Prolog: Cik Baju Putih Dan Tikus Pemusnah
18 tahun berlalu selepas Gerimis Malam (http://fiksyenshasha.com/gerimis-malam)
Usai solat isyak, aku beristighfar dan kemudian berselawat ke atas Paduka Baginda Nabi Muhammad S.A.W. yang mulia. Masih di atas sejadah, aku menarik nafas dalam-dalam dan menghela kembali dalam usaha untuk mengosongkan fikiran dan mula fokus. Aku lepaskan salah satu pedang yang sentiasa setia bersamaku, dengan pantas ia menghilang, terbang memburu sasaran yang aku arahkan. Sebaik aku melepaskan pedang dan sementara menunggu ia kembali, aku bertakbir berterusan, memuji kebesaran Yang Maha Kuasa dan memohon agar Dia membantu misi ini, sebagaimana Dia membantu misi-misi yang sebelum ini.
Selepas lebih kurang dua minit, pedangku kembali bersama hasil buruan. Sebagai senjata pelbagai fungsi, pedang yang telah bertukar menjadi rantai yang panas mengikat hasil buruan dengan seketat-ketatnya. Rupa makhluk buruan yang terikat itu? Rambutnya panjang hingga paras peha, kusut dan menggerbang, muka berkedut seribu dan separuh hangus, matanya bulat merah berurat, bergigi taring dan memakai gaun putih lusuh labuh hingga menutupi kaki. Ya, Cik Baju Putih adalah jin dalam rupa pontianak. Reaksinya keliru dan gelisah. Keliru memikirkan bagaimana dia boleh tertangkap sedemikian dan gelisah kerana rantai yang membelenggunya itu amat ketat sehingga dia tidak dapat bergerak langsung. Kemudian pandangannya menghala kepadaku, tepat dan tajam, marah sungguh dia sebab tertangkap.
“Kau tak payah nak pandang aku macam tu sangat la. Dah kau buat salah, aku tangkap la,” kataku, dah amat biasa dengan pandangan sedemikian oleh makhluk-makhluk yang pernah aku tangkap. Cik Baju Putih cuma mendengus, tak tahu nak cakap apa agaknya.
“Kau tahu kenapa aku tangkap kau kan?” Tanyaku.
“Kau kan dah tahu, tak payah la tanya aku lagi,” Cik Baju Putih memerli aku. Macam la aku peduli dengan perliannya itu.
Kenapa aku tangkap Cik Baju Putih? Semalam aku dihubungi oleh sahabatku Faiz. Kata Faiz, rumahnya telah tiga minggu diserang tikus. Besar-besar tikusnya, hampir sebesar saiz seekor kucing dewasa. Tikus-tikus itu merosakkan banyak barang-barang di dalam rumah dan barang-barang yang disimpan di dalam almari, termasuk juga kabel internet yang sehingga kini dah beberapa kali juruteknik Telekom Malaysia datang dan menukarkan kabel yang putus digigit. Yang lagi membuatkan Faiz dan isterinya sakit hati dengan tikus-tikus tersebut adalah kerana bekas-bekas plastik yang berharga dua ringgit tak digigitnya, yang jadi sasaran adalah bekas plastik yang mahal berjenama Tupperware. Setiap hari jelas kedengaran bunyi tikus berdecit di atas siling dan luar rumah, dan kadang-kadang dengan selamba berlari di depan mata Faiz tanpa rasa takut. Gam tikus dan perangkap yang dipasang juga tak mengena, macam tikus-tikus itu cerdik dan tahu mengelaknya.
Faiz tinggal di rumah jenis teres, yang dia hairan, bila ditanya kepada jiran-jirannya, rumah-rumah mereka tiada pula masalah tikus pemusnah tersebut. Faiz bertanya pendapatku, adakah masalah tikus itu ada kemungkinan berkait dengan makhluk halus? Terus-terang, aku jawab aku tak tahu, tetapi aku katakan kepada Faiz, aku boleh cuba untuk ikhtiarkan, nanti sama-sama boleh tengok sama ada memang ada kaitan dengan makhluk halus ataupun tidak. Rentetan dari masalah tikus pemusnah itulah yang membawa kepada penangkapan Cik Baju Putih.
