Aku tengah membelek majalah World of Angker bilamana Aziz masuk ke dalam bilik. Bilik kami kecil. Hanya mampu memuatkan 4 orang. Dilengkapi katil, loker dan sebuah bilik air. Tidak luas. Sempit sebenarnya.
“Muz, aku masuk lab malam ni”, katanya serius.
Aku letakkan majalah. Sedikit berkerut keningku.
“Malam ni? Terawih kot. Ko tak nak buat ke? Rileksla dulu. Kita kan baru sampai”, kataku culas.
Aziz memang jenis hardcore buat kerja. Aku pula jenis slow and easy. Biar perlahan janji kemas. Sebenarnya kami baru sahaja sampai ke Platform Cakerawala pagi tadi. Perjalanan chopper(helicopter) kami awal. Bertolak dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa pagi tadi pukul 8:00 pagi. Ini bermakna pukul 4 pagi kami dah kena bertolak dari hotel. Prosedur sebelum menaiki chopper amat memenatkan. Security checking, chopper briefing, dan segala macam mak nenek lagi perihal dari kastam memerlukan kami perlu tiba awal sekurang-kurangnya 4 jam lebih awal.
Aziz mendengus kecil.
“Aku nak balik raya tahun ni. So better siapkan awal”, mukanya serius. Sedikit mencuka.
Aku tergelak kecil. Betullah cakap Aziz. Entah kenapa, 7 hari sebelum raya, kami dipanggil bos untuk job. Nak tak nak kena naik platform. Bila boleh balik? Ia bergantung kepada kepantasan dan perancangan. Jika sampel-sampel minyak dan gas cepat kami analisa, cepatlah pulangnya. Itulah kami, Field Analyst.
“Work permit?”.
“Don’t worry. Consider it done”.
“Err..aku nak terawihlah. Ko pergi lab dulu boleh? Kang aku menyusul”.
“Huh..yerlah. Make sure datang. Teruk kita kena ‘basuh’ kalau aku sorang kat situ”.
Aziz menekankan peraturan yang perlu kami patuhi. Di mana sahaja kami berada di lokasi platform, perlu ada teman. Ia dipanggil buddy system. Lab kami adalah sebuah container 10x10kaki. Penuh peralatan makmal di dalamnya. Terletak di bahagian utara mother platform(Cakerawala) yang dinamakan CK-C(Cakerawala-Charlie).
******
Cakerawala, 21:00pm.
Aziz memandang jam tangan. Masa untuk berangkat. Hatinya berbunga-bunga untuk menyiapkan tugasan. Malam ini ada lebih kurang 30 sampel untuk dianalisa. Penyediaan sampel mudah, hasil analisa yang lambat. Maklumlah peralatan makmal yang digunakan agak ‘tua’. Nama sahaja syarikat antarabangsa, tetapi lab equipment masih menggunakan teknologi 80-an.
Sampai di locker room. Aziz mengenakan safety helmet dan safety boot. Kewajipan jika bekerja di luar accommodation cabin. Coverall suit merah yang dipakai dikemaskan. Terasa angin laut menderu ketika Aziz melangkah keluar. Pintu accomodation cabin yang menempatkan 60 orang pada satu masa itu ditutup. Cabin tempat tinggal adalah pressurized. Membuka pintu akan menyebabkan aliran angin sejuk air-cond mengalir keluar. Aziz berjalan pantas menaiki tangga untuk ke main deck. Dari main deck pula perlu berjalan lagi lebih kurang 20 minit untuk sampai ke CK-C.
Bintang di langit tidak memancarkan cahaya malam itu. Barangkali dilindungi awan. Gelap dan hitam pekat. Sesekali kedengaran ombak air menyentuh kaki platform. Jika dipandang ke bawah kaki, melalui grating, kelihatan air laut sentiasa bagaikan sedikit berpusar. Kelihatan mengasyikkan. Namun pemandangan yang sudah acapkali bagi mana-mana pekerja offshore.
Sampai di CK-A(Cakerawala Alpha), Aziz memanjat hampir 100 anak tangga untuk ke upper deck.
“Hadoi..jauh benorler nak sampai. Nasi beriani gam dalam perut waktu berbuka tadi pun masih belum hadam. Dah kena menapak macam ni”, getus hatinya.
