Paya Terbiar di Kebun Getah Tua

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera diucapkan kepada semua pembaca Fiksyen Shasha. Aku kongsikan cerita yang aku garapkan yang telah berlaku ketika aku masih di alam kanak kanak. Harap kalian terhibur.

____________________________________________________________________________

Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

Aku masih ingat lagi langit petang hari itu begitu indah. Langit kelihatan berona jingga. Awan putih besar berarak perlahan lahan dan mentari senja mulai menguningkan langit jauh nun di ufuk barat menandakan siang hari hampir melabuhkan tirai.

Aku ketika itu masih berumur 9 tahun, abangku Apip 12 tahun, dan begitu juga Edi, kawan baiknya. Aku paling kecil antara mereka. Namun, kami bertiga amat akrab. Ke sana ke mari mengukur setiap inci tanah di kampung.

Kami bertiga berjalan kaki menyusuri denai kecil melalui kebun getah tua sambil angin bertiup lembut membuatkan daun getah yang kering berterbangan di atas denai kecil yang kami lalui. Bau sisa getah kering yang melekat di pokok kadang kala singgah menyapa hidungku.

Kami bernyanyi nyanyi lagu dengan girangnya sambil melangkah kaki. Dari lagu Isabella Search sampailah lagu Gaban – The Space Sheriff, sambil aku menabuh sekuat hati dengan menggunakan tin tin kosong yang kubawa ini sebagai gendang.

Aku menyeka peluh sambil memperlajukan langkah. Aku berjalan paling belakang sambil cuba menyaingi mereka. Bukan sebab aku slow, tapi sebab dua ekor budak di hadapan aku ini jalan laju macam ada enjin turbo VTEC.

“Hoi Kicap! Jalan laju sikit! Lambat macam kura-kura kau ni!” Edi menjerit nyaring dari depan.

Aku tarik muka.

“Lambat apanya, aku dah laju dah ni!”

“Dah la pendek, kaki kontot pulak tu!” Apip menyampuk sambil ketawa kecil.

Lalu mereka berdua ketawa besar.

Aku hanya tersengih, walaupun dalam hati sedikit terasa. Nama ‘Kicap’ memang melekat pada aku sejak kecil dan mereka sering menggelar aku begitu kerana kulitku lebih gelap daripada mereka. Kadang-kadang, mereka juga memanggil aku ‘Rongak’ kerana satu gigiku rompong; akibat terlalu banyak makan cekedis.

Namun, aku tidak ambil hati. Aku dah lali. Itu memang cara mereka bergurau.

“Kita nak mancing dekat paya lama tu kan?” tanyaku walaupun aku sendiri sudah tahu jawapannya.

“Ha’ah! Kau takut ke Kicap?” Apip mengusik sambil ketawa.

Aku diam. Sejujurnya, aku memang rasa takut. Orang kampung sering bercerita tentang paya terbiar itu. Dulu-dulu ketika kampung ini baru dibuka dan bekalan elektrik dari TNB masih tiada, ada seorang pakcik sering diganggu ketika mahu menghidupkan generator di kawasan paya itu.

Katanya, dia selalu diganggu.

Ada ketikanya enjin generator tiba-tiba m**i tanpa sebab. Bila dia mahu hidupkan semula, terdengar bunyi perempuan menangis di dalam gelap. Kadang-kadang, ketika dia menyalakan lampu suluh ke kawasan semak ada sepasang mata merah memandangnya dari celah-celah pokok. Paling seram pada suatu malam pakcik itu ternampak sosok perempuan berbaju putih berdiri di tengah paya dan terapung di atas air. Rambut panjangnya melayang-layang ditiup angin.

Pontianak. Itu yang diceritakan.

Tapi aku tidak mahu tunjuk aku takut. Jadi aku hanya pura pura tersenyum dan terus kembali melangkah laju berjalan.

Kami melangkah menuruni lereng bukit yang ditumbuhi pokok-pokok getah tua. Dari jauh, aku perasan warna jingga senja di hujung kaki langit semakin redup, menandakan malam hampir tiba.

Tiba-tiba, aku terasa sesuatu yang aneh.

Bulu roma di tengkukku berdiri.

Aku dapat merasakan seperti ada sesuatu sedang memerhatikan kami.

Aku menoleh perlahan-lahan.

Kosong.

Cuma pokok-pokok getah tua yang berdiri tegak seperti patung-patung tinggi yang diam membisu.

Lalu, kami tiba di tepi paya itu kira-kira lima belas minit kemudian. Airnya hitam pekat, dengan lumut hijau terapung-apung di permukaannya. Pokok-pokok renek tumbuh meliar di sekeliling, akar-akar menjalar bagai tangan yang keluar dari lumpur. Suasana di situ hening hanya bunyi katak dan cengkerik yang kedengaran. Kami melabuhkan p******g duduk di atas sebatang kayu tumbang lalu kami mengikat umpan di mata kail.

