Penunggu Kuarters

Assalamualaikum.
Nama aku shidi. Ini pengalaman benar yang berlaku pada aku dan isteri dalam minggu ini.

Detik 1 Syawal, aku dikejutkan dengan berita gembira oleh isteri bahawa beliau baru hamil anak pertama kami. Kiranya best birthday present ever la memandangkan ulangtahun kelahiran aku jatuh pada sehari sebelum raya.

Maka, aku nekad untuk setuju terima tawaran kuarters yang baru ku dapat pada hari Isnin (rayakan hari Sabtu) walaupun sewaktu lawatan ke unit kuarters berkenaan, isteriku menyuruhku menolak tawaran tersebut memandangkan situasi kuarters yang kotor, menyeramkan, dan tidak selesa.

Untuk pengetahuan, kuarters tersebut merupakan flat yang bercampur-aduk dengan orang awam. Ada penghuni cina yang renovated rumah, nampak tokong besar gabak di ruang tamu (bertentangan dengan unit kuarters tersebut) dan ada juga penghuni lain yang memelihara anjing meskipun ditegah (atas kepentingan politik, YB cina yang jaga kawasan tu pejamkan je mata sedangkan pejabat ADUN dia bawah flat je).

Aku terpaksa memujuk isteriku untuk bermastautin di sana memandangkan jarak rumah ibuku dengan tempat kerja agak jauh, dalam 74km berulang-alik. Kami suami isteri bekerja di daerah yang sama meskipun berlainan tempat kerja. Selain itu, isteriku baru bleeding baru-baru ni disebabkan oleh motor yang kami naiki sewaktu pulang ke rumah terlanggar lopak jalan. Waktu Maghrib, jalan dah mula gelap, salahku kerana gagal mengelak lopak tersebut memandangkan visor helmetku agak gelap. Alhamdulillah baby tiada masalah setelah diperiksa pihak hospital, cuma dileteri oleh doktor sahaja. Memikirkan demi kebajikan baby, maka isteriku hanya akur lemah untuk tinggal di sana.

Salam perkenalan bermula selepas kami selesai mencuci rumah. Waktu tengah renjis ais tawar sambil baca ayat kerusi non-stop, ada satu hembusan angin kuat menerpa ke mukaku, keluar dari pintu masuk rumah. Seraya itu juga, anjing-anjing peliharaan jiran menyalak secara berjemaah. Agak pelik sebab semua kipas dimatikan bagi mengelakkan litar pintas. Mana datangnya angin tu? Aku diamkan je.

Hari-hari berikutnya, isteriku mengadu segala tindak-tanduknya seolah-olah diperhatikan seseorang.
Sebenarnya aku pun berperasaan yang sama, namun aku ignored je sebab malas layan. Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku. Tu prinsip yang aku pegang. Aku tak cerita pun kepada isteri sebab tak nak dia takut. Baru nak masuk dua bulan kandungan, badan dia masih lemah.

Namun, gangguan makin menjadi-jadi apabila kami mengaji sesudah solat Maghrib sambil menunggu waktu Isyak. Malam itu juga bermulanya pintu bilik diketuk, namun tiada sesiapa sewaktu dibuka. Bunyi perabot dialih di rumah tingkat atas, sedangkan rumah tu kosong tidak berpenghuni. Bunyi lesung batu bagai.

Setelah dinasihatkan oleh ustaz, waktu rehat tengahari aku pulang ke kuarters untuk memagar semula rumah tersebut.

Seperti biasa, rasa ditenung seseorang sewaktu mandi dan memerut tetap ku rasai. Usai mandi, aku bersiap untuk menunaikan solat Zohor. Waktu aku ke bilik sebelah untuk mengambil sejadah, aku dapat rasakan ada sesuati mengikutku dari belakang. Tergamam aku sewaktu toleh ke belakang, dapat ku rasakan bertentangan mata dengan seseorang, namun tak kelihatan.

Secara automatik, bulu roma berdiri tegak. Hasrat untuk solat di master room ku batalkan. Cepat-cepat aku azankan, dan mula merenjis rumah dengan air yang dibekalkan ustaz sambil membaca ayat kursi.

Lampu dan kipas tak sempat ku matikan kerana dapat ku rasakan atmosfera amarah dalam rumah kuarters tu. Lantas aku bergerak kembali ke pejabat. Oh ya, jarak kuarters dengan pejabat hanya 15 minit sahaja, lebih kurang 2-3km.

