Rumah Berpuaka di Muar, Johor

RUMAH BERPUAKA DI MUAR, JOHOR

Salam min, Kisah ini adalah kisah benar yang pernah kami alami. Pada tahun 1995, kami sekeluarga berpindah dari Johor Bahru ke Muar kerana ayah mohon kepada jabatannya untuk bertukar tempat bertugas ke Muar atas alasan masalah urusan keluarga. Ayah bekerja sebagai pegawai kerajaan bahagian pencegahan penyeludupan dan kebetulan, post di Muar memerlukan beberapa orang pegawai untuk menjalankan aktiviti pencegahan.

Setelah permohonan ayah lulus, ayah meminta pertolongan kawannya yang kebetulan berada di Muar untuk mencarikan kami rumah sewa. Akhirnya, kawannya menemukan sebuah rumah sewa yang terletak di Jalan Daud, Muar. Ayah mengambil keputusan untuk ushar rumah tu sebelum kami berpindah. Saya ketika itu baru berumur 5 tahun dan kami sekeluarga pergi bersama melihat rumah tersebut. Rumahnya sederhana dengan halamannya yang luas dan berjenis Semi-D.

Setelah kami mempersiap segalanya, akhirnya kami sekeluarga berangkat untuk berpindah ke sana. Ayah menjemput sepupunya untuk membantu dan emak juga turut menjemput adik perempuannya untuk turut bersama menyediakan jamuan kecil-kecilan dan apa yang patut. Kisah misteri dan seram berlaku sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke rumah tersebut. Meskipun ketika itu usia saya baru 5 tahun, tapi memori tersebut masih segar dalam ingatan saya. Bagi memudahkan pembaca untuk mengikuti kisah ini, saya ringkaskan kepada beberapa pecahan kisah.

KISAH 1
Sebaik saja kami tiba di rumah tersebut, kami semua memunggah barang, dan saya bersama adik lelaki saya yang ketika itu berusia 4 tahun pergi berjalan ushar sekitar rumah tersebut. Perkara pertama yang terpacul dari mulut adik saya yang sudah pandai berkata-kata adalah “Rumah ni tak best lah kan!”. Balas saya “A’ah lah, tak best!”. Saya juga turut merasakan aura negatif tersebut, walaupun ketika itu saya masih berumur 5 tahun. Saya dan adik pergi mendapatkan emak dan mengadu “Mak! Rumah ni tak best lah…” tapi aduan kami tidak diendahkan. Kata-kata kami didengari oleh kak long dan dia masih ingat lagi kata-kata tersebut sehingga ke hari ini.

KISAH 2
Apa yang nampak menarik adalah senibina rumah tersebut seakan-akan rumah kolonial British dan saya yakin rumah ini mungkin dibina pada waktu Perang Dunia II [WW II] berdasarkan jalan sambungan untuk ke dapur yang hanya berdinding tetapi tidak berbumbung. Selepas penat berkemas, sepupu ayah pergi ke halaman rumah untuk memetik buah mangga yang rendah pokoknya. Pada usia saya 5 tahun tu, saya dapat pegang pokok tersebut. Emak sedang sibuk menyediakan makanan untuk jamuan kecil. Makcik pula [adik perempuan emak] duduk berehat kepenatan dan terbaring di atas kerusi. Katanya dia pening kepada, dan apa yang memeranjatkan, ketika itu adik saya dapat lihat ada seorang budak sedang duduk di atas kepada makcik, tapi waktu tu dia tergamam dan tak tau nak ‘describe’ tu benda apa?