“Harap-harap dapat ikan besar,” kata Edi sambil tersengih.

“Ha’ah! Besar dan gemuk macam kau!” sahut Apip mengejek Edi.

“Kicap, kau okay tak tu? Nampak macam terkial kial je letak umpan. Kalau macam tu lah gayanya, esok ajelah kita balik ya,” ujar Edi galak mengusik aku yang sedang geli geleman memegang cacing untuk diikat di mata kail.

Kami mula melontarkan tali pancing ke dalam paya. Air yang tenang berkocak sedikit, riakannya perlahan-lahan hilang. Angin petang semakin sejuk. Langit di ufuk barat bertukar warna merah saga sebelum mula kelam.

Mula-mula, suasana agak meriah. Kami berbual kosong, ketawa, dan mengusik satu sama lain. Apip sempat bercerita tentang seorang budak di sekolah yang kerap terberak dalam kelas, dan aku hampir terkencing sebab terlalu banyak ketawa. Aku, seperti biasa, juga menjadi bahan usikan mereka. Tapi aku tidak marah. Semua itu sudah menjadi kebiasaan.

Gelak ketawa kami bergema di dalam hutan kecil itu, mengisi keheningan petang yang kian larut. Beberapa minit berlalu. Tiada satu pun ikan yang menyambar umpan kami. Namun, anehnya semakin lama aku duduk di situ, semakin aku merasa tidak selesa. Aku menampar nampar nyamuk kecil nakal yang mula hinggap di pipi dan tanganku.

Setelah hampir 10 minit berlalu, aku mula berasa bosan. Aku mengangkat kepala memandang sebatang pokok besar yang berdiri bersebelahan paya. Tak semena-mena, bulu romaku berdiri lagi. Belakang tengkukku kurasa seram sejuk. Aku sekali lagi dapat merasakan sesuatu sedang memerhati.

Lalu aku mendongak jauh ke atas.

Alangkah terperanjat beruk apabila aku melihat susuk tubuh perempuan berbaju putih lusuh sedang duduk bertenggek di atas dahan. Rambutnya panjang mengurai, menutupi wajahnya yang samar-samar kelihatan di celah helaian rambut. Pakaian putih lusuh yang dipakainya kelihatan berkibar sedikit ditiup angin.

Jantungku berdegup kencang. Aku tidak dapat bergerak. Aku kaku. Mulutku ternganga tanpa suara.

Pontianak!

Makhluk itu sedang memandang tepat ke arahku sambil menyeringai! Aku cuba bersuara, tetapi suara tersekat di kerongkong. Aku hanya mampu menggapai lengan Apip, cuba menarik perhatiannya.

“Apip…” suaraku hampir berbisik, “Kita… kita balik sekarang.”

Akhirnya dalam keadaan hampir menangis aku berjaya membuka mulut menggagahkan diri mengajak Apip dan Edi untuk beredar. Lalu Apip menjeling ke arahku dan tertawa kecil.

“Weh, kau ni penakut betul la Kicap! Tak ada apa-apa laaa!”

Aku menggigil. Aku tahu apa yang aku lihat. Aku nekad. Dengan sedikit keberanian, aku menggunakan kedua-dua tanganku untuk memegang kepala Apip dan memaksanya mendongak ke arah pokok itu.

Dan saat itu, Apip juga terkaku. Mata Apip membulat serta mulutnya ternganga. Wajah Apip berubah serta-merta. Matanya semakin membuntang dan mulutnya semakin melopong. Aku melihat mukanya pucat lesi.

“Apa tu…..” bisiknya.

Edi yang perasan perubahan wajah Apip turut menoleh ke arah pokok itu. Dan ketika itu, makhluk itu mula bergerak.

Perlahan-lahan, pontianak itu mengangkat wajahnya, mendedahkan sepasang mata hitam pekat tanpa biji putih. Dia mula mengilai.

“Hiiiii…. Hiiiii…. Hiiiiii… Hiihiii…”

Edi yang ketakutan terus mencampakkan jorannya dan menarik tangan Apip.

“Apip! An! Kita lari sekarang! Lariiiiiii!!!!!” jeritnya.

Kami bertiga terus berlari sekuat hati meninggalkan joran, umpan, dan segala tin kosong yang kami bawa.

“Allahuakbar! Allahuakbar!” jerit kami bertiga sambil melintasi kebun getah yang sudah mulai gelap.

Kami berlari mendaki lereng bukit. Nafas aku tercungap-cungap, kaki terasa makin berat. Air mataku mula merembes keluar. Aku menangis ketakutan dan hampir tersadung akar pokok, tapi aku paksa juga kaki untuk terus berlari. Dalam kekalutan itu aku sempat juga menoleh ke belakang.

