Assalamualaikum warga FS. Kisah fiksyen santai untuk bacaan ringan. Selamat membaca.
***************
Satu… Dua… Tiga…
Dalam keheningan malam, suara itu melantun ke dinding tebal istana Himeji dan bergema.
Empat… Lima… Enam…
Raja itu sudah bangkit dan dadanya berdegup kencang.
Tujuh… Lapan… Sembilan… Aaarrggghhh!
Berbeza dengan para pelayan istana yang ketakutan, lolongan panjang itu tidak menakutkan si raja. Namun begitu, jiwanya sarat dengan kesal yang menusuk-nusuk saja rasanya.
Wajah Okiku terbayang-bayang di minda. Kejelitaannya, kesetiaannya… Si raja mengeluh. Tiada lagi Okiku, yang ada hanya gangguan suara dan penampakannya.
*****************
Okiku menghitung pinggan pusaka keturunan raja yang mulia, raja keturunan dewa matahari. Wajah jelita Okiku kelihatan sangat berpuas hati. Sejak kecil dia berbakti kepada raja. Tugasnya kini ialah menjaga harta pusaka istana. Pekerjaan yang amat penting.
Seharian Okiku sibuk. Esok adalah hari temasya diraja. Tentu saja nanti akan ada pelbagai hidangan. Untuk tujuan itu, pinggan pusaka dikeluarkan. Dihitung satu persatu. Dibersihkan dengan berhati-hati. Okiku amat tekun memantau para gadis yang bertugas.
“Puan, semuanya sudah tersedia.” Seorang gadis memaklumkan kepada Okiku. Okiku cuma mengangguk dan memberi isyarat agar mereka semua beredar. Hari sudah jauh malam. Biarlah mereka berehat.
Okiku memutuskan untuk menggunakan laluan pintas ke biliknya. Suasana sudah menjadi amat sunyi. Sebelum sampai ke biliknya, Okiku perlu melintas menara utama istana. Di sebelah menara itu pula ada gerbang yang dikenali sebagai Hara Kiri Maru. Gerbang bunuh diri. Ia adalah kawasan di mana para samurai melakukan ritual membunuh diri samada sukarela mahupun terpaksa. Di kawasan itu juga terdapat sebuah perigi di mana airnya digunakan untuk membersihkan darah samurai yang melakukan hara kiri. Terdapat banyak kisah yang menyeramkan berkaitan tempat itu. Tetapi Okiku tidak mudah percaya dengan kisah seram dan mistik itu.
Tiba-tiba kaki Okiku berhenti melangkah. Kelihatan kelibat di tepi perigi. Hatinya berdebar bukan kerana takut. Okiku dikuasai rasa ingin tahu. Lebih lagi pemakaian kelibat itu layaknya seperti bangsawan, bukan samurai. Dengan senyap Okiku mengendap. Beberapa detik kemudian, datang pula tiga orang yang lain.
Mereka berempat berbisik tanpa menyedari Okiku berada di situ. Okiku baru saja ingin berpaling menganggap mereka sekadar bertemu dan berbual biasa, walaupun tempat pertemuan itu sendiri mendatangkan curiga. Namun Okiku membatalkan hasratnya bila nama rajanya disebut-sebut.
Empat orang bangsawan itu kemudiannya bergerak, dan diekori oleh Okiku. Mereka tiba di tempat yang agak terpencil dan jauh dari gerbang menara. Selepas berkata sesuatu dengan tegas, salah seorang daripada mereka beredar dengan pantas. Di saat itu, riak wajah Okiku amat pucat. Kali ini, jantungnya memang berdegup kencang kerana berasa takut.
Okiku berlari dengan pantas. Tuju arahnya ialah bilik khas untuk si raja bersembahyang. Si raja pasti ada di situ, seperti kebiasaannya sebelum temasya dilakukan keesokannya.
Pengawal menahan langkah Okiku. Tiada siapa dibenarkan menganggu raja. Okiku berkeras.