KISAH 3
Setelah selesai kemas. Kami berehat pada malam itu sebab kepenatan. Esoknya kami berkenalan dengan jiran sebelah rumah yang merupakan sepasang suami isteri berbangsa Cina. Dorang berdua adalah cikgu sekolah dan dorang sangat mesra dan baik hati. Usia dorang juga sudah hampir untuk bersara, namun masih sihat dan bertenaga. Dorang hanya tinggal berdua sahaja.
Kisah seram dan berpuaka bermula pada suatu malam. Saya tidak ingat bilakah waktu tersebut. Ketika itu, kami sekeluarga asyik menonton TV. Secara tiba-tiba, pintu yang memisahkan bahagian ruang tamu dengan dapur digoncang kuat. Kami terperanjat. Ayah pula segera mendapatkan pistolnya kerana dia risau sekiranya ada perompak yang memasuki rumah memandangkan jalan untuk ke dapur tidak berbumbung dan mudah dimasuki orang. Ayah menunggu pintu digoncang untuk kali kedua, kali ini ayah terus merentap laju daun pintu dan mengacukan pistolnya. Namun tiada sesiapa. Ayah fikir mungkin angin bertiup kencang.

KISAH 4
Malam berikutnya, kejadian yang sama berlaku. Ketika kami sedang asyik menonton TV, sekali lagi pintu digoncang kuat. Kali ini ayah tidak sempat ambil pistol, sebaliknya dia capai parang yang sudah tersedia di tepi pintu. Takut juga kalau-kalau kali ini betul-betul perompak. Sekali lagi pintu direntap, namun tiada sesiapa pun, bahkan tak ada angin. Semenjak daripada kejadian itu, emak mula rasa sesuatu tak kena. Emak mengadu kepada ayah tentang rasa hatinya, kata emak, mungkin itu bukan orang atau angin. Ayah antara percaya dengan tidak.

KISAH 5
Sehingga malam berikutnya, ketika itu ayah tak ada dirumah kerana pergi ke Johor Bahru untuk menghadiri kes mahkamah. Seperti biasa, bila ayah dapat kes pencegahan, kes tersebut akan di bawa ke mahkamah dan ayah akan tinggalkan kami untuk beberapa hari bagi menghadiri perbicaraan. Pada malam itu pintu digoncang lagi. Kali ini hanya kami berenam. Emak, saya, adik lelaki saya dan tiga orang kakak saya. Kami bertambah risau kerana ayah tak ada dirumah. Kami menasihatkan emak supaya tidak membuka pintu. Tetapi dengan keberanian yang ada, emak yakin itu bukan angin atau perompak sebaliknya “benda” lain. Emak ambil penyapu lidi yang tersedia di pintu tersebut. Kali ini emak merentap pintu tersebut kemudian mengibas-ngibaskan penyapu lidi. Serentak itu juga bulu tengkuk emak meremang dan emak kemudian cepat-cepat menutup pintu.

KISAH 6
Emak mengadu kepada ayah tentang kejadian yang kami hadapi ketika ketiadaan ayah di rumah. Ayah setuju dengan emak dan dia mula percaya yang goncang pintu tu bukan angin atau perompak, tapi ‘benda’ tu. Emak dan ayah berbincang untuk mencari rumah sewa yang lain. Kami juga minta supaya ayah pindahkan peti sejuk dari dapur ke ruang tamu kerana takut untuk ke dapur jika nak minum pada waktu malam. Kejadian pintu digoncang kuat tu terus berlarutan, tapi kali ini kalau pintu digoncang, ayah akan suruh kami tutup TV dan tidur. Pintu digoncang biasanya pada pukul 8 malam atau 10 malam.

KISAH 7
Itu kisah pada waktu malam. Pada waktu pagi pula, pintu depan pula akan digoncang. Saya sendiri melihat kejadian tersebut, dan berlari mendapat ayah dan emak yang sedang berehat di bilik. Emak dan ayah pesan supaya saya abaikan kejadian tersebut. Dah masuk, konon buat-buat tak reti keluar!

Pada suatu pagi, satu lagi kejadian aneh berlaku. Waktu tu emak nak jemur pakaian di luar rumah. Nak jemur pakaian sebenarnya boleh dari dalam rumah sebab bahagian jalan ke dapur tidak berbumbung. Namun mak lebih memilih ampaian di luar kerana kawasan tidak berbumbung itu adalah tempat kami mandi. Kenapa? Nanti saya kisahkan.