“OK. Oleh sebab kau pun dah tahu kenapa aku tangkap kau, jadi senang sikit kerja aku. Kau tahu kan apa yang aku nak kau buat?”, Aku saja layan dia bercakap. Semua makhluk yang aku tangkap sememangnya tahu mereka dah buat salah, kerana hanya makhluk yang bersalah sahaja yang akan ditangkap oleh pedangku.
“Tak semudah itu. Kalau aku tak nak kerjasama apa yang boleh kau buat?”, Cik Baju Putih masih berdegil walaupun dah kena ikat.
Sebagai menjawab soalannya, aku p****g kedua-dua kakinya dan kedua-dua tangannya. Dia buat-buat selamba, sedangkan aku tahu dia dalam kesakitan. Jin memang pandai berlakon.
“Kau masih degil ya!”
Kali ini aku lepaskan ribuan anak panah berapi. Berdesup menembusi baju dan tubuh Cik Baju Putih. Berlubang-lubang tubuhnya. Walau bagaimana parah sekalipun kecederaan yang dialami, jin tak akan m**i selagi aku tidak berniat untuk musnahkannya. Kali ini Cik Baju Putih dah tak boleh berlakon buat-buat selamba, dia tak tahan lagi dan menjerit kesakitan.
“Baiklah, aku setuju untuk bekerjasama,” Cik Baju Putih mengangkat bendera putih, setelah tak tahan kesakitan.
“Kalau dari awal tadi kau nak kerjasama kan senang, tak ada la dapat sakit, tangan dan kakipun tak hilang,” giliranku pula perli dia.
Jin biasanya berpuak-puak dan ada seekor sebagai ketua. Ada juga orang-orang kanan dan kirinya. Untuk memudahkan menyelesai masalah, aku akan sasarkan dan cekup ketua mereka terlebih dahulu supaya mudah dia kendalikan puaknya mengikut arahanku. Jadi, Cik Baju Putih yang menjadi sasaran pedangku untuk ditangkap adalah ketua kepada puaknya.
“Sekarang aku nak kau arahkan puak kau masuk dalam kepungan di depan, aku beri tempoh sepuluh saat sahaja, siapa yang tak sempat masuk dalam kepungan, aku akan musnahkan.” Aku buatkan satu kepungan di depanku. Bilang hingga sepuluh, agak-agak dalam sepuluh saat, sebab aku memang tak suka pakai jam.
Bila cukup tempoh, ada segelintir daripada berjuta ekor puaknya yang tak sempat masuk dalam kepungan aku musnahkan. Sebenarnya mereka sempat jika ingin masuk dalam tempoh yang ditetapkan, tetapi kadang-kadang ada antara mereka yang main-main dan degil, sebab tu aku musnahkan terus kerana jika dilepaskan, mereka inilah yang akan meneruskan gangguan kepada orang-orang yang mereka ganggu sebelum ini.
“Sekarang aku nak kau dan puak kau ambil balik semua racun dan sihir kau dari kawan aku Faiz dan keluarganya, juga dari harta bendanya. Yang paling utama, ambil balik sihir kau dari tikus-tikus tu semua,” aku mengarahkannya. Sihir Cik Baju Putih yang ditaburkan kepada tikus-tikus itulah yang menyebabkan tikus-tikus menjadi agresif dan bertindak laku musnah di rumah Faiz.
“Aku bagi kau tempoh lima minit untuk ambil balik sihir kau tu sampai habis, kalau tak, tahulah apa aku nak buat kat kau,” sambungku sebagai tambahan. Jin pandai putar belit dan licik. Kalau aku beri arahan yang kurang jelas, dia boleh memanipulasikan kata-kataku dan memberi macam-macam alasan untuk tak habiskan kerja yang diarahkan.