Pontianak itu sedang terbang mengejar kami!

Hilaiannya bergema di setiap pelusuk kebun getah ini.
__________________________________________________________

Setelah hampir 10 minit berlari tanpa henti akhirnya kami berjaya keluar dari kawasan kebun getah itu dan tiba di kawasan kejiranan perkampungan kami dalam keadaan termengah-mengah. Keringat peluh lencun membasahi kami. Sayup sayup kedengaran suara imam membaca Surah Al-Fatihah di surau melalui corong pembesar suara. Aku menarik nafas lega.

Tanpa menoleh ke belakang, Apip dan Edi terus ke surau untuk solat Maghrib (lebih tepat untuk mengelakkan diri dirembas rotan emak), tetapi aku tidak turut serta. Aku terpaksa pulang ke rumah kerana seluar aku basah. Aku terkencing dalam seluar semasa berlari tadi kerana terlalu takut.

Aku tiba di pintu hadapan rumah lalu memberi salam. Dadaku masih berombak turun naik, kesan dari larian pecut tahap olimpik yang aku lakukan tadi. Lututku longgar, mahu sahaja aku terus rebah di depan pintu rumah. Kepalaku menjenguk ke dalam terlebih dahulu setelah pintu dibuka. Tiada orang di dapur. Barangkali Abah ke surau dan emak sedang solat di dalam bilik solat.

Aku terjengket jengket berjalan laju menuju ke ruang membasuh pakaian di belakang untuk menukar seluar. Rumah ni bukan besar mana, tapi bila lalu ruang dapur yang kosong dan lampu tak berapa nak terang, terasa macam panjang pula perjalanan ke belakang rumah. Aku berdoa agar tiada sesiapa di rumah yang nampak seluarku yang basah ini. Aku tak mahu jadi bahan jenaka sampai raya tahun depan.

Namun, ketika aku sampai di hadapan pintu gelangsar itu, bulu romaku kembali meremang. Jari-jariku mula menggigil ketika aku menyentuh pemegang pintu gelangsar. Dengan nafas tertahan, aku menarik pintu gelangsar perlahan-lahan. Belum sempat aku melangkah keluar, mata aku tertancap pada sesuatu.

Dan serta merta berderau darahku!

Kelihatan di luar, di bawah sinaran rembulan yang samar-samar, berdiri seorang nenek yang amat bongkok, kulitnya berkedut seribu, berambut putih panjang bersanggul besar. Matanya kelabu, bibirnya pucat.

Dia tersenyum. Tapi bukan dengan senyuman yang biasa. Senyuman itu terlalu lebar. Bibirnya meregang hingga hampir ke telinga, sampai nampak gusi hitam dan gigi yang sangat jarang-jarang. Matanya pula kecil, tapi tajam memerhati aku.

Jantung aku seperti mahu luruh. Aku ingin menjerit tetapi suara tersekat di kerongkong.

Lantas, nenek itu mengangkat tangannya yang sangat berkedut-kedut lalu menuding jari lurus ke arah aku. Bibirnya kulihat sangat menggeletar dan bergerak-gerak.

“Muhuu… Mmahi hhihi… mahi hihi…”

“Muhuu… Mmahi hhihi… mahi hihi…”

“Cucu… Mari sini… Mari sini…”

Suara halus itu tidak kufahami pada mulanya kerana bunyinya seakan akan datang dari mulut yang tak bergigi. Namun, kurasakan suara itu seakan berdesir di telinga aku dan seolah-olah berbisik tepat di belakang tengkukku.

Bulu romaku berdiri mencanak. Dengan tangan menggeletar, aku menutup pintu gelangsar dengan serta-merta. Tetapi dek kerana rasa ingin tahu yang membuak buak, aku perlahan-lahan membuka pintu gelangsar kembali.

Nenek itu masih ada. Masih tersenyum. Kali ini dia tidak berkata apa-apa.

Aku menghempas kembali pintu gelangsar dengan sekuat hati dan hampir tersepit jari sendiri. Aku terus lari macam lipas kudung ke ruang tamu.

“MAK!! MAAKKKK!! ADA HANTUUUUU!!!”

Aku melompat ke atas sofa, bergulung macam ulat bulu. Pintu bilik solat terbuka. Keluar emak dengan telekungnya. Dia terpinga pinga.

“Hang lapaq mampuih ka, An? Awat teghiak lagu tu?!!”

Aku turun dari sofa dan terus menyorok di belakang emak.

“MAK! NENEK! ADA HANTU NENEK KAT LUAR TU! DIA SURUH AN PERGI KAT DIA, MAK!!”
Emak mengeluh sambil menggosok dahi.