Berbalik kepada cerita emak yang nak jemur pakaian. Emak cakap, ketika dia nak jemur pakaian, dia akan melalui longkang yang ditutup dengan penutup yang diperbuat daripada simen. Macam biasa, penutup longkang jenis ni akan berbunyi bila dipijak. Jadi, ketika emak menjemur pakaian, emak terdengar penutup tersebut berbunyi kuat “bedebuk!”. Dia menoleh, tapi tiada siapa pun yang memijaknya.

KISAH 8
Ketika saya dan adik bermain-main di halaman rumah, isteri jiran sebelah rumah mengajak kami datang kerumahnya. Saya mesra memanggilnya auntie. Seperti saya cerita, dorang hanya duduk berdua, dan tidak ada anak cucu bersama. Mungkin kehadiran kami dapat menghiburkan hati auntie. Suaminya tiada di rumah ketika itu. Waktu itu emak berada di luar sedang menyapu, mak mebenarkan kami untuk ke rumah auntie. Di rumahnya, auntie mengeluarkan set permainan untuk kami main. Ketika sedang kami asyik bermain, tiba-tiba adik saya berkata “Siapa budak hitam tu? Dia buat apa kat sana?”. Adik menunjuk ke salah satu arah di rumah auntie tersebut. Selepas kejadian tu, auntie tu dah tak panggil lagi kami untuk bermain di rumahnya.

KISAH 9
Seingat saya, rumah tersebut mempunyai 3 batang pokok iaitu pokok sukun, pokok mangga, dan pokok. Suatu hari, emak pergi memetik buah mangga untuk dimakan. Buahnya molek-molek dari luaran, tetapi sebaik sahaja emak membelahnya, dalaman buah tersebut sudah busuk berulat. Emak pelik, kenapa masa hari tu sepupu ayah petik bukan main elok isinya? Emak mencuba pokok lain, Alhamdulillah, pokok sukun dan cermai buahnya molek dan boleh dimakan. Setiap petang emak akan buat sukun goreng untuk kami minum petang.

KISAH 10
Pada suatu hari minggu, kami sekeluarga balik ke Johor Bahru untuk melawat rumah kami di sana dan bercuti serta bersihkan apa yang patut. Sebaik saja kami pulang dari Johor Bahru, auntie sebelah rumah jumpa emak dan cakap “Kamu hari tu pergi mana? Rumah kosong, senyap, gelap, lampu semua tutup. Saya ada dengar macam ada orang mandi dalam rumah kamu.” Emak terkejut, dan emak beritahu auntie yang kami semua tiada dirumah pada hari minggu tu sebab balik Johor Bahru.

KISAH 11
Mengapa kita jadikan kawasan tak berbumbung tu sebagai tempat mandi? Inilah kisahnya. Rumah tersebut mempunyai 2 bilik air. Bilik air pertama dilengkapi dengan kolah mandi dan mangkuk tandas jenis cangkung manakala bilik air kedua pula adalah tandas sahaja, tetapi tidak digunakan sebaliknya dijadikan stor. Semenjak kami pindah, bilik air kedua tu memang sudah dijadikan stor menyimpan barang-barang lama. Suatu hari ketika emak sedang kemas rumah, emak membersihkan bilik air kedua tersebut untuk menyapu segala sawang dan habuk serta membuang segala barangan yang tak boleh dipakai.

