tidak bernafas. Apabila aku berpaling untuk melarikan diri,

Gadis tadi sudah ada di pintu!

Aku terbeliak mata apabila aku rasa sesuatu menusuk di dada. Pisau sepanjang parang itu sudah tercacak. Tepat mengenai jantung. Aku terduduk sebelum bernafas tersekat-sekat.

“Kenapa…kau bunuh aku?.” Pandangan aku semakin kabur. Hanya wajah gadis itu jelas tersenyum. Masih lagi berwajah tenang dan cantik seperti mana aku lihat dia pada mulanya.

“Saja! Sebab ianya menyeronokkan…” Jawab gadis itu selamba. Sambil mengangkat pisau tersebut dan ditikam di wajah lelaki di hadapannya.

Bilah itu menembusi mulut, masuk ke tekak terus ke belakang kepala. Lalu pisau itu dibiarkan tercacak tanpa mengambil kembali.

SOFIA menjamah makanan di atas meja dapurnya. Laju dan berselera. Sesekali dia menoleh ke arah bilik yang berhadapan dengan ruang meja makan. Meja itu lebar boleh memuatkan lagi lapan orang, tapi dia selesa makan berseorangan.

Sofia menyanyi kecil sambil menoleh ke arah dua mayat yang sudah terlantar di dalam bilik. Sesudah itu dia membasuh tangan, menyediakan gayung dan sehelai sapu tangan.

Kedua mayat tadi di bawa dan diseret melalui pintu belakang. Sebaik hampir dengan tanah yang siap digali sedalam tiga meter, dia menolak mayat itu masuk, tanah dikambus dan dia menyediakan beberapa bunga berhampiran. Duduk bersimpuh di sebelah tanah yang telah terkambus. Dia sudah siap memilih warna dan jenis apa untuk tanaman kali ini.

“Bunga matahari, bunga ros dan bunga dahlia…” Bunga itu diasingkan mengikut kehendak dan citarasa. Sesekali dia menoleh kebelakang, melihat betapa banyaknya bunga telah ditanam. Setiap tanah pasti ada bunga yang berbeza. Dan tanah itu dikambus tidak serata. Jumlahnya 12 semua. Sofia ketawa kecil lalu dia meninggalkan tugas itu untuk esok pagi sahaja.

Lantai rumah berwarna coklat itu dilap perlahan, tekun dia menyanyi kecil membersihkan. Sapu tangan diperah dan dia mengelap kembali hingga hilang bekas seretan. sehingga tiada lagi kotoran atau calitan darah. Sofia memerah sapu tangan tersebut diletak di dalam gayung apabila siap.

Bersih! Nampak seperti tidak ada apa berlaku! Dan dia tersenyum gembira, terasa puas!

TIGA BULAN KEMUDIAN

Hujan lebat tengah malam ini. Kawasan depan tapak pembinaan itu hampir dinaiki air. Lelaki yang memakai uniform putih itu bertugas sebagai jaga. Seorang lagi rakannya sedang memeriksa kawasan belakang.

“Kalau naik air ni banjirlah esok pagi..” Bebelnya. Pondok itu terletak di kawasan yang agak rendah. Dia berlalu duduk di pondok semula. Kawasan itu sahaja yang tidak terkena hujan. Radio buruk yang dibawa dari rumah tidak bersiaran. Beberapa kali dia mengetuk.

Radio itu berfungsi menggunakan bateri, kecil sahaja tapi besar maknanya padanya pada waktu begini. Tiba-tiba radio itu bertukar siaran lagu inggeris lama.

Lagu dari ‘Bryan Adama – I do it for you’

“Kenapa pula ni…..” Bebelnya lagi. Puas ditukar, namun lagu yang sama tetap bersiaran. Lelaki itu menjengah keluar sedikit, menoleh melihat ke mana rakannya pergi. Di hadapannya sekarang hanya setimbun tanah yang meninggi. Bajak dan beberapa lori turut diparkir. Bangunan belum siap itu nampak gelap dari sudut pemerhatiannya.

“Joe!!!.” Jerit lelaki itu. Namun tiada balasan. Lagu dari Bryan Adama itu masih lagi mengalun indah, perlahan dan mendayu, berentak slow motion seakan piring hitam yang hampir berhenti dimainkan. Lelaki berbaju uniform putih itu menoleh ke arah radio yang diletakkan di atas meja. Merenung tajam.

Just look into your heart and you will find

There’s nothing there to hide,

Just take me as I am, take my life

I would give it all I would sacrifice

Dont tell me its not worth fighting for

I can’t help it, there’s nothing I want more

You know its true, everything I do, I do it for you….

Lagu itu kemudian tersekat-sekat, dan CCTV nya juga tidak berfungsi!

