Penjaga Gunung Santubong?

Kisah yang aku alami ini betul-betul memberi pengajaran kepada aku kenapa otai-otai yang selalu pergi mendaki acap kali pesan, datang ke tempat orang kena jaga perlakuan dan percakapan sebab kita tak tahu apa yang menghuni tempat tu meskipun bukan aku yang menyebabkan perkara misteri itu berlaku.

Kisah ini berlaku pada awal tahun 2015, dan ketika itu juga aku masih menuntut di salah sebuah IPTA di Kota Samarahan, Sarawak. Jujur aku akui, aku baru setahun setengah berada di Bumi Kenyalang dan ini merupakan kali pertama aku ambil keputusan untuk turut serta sebagai peserta dalam sebuah program mendaki anjuran Kolej C. Senior ada cakap, kalau belajar kat Sarawak dua tiga tahun tapi tak naik Gunung Santubong memang rugi. Jadi aku ambil keputusan untuk turut serta, walaupun pengalaman dan skill mendaki gunung ni memang zero habis!

Program tu berlangsung pada hujung minggu, hari Sabtu. Nak dijadikan cerita, malam sebelum tu aku dengan sengaja tidur lambat. Almaklumlah, kali pertama nak mendaki gunung kan, memang tak prepare mental dan fizikal secukupnya. Pada aku, ah daki gunung je kot, lebih kurang macam ‘jungle trekking’ lah sikit-sikit. Tanggapan aku ternyata meleset sama sekali pagi tu. Lebih kurang pukul tiga pagi juga lah baru aku lelap mata.

Pagi tu aku terlambat, sumpah seranah dekat diri sendiri sebab cuai, dah tahu ada program tapi tidur lambat. Ha ambik kau! Aku orang terakhir naik bas dan aku perasan ada mata-mata yang memandang dengan perasaan tak puas hati “cis, dia ni lah punca kita lambat bertolak!”.

Bas bertolak dari universiti dan terus ke kaki Gunung Santubong. Selepas briefing dan pengagihan bekalan makanan serta air, kami memulakan pendakian tepat jam 9 pagi (agak lewat sebenarnya). Untuk pengetahuan pembaca, sebelum memulakan pendakian di Gunung Santubong, anda perlu mendaftar terlebih dahulu di kaunter, prosedur yang sama seperti kebanyakkan bukit & gunung di Malaysia yang mana anda perlu mendaftar bagi tujuan keselamatan dan juga sebagai rekod untuk pihak yang berkenaan.

Gunung Santubong mempunyai kisah lagenda tersendiri, yang turun dari zaman ke zaman. Kalau pembaca curious nak tahu, kisah lagenda Gunung Santubong ada beberapa versi dan terpulang kepada pembaca sendiri untuk menilai yang mana satu rasanya bertepatan dengan kisah yang akan diceritakan ini.

Pendakian diteruskan dengan ‘trail’ atau laluan yang tidak begitu mencabar, landai dan seakan-akan trail jungle trekking. Kami berhenti berdekatan ‘mini waterfall’ untuk satu aktiviti berkumpulan yang mana kami perlu memasak telur dengan menggunakan teknik membakar telur yang dibalut dengan aluminium coil dan dibakar di dalam tanah, ha lebih kurang macam tu lah.

Sejurus selepas semua kumpulan siap dengan tugasan yang diberikan, kami meneruskan pendakian sehingga ke check point F7, juga dikenali sebagai View Point 1 sebab dah boleh lihat pemandangan dari aras tersebut, namun itu barulah permulaan! Kami berhenti di F7 untuk makan tenghari dan juga aktiviti ibadah bagi peserta Muslim.

Kami meneruskan pendakian sekitar jam satu lebih, dan segalanya bermula di situ. Darjah kesukaran dari tahap 1 terus berubah kepada tahap 8-9 apabila anda meneruskan pendakian dari checkpoint F7 ke atas. Peserta di uji dengan ketahanan fizikal dan mental yang sangat tinggi, dan sepanjang pendakian peserta perlu memanjat ‘monkey ladder’ untuk ke aras lebih tinggi dengan tangga tersebut berada pada sudut 90 darjah! Satu perkataan yang muncul di benak fikiran aku, dan terus menghantui aku sepanjang pendakian; menyesal! Tapi segalanya dah terlambat, cukup terlambat untuk aku patah balik atau orang putih kata ‘give-up’.