Igauan makin dahsyat apabila isteriku mula melihat kelibat-kelibat bergerak laju di dalam rumah.
Malah waktu tidur dapat beliau rasakan seseorang berbaring sebelah. Surah Yassin yang dimainkan melalui telefon kerap diberhentikan dengan sendiri. Ubah guna telefon yang lain pun masih sama, tiba-tiba berhenti.

Mak cik sebelah rumah (mamak muslim) menegurku, “hamboi, kerap sungguh no orang keluar masuk rumah ni? Tak sampai 2-3bulan dah pindah keluar” Aku hanya iyakan ja.. mungkin tuntutan perkhidmatan kut.

Start dari tahun 2014, puluhan surat dihantar atas nama 17 orang penghuni berbeza yang beralamat kuarters sama. Bayangkan hanya 3 tahun, seramai tu orang pindah masuk kejap, tak sampai 3 bulan cabut keluar.

Sekarang aku hanya ada dua pilihan sahaja, yakni kekal menghuni unit kuarters tu atau pindah keluar.
Nak mohon tukar kuarters tak dilayan disebabkan aku wireless (tiada kabel). Ya, agak sadis, meskipun sistem permohonan kuarters telah dilaksanakan sepenuhnya melalui online, namun penggunaan kabel dasar laut masih diamalkan oleh pihak-pihak berkenaan.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengurangkan kadar gangguan namun tiada hasil.
Nak menyewa rumah, luar kemampuan ku memandangkan aku hanya kerani biasa, sedangkan harga sewa rumah tinggi menggunung di kota politan ini.

Mohon pandangan kalian yang arif berhubung isu ini.
Terima kasih.

15 thoughts on “Penunggu Kuarters”

  1. Kalau duk umah bertingkat biasa la kalau bunyi lesung dgn perabot beralih tu, umah sy pun sama, terbaru ni makin kuat siap pakej kejut pagi lagi

    Reply
  2. gambar ni mcam kuarters polis jalan semarak jee …
    tiap kali aku lalu sini ..mmg seram keadaan dia … nasib la ayah aku dah pindah keluar dari semarak ..

    untuk encik ,sewa je la rumah lain ,jauh kan bende cam ni ,sbb dah rasa kan..nanti dorg lagi hardcore…naya jee

    p/s: tahu la gambar ni takde kene mengena dengan rumah kuanters encik duduk tu ..

    Reply
  3. kalau boleh,kau cuba la ikhtiar dulu…cari orang yg pandai sikit, suruh dia tengok2…kalau tak jalan gak, cari la rumah sewa lain..keluar dari kuarters tu, kasihan kat wife yg sedang mengandung

    Reply
  4. Update terkini:

    Aku telah meminta tolong oleh seorang ustaz yang bekerja sebagai kadi di Jabatan Agama Islam negeri, satu bangunan dengan pejabatku cuma berbeza tingkat. Selain itu, beliau juga merupakan kakitangan perubatan Islam di sebuah surau di tempat tinggalnya.

    Setelah ustaz berkenaan datang melawat rumah, beliau nasihatkan kami agar berpindah keluar kerana kandungan isteriku baru 2 bulan. Amat berisiko kepada baby jika berterusan tinggal dengan gangguan yang makin lama, makin dahsyat dan menjadi-jadi. Jika sudah 5 bulan kandungan, ustaz memaklumkan bahawa kami masih boleh gigih tinggal di situ kerana janin sudah lengkap terbentuk. Tanpa izin Allah, jin tak boleh mencacatkan keadaan fizikal janin.
    Namun, dalam situasi sekarang, aku tak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh menjejaskan keadaan anak pertama kami.

    Selain itu, difahamkan juga bahawa unit kuarters tersebut dihuni oleh keluarga jin.
    Bunyi kerusi: jin jantan
    Bunyi meja: jin tua
    Bunyi lesung batu: jin betina
    Bunyi guli: anak jin
    Semua bunyi tersebut ada semasa kami berada di dalam rumah. Malah bunyian tersebut disertakan gegaran seolah-olah perkara tu benar-benar terjadi, sedangkan benda itu hanya berada di syiling rumah sahaja, maklum ustaz.