Aziz sampai di sebuah kawasan yang dipenuhi panel-panel lampu yang berkelip-kelip. Electric panel. Memainkan peranan dalam mengatur urus beberapa sistem peralatan di situ. Ini CK-B(Cakerawala Beta). Entah kenapa, hatinya tiba-tiba berdetak kencang. Anak matanya menangkap sesuatu melambai-lambai di hujung tangga. Aziz berpaling. Fuh! Plastik yang menutup besi-besi scaffolding rupanya. Hampir jantungnya terhenti. Sebenarnya tiada orang akan berada di CK-A, CK-B mahupun CK-C pada waktu itu. Operator shift malam hanya akan datang memantau 3 jam sekali atau hanya jika ada sesuatu kondisi yang tidak kena yang di pantau dari Control Room di Cakerawala. Tambahan pula, boleh dikatakan operator kebanyakannya lebih selesa berada di surau ketika ini.
5 minit berjalan. Aziz mendongak. Mak ai, lebih kurang 200 anak tangga simpang-siur zig-zag untuk menuju ke makmal yang tersergam indah di atas puncak top-deck CK-C. Pasti kurus jika sebulan di sini! Separuh menaiki anak tangga, Aziz memberhentikan langkahnya. Dia memandang sekeliling. Suasana platform sangat cerah kerana lampu-lampu platform yang sangat banyak. Tambahan pula dari CK-B, api besar bagaikan obor sukan SEA berkibar-kibar memancarkan cahaya. Api besar ini adalah api yang dipasang bagi membakar sisa-sisa buangan gas dan minyak. Aziz rasa tidak sedap hati. Ada sesuatu yang pelik. Dia kembali menaiki tangga. Namun dihentikannya kembali. Ada bunyi lain selain derapan kakinya. Seolah-olah ada orang lain turut menaiki anak tangga. Bulu romanya sedikit berdiri tegak. Dipandangnya ke bawah, hanya dirinya berseorangan.
“Hoi, jangan main-mainlah!”, Aziz menjerkah. Pantang dirinya dipermainkan. Maknya cakap dirinya ada d***h Bugis. Jadi dunia offshore memang sesuai baginya.
Angin laut seperti biasa kuat menderu. Aziz terasa sedikit sejuk. Mujur baju lapisan dalam sentiasa dipakai. Safety helmet pula telah diikat kemas pada dagu. Jika tidak, boleh sahaja terbang ke dalam air laut. Sepanjang pengalamannya, telah 2 kali helmetnya jatuh laut. Sekali waktu melompat dari kapal ke platform, sekali lagi ditiup angin. Dipercepatkan langkahnya. Tiada lagi bunyi derapan yang tidak sepatutnya.
Nafasnya termengah-mengah sampai di top-deck. Dirasakan nasi beriani gam di dalam perut dah bertukar menjadi glukosa secara paksa. Dipandangnya kotak besi yang dipanggil container dihadapannya. Alah bisa tegal biasa. Aziz membuka pintu luar kabin makmal dituruti membuka kunci pintu. Mudah dengan pengalaman. Dari luar, dia mengesan wayar sumber tenaga. Wayar perlu disambungkan kepada punca elektrik 240v.
Pap. Dengan sekali pusingan mengikut jam, explosion proof plug disambungkan dan makmal memancarkan cahaya lampu. Aziz lega, mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 10:00 malam.
Aziz membuka pintu makmal. Menggantung helmet pada pencangkuk di dinding. Di pasangnya semua peralatan sebelum tiba-tiba bulu romanya mencacak 90 darjah. Dipandangnya kawasan dalam makmal. Apahal pulak nih? Hatinya kembali berdebar.
“Bang!”, helmetnya terjatuh mengeluarkan bunyi yang kuat. Aziz tersentak memandang ke bahagian dinding.
Pandangannya terpaku pada dinding. Tiba-tiba Aziz rasa dunianya kelam. Hilang d***h Bugisnya. Dia terjelepuk longlai.
******
“Fadhlamminallah wa ni’mah. Wa maghfiratawwarohmah. Lailahaillallah wahdahu la syarikalah. Lahulmulku wa lahulhamduyuhyi wa yumit. Wa huwa a’la kullisyaiinqadiir”.
Syahdu bilal melaungkan puji-pujian. Disambut jemaah mengikut selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW.
“Assalamualaikum warohmatullah”, aku mengikut Imam memberi salam kedua. Selesai 8 rakaat dan 3 witir di surau yang mampu memuatkan 20 orang personnel sahaja. Kami memberi laluan kepada jemaah yang lain. Masih ada yang belum menunaikan Isyak. Yang lain berpusu-pusu turun ke galley(café) mencari samada supper berat atau biskut kering. Tak kurang ada yang balik ke bilik masing-masing untuk berbaring meluruskan tulang belikat.