“Raja dalam bahaya. Apa engkau ingin bertanggungjawab jika raja ditimpa musibah?”
Pengawal agak ragu-ragu. Siapa yang tidak kenal dengan Okiku. Penjaga amanah pusaka istana yang jelita. Kerana ketegasan dan cekapnya Okiku menggalas jawatan itu. Namun pengawal itu juga tidak ingin dimurkai raja yang mulia. Mereka berbalas kata, tegang.
Pintu terbuka dengan kasar. Okiku dan pengawal tersebut kaku serta merta. Aura raja terasa dingin menerpa suasana. Renungan mata si raja membuatkan kaki Okiku berasa lemah tiba-tiba. Pengawal di sebelahnya malah terasa jarinya menggigil.
Diam membisu membuatkan suasana semakin kekok.
“Jika ia penting, katakan. Namun jika sebaliknya, bersedia saja dengan hukumannya.” Bagaikan guruh lantang si raja bersuara.
“Tuan Raja… Tuan Raja yang mulia,” Agak tergagap-gagap Okiku berkata-kata.
“Sungguh, hamba yang kerdil ini membawa khabar yang tidak tertanggung. Jika Tuan Raja nanti berasa ia hanya membuang masa, maka hamba sedia dihukum, demi Tuan Raja. Sebenarnya…….”
Wajah Tuan Raja beriak terkejut. Kemudiannya, berubah menjadi marah. Khabar yang disampaikan oleh Okiku sukar dipercayai. Namun, bukankah Okiku adalah penjaga pusaka istana. Manakan orang yang begitu amanah mampu menipu daya. Berani sungguh mereka ingin menggulingkannya. Malah turut merencana pembunuhan si raja, di hari temasya!
Mereka lupa, aku adalah keturunan langsung dewa matahari. Tidakkah mereka takut?!
Okiku sudah diarahkan balik ke niliknya. Si raja tidak menunjukkan bahawa dia percaya dengan apa yang disampaikan oleh Okiku. Tidak juga dia menyanggahnya. Yang pasti, esok dia akan menjalani ritual temasya seperti musim lepas.
Di awal fajar, Okiku bangkit. dia tidak dapat melelapkan mata. Hatinya gelisah. Tidakkah raja mempercayainya. Dengan hati yang runsing, Okiku bersedia untuk mempersiapkan pinggan pusaka untuk temasya kelak.
Kembang dada Okiku melihat si raja. Memakai pakaian dewa, meskipun wajahnya ditutup si raja tetap kelihatan megah. Raja itu diarak di persekitaran istana menuju ke menara utama istana Himeji. Setiba di kaki menara, suasana serta merta kecoh. Tidak terlihat oleh mata, anak panah sudah berada tepat di dada si raja. Bukan satu tapi ada tiga anak panah tertusuk di situ. Si raja rebah serta merta. Darah merah pekat membasahi dada si raja tanda dia sudah tumpas.
Okiku sudah terjelepok. Begitu juga dengan beberapa pelayan istana. Malah ada yang menjerit tidak sudah-sudah. Musibah apakah ini? Mereka bertanya lagi dan lagi. Para bangsawan yang berpakat segera bertindak. Untuk meredakan suasana kononnya, mereka bersuara keras. Raja harus diganti segera. Kalau tidak, temasya tidak dapat dilakukan. Jika temasya tergendala musibah pasti melanda.
Seperti dirancang saja, satu nama disebut-sebut. Okiku tidak mempercayainya. Di kala tubuh raja itu tidak bernyawa terlentang di kaki menara, mereka sibuk mencari ganti.
Suasana yang semakin reda menjadi kecoh lagi. Malah makin hebat. Para samurai bertebaran. Mencabut nyawa beberapa orang yang dikenal pasti sebagai bangsawan. Manakala empat orang lagi dikepung. Hampir saja mata pedang samurai mengenai leher salah seorang daripada mereka.
“Tomaru!”