Hasil dorongan moral rakan-rakan peserta yang lain, aku berjaya berada dalam kumpulan pertama yang berjaya sampai ke puncak sekitar pukul 4 petang. Sewaktu pendakian kami terserempak dengan beberapa pendaki dan mereka ada meninggalkan pesan yang mana kami sebenarnya agak lewat untuk meneruskan perjalanan sehingga ke puncak. Tapi kami ambil secara acuh tak acuh sahaja, maklumlah darah muda mana pernah nak dengar cakap orang yang lebih tua.

Hampir setengah jam berada di puncak, selesai dengan sesi mengambil gambar, ketua program ambil keputusan untuk mula kami turun dari puncak tersebut, memandangkan cuaca akan berubah apabila Maghrib menjelma. Untuk pengetahuan pembaca, cuaca petang di Sarawak akan mulai gelap sekitar awal jam 6 petang, jadi kami perlu turun juga bagi memastikan kami sampai ke kaki gunung sebelum tirai malam menjelma.

Sewaktu turun dari puncak, kami terserempak dengan kumpulan kedua yang masih mendaki dan ingin terus mendaki hingga ke puncak. Pada mulanya, ketua program dan AJK yang lain tidak menyarankan untuk kumpulan tersebut meneruskan pendakian, namun mereka dibenarkan untuk terus mendaki walaupun waktu sebenarnya sudah agak lewat untuk ke puncak. Pendakian kumpulan kedua ke puncak dijaga oleh beberapa AJK program yang bertugas. Seperti yang aku cerita tadi, cuaca petang berubah sangat pantas.

Sedar tak sedar, sampai sahaja kami kumpulan pertama ke checkpoint F7, hari sudahpun gelap, langit beransur kegelapan menandakan Maghrib bakal menjelma. Kebanyakan daripada peserta sudah mulai keletihan, bekalan air sudah habis diminum dan rata-rata daripada mereka menampakkan wajah keletihan yang amat sangat, termasuklah aku. Ketua program dan AJK buntu buat seketika, masih ada satu kumpulan yang masih belum turun daripada puncak. Hal itu yang merisaukan ketua program dan para AJK yang lain memandangkan hari beransur gelap.

Ketua program mengambil keputusan untuk membenarkan peserta kumpulan pertama untuk turun ke kaki gunung terlebih dahulu dengan ditemani dua orang AJK dan mereka yang lain akan tunggu di checkpoint F7 untuk menanti ketibaan kumpulan kedua. Tanpa berlengah, kami mulai turun menggunakan laluan Bukit Puteri, yang mengambil masa kira-kira 45 minit untuk turun sehingga sampai ke kaki Gunung Santubong.

Suasana waktu itu agak sepi, masing-masing dengan bersuluhkan lampu daripada smartphone dan powerbank berhati-berhati sewaktu menuruni Bukit Puteri kerana cuaca sudah pun gelap dan kami bergantung sepenuhnya terhadap pencahayaan daripada lampu yang kami ada. Aku memang tersangat letih, dengan kaki rasa lemah longai, tapi perjalanan turun perlu dilakukan segera yang mungin.

Dalam tempoh perjalanan turun, aku mula rasa tak sedap hati. Seolah-olah ada benda yang memerhati setiap langkah dah gerak-geri kami. Bayangkan di dalam hutan dengan rata-rata daripada kami dilanda keletihan yang amat sangat dan dalam suasana yang sangat gelap, hanya Tuhan yang tahu perasaan kami waktu tu. Dengar sahaja azan Maghrib berkumandang dari Kampung Santubong, hati aku dah mula lega sedikit, tapi ketakutan tu masih ada.

