Pengakuan Dari Yang Merasuk

Jam menunjukkan pukul 2.30 petang. Perut sudah berkeroncong lapar. Biasanya aku akan isi perut jam 12 tengahari, entah kenapa hari ini ghairah buat persediaan, aku terlupa. Kelasku tamat jam 1.50 . Tambah pula beberapa pelajar yang ingin dapatkan panduan personal dariku, membuatkan aku menggigil kelaparan. Langkah ku atur laju menuju kantin. Sampai di kantin, kecewa membusut di dada, kerana lauk pauk nasi campur sudah habis. Segera ku order masakan panas.

Selesai order, aku keluarkan tab untuk selesaikan kerja yang ada. Seorang ustaz, merangkap ketua guru disiplin masuk.
“Cikgu2 perempuan, ada pelajar kena histeria”.

Aku tergelak.
“Dah lama dah tak ada kes ni, ustaz.. Iya ke ni?”
“Saya pun tak tengok lagi. Ingatkan dah tahu”.

Puan Razita, seorang perawat Darussyifa yang duduk di hadapanku hanya teruskan suapannya dengan tenang.

“Akak makan dulu, lah.. Saya naik tengok budak”

Aku bergegas ke tingkat paling atas, kelas pelajar yang dimaksudkan. Kedengaran jerit pekik pelajar tersebut dari tingkat bawah lagi. Seraya kakiku melangkah masuk ke kelas, bulu roma tegak berdiri.
Seorang ustaz mengumpulkan pelajar- pelajar lelaki untuk azan di dalam kelas. Mereka azan beramai-ramai. Pelajar yang diserang histeria makin kuat menjerit.

“Berhenti! Aku kata berhenti! Aku panas lahhh”.

Ada beberapa orang pelajar perempuan yang turut sama menolong pegangkan mangsa daripada terus menggelepar.

“Ustazah, saya rasa elok hanya kita sahaja yang pegang pelajar ini. Kalau pelajar yang pegang, saya takut berjangkit.”

Lalu ustazah yang ada arahkan pelajar-pelajar perempuan untuk beredar pergi. Kami membaca ayat-ayat suci al quran bersama. Bukan apa, gentar juga terasa di dada melihatkan pelajar itu acap kali bertukar watak. Sekejap mengilai, sekejap menangis merayu minta dilepaskan, sekejap mengadu lapar.

Aku mula rasa letih.
“Heiii dah -dah la tu.. Kau keluar la dari student aku ni. Dia nak belajar la..”

Mangsa histeria berpusing ke arahku. Sengih menyeringai.
“This is my student!”
Tegasnya.
Wow, speaking kali ni ya..
Aku cuba melawan.
“No, she is my student. I am the teacher. You are not a teacher. Just go away!”

Dia gelak mengilai.
“You are not teaching her. ”
Aku kehilangan kata. Memang pelajar tersebut bukan pelajar yang kuajar.
“But i am a teacher. Now I order you to go out of her body”

“How come you say you a teacher? Dia ikut tak apa kau suruh? Kau suruh sembahyang, budak ni ikut tak? Dia gelak-gelak berlakon sembahyang, kau tahu ke? Aku suruh dia ponteng kelas, dia ikut. Aku suruh dia lepak tandas, dia ikut… So I am her teacher! Not you!”

Aku tertampar. Memang pelajar yang dirasuk ini terkenal dengan kenakalannya. Banyak kelas dia ponteng, mengenakan make up ke sekolah, dan macam-macam lagi lah olah nakalnya.
Tidak aku sangka, ada makhluk lain yang suka akan perihal nakalnya itu.

“Why you silent? Malu? Kau ingat hebat sangat kau jadi cikgu? Berjaya ke kau jadi cikgu?”

Aku menggenggam tangan yang mula menggeletar.
Perasan mula bercampur aduk.
Geram, marah, kecewa…
Seolah selama ini aku gagal untuk menjalankan amanahku sebagai seorang guru.

Dan mangsa histeria mula mengilai kuat.
Mungkin melihatkan aku yang mula berkecamuk.

“Dah, Hana.. Kau jangan terpedaya dengan setan ni. Sajer dia nak kita marah ni”
Aku kumpulkan kekuatan untuk mebaca ayat-ayat lazim yang kuingat.
Mangsa menjerit nyaring.
Kami terpinga- Pinga dibuatnya.

Rupanya Puan Razita, guru berpengalaman yang juga merangkap perawat Darussyifa sudah mampir ke dalam kelas.

“Pergi! Pergi! Aku tak nak muka tu! Jahat! Jahat perempuan tu!!”

Puan Razita mengambil alih peranan merawat.
Selepas pelajar itu pulih, kedengaran kekecohan di luar. Pelajar lain pula yang dijangkiti.

Aku berlari mendapatkan mangsa seterusnya.
Anak orang.
Perlu dijaga sepenuh perhatian. Bimbang terjadi apa-apa..

Kini sudah masuk dua minggu kami berkejaran menyelamatkan mangsa histeria. Entah apa puncanya, kami tidak tahu.
Jalan yang kami lalui sesungguhnya buntu.
Puas dipanggil perawat serata tempat, tetap juga begitu.

Doakan kami.

7 thoughts on “Pengakuan Dari Yang Merasuk”

Leave a Comment