Pintu Terbuka Tika Maghrib Menjelma

Hai, aku Sayuq Keladi seorang yang selalu ingat-ingat lupa! Kalau cerita lama, jangan tanya, kadang aku sendiri pun dah lupa mana yang betul, mana yang ditambah. Tapi satu yang pasti, aku memang tak pernah lari dari jadi bahan lawak kawan-kawan. Kalau ada cerita seram, aku paling seram, tapi yang seramnya, kadang-kadang aku lupa apa yang aku takutkan! Jom aku kongsikan.

Ketika aku masih darjah 5, sebuah peristiwa menyeramkan berlaku di rumah Tok, yang terletak di kampung sebelah mak aku, di daerah Pendang, Kedah. Rumah tua itu sudah lama berdiri, penuh dengan sejarah dan kenangan, tetapi di balik semua itu, terdapat misteri yang belum terungkai. Kejadian itu berlaku pada waktu Maghrib, saat-saat yang selalu membuatkan bulu roma aku meremang.

Hari itu, seperti biasa, kami sekeluarga berkumpul untuk solat berjemaah di ruang tamu. Aku berdiri dalam saf bersama adik-beradik dan saudara-mara, merasa sedikit gelisah walaupun semua nampak tenang. Tapi hati aku, entah kenapa, terasa lain. Rasa seperti ada yang memerhati dengan tajam, menyelinap di setiap sudut rumah. Ada yang pelik.

Sebaik sahaja Pak Tam mengangkat takbir, rasa resah itu semakin menebal. “Allahu Akbar,” Pak Tam mengucapkan takbir, tetapi suara itu bergema lebih keras di telinga aku, membuatkan dadaku semakin berat. Aku cuba fokus pada solat, tetapi ada sesuatu yang mengganggu. Bila solat selesai, dan kami semua memberi salam, aku terdengar satu suara garau dari sudut bilik.

Aku segera memalingkan wajah, dan ketika itu, mataku terpaku pada Mak yang seolah-olah bertawaf mengelilingi kerusi di sudut bilik. Wajahnya lain, sangat lain. Matanya tajam berkilat seperti api, dan suaranya, serak dan garau, membuatkan aku menggigil. “Air… air… aku nak air!” kata Mak dengan suara yang bukan suara Mak yang aku kenal.

“Along, p ambil ayaq kat mama hang!” arahan Tok sangat jelas, tapi ada nada cemas dalam suaranya. Aku terkejut, tetapi kaki aku tetap melangkah ke dapur, menggigil takut. Aku ambil segelas air dari kendi dan berlari ke Mak. Tanpa kata, Mak terus meneguk air itu dengan gelojoh, tetapi selepas itu dia meludahnya dengan wajah yang berubah bengis.

“Panas! Aku nak lagi! Tapi jangan baca apa-apa! Jangan baca!” Mak menjerit, matanya merenung Pak Tam Jan yang sedang membaca Surah Al-Baqarah dengan tenang. Pak Tam Jan terus membaca, tetapi Mak tiba-tiba bertindak lebih liar. “Aku dah cakap jangan baca! Ini tempat aku! Rumah aku! Hahaha!” Suaranya bergema, seram dan mengerikan. Aku merasa seperti seluruh rumah itu sedang bergetar.

Mak mula meronta-ronta, cuba bangun dari tempat duduknya, tetapi Pak Dak Lan segera menahannya. “Macam mana ni mak, makin teruk ni!” Pak Dak Lan bertanya dengan nada panik, mukanya pucat.

Tok menghela nafas, berfikir sejenak sebelum memberi arahan tegas, “Hang Lan, p panggil Zali, mungkin dia boleh obatkan. Hang Jan, p tutup pintu dan pegang Eila ni sat, aku takut sat lagi dia p lari kat luar pulak, jenoh satu kampung nak ligan!” Tanpa berlengah, mereka berdua segera pergi melakukan tugas mereka seperti yang diarahkan.

Zali yang dimaksudkan oleh Tok adalah Pak Ngah Zali, seorang ustaz yang dihormati di kampung itu. Dia mengajar Al-Quran di kampung dan sering dipanggil jika ada gangguan makhluk halus. Sesaat terasa seperti berjam-jam, akhirnya Pak Ngah Zali tiba dengan tenang, walaupun wajahnya kelihatan agak serius.

“Awat ni, pasai apa boleh jadi lagu ni?” Pak Ngah Zali berkata, sambil memandang Mak yang masih dalam keadaan sangat agresif. “Hermm, tak pa, Hang Ida, p ambik beras kat aku!” arah Pak Ngah Zali, seakan cuba membuat suasana menjadi lebih tenang.

Mak Tam Ida, dengan cemas, bertanya, “Baik Bang, tapi nak ambik banyak mana? Lima cebok ka?” Suaranya cemas, tetapi Pak Ngah Zali dengan nada tenang berkata, “Hang ni Ida, nak buat kenduri ka apa, bawak mai dua genggam cukup!” Suara Pak Ngah Zali masih tegas tetapi ada elemen humor yang cuba menenangkan suasana.