Setelah menempuh pekat malam dengan bunyi-bunyian cengkerik, kami selamat tiba di kaki gunung sekitar jam 8 malam, dan disambut oleh beberapa orang penduduk kampung berserta staff Gunung Santubong. AJK yang menemani kami menceritakan secara serba sedikit tentang apa yang berlaku.

Kami terduduk keletihan, ada yang mengambil keputusan untuk baring bagi melepaskan kepenatan yang mereka alami. Bekalan air pula dah habis, dan bila kami ajukan soalan “pakcik, kat mana ada kedai yang buka waktu ni, kami haus…” secara tiba-tiba satu bekas ‘ice box’ muncul. Pakcik tu seraya bersuara “Air mineral dua ringgit, air gas tiga ringgit”.

Ciss! Dalam keadaan kami yang hampir sesat tu sempat lagi berniaga. Tak kisahlah pakcik, lima ringgit pun sanggup aku beli untuk sebotol air mineral 500ml tu. Selepas beberapa ketika, AJK mengarahkan kami untuk naik dan berehat di dalam bas sementara menanti ketibaan kumpulan kedua bersama-sama AJK yang lain.

Perasaan seram aku yang bermula apabila mulai turun dari checkpoint F7 bertambah tinggi sejurus kami masuk ke dalam bas. Aku duduk di barisan hadapan, betul-betul di belakang kerusi pemandu kedua (single seat tu). Sambil melepaskan lelah dan penat, aku sempat berbual bersama-sama dengan pemandu bas tu. Abang bas melahirkan kerisauan dia terhadap kumpulan kedua, takut apa-apa perkara tak diingini berlaku.

“Sepanjang abang bawak pelajar ke Gunung Santubong ni, tak pernah lagi peserta keluar lambat. Paling lambat pun enam ke enam setengah macam tu dah keluar. Tapi sekarang ni lapan setengah tak turun-turun lagi!”. Aku mengiyakan kerisauan abang bas tersebut bersama Faiz dan Atiqah, yang duduk berhampiran dengan aku.

Beberapa ketika lepas tu, Atiqah berbisik, “Weh, tolong tarik langsir tingkap tu”. Aku tercengang. “Hah? Kenapa pulak?”. Atiqah membalas tanpa menoleh, “Tutup je weh, aku nampak something”. GULP! Tanpa banyak soal aku terus tarik langsir dengan tanpa menoleh secara langsung ke arah luar. Atiqah bersuara, “Sebenarnya, masa kita turun tadi aku dah mula rasa ada benda ikut kita. Aku nampak, tapi secara hujung mata jelah. Sebab tu kalau kau perasan aku baca-baca masa kita on the way turun tadi”.

Aku dan Faiz diam seribu bahasa. Jauh dalam hati aku merasakan memang benar apa yang Atiqah rasa, sebab aku pun rasa perkara yang sama cuma bezanya aku tak nampak! Oleh sebab tingkap di sisi aku dah tutup dengan langsir, pandangan aku terarah ke cermin hadapan. GULP! Nun di seberang jalan, tempat di mana kami berehat usai sampai di kaki gunung, aku nampak satu barisan dengan lima susuk tubuh manusia, tapi yang menghairankan aku, lima susuk tersebut berdiri tegak dalam barisan yang tersusun dan secara kasarnya aku melihat mereka seolah-olah sebagai pengawal istana yang kita seringkali lihat dalam cerita-cerita lakonan Allayarham P. Ramlee dan lagenda yang lain.

Aku terdiam, bisu tanpa sebarang suara. Untuk kepastian, aku lihat sekali lagi, dan masih yang sama. Lima susuk tubuh berdiri tegak seolah-olah pengawal istana yang sedia menanti arahan. Aku menyandar ke kerusi, pandang ditundukkan, tidak ke hadapan mahupun ke sisi ke arah tingkap. Abang driver tiba-tiba bersuara, memecahkan seketika kesunyian yang berada di dalam bas. “Abang nak pergi hisap rokok kat luar kejap dengan orang kampung bawah tu. Korang jaga bas ni, jaga bagi siapa-siapa bawak tau!” dan sejurus lepas tu terus meninggalkan kami yang keletihan di dalam bas. Aku, Atiqah dan Faiz tidak banyak bersuara, masing-masing dilamun kepenantan dan keletihan yang tak tahu bila nak berakhir.