Pada malam tu, mak bermimpi didatangi makhluk yang ada dua muka, sebelah muka manusia dan sebelah lagi muka anjing. Makhluk tersebut memarahi emak kerana membersihkan bilik air tersebut. Semenjak daripada peristiwa itu, kami tidak berani untuk menggunakan kedua-dua bilik air, kecuali untuk buang air besar di bilik air pertama. Kami mengambil keputusan untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kecuali ayah, sebab ayah dah biasa dengan kes-kes macam ni ketika dia pergi mencegah, so setakat hantu bilik air tu apa lah sangat…

KISAH 12
Suatu hari, saya pun tak ingat bila, seperti biasa ayah akan tinggalkan kami untuk court case di Johor Bahru. Jadi emak panggil emaknya [iaitu atuk perempuan kami sebelah emak] untuk teman kami. Tak tau kenapa mak panggil atuk? Mungkin sebab emak nak atuk tengok-tengokkan rumah tu kot? Ye lah, orang tua biasa faham “benda-benda” ni. Atuk tinggal di Segamat, jadi tak jauh untuk ke Muar.

Atuk cerita, hari pertama dia datang rumah yang kami sewa tu, dia dah rasa tak sedap hati. Jadi pada suatu malam, waktu atuk nak buang hajat, dia bawa sebilah parang untuk ke tandas. Masa dia cangkung nak melepas hajat, dia pacakkan parang atas lantai. Tapi tak tembuslah lantai tu, atuk pegang parang tu. Itu petua orang Melayu dahulu kala, kalau nak pergi ke sungai ke, laut ke, biasa dorang akan pacak parang dulu sebelum turun ke laut atau sungai. Sebaik saja habis buang hajat, atuk terus sambung tidur. Malam tu atuk meracau. Esoknya atuk balik kampung. Kisah atuk diganggu ni pun merupakan salah satu punca kami mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kalau korang nak tau, setiap kali kami nak pergi bilik air untuk buang air, kami akan pergi berteman, meskipun waktu pagi.

KISAH 13
Jalan yang kami ambil untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu bukan suatu penyelesaian yang bijak, kerana pada suatu pagi kak long diganggu. Biasanya kak long akan mandi sebelum Subuh untuk ke sekolah. Suatu pagi masa dia mandi, kak long dengar ada orang berlari dibelakangnya dan terdengar bunyi kocakan air dipijak atas lantai simen yang basah. Semenjak daripada kes tu, kak long selalu lambat ke sekolah sebab dia akan tunggu hari terang untuk mandi.

KISAH 14
Kisah ni lagi bahana! Suatu pagi kami dikejutkan dengan keadaan kereta kami terbuka keempat-empat pintunya. Ayah dan emak bukan main cemas. Ayah terus pergi pintu pagar dan tengok kalau-kalau pagar kena pecah. Yang memeranjatkan, pagar masih bermangga dan tiada kesan orang cuba nak pecah mangga dan rantai mangga tersebut.

Pada mulanya ayah fikir mat gian yang pecah masuk rumah. Ayah cepat-cepat masuk kereta dan buka laci kecil dalam kereta yang biasa kita simpan duit syiling dan resit. Duit dalam tu tidak terusik. Kalau mat gian, mestilah dorang akan pecahkan cermin kereta dan ‘aim’ benda berharga dalam kereta tu. Yang lagi pelik, pintu kereta tu berkunci. Kali ni ayah mula yakin bahawa yang ganggu kami tu bukan biasa-biasa.

KISAH 15
Emak dan ayah mula berikhtiar. Sedari solat wajib, hinggalah ke solat sunat tahajjud & hajat. Emak juga selalu memainkan kaset bacaan surah Yasin. Zaman tu MP3 Imam Masjidil Haram belum ada, apatah lagi YouTube. CD pun belum terkenal sangat. Segala jenis nama qari & qariah mak beli kasetnya. Kesannya? Ya, sangat berkesan dalam menghalau benda-benda puaka pukake zuzake tu, namun sekejap saja. Pintu tu pulak tak henti-henti digoncang. Ibarat kata pepatah, halau-halau ayam, nanti esok datang balik. Harapan kami adalah terus berdoa.