Cik Baju Putih hanya angguk sahaja tanda setuju dengan semua arahan yang aku berikan.
Sambil menunggu lima minit berlalu, aku habiskan masa dengan berzikir. Biasanya aku beri lebih daripada masa yang diarahkan untuk memastikan kerja mereka selesai dengan sempurna dan mereka tidak boleh beri alasan tidak cukup masa. Seperti biasa, aku yang tak suka pakai jam ini hanya kembali bertanya kepada Cik Baju Putih setelah aku benar-benar yakin tempoh telahpun melebihi lima minit sebagaimana yang dijanjikan.
“Bagaimana? Dah habis ke?”
“Dah.”
“Betul? Nanti aku periksa, kalau ada lagi sihir kau yang tertinggal, siaplah kau!” Aku mengugut.
“Tak percaya pula dia. Kau periksa la,” cabar Cik Baju Putih dalam nada marah. Aku cuma tersenyum tengok dia bengang.
Selepas aku periksa, ternyata memang semua sihirnya telah habis diambil kembali oleh Cik Baju Putih dan puaknya.
“Aku dah periksa, semua sihir dah habis. Dan sebagai tanda terima kasih, aku kembalikan kaki dan tangan kau serta pulihkan kembali tubuh kau yang berlubang tu. Nanti tak lah kau jadi JKU seumur hidup kau”
“JKU?” Tanya Cik Baju Putih tak faham.
“Jin Kurang Upaya,” jawabku sambil buat muka selamba, menahan ketawa sebenarnya.
Setelah memulihkan kaki, tangan dan tubuhnya, aku buang semua ilmu jahat Cik Baju Putih dan puaknya dan kemudian hantar ke satu tempat yang dikepung. Mereka tidak boleh merayau dan tidak boleh mengganggu manusia lagi dan akan kekal di situ sehingga Allah kehendaki sebaliknya.
Esoknya. Aku ceritakan apa yang telah berlaku antara aku dan Cik Baju Putih kepada Faiz. Aku minta dia beritahu aku dalam beberapa hari selepas itu sama ada masih terdapat gangguan tikus ataupun berkurang, ataupun mungkin tiada langsung.
Malam pertama selepas tertangkapnya Cik Baju Putih, Faiz memaklumkan kepadaku, ada terdengar bunyi tikus dari jauh di luar rumah. Aku tahu, ada puak jin yang ingin menyambung kerja Cik Baju Putih. Tanpa berlengah, waktu itu juga aku musnahkan semua jin tersebut termasuklah ketua dan puaknya. Tempat dan orang-orang yang pernah diganggu jin akan meninggalkan tanda yang dapat dilihat oleh puak-puak jin lain, jadi adalah lebih mudah untuk mengganggu tempat dan orang-orang yang pernah diganggu tersebut. Aku tak bagi ruang untuk puak jin yang lain untuk cuba menyambung gangguan kepada Faiz dan keluarganya. Tanpa ruang untuk mencelah, dan bergantung juga kepada amalan orang yang pernah diganggu, tanda itu akan beransur hilang.
Malam-malam berikutnya sehinggalah sekarang, iaitu setelah lebih setahun peristiwa itu berlaku, tiada lagi gangguan daripada tikus pemusnah.
Segala puji-pujian hanya kepada-Mu Ya Allah, Tuhan sekalian alam. Lepaskan dan lindungilah kami dari segala tipu daya dan pengkhianatan iblis dan syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia. Sesungguhnya hamba-Mu ini tiada sedikitpun daya dan upaya tanpa pertolongan dan keizinan-Mu Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.
22 Julai 2017
1.56 pagi
- Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
cerita apa ni setaaaaan…..nak praktis menulis cerpen g tulis kat tempat lain
Lagi
buang masa je baca ceta ni!!!
JKU? New term. Hahahaha. Teruskan berkarya.
seronok jea baca cerita ni..yg 2 ekor kat atas tu meroyan knpa?..nama pun fiksyen shasha..bukan realiti shasha..