Tengah sedap aku layan perasaan letih ni, tiba-tiba bas mendap, tanda ada orang naik melalui tangga bas. Aku jenguk ke arah tangga, turut sama menjenguk Faiz dan Atiqah. Pada hemat kami, abang driver dah datang balik dekat bas. Namun, apa yang memeranjatkan kami, tiada siapa pun sebenarnya yang naik bas tu! Tapi kami hairan, macam mana bas boleh mendap seolah-olah ada orang naik, tapi sebenarnya tidak ada sesiapa pun. Aku toleh ke belakang, rata-rata peserta lesu dan ada yang lelap dibuai mimpi. Atiqah lantas bersuara, “Jangan cakap apa-apa, aku rasa benda yang sama. Kita senyap je”.

Aku dah mula tak keruan, sekali lagi kami membisu sejurus perkara tersebut berlaku. Buat kali kedua, bas mendap dan kali ini disertakan dengan bunyi “Prappp”, sah memang bunyi orang naik bas guna tangga! Kami bertiga menjenguk ke arah pintu bas, tiada siapa. Ya, tiada siapa pun yang naik bas, bukan abang driver, bukan AJK, bukan siapa-siapa yang naik. Kami saling berpandangan antara satu sama dengan yang lain. Aku dah mula baca Ayat Kursi sambil pandangan terus ke arah bawah kerusi. Sumpah, kami bertiga rasa perkara yang sama namun tiada siapa yang dilihat menaiki bas tersebut! Jujur, aku dah mula ketakutan, aku lihat Faiz dan Atiqah menujukkan reaksi yang sama.

Buat kali yang ketiga, kami diganggu dengan perkara yang sama. Bas mendap, seolah-olah ada yang menaiki bas, namun tiada susuk tubuh yang kelihatan menaiki bas tersebut. Kami redha, segala ayat-ayat pendinding aku baca. Udara pendingin hawa bas menambahkan lagi tahap ketakutan kami bertiga. Aku ambil keputusan untuk lelapkan mata, bukan sebab nak tidur tapi sebab nak elak daripada terus diganggu oleh sesuatu yang tidak kelihatan oleh mata kasar.

“Prapppp” Ya Tuhan, benda tu datang buat kali keempat ke? Sumpah memang aku dah tak nak tengok lagi dah, aku nak pejam mata sampai bas bergerak. Tekaan aku meleset, rupa-rupanya salah seorang AJK program yang menaiki bas seraya berkata, “Pakcik kat bawah tu tanya, siapa yang ada petik atau ambil anything daripada gunung tu, tolong pulangkan sekarang. Kalau tak kawan-kawan kita yang lain akan lagi lambat turun”. Suasana sepi ketika, soalan tersebut tidak dijawab terus. Rata-rata peserta kebingungan, ada ke yang ambil sesuatu yang bukan kepunyaan mereka sewatu pendakian? Aku dah menyumpah dalam hati, ha ni lah punca program ni terpaksa drag dengan ada peserta sangkut kat atas gunung!

Tak lama lepas tu, seorang peserta berdiri dan aku nampak ada dia ada pegang botol air mineral 500ml yang sudah pun kosong. Sambil botol tersebut dihulur kepada AJK tadi, dia meminta maaf sebab berbuat demikian. Rupa-rupanya, peserta tersebut telah memetik sekuntum bunga matahari dan disimpan di dalam botol tersebut! Apa punya perangai lah, ni mesti kes kali pertama mendaki gunung ni, walaupun sudah diberi penerangan tapi masih lagi melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