Semua yang ada terkejut bukan kepalang. Si raja yang dipercayai menemui ajal tadi muncul dari pintu menara. Remang cahaya di belakang menara membias sebagai latar belakang kemunculan si raja. Megah, gagah.. dan murka.
***
Okiku dianggap sebagai wira. Para pengkhianat dihapuskan dengan kejam. Sana sini, rakyat menyanjung Okiku si jelitawan pemegang amanah pusaka istana.
Tanpa sesiapa ketahui, masih ada saki baki pengkhianat raja yang masih meneruskan hidup dengan bermuka-muka. Okiku harus membayar segala kegagalan penggulingan raja. Lagi mengujakan, yang bertanggungjawab di atas kehancuran Okiku nanti ialah raja yang diagung-agung.
Desas desus cepat tersebar. Okiku dikurung di penjara bawah tanah. Tuduhannya berat. Berat bagi raja dan keluarga diraja. Pinggan pusaka telah hilang satu. Saksi menyatakan Okiku telah menjualnya. Malah beberapa pusaka istana lain juga hilang. Semua tuduhan dan bukti menjurus kepada Okiku.
Hari ini, ramai yang berkumpul di gerbanga Hara Kiri Maru. Belum pun lama Okiku disanjung, tidak lama lagi bakal dihukum dengan hukuman di luar perikemanusiaan.
Okiku menjerit sekuat hati. Dia tidak bersalah. Raja itu memandang Okiku dengan hati yang berbelah bahagi. Tetapi bukti dan saksi cukup kuat. Okiku tentu tidak mampu diselamatkan.
Pakaian Okiku rabak akibat diheret dari perkarangan istana ke perigi di gerbang Hara Kiri Maru. Di hadapan perigi tersebut, raja menjatuhkan hukuman, sesuai dengan kesalahan Okiku. Kaki Okiku dipotong terlebih dahulu. Kemudian tangannya. Okiku masih bernyawa, darah memancut dengan deras. Siksanya tidak mampu mengubat jiwanya yang kecewa. Hatinya remuk apabila raja tidak mempercayainya. Raja yang dikasihi, raja yang disanjung, raja yang zalim!
Satu demi satu bahagian tubuh Okiku dipotong, dan dibuang ke dalam perigi. Suasana sunyi walaupun ramai yang berada di situ. Jeritan Okiku sudah lama terhenti, nyawanya sudah terpisah dari jasad. Darah Okiku yang menyimbah lantai sudah dibersihkan.
Ufuk senja memancarkan warna kuning jingga yang luar biasa terang. Raja masih tidak berganjak. Matanya memandang perigi itu tidak terkalih ke lain dari tadi.
“Perigi Okiku.” Ujar si raja kemudiannya. Matahari semakin terbenam, remang kegelapan malam mulai tersebar.
**************
Okiku menghitung pinggan pusaka di tepi perigi dengan hati yang gembira. Dia amat suka dengan pekerjaannya sebagai penjaga amanah pusaka keturunan dewa matahari.
Satu… Dua… Tiga… Empat… Lima… Enam… Tujuh… Lapan…
Sembilan…. ….. …. ….
Kurang satu…. Okiku cemas dan gelisah. Bagaimana boleh kurang satu? Mana? Mana pinggan satu lagi? Aaarrrgghhhh! Okiku menjerit langsing menembusi dinding tebal istana sehingga ke puncak menara istana lima tingkat.
Tamat.
Penulis.
*****************
Nota kaki:
1. Cerita hanyalah rekaan semata walaupun berdasarkan mitos “Perigi Okiku”, Jepun.
2. Selain daripada misteri Perigi Okiku, terdapat satu lagi misteri iaitu patung Okiku Jepun namun tiada kaitan antara satu sama lain.
Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit
8/10
nice.. tapi kalau diceritakan secara lebih terperinci tentang gangguan2 okiku ni lagi aku suka. 7/10
Mantap.
fuh brpeluh bca time elektrik xda nie