Sekolah Agama – Madrasah

Assalamualaikum Wr. Wb. dan salam sejahtera kepada warga FS. Aku Ain. Kisah yang akan aku kongsikan ini adalah mengenai beberapa peristiwa yang berlaku di sekolah agama aku dulu. Waktu tu aku masih berumur belasan tahun.

Sekolah aku ada beberapa kelab di bawah satu organisasi. Setiap tahun, organisasi pelajar sekolah ni akan buat camp dan bermalam di sekolah atau di kawasan camp lain. Kejadian pertama ini berlaku waktu pertama kali organisasi pelajar buat overnight camp. Dari pagi sampai lah lepas maghrib, mereka isi waktu kami dengan aktiviti-aktivitu yang bermanfaat. Sampai lah waktu malam lepas maghrib.

Waktu briefing tentang aktiviti seterusnya, aku rasa nak pergi toilet. Dan aku mintak izin dari cikgu. Aku ditemani seorang rakan rapat. Turun dari dewan di tingkat 3, kami terpaksa gunakan pintu belakang dewan sebab taknak ganggu briefing yang sedang berlangsung. Masalahnya, tandas di tingkat 1, dan kami buat keputusan untuk melalui koridor tingkat 2 ke hujung bangunan untuk ke tingkat 1.

Sebelum tu, izinkan aku untuk terangkan keadaan bangunan sekolah. Dewan berada di bangunan baru. Tingkat 1 dan tingkat dua ada jambatan kecil dan tangga untuk ke bangunan lama yang ada kelas-kelas lama yang masih digunakan. Waktu aku dan kawan aku lalu koridor di tingkat 2, kami mesti pass by jambatan dan tangga kecil untuk ke bangunan lama.

Keadaan sekolah memang sangat sunyi memandangkan semua orang yang terlibat ada di dewan atas. Waktu tu lah aku nampak dari ekor mata aku, seorang wanita berjubah putih dan berambut panjang halus sedang tenung kami yang berjalan di koridor. Aku pandang depan dan terus tunduk sambil peluk lengan kawan aku kuat-kuat. Selepas menunaikan hajat di tandas tingkat 1, kami terpaksa lalu lagi koridor tingkat 2 untuk masuk dewan dari pintu belakang. Aku dah terketar-ketar dan terus lari tinggalkan kawan aku kat belakang.

Sampai di dewan, aku tunggu kawan aku sebelum masuk tapi tak muncul-muncul. Aku dah fikir bukan-bukan. Tiba-tiba aku rasa ada tenaga lain macam yang akan menjenguk dari tangga bawah. Aku masih jugak tunggu kawan aku tanpa pedulikan perasaan dan tenaga semacam tu. Tapi makin lama makin kuat dan aku tak tahan. Terus aku lari masuk dewan dan nangis teresak-esak. Habis aktiviti burung hantu malam tu dibatalkan semua sebab aku. Sampai sekarang senior dan kawan-kawan aku masih tak puas hati sebab aku lah aktiviti tu dibatalkan. Tapi bila ingat balik mereka boleh tergelak.

Berikutan kejadian tu, terus bermacam kejadian pelik berlaku.

Bangunan baru di tingkat 1 ada 3 kelas. Menempatkan pelajar darjah 1 di kelas yang dekat dengan tandas, kelas aku untuk pelajar tingkatan 1 di tengah dan tingakatan 1 kelas lain di kelas yang terakhir. Sedang kami khusyuk dengar ustazah kami mengajar, tiba-tiba ustazah dari kelas darjah 1 masuk dan membisik sesuatu. Ustaz kami pun terus ikut ustazah darjah 1 tu ke kelasnya.

Kami dah bersangka yang bukan-bukan. Bila ustazah kembali ke kelas kami, ustazah pun cerita, di kelas darjah 1, ada suara budak menyanyi lagu ‘wassini’. Waktu tu popular lagu tu. Bila ustazah cakap ‘wassini’, kedengaran suara budak tu di hujung belakang kelas. Bila ustazah sebut lagi, di hujung kelas berdekatan pintu pulak. Para pelajar darjah 1 semua terdiam ketakutan. Ustazah kemudian buat keputusan untuk baca surah-surah tertentu dan sambung mengajar. Pelik jugak ‘benda’ ni dengar lagu wassini.

Beberapa lama kemudian, waktu aku sedang tunggu mak aku ambil aku dari sekolah, aku dan kawan aku masuk kelas kami untuk conteng-conteng papan hitam. Waktu tu sekolah dah sunyi sepi hampir asar. Mak aku memang selalu lambat atas sebab tertentu. Waktu conteng-conteng, aku terdengar bunyi kerusi ditarik. ‘Sreeettt’. Jelas bunyinya bagaikan ada orang menarik kerusi dan duduk. Aku terus toleh. Tapi tak ada satu kerusi pun yang bergerak dan beralih.

Aku tengok kawan aku tapi dia tunduk sambil conteng-conteng. Masa tu lah kami terdengar bunyi pintu di belakang kelas dibukak dan dihempas. Aku pandang dia, dia pandang aku, terus kitorang lari lintang pukang ke kantin berdekatan pagar sekolah. Situ memang kawasan cerah. Waktu aku tanya, kawan aku cakap dia tak dengar pun bunyi kerusi tu. Aku pelik sebab memang jelas sangat bunyinya. Tapi kitorang tak berani nak jalan kawasan sekolah lagi. Duduk je kat kantin tu sampai mak masing-masing datang ambil.

Masa-masa ni, memang kejadian pelik banyak terjadi. Rupanya memang ada satu kejadian besar di sekolah tu dulu, sampaikan ada pelajar dirasuk teruk pada zaman 80-an. Lepas dibersihkan, baru gangguan berkurangan. Pernah aku ke tandas seorang diri, waktu betulkan tudung di cermin, aku terdengar bunyi pintu tandas ditutup seperti ada orang masuk. Tapi dari cermin tu boleh nampak semua tandas dalam tu. Bila toleh, semua tandas terbukak. Aku lari keluar terus masuk kelas. Tak cerita kat siapa-siapa.

Sebab waktu ni banyak kejadian pelik berlaku, kawan adik aku, aku gelarkan Tini, cabar benda tu untuk tonjolkan diri. Sebab dia tak alami apa-apa. “Kalau kau betul ada, kau muncullah. Aku tak nampak apa-apa pun! Kalau berani, tunjukkan diri kau!”. Sambil mendabik dada. Kelas adik aku waktu tu kat dalam dewan tingkat 3. Sebab ramai pelajar dan tak cukup kelas. Jadi sekolah jadikan ruangan luas dalam dewan tu sebagai kelas di belakangnya. Kawan-kawan adik aku semua marah si Tini. Jangan dicabar benda ni. Beberapa minit kemudian, menjerit-jerit Tini histeria. Dia pekik takut takut. Badannya tak terkawal sebab ketakutan. Dia tunjuk ke arah pentas di dalam dewan. Katanya perempuan atas pentas tu tenung dia. Dia jerit pergi pergi. Tapