Assalamualaikum kepada semua pembaca FS. Cerita yang akan aku kongsikan adalah tentang misteri sebuah surau di hospital yang dialami oleh aku sendiri.
Begini kisahku, dahulu apabila arwah mama disahkan menghidap sakit buah pinggang tahap 4, hampir setiap bulan arwah akan dimasukkan ke wad. Jadi tugas aku sebagai anak yang menganggur pada masa itu untuk berada di sisi arwah sepanjang masa memandangkan yang lain ada komitmen masing – masing. Ayah dah lama dijemput Illahi. Aku seorang perempuan ya bukan lelaki dan kejadian ini berlaku 5 tahun yang lalu ketika aku baru tamat ijazah dan tiada pekerjaan lagi.
Sebagai anak yang paling kerap menjaga arwah mama, sudah semestinya segala urusan hidup aku berada di dalam hospital saja. Mandi, buang air, tukar baju, tidur dan solat semuanya dibuat di hospital, jadi segala kelengkapan aku akan dihantar oleh abang atau kakak ipar aku. Untung aku agak rapat dengan kakak ipar, sekali – sekala dia akan datang untuk menemani kesunyian aku di dalam wad. Arwah mama diletakkan di dalam wad kritikal bersama – sama yang lain. Di aras itu juga terdapat sebuah surau yang bersaiz dua kali bilik tidur di UKM, tempat aku menimba ilmu dulu.
Aku antara pengguna setia surau tersebut, sampai kakak2 penjaga yang lain dah cam muka aku di surau. Aku juga seringkali terlelap di surau tersebut apabila giliran abang atau adik yang menjaga, jadi aku akan mengambil kesempatan untuk tidur di surau.
Namun, ada sesuatu yang membuat aku tidak selesa dengan surau tersebut, ada penghuni lain di dalam surau tersebut. Aku ada perasan yang setiap kali aku solat fardhu Maghrib atau Isyak, seperti ada sesuatu yang mengikut gerak gayaku, seperti berimamkan aku. Pada mulanya aku biarkan saja kerana aku pernah dengar sememangnya para jin sangat suka berimamkan manusia. Jadi memang aku rasakan mereka yang mengikuti gerak – geriku bersolat. Asalkan tak nampak sudah, hati kecilku memujuk demi memuaskan nafsu tidurku.
Suatu malam sekitar pukul 10 malam, ketika aku baru saja nak lelapkan mata kerana pukul 12 nanti nak ambil giliran jaga arwah mama semula, tiba – tiba kilat memancar dan guruh berdentum – dentam di luar. Sepertinya hari akan hujan bila – bila masa, aku dah sedia dengan comforter aku, kelihatan juga ada dua beranak sedang sedia untuk tidur di hujung kakiku. Apabila lampu surau dipadamkan dan aku sedia untuk berselubung, anak mata aku dapat menangkap satu pergerakan, lantas mataku tertumpu ke arah kain telekung yang tersangkut di tepi koridor.
Perlahan – lahan telekung tersebut terlepas daripada rel penyangkut dan terawang – awangan lalu membentuk sekujur tubuh wanita yang sedang bersolat, kemudian perlahan – lahan menyusuri dinding hingga ke pintu gelongsor surau. Sampai di pintu tersebut, kilat yang teramat cerah memancar disertai dengan bunyi guruh yang sangat kuat membuatkan telekung tersebut hilang sekelip mata. Apalagi terlompat aku dari tempat tidur dan terus berlari membuka lampu. Eh, ke mana dua beranak di hujung kaki aku tadi ?
Sapaan dari belakang membuatkan aku terjerit seketika, rupa – rupanya seorang misi. Misi menyuruh aku diam, lalu bertanyakan apa yang sedang berlaku. Aku cerita perihal penampakan telekung terapung tersebut kepada cik misi, lalu dia bertanya kepadaku ada ternampak mana – mana misi bersolat di surau ini, aku jawab tidak.
Tetapi kenapa ? Diapun memulakan cerita, semua misi yang baru memulakan tugas di aras ini pasti akan diusik oleh penghuni surau tersebut setiap kali menggunakannya. Mereka seolah bermakmumkan sesuatu setiap kali mereka solat. Tidak cukup dengan itu, mereka juga selalu terdengar suara wanita membaca Al-Quran di dalam bilik surau tersebut dan jika lebih bernasib baik, mereka akan terdengar suara budak belajar mengaji dengan ibunya.
Namun semuanya berlaku selepas matahari terbenam, pada waktu siang keadaan seperti biasa, ramai saja pelawat dan penjaga menunaikan solat di situ. Jadi dua beranak yang aku nampak sedang tidur di hujung kaki aku tadi ialah…, bermakna aku lebih bernasib baik daripada misi – misi tersebut. Sejak pada hari itu, aku sudah tidak menggunakan surau itu lagi dan sanggup turun ke aras lain.
Setelah sekian lama menjaga arwah mama, keadaannya semakin tenat akibat organ dalaman yang telah rosak kesan daripada kerosakan buah pinggang. Suatu malam sekitar pukul 11, ketika abang dan kakak iparku sedang menjaga arwah kerana keadaan arwah yang semakin teruk, aku dengan kerisauan yang melampau telah sekali lagi menjejakkan kaki ke surau tersebut, ingin bermunajat kepada Allah agar mempermudahkan perjalanan mama menghadapi sakaratulmaut.
Ketika sedang khusyuk berdoa tanpa mempedulikan keadaan sekeliling, secara tiba – tiba telekungku ditarik dengan kasar oleh seseorang sehingga aku hampir terlentang. Ya Allah, main kasar benda ni, gertak aku kepada mereka kerana aku tahu mereka sedang berada di dalam bilik itu juga. Serta – merta juga senaskhah Al – Quran yang sedang tersusun di atas rak telah tercampak keluar ke atas lantai dengan sendirinya. Allahu, apa yang kau mahu haa bermain dengan Quran pula ? Sememangnya aku seorang yang kuat semangat, kalau penakut aku takkan tidur dalam surau seperti sebelum ini.
Aku pergi mengutip Quran yang terlingkup itu, apabila aku pusingkan naskhahnya, Ya Allahh surah Al-Mulk !!!!! bercucuran air mataku menitis ke atas Al-Quran tersebut. Malam tersebut ku ulang membaca Al-Mulk entah berapa kali sehingga aku terlelap di dalam surau tersebut sehingga fajar menyinsing.
Keesokkan harinya, arwah mama terus koma dari pagi hingga ke petang, pukul 5 petang mama pergi buat selama – lamanya. Al – Fatihah buat mama dan terima kasih kepada penghuni surau hospital tersebut kerana telah banyak mengajarku erti menghargai sebuah kehidupan.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Makhluk halus yg selalu disalahanggap KASAR oleh kita manusia…
Hakikatnya dia juga boleh memberikan pengajaran…
???
al fatihah buat pemergian mama
Ok
Uih seram. Salam takziah penulis.
Pernah baca cerita ni, dulu. Kisah ‘ibu dan anak’ yang menghuni surau hospital. Rasanya baca dalam fiksyen shasha gak.