Aku siap ber-coverall dalam 5minit. Turun ke control room yang dipenuhi monitor-monitor. Ada sebesar 40 inci, ada pula yang kecil. Kesemuanya menunjukkan sistem-sistem aliran keluar masuk minyak dan gas di platform, pantauan penggera, dan beberapa CCTV. Aku memeriksa PTW(Permit To Work). Aziz menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dalam penyediaan PTW. Sebenarnya Aziz adalah anak didik aku. Aku lebih senior. Cuma kadang-kadang lagaknya lebih bos. Aku hanya mengikut sahaja tidak melawan angin. Team leader seperti aku sudah tahu simpang-siur untuk mempercepatkan kerja. Tidak perlu terlalu tergesa-gesa atau terlalu perlahan membuat kerja.
******
CK-C, 22:15pm
Angin laut benar bertiup agak kuat. Bagi yang tidak biasa boleh sahaja terkena selsema. Sejak melangkah keluar dari Cakerawala, bahagian atas keningku agak kuat berdenyut. Bergerak-gerak memberikan aku seribu satu keresahan. Kebiasaannya, aku akan mengalami perkara ini jika ada sesuatu yang celaka akan menimpa. Macam spider-sense.
Kalau tidak kerana Aziz sudah berada di CK-C, aku lebih rela bergulung di bawah selimut berbaring. Penat perjalanan masih terasa. Untuk berada di sini sahaja, aku sudah menghabiskan detikan-detikan usia di atas kapal terbang dari Kedah-KL dan kemudian ke Kelantan. Kapal terbang dah macam bas bagi pekerjaan seperti aku. Bouncing from one place to another.
Kaki aku berat untuk melangkah naik ke anak tangga pertama. Aku pandang Lab container, sayup di atas top-deck. Lampu makmal kelihatan menyala bermakna ada orang di dalam. Aku membaca selawat. Bulu roma asyik tegak berdiri.
Geruh apakah kali ini. Luar biasa.
Baru sahaja aku memegang rail besi dan mahu melangkah, langkahku tersangkut. Ada seseorang menarik baju coverallku dari belakang. Ah, siapa pula?
Aku berpusing. Mana tahu ada operator yang bertugas. Tiada pula manusia di belakangku. Sedikit bunyi bising kedengaran di bawah deck. Datang dari 5 telaga minyak atau nama lain yang kami gelar ialah Christmas Tree. Aku pernah mendengar cerita kawasan dimana ada Christmas Tree, kerasnya agak lain macam. Kerana sumber-sumber minyak ini paipnya bersambung terus ke dasar laut. Ia bagaikan titi dari dunia di bawah ke dunia di atas.
Mungkin tolakan angin? Aku membuat andaian logik. Orang tua kata ayat penyedap hati. Ramadhan beb! Mana ada setan. Aku tersenyum sendirian. Ini logik akal paling logik. Jadi aku teruskan langkah mendaki anak tangga menuju puncak. Demi Aziz. Aku dah azam nak suruh Aziz kemas je barang. Balik bilik. Spider-sense aku dah berdenting-denting bunyinya.
Sampai di depan makmal, aku buka pintu.
Ya Allah! Aziz terbaring di atas lantai dengan mulut sedikit berbuih. M**i?! Pengsan?! Aku tidak terus menerpa. Mataku lebih ligat memerhatikan sekeliling kalau-kalau ada punca elektrik terbuka. Boleh jadi renjatan elektrik. Boleh jadi kebocoran gas beracun. Kalau gas beracun aku pun boleh kojol dalam masa yang singkat. Tiada yang berkenaan.
“Ehem”, seseorang berdehem. Aku pandang rak botol kimia di atas. Berderau d***h aku. Kalau tak kerana bulu roma melekat di badan, boleh jadi ia akan tercabut dari seluruh badan. Ada satu kepala tengah sengih memandang aku. Mukanya saling tak tumpah macam….macam muka Aziz! Rambutnya sahaja sedikit panjang. Macam peminat hardcore dan novel MetalCore. Aku pandang Aziz. Pasti, kepalanya masih terlekat di badan. Yang kat atas rak tu pelanduk dua serupa. Patutlah pahlawan bugis pon pengsan.