KISAH 16
Kemuncak kepada peristiwa ini adalah ketika adik saya diserang sakit perut. Mungkin usaha serta ikhtiar emak dan ayah membuatkan benda sundake pukake tu jadi ganas dan mula buat ‘plan’ dorang sendiri untuk balas dendam. Lepas adik sakit perut, emak dan ayah bawa pergi klinik. Bila tiba di klinik, macam biasa, doktor kata adik saya sihat, tak ada penyakit. Habis yang budak tu sakit perut sampai cirit-birit tu apa hal? Kami jadi bertambah buntu.

Rupanya, sebelum adik diserang sakit perut, adik cerita yang dia ada bermimpi didatangi sepasang burung merpati. Burung tu cakap kat adik “Dia ni anak kita!”. Adik menceritakan mimpi tu pada emak dan ayah, namun emak dan ayah fikir itu cuma mimpi budak-budak, sehinggalah adik diserang sakit perut tu.

KISAH 17
Suatu hari adik minta kak long untuk teman dia pergi tandas untuk buang air besar. Suatu perkara pelik dan seram yang kak long alami. Kak long cakap, adik suruh teman dia depan pintu sebab dia takut, tapi bila kak long berdiri depan pintu, adik halau kak long dan cakap “Kau buat apa diri kat situ? pergilah!”. Bila kak long pergi, tiba-tiba adik menangis “Long nak pergi mana tu? Temanlah adik, adik takut”… Kak long bingung, tapi kak long tetap temankan adik sampai dia habis mencirit.

Disinilah bermula kemuncaknya apabila salah seorang daripada kita kena rasuk atau diganggu dengan penyakit misteri. Masa tu barulah kita hampir sedar yang kita bukan berada di alam nyata lagi, tetapi sudah masuk separuh diri ke alam yang satu lagi.

KISAH 18
Sakit perut adik yang belum lagi ditemui ubat membuatkan kami buntu dan akhirnya kami mengalah, emak dan ayah sudah mula abaikan solat. Ayah sudah tidak mengaji lagi. Emak tak lagi memainkan kaset bacaan surah Yasin. Kak long masih ingat ketika dia nak solat. Dia dah siap sarung telekung dan sebaik saja dia berdiri atas sejadah, dia tiba-tiba melucutkan telekung dan tak jadi solat.

Kami lebih suka keluar rumah pada waktu malam untuk ke Tanjung, suatu tempat popular di Muar untuk ambil angin dan kami kerap makan malam di luar. Mungkin dengan cara demikian kami dapat lupakan gangguan yang kami hadapi di rumah. Kami hampir putus asa walaupun ayah kerap kali berulang ke klinik untuk ubati sakit adik. Adik saya juga pada waktu tu semakin susut saiz badannya. Akhirnya kami menjalani kehidupan seperti biasa dan berserah pada takdir.

KISAH 19
Penyelesaianya kepada masalah ini akhirnya ditemui apabila pada suatu malam, sekitar pukul 8 malam, adik terbangun daripada tidur petangnya dan dia menceritakan mimpinya kepada emak dan ayah. Adik kata, dia bermimpi pergi ke sebuah gunung. Di atas gunung tersebut ada seorang tua yang adik saya kenali, bahkan kami juga kenal dengan orang tua yang dimaksudkan adik dalam mimpinya. Orang tua tersebut berpesan untuk jumpa dirinya jika ada masalah. Selepas adik menceritakan mimpi tersebut kepada emak dan ayah, kami rasakan masalah ini akan berakhir. Usaha dan doa kami akhirnya Allah Makbulkan.

Orang tua tu kami gelar Atuk Mersing dan beliau merupakan seorang hamba Allah Azzawajal yang boleh dikatakan mempunyai karamah. Barulah emak dan ayah sedar dan teringat kepada orang tua tersebut. Dahulu kami sangat rapat dengan Atuk Mersing tu, emak dan ayah dah dia anggap macam anak sendiri. Emak dan ayah kenal orang tua tu masa dorang mengikuti kawan dorang untuk mendapatkan bantuannya bagi mengubati isteri kawan dorang yang gila. Isterinya akhirnya sembuh dengan tawassul orang tua tersebut.