    Maka aku memutuskan untuk menyewa di luar. Agak parah bagi kewanganku kerana kini aku dan isteri perlu berubat bagi memulihkan semula gangguan yang mula terdapat dalam badan masing-masing disamping perlu mencari rumah baharu.

    Oh ya, untuk makluman, semakan rekod penghuni sebelum ini di TNB dan syarikat air mendapati bahawa unit kuarters tersebut sebelum ini telah dipasang meter. Namun meter tidak aktif, yakni penghuni tidak menggunakan bekalan air/elektrik yang dimohon, dalam erti kata lain, sewa tapi tak duduk.

    Update pagi ni:

    Ustaz menasihati aku untuk membuang segala perkakasan lama yang ditinggalkan oleh penghuni sebelum ini. Selain itu, beliau juga menegah kami untuk consume segala jenis produk makanan berasaskan telur.
    Untuk makluman, telur merupakan makanan favourite jin. Jadi, sila elakkan makan/guna jika anda terkena gangguan makhluk halus.

    Maka, pagi ini waktu turun ke bawah sebelum ke tempat kerja, aku membawa keluar tikar-tikar serta sepapan telur gred A yang baru dibeli dari TESCO beberapa hari lepas.
    Amat mengejutkan, pada mulanya, tikar-tikar yang dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam hanya ringan, namun menjadi semakin berat dan berat tatkala menghampiri tong sampah besar yang disediakan oleh pihak perbadanan pengurusan flat. Rasanya seperti memikul bata-bata yang amat berat. Aku diamkan je daripada pengetahuan isteri.

    Sekian coretanku hingga petang Jumaat ini.
    Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada mangsa gangguan makhluk halus yang sekapal denganku.
    Terima kasih atas nasihat dan cadangan kalian.
    Moga kita semua dipelihara Allah s.w.t daripada gangguan-gangguan makhluk ciptaanNya.

    Reply
    • Encik perlu banyak bersabar dalam hal ni. Dugaan hanya turun kepada hamba2Nya yg kental dan tabah hatinya. Jangan putus harapan kepada Maha Pencipta. Kuat kan rasa kebergantungan kita terhadap Dia sebab setiap masalah ada jalan penyelesaian yg kita hanya perlu cari dan berusaha untuk selesaikan.

      Harap lepas ni tolong upate lagi, sbb nak tahu ada apa2 gangguan lagi ke lepas dah buang tikar tu.

      p/s: aku tahu ayat aku poyo, tapi jujur aku cakap ia dtg ikhlas dr hati

      Reply
      • InshaAllah, aku akan update di ruangan komen dari semasa ke semasa jika berkesempatan. Usah risau, aku takkan kuarkan post bersiri macam sesetengah pengirim lain. Cukup korang scoll down bahagian komen untuk mengetahui kesinambungan cerita memandangkan post ni belum ada penutup.

        Hingga kini, jam 5.30pm, lututku berasa amat sakit seperti terjatuh atau diketuk kuat oleh sesuatu.
        Untuk makluman, sewaktu masukkan telur ke dalam plastik sampah di hadapan rumah, aku pecahkan telur-telur tu dengan cara memijaknya sehingga pecah.
        Mungkin selfish atau tahana terhadap makanan, namun aku tak nak benda tu ganggu manusia lain jika telur-telur tu digunakan oleh sesiapa yang datang mengutip sampah. Cukup sekadar menganggu aku dan isteri, jangan mudaratkan orang lain lagi.

        Aku terpaksa bertabah hingga hujung bulan ni.
        Sewa sebulan kuarters dikira hangus kerana tidak mendiami unit kuarters tersebut melebihi 2 bulan. (Deposit kuarters: 2 bulan sewa sebelum potongan gaji bermula + cagaran 2 bulan sewa).

        Lebih memilukan ibuku melarang aku dan isteri pulang ke rumahnya.
        Dikhuatiri benda tu ikut balik.
        Maka kami perlu mencari tempat berteduh secepat mungkin.
        Hanya tinggal 3 hari.. Allahu.
        Doakan isteriku tabah menghadapi dugaan ini..