Dalam tahap keseraman angker macam tu, aku nak sahaja join Aziz terbaring dan berbuih mulut. Tapi terus aku tahan diri aku. Aku telan air liur. Aku tarik nafas perlahan. Mata kami tidak bertentang. Aku baca selawat perlahan-lahan. Al-Fatihah aku baca disusuli ayatul kursi. Aku tak boleh sama-sama pengsan. Aku gagahkan diri agar bacaan tidak tunggang-langgang. Dan aku pejamkan mata fokus. Mudah-mudahan kepala rock berambut panjang tersebut tak mengikut bacaan aku.
“Ehhmmm…errgh”, makin kuat pulak dia berdehem. Sesekali aku dengar bunyi gertapan gigi.
Hampir 5minit aku membaca, aku terasa tamparan angin yang kuat menderu di muka. Sejurus itu, tiada lagi muka yang menyeramkan di atas rak. Pastinya ia kepanasan. Mungkinkah ia keluar awal kerana disangkakan syawal telah tiba?
Aku menghampiri Aziz. Aku tepuk-tepuk bahunya. Masih pengsan. Aku tahan air dalam gelas isipadu. Telah aku pastikan gelas tersebut bukan dari sisa asid. Aku tidak mahu Aziz menjadi hodoh. Kemudian aku selawat dan meniup ke dalam air dan menyapukannya ke muka Aziz. Rakan karibku ini terus bagaikan terkejut dari tidur. Dia tengok dahi aku yang berpeluh-peluh.
“Muz..tadi..”.
Aku angguk.
“Sudah. Jom balik”. Aziz angguk akur.
Aku papah Aziz ke luar. Kemudian aku cabut semua punca elektrik. Menutup dan mengunci kemas pintu makmal. Angin sejuk kembali memulihkan semangat dan tenaga Aziz. Malam itu, sambil berjalan Aziz memegang bahu aku macam kekasih. Aku biarkan sahaja. Sebab aku pun takut ya amat.
Esoknya kami tidak ceritakan perkara itu kepada sesiapa. Malahan tidak kepada rakan-rakan sealiran kerja. Masalah pengsan seorang diri boleh sahaja menjadi kes besar di platform. Kami pasti akan dipersoalkan dan boleh sahaja dikenakan tindakan undang-undang pelantar minyak. Barangkali tidak akan dibenarkan lagi menjejak kaki di situ, sekaligus menutup peluang rezeki bekerja.
Peristiwa ini menjadi tamparan besar buat Aziz. Beliau berhenti bekerja 5 bulan kemudian dan menjadi seorang model sambilan. Setiap kali Ramadhan, beliau juga orang pertama berdiri di saf hadapan. Aku pula, terus meredah dunia lautan tanpa sempadan.
=TAMAT=
Nama Fb: Muzafar Oishii
Tajuk : PLATFORM
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Maaf. Cerita ini telah disiarkan lebih awal kepada sebuah page yang saya hantar di FB. Harap ia tidak bercanggah dari segi hakmilik.
Jika ya,harap admin FS dapat remove. Terima kasih.
mcm gampang crite ..
Kalau yg baca pun gampang, gampanglah jadinya.
Seronok baca, teratur.
btol tu ,seronok je baca
asal lak gampang..best je cite nye
situasi lain dari yg lain-asik2 kat kg, rumah lama, rumah baru, kat rumah atuk nenek etc… hehe kali ni lokasi berbeza.
Kan.. Situasi dia best.. Selalu dok baca.. Rumah lama kena tgal la, rumah pusaka la.. Rumah flat la.. Ni lokasi yg baru.. Pengalamn membaca yg baru.. Nak lg ada x cerita seram kat platform ni
LEH LAYAN
Tapi mcm tertanya-tanya la juga, apakah ‘si dia’ yg muncul di platform itu? Hehe
Tp ada yg kata kalau di laut ni tambah-tambah tengah laut, mmg ‘hardcore’ serem tu lain mcm
pengsan dengan mlot berbuih..betol2 terkejut tue..
Menarik.Penulis berjaya membawa pembaca ke sebuah latar tempat yang berbeza dari kebiasaan.Perincian yang jelas dan mudah buat pembaca dapat berimaginasi di atas platform.
9/10
Best
Best
Mungkinkah ia keluar awal kerana disangkakan syawal telah tiba?
Hahahahahahahaah…aku suka ayat nih..
Best
cara penulisan mcm Jcorp dari forum satu lg..
seram2 kelakar….truskan berkarya..
Bosan. Unnecessarily details