KISAH 20
Setelah adik menceritakan mimpinya dan setelah kami sedar, malam itu juga kami sekeluarga berangkat untuk ke Mersing menemui orang tua tersebut. Kami transit di rumah kami di Johor Bahru sebelum bergerak ke Mersing. Dalam perjalanan kami dari Muar ke Johor Bahru, emak pangku adik atas riba dan emak kata ketika dia pangku adik, dia dapat rasa macam ada benda yang sedang menekan-nekan dadanya. Sepanjang perjalanan, Emak tak putus-putus gentel tasbih dan berselawat. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kami dari Muar – Johor Bahru, kami sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Setibanya di Johor Bahru sekitar jam 12 malam, kami bermalam di situ. Pada malam itu, di rumah kami, kak long terlihat satu lembaga berambut panjang dan berbaju putih sedang memerhatikan kami yang sedang tidur. Kak long kata dia nampak dalam keadaan sedar dan tidak atau kata mudahnya ketika jalu. Apabila hari terang keesokannya, selepas tengahari, kami berangkat ke Mersing.

KISAH 21
Ayah memandu perlahan serta kami rehat dan rawat sekejap di Kota Tinggi. Alhamdulillah, kami tiba di Mersing dengan selamatnya. Waktu kami tiba hari dah nak masuk Maghrib. Atuk Mersing tak ada di rumah, kata isterinya dia ke pekan. Bukan main gembira lagi isterinya bila lihat kami datang, siap minta tolong ayah sembelihkan ayam untuk dimasak buat kami sekeluarga. Tak lama lepas tu, Atuk Mersing pulang. Ketika dia masuk, dia lihat muka kami semua dan berkata “Berat betul masalah awak semua ni!” walaupun kami cuba sembunyikan dengan senyuman. Selepas ayah dan Atuk Mersing selesai solat Maghrib bersama, Atuk Mersing memulakan sesi pengubatan.

Emak bawa adik dan baringkan di sisi Atuk Mersing. Orang tua tersebut membuka baju adik dan mencelup sedikit minyak urut lalu disapukan ke perut adik. Serentak itu adik meraung-raung kesakitan. Padahal orang tua tu baru sentuh. Perut adik diusap perlahan-lahan. Adik meraung dan merayu pada emak, tapi emak tak hiraukan kerana dia tahu itu bukan adik, tetapi puaka sundake tu yang cuba “trick” emak. Selesai berubat, adik tidur lena.

Orang tua tu siap pesan “Nasib baik awak bawak anak awak ni cepat, kalau tak… sebab ‘benda’ tu dah makan hampir ke perut anak awak ni”. Orang tua tu juga pesan supaya kita berpindah dari rumah tu sebab rumah tu dah jadi tempat puaka-puaka tu duduk. Ibaratnya, kita yang menumpang tempat dorang.

KISAH 22
Akhirnya kami berpindah. Sebelum tu kami stay dulu di Johor Bahru, manakala emak dan ayah pergi cari rumah sewa lain di Muar. Kami akhirnya menemui rumah sewa yang lain dan kami berpindah ke sana dengan aman damainya untuk beberapa tahun sehinggalah ayah berjaya selesaikan masalah keluarga dan berpindah kembali ke Johor Bahru. Alhamdulillah.

Selepas kami pindah dari rumah berpuaka pundak nayeh laknatullahialaih tu, salah seorang kawan ayah menemuinya di pejabat dan tanya “Abang dulu duduk rumah tu ke?”. Ayah jawab “A’ah, aku dah pun pindah dari tempat yang penuh kenistaan tu!”. Kawan dia cakap “Saya dah lama nak cerita dengan abang, tapi tak sampai hati sebab masa tu abang masih stay situ. Masa suatu malam saya buat rondaan kawasan tu, saya nampak ada lembaga berjalan masuk menuju ke rumah tu, kemudian hilang!”.