        Reply
    • Sabar ye bang. Mmg abg susa hati, percayalah inshaAllah nasihat ustaz bagi tu yg terbaik. Sy pernah berada dlm situasi abg. Duduk di kuarters, merasa gagguan spt perabot digerakkan smpai bergegar, lesug batu, ketukan, pulas pintu rumah, rukyah dlm hp mati secara tiba2 dll.
      Keadaan akan jd lebih teruk spt hubungan abg dan isteri akan terganggu secara tak sedar.. naik marah melulu (sblum ni amat jarang bergaduh), hubungan di katil berkurang, hidup rasa sempit dan susah walhal takde mslh sgt.. mcm ada yg panas dlm hidup kita.
      Itu yg sy alami.. sy bgtau suami, rumah kita ni ade setan.

      Reply
      • Part cepat marah tu memang betul.
        Kasihan isteri, ikut logik akal, kesalahan yang dia buat tu bukan besar mana tapi tetiba aku rasa bengang yang amat. Menyampah gila.
        Pantang tersilap, memang mudah marah.
        Sebelum pindah masuk sini, jarang aku rasa macam nak mengamuk. Ustaz cakap gangguan tu dah muka kacau jantung dan hati. Dia mempengaruhi perasaan dan pertimbangan.

        Selain itu, masakan di rumah memang cepat basi. Nasi baru tanak jam 7pm, jam 11pm dah lemau. Ustaz pesan suruh masak cukup-cukup untuk dua orang makan sahaja. Jika lebih, makanan yang disimpan tu akan dirasai oleh jin.
        Wallahualam.

        Reply
        • Dik, amalkan bacaan surah Al-Baqarah 284-286..baca sekali rumah xkn diganggu oleh makhluk halus selama 3 hari..lepas 3 hari renew balik bacaan tu ok..contoh baca hari isnin akan pagar sampai hari rabu..ok hari rabu tu terus renew..akak buat amalan mcmnie sbb akak pun tgh duk kuarters. Bunyi lesung batu,drill dinding,ketuk dinding n maen guli da lali da..tp akan nasihatkan adik supaya bpindah segera utk keselamatan adik n wife mmandangkan wife tgh ngandung..mtk tlg pada adik beradik utk pinjam duet myewa rumah baru..nt adik da dpt gaji,byr semula..akak doakan semoga adik n wife sentiasa dilindungi Allah..Allahumma Aamiin 🙂 -kak lia putrajaya

          Reply
  5. Ciannyer..Cuba la nant slalu ngaji dlm umah..smga dipermudahkn urusan n smga teruk kuat yer..pape update la..tingin tau jgak..

    Reply
  6. Assalamualaikum.
    Maaf, tak sempat buat penutup.
    Lepas dah tiga tahun baru berkesempatan jenguk sini balik.

    Ok, jadi ini kisahnya:

    Aku dan isteri berpindah keluar.
    Alhamdulillah, rumah baharu tiada gangguan meskipun terpaksa berulang-alik dari rumah ke tempat kerja lebih jauh (100km).
    Kini, anak kami dah genap berusia 2 tahun.
    Dah boleh berjalan dan berlari terkedek-kedek.

    Disebabkan curious, aku minta tolong kawan buat semakan rekod unit kuarters tu.
    Penyewa-penyewa selepas kami pun tak tahan. Lepas pindah masuk seminggu, mohon tukar.
    Genap sebulan, cabut keluar.

    Kiranya unit kuarters tu belum sampai level legend lagi la sebab hanya kes dahsyat je baru dorang tutup unit yang bermasalah.

    Alhamdulillah, dari segi side positif, disebabkan lali dengan gangguan, aku boleh stay-up sorang-sorang di pejabat waktu hujung minggu atau selepas waktu bekerja.
    Rakan sekerja yang lain, malah bos sendiri pun takut.
    Bukannya riak, tapi level gangguan di pejabat tu tak sehebat level gangguan di unit kuarters dahulu.
    Siap boleh menjelma lagi kut dulu.
    Sapa tak angkat kaki kan?

    Jadi, ini antara hikmah aku nampak atas musibah yang kami hadapi dahulu.
    Sesungguhnya sesuatu takkan terjadi tanpa izin Allah SWT.
    Dia takkan menguji hambaNya diluar kemampuan.
    Bagi korang yang sedang diuji, banyakkan bersabar.
    Korang mampu hadapinya.
    Percayalah pada janji Allah SWT.

    Sekian,
    Shidi signing off.
    Terima kasih sudi membaca hingga habis.
    Assalamualaikum.

    Reply

Leave a Comment