“Lahh awatlah hangpa ketegaq sangat ni. Orang dok pesan dah senja jangan dok keluaq. Ni hangpa dok pi mana la ni sampai ada mengikut!!!” bebel emak menarik telinga capangku, lalu sambil berjalan mengheret tanganku sampai depan pintu gelangsar.

Emak pantas membuka pintu gelangsar!

Aku menggigil. “Tapi, mak! Nenek tu—”

Kosong. Nenek itu sudah hilang. Tak ada sesiapa pun kat luar. Aku tergamam.

“Mak, betoi tadi ada nenek tu, mak! Dia ada sini, dia tengok An sambil senyum, pastu suruh pi kat dia! Mak percaya la!”

Mak jeling aku dengan mata separuh juling.

“Hang ni kalau nak buat lawak pun agak-agak la, jangan tengah maghrib ni dok mengarut!”

Aku masih terkejut, tapi mak dah siap hulur tuala.

“Dah, pi lekaih mandi. Tukaq seluaq tu! Bau hancin. Lepaih tu mai solat! Dengaq dak?!”

Aku pun akur, tapi dalam hati masih berdetak kencang. Siapa nenek tadi?

Dan, sejujurnya aku pun sudah lupa akan tujuanku yang mahu ke tempat mesin basuh tadi!

Lepas mandi, solat dan makan malam, mak panggil aku dengan Apip (entah bila dia balik dari surau pun aku tak perasan!) duduk kat ruang tamu.

“Ceghita peghabeh, petang tadi hangpa pi mana?”

Aku pandang Apip, Apip pandang aku. Aku dah agak. Sesi soal siasat ni akan tiba jugak!

Lalu kami bercerita dari mula sampai lah jumpa nenek dekat pintu gelangsar tu.

Emak hanya diam tidak berkata apa apa sambil mendengar cerita kami. Lalu dengan lembut, dia menyuruh kami mengambil Al-Quran dan mengaji. Fuh, terlepas azab kena rotan!

_________________________________________________________________________

Malam itu aku tidur awal dari kebiasaan. Tetapi dalam lena, aku terdengar suara halus sayup sayup memanggil namaku.

Lalu aku terjaga. Mamai dan kebingungan. Mataku terpisat-pisat. Mataku masih berat. Terasa pedih sedikit dan sukar membukakan mata sepenuhnya.

Suasana di sekelilingku sunyi. Hanya bunyi kipas yang berputar perlahan.

Aku menoleh ke kiri, melihat Apip yang tidur lena dengan mulutnya ternganga di sebelahku. Ketika itulah telinga aku mula menangkap sesuatu bunyi. Sayup sayup kuterdengar suara halus memanggil namaku di luar rumah, sama seperti yang kudengar di alam mimpi tadi.

Aku bingung memikirkan sama ada aku masih bermimpi atau tidak. Lalu aku menggigit ibu jari untuk memastikan keadaan diri aku. Sakit! Tandanya aku memang sedang dalam keadaan sedar dan jaga. Aku terkebil kebil memandang alang kayu bumbung rumahku. Perasaan bercampur baur. Bingung dan perasaan cuak mulai datang menyelimuti aku.

Lalu entah mengapa aku bingkas bangun berdiri dan terus berjalan. Tanganku menggapai tombol pintu dan aku buka pintu bilik lalu aku laju turun tangga menuju ke pintu masuk rumah.

Tiba-tiba ada tangan menghalang aku. Aku terkejut seolah baru tersedar dari tidur dan menoleh ke belakang. Rupanya Abah.

“Hang nak pi mana tengah-tengah malam ni, An?”

Aku terdiam. Aku bingung. Aku juga mahu bertanya soalan yang sama kepada diri sendiri. Namun, suara halus yang memanggil manggil itu tidak lagi kedengaran. Kemudian, Abah tarik aku ke bilik air, suruh aku basuh muka dan ambil wuduk.

Sejak malam itu, aku selalu mengigau dengan berjalan sambil tidur dan sejak malam itu juga, aku sering bermimpi bertemu nenek tua itu. Setiap malam, aku akan bangun, turun ke tingkat bawah, dan hampir membuka pintu rumah. Jika bukan kerana Abah yang selalu menahan aku, mungkin aku sudah keluar rumah tanpa sedar.

Gangguan ini berlarutan selama berbulan-bulan lamanya. Sehinggalah akhirnya Abah membawa aku berjumpa kawannya yang juga seorang pakar perubatan Islam. Menurut beliau, jin yang mengganggu aku itu sangat berkenan denganku. Kerana jiwaku masih polos dan suci.

Dan sejak kejadian itu, aku tak pernah lagi merayau rayau masuk ke kebun getah atau mana-mana hutan. Aku tidak lagi bermain perang perang di dalam belukar belakang rumah.

Aku takut. Takut dia masih ada, menunggu aku.

SEKIAN.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 37 Average: 4.8]
Fathi Othman

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Light
Dark