Lepas kami keluar dari azab tu, ayah ada juga ushar tanya kawan-kawan dia kalau-kalau rumah tu masih ada penyewa. Kata ayah, lepas kami blah, ada orang bujang sewa rumah tu, tapi tak sampai dua hari. Esoknya dah berambus.

SEJARAH HITAM RUMAH
Selepas kami pindah, ayah pun rasa ‘curious’, nak tau juga apa pasal rumah tu punya nista dan berpuaka pundak nayeh. Dia ushar-ushar dengan orang-orang kampung sekitar situ. Menurut kisah, rumah puaka tu adalah milik seorang doktor. Doktor tu ada bunuh seorang perempuan dalam rumah tu. Tapi tak tahu sebab apa dia bunuh perempuan tu? Mayat perempuan tu sampai sekarang tak jumpa.

Bila kisah tu berlaku tak pasti. Sama ada selepas atau sebelum WW II atau doktor tu pemilik rumah tersebut atau penyewa… entahlah… Yup! Mengenai tuan rumah, sebenarnya kami bayar sewa pada orang yang ditugaskan untuk jaga rumah tu. Orang tu bukan pemilik asal rumah puaka tu, tapi keluarga dorang ditugaskan untuk menjaganya. Pasangan cikgu sebelah rumah kami tu pun mungkin bayar sewa dengan orang yang sama sebab kami tak pernah tanya pasangan cikgu tu macam mana dia duduk situ… malas nak kepochi-kepochi.

Yang penting kita semua dah selamat, Alhamdulillah. Masa ayah pergi claim duit pendahuluan, ayah ada juga tanya-tanya pasal rumah tu dan memang penjaga rumah tu akui yang rumah tu “keras”. Tapi, apa yang kami terkilan, kenapa penjaga tu tak inform awal-awal secara jujur? Sanggup aniaya orang demi mengharap duit sewa yang tak bawa ke mampus pun! Kami sewa rumah tu sebulan lebih dan hampir ke dua bulan. Untuk pengetahuan korang, penjaga tu kata, kami adalah penyewa yang paling lama bertahan menyewa rumah tu. Babih!

PENGAKHIRAN DAN KESIMPULAN
Adik kata, masa dia kena urut dengan orang tua tu, dia berada di alam lain. Dia kata dia dengar ada orang sedang baca surah Yasin dan nampak 3 ekor hantu keluar dari perutnya tercampak hingga pecah atap siling rumah orang tua tu.

Semenjak daripada pengalaman ni, kami jadi lebih berhati-hati untuk mencari rumah sewa, sampaikan kadang-kadang sebelum kami sewa sesuatu rumah, kami terus tembak tuan rumah tu “Rumah awak ni berhantu tak?”, bukan apa, kami memang trauma dengan kejadian yang pernah kami alami.

Setakat kisah Villa Nabila tu kita cuma dengar cerita jek, tapi kami sekeluarga dah alaminya secara “LIVE” di rumah puaka tu. Adik saya juga rasa seram sejuk bila dia cuba ceritakan semula pada saya mungkin sebab trauma, begitu juga saya yang adakala berdiri bulu tengkuk ketika menaip kembali kisah ni.

Lokasi rumah ni di Lorong Melur, Jalan Daud, Taman Seri Maharani, Muar. Hati-hati…

Semoga kisah saya ni dapat korang jadikan pedoman agar korang tak tersewa rumah puaka pundak nayeh yang masih wujud di Muar dan semoga Allah Azzawajal melindungi kita semua daripada gangguan syaitan laknatullahialaih. InshaAllah.

Hantar cerita anda: http://fiksyenshasha.com/submit

7 thoughts on “Rumah Berpuaka di Muar, Johor”

Leave a Comment