“Joe!!!!!.” Sekali lagi dia memanggil. Menoleh ke arah tanah bertimbun di hadapan. Bunyi air hujan tersebut menenggelamkan suaranya ketika ini. Lelaki tu mencapai payung lantas berlalu mencari rakannya kembali.

SUASANA di dalam bangunan yang belum siap itu sunyi, kalau dijerit pasti menghasilkan pantulan yang bergema..

“Tinggg!!!.”

Sebatang besi jatuh. Lelaki itu menoleh kebelakang, lampu suluh dihala ke arah yang sama, hanya samar-samar sahaja, dalam cahaya bebentuk bulatan itu kelihatan sebatang besi terbaring di atas lantai simen. Lelaki itu menyuluh ke arah atas, tidak tahu dari mana datang nya besi. Dia berjalan perlahan, mendongak, cahaya putih bulatan itu menyuluh sehingga atas. Habuk terlihat di setiap laluan cahaya.

Kabus dan percikan air dari luar mengganggu pandangan.

“Arghhhhh!!!!.” Joe menepuk belakang sahabatnya sengaja mengejutkan. Apalagi lelaki itu terlompat kerana takut. Suara hilai tawa Joe menyebabkan dia semakin bengang. Dia memang tidak suka dipermainkan begitu.

“Alaaa aku bosanlah beb.” Joe memeluk bahu rakannya. Namun lelaki itu masih bermasam muka, cahaya lampu menyuluh di sebelah kiri.

Joe dan rakannya berpaling apabila di sebalik cahaya suluhan itu berdiri sesusuk tubuh. Tidak pasti itu lelaki atau wanita, sebab dia berdiri agak menjauh.

Joe dan rakannya mendekat, berjalan perlahan dan menyuluh hadapan. Semakin dekat semakin terserlah sesusuk tubuh itu – Wanita.

Seorang gadis kecil, bertubuh genit berdiri tegak. Dia berbaju tshirt lengan panjang coklat dan berseluar jeans lusuh. Kepalaya sedikit menunduk. Rambutnya ikal mayang sampai ke bahu, namun berjurai menutupi wajah.

Joe menyuluh kearah wajahnya.

Gadis itu memiliki sepasang mata berwarna hijau cair, jelas menunjukkan yang dia berdarah kacukan. Bibirnya merah dan kulitnya putih. Berdiri menjauh, namun wajahnya nampak tenang.

“Errrr… cik ada apa saya boleh bantu?.” Tanya lelaki yang bersama Joe. Kedua lelaki itu sedikit cuak, masih lagi berdiri merapati satu sama lain.

“Saya dah bunuh orang….” Jawab gadis itu sedikit mendongak. Ada segaris senyuman di bibirnya.

Hujan semakin lebat di kawasan pembinaan tersebut, lampu di pondok jaga itu berkelip-kelip! Tiada orang! Kosong!

Dan….

Nyanyian lagu tadi masih bergema, namun kali ini lancar dan berulang-ulang.

-TAMAT-

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

46 thoughts on “#Nasa – Encik, saya dah bunuh orang.”

  1. As usual.. best!

    Aku tak rate cerita kau tau kak. Nanti ada yg cop aku acah2 bagus pula nak rate. (aku nak elak kecaman) hahaha. Ni komen aku :-

    Cerita kau dari awal sampai last teratur. Tatabahasa okay. Kau dah tak banyak typo kak. Aku macam tak jumpa typo kau. Cuma ada satu tu, lepas noktah huruf besar. Tu je. Oh ya! kau memang saja letak capslock untuk certain perkataan di permulaan ayat ea? Aku faham cuma nak kau bagi pencerahan motifnya kau buat macam tu (haha). So far, aku boleh hadam cerita kau. Tak perlu nak ulang 2-3 baca untuk faham.

    okay done comment!

    Reply
    • hahahah aku baca empat kali edit smpai 10 kali bab typo tu weh hahahaha

      haaa yang caps awal tu ko perasan sebb taip laju sangat lahh tak pernahnya dpt yang betul2 weh ahahaha

      Reply
      • hahahaha biasalah kak. aku pun kalau nak semak ejaan & tatabahasa berpuluh kali sampai aku sendiri rasa nak muntah.

        capslock dipermulaan perenggan tu agak banyak tau kak. Dari cerita sebelum ni aku perasan. Tapi aku faham je kenapa kau buat macam tu.

        Reply
  2. Maaf aku bukan siapa-siapa nak komen dan nilai karya kau kak. Takut nanti kena tuduh acah-acah bagus pulak. Huhu

    Secara jujurnya, penulisan kau memang berjaya buat aku ternanti-nanti untuk baca karya kau yang seterusnya kak. Bukan kau je, ramai lagi penulis dalam ni yang buat aku rasa benda yang sama.

    Maaf belon dah habis.

    Reply

Leave a Comment