Mak Tam Ida segera pergi mengambil beras dan menyerahkannya kepada Pak Ngah Zali. Sambil itu, Pak Ngah Zali membaca doa pelindung, “Allahuma inni a‘uzubika minal khubthi wal khabaith,” sambil menekan bahu Mak yang masih meronta-ronta. Tetapi Mak tiba-tiba tertawa sinis, suara garau itu makin kuat.

“Doa tu tak lut kat aku! Hang pa semua tak boleh buat apa-apa!” Mak menjerit, suaranya semakin kasar dan menyeramkan. Suara itu seolah-olah bukan suara ibu aku lagi, tetapi sesuatu yang asing, yang penuh dengan kebencian.

Pak Ngah Zali nampak sedikit bimbang, tetapi tetap tidak berputus asa. “Hang tengok ni, Mak tak boleh nak lari sangat!” katanya sambil membuka botol kecil berisi air jampi yang dia bawa. Dia mula membaca beberapa potongan ayat Al-Quran yang panjang, dengan suara yang lantang dan penuh keyakinan. “Ya Allah, lindungilah kami!”

Setiap ayat yang dibaca oleh Pak Ngah Zali menyebabkan Mak semakin menggigil, semakin meronta. “Panas! Panas! Berhenti baca!” jeritnya, suaranya bercampur antara tangisan dan amukan.

Pak Dak Mat, yang baru sahaja tiba bersama Abah, segera masuk ke rumah. “Assalamualaikum!” Suara Abah dari luar pintu membuatkan aku hampir terjatuh. Aku berlari ke pintu, dan melihat Abah berdiri bersama Pak Dak Mat, seorang pengamal perubatan tradisional yang terkenal dengan kepakarannya dalam menangani gangguan makhluk halus.

Pak Dak Mat, dengan tenang, membawa sebatang kayu gaharu, kain putih, dan botol kecil berisi air jampi. Dia tidak kelihatan terkejut, malah seperti sudah menjangkakan situasi ini. “Hahaha! Hang ingat hang boleh halau aku, Mat? Aku tak takut hang!” Mak menjerit, tetapi Pak Dak Mat hanya tersenyum tenang.

Dia duduk bersila dan mula membakar kayu gaharu yang mengeluarkan bau harum yang menusuk. Sambil itu, dia membaca Surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas, ayat-ayat pelindung dari gangguan jin. Setiap ayat yang dibaca oleh Pak Dak Mat menyebabkan Mak semakin menggigil. “Panas! Panas! Berhenti baca!” jerit Mak, namun Pak Dak Mat tidak terganggu.

“Siapa kau? Dari mana kau datang?” Pak Dak Mat bertanya dengan tegas. Mak tersenyum sinis, wajahnya semakin bengis. “Aku dah lama di sini. Rumah ni tempat aku. Dia lemah, sebab tu aku boleh masuk! Hahaha!” jawab Mak, suaranya bergema di seluruh rumah.

Pak Dak Mat meneruskan bacaan Ayatul Kursi dengan lebih kuat, “Allahu la ilaha illa huwa al-hayyu al-qayyum…” Setiap perkataan seperti membakar sesuatu dalam tubuh Mak. Tiba-tiba, Mak menjerit dengan suara yang mengerikan, dan tubuhnya mulai terkulai. “Keluar kau dari tubuh ini!” seru Pak Dak Mat sambil mencelupkan kain putih ke dalam air jampi dan menyapu wajah Mak.

Mak menggelupur, tubuhnya semakin lemah. “Aku keluar! Aku keluar! Jangan baca lagi! Panas!” katanya, tetapi Pak Dak Mat tidak berhenti. Dia terus membaca Surah Al-Baqarah ayat 102, ayat yang terkenal untuk melawan sihir.

Akhirnya, setelah beberapa minit yang penuh ketegangan, Mak terkulai lemah. Suasana rumah yang tadinya penuh dengan jeritan kini sunyi sepi. Pak Dak Mat menepuk bahu Mak perlahan dan mengazankan di telinganya. Wajah Mak kembali seperti biasa, tetapi dia kelihatan bingung dan lemah. “Kenapa semua orang tengok aku macam ni? Apa yang jadi?” tanya Mak, kelihatan sangat keliru.

Tok bertanya kepada Pak Dak Mat, “Apa sebenarnya yang mai tadi, Mat?” Pak Dak Mat menghela nafas panjang sebelum menjawab. “Yang mai tadi tu bukan makhluk tetap. Dia ‘liar’, tiada tuan, merayau cari tempat lemah untuk ditumpangi. Badan anak hang masa tu lemah, sebab tu dia boleh masuk.”

Tok mengangguk, “Ada lagi ka kat rumah ni?”

“Tak ada buat masa ni, tapi kena jaga amalan. Rumah lama macam ni memang senang jadi tempat menumpang. Bila Maghrib, tutup pintu dan tingkap. Jangan lupa baca doa pelindung rumah,” nasihat Pak Dak Mat.

Kata-kata Pak Dak Mat masih terngiang di telingaku, “Makhluk-makhluk macam ni tak kuat kalau kita bergantung sepenuhnya pada Allah. Kita hamba Allah, mereka pun sama”.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 9 Average: 4.8]
Sayuq Keladi

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.