15 minit lepas tu, kami dikhabarkan kumpulan kedua beserta AJK yang lain sudah selamat sampai ke kaki gunung. Aku turun untuk meninjau keadaan pada masa tu. Kesemua AJK dan peserta menjukkan keadaan yang sangat letih, dan aku masih ingat ada seorang peserta perempuan terus rebah ke bumi, pengsan akibat terlalu keletihan. Apabila dibantu oleh AJK, peserta tersebut dalam keadaan separa sedar dan bercakap bukan-bukan. Tidak dapat ditangkap butir-butir perkataan yang dia sebut, aku agak dia terlalu letih dan mula mencarut entah apa-apa. Aku terdengar ada yang mengatakan apa yang terjadi ketika di atas tidak perlu diketahui oleh orang lain, cukup hanya mereka yang alami sahaja tahu apa yang berlaku ketika malam mula menjelma dan mereka dalam proses turun ke kaki gunung.

Dapat aku andaikan bahawa mereka tersesat, atau mungkin pandangan mereka dikaburi oleh sesuatu yang tidak mereka ketahui. Aku mula mengaitkan hal yang mana ada peserta telah memetik bunga sewaktu pendakian yang telah menyebabkan kumpulan kedua sesat sewaktu proses turun ke kaki gunung. Malam tu aku rasa berlalu sangat panjang. Apa yang aku dan rakan peserta lain alami sangat-sangat pelik. Apa yang aku rasa dan aku nampak sungguh ganjil, apakah susuk tubuh lima orang pengawal itu bererti mitos berkaitan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang itu benar? Apakah lima orang tersebut merupakan pengawal yang ditugaskan untuk menjaga gunung tersebut? Aku terus dihambat misteri tersebut.

Belum lagi masuk hal yang mana ada tiga entiti yang menaiki bas tanpa terlihat oleh mata kasar aku lagi. Cukup sukar untuk difikir oleh akal manusia. Aku rasa, aku alami dan aku perasan bas mendap seolah-olah ada orang naik, namun tiada siapa pun yang naik sebenarnya. Bukan sekali, bukan dua kali tapi tiga kali! Beerti ada tiga entiti yang menumpang kami balik sampai ke universiti. Baru aku sedar, memang betul Gunung Santubong ada penjaganya. Penjaga yang aku maksudkan boleh ditakrifkan kepada dua, bagi yang mempercayai adanya Puteri Santubong dan pengawalnya dan pada aku, itu semua jelmaan syaitan yang memang telah sedia ada di situ, dan sebarang perlakuan yang tidak elok akan menyebabkan berlakunya sesuatu yang tidak siapa ketahui.

Aku mulai sedar betapa pentingnya untuk kita memelihara dan menghormati sesuatu jika kita berkunjung ke tempat baru. Oleh itu, jika ada pembaca FS yang berniat untuk mendaki mana-mana gunung atau bukit, pastikan anda patuhi tiga ayat ini.

1) Leave nothing but footprints;
2) Take nothing but pictures;
3) Kill nothing but times.

Sekian.

11 thoughts on “Penjaga Gunung Santubong?”

  1. Ehhhh…
    Penulis ni pn punce kejadian gaklaaahhh…
    Sbb die lambat maka pendakian bermula dan tamat lewat…
    Maaf cakap yer…
    Sbb tu hakak ni ckp pantang org yg sewenang2 x menepati masa…
    Apatah lg dgn alasan sengaja tdo lambat dn kmdn terbangun lewat…
    Tolong hormati perancangan org lain,unless ade reason dan alternatif yg lbh munasabahsarawak…

    Reply
  2. Manusia yg selalu mencari kesalahan orang lain, adalah manusia yang bermasalah, bcoz di tak nampak kesalahan dalam diri dia sendiri, kerana terlalu bz mencari kesalahan orang lain…

    Carilah salah diri sendiri dahulu…
    Sebelum cari salah orang lain…

    Reply
  3. masing2 de salah….1st..jgn tido lambat kalau ada aktiviti esok…2nd..jgn ambil benda bukan kita punya kat tempat2 cam ni..yg 3 ayat last tu mmg terbaik

    Reply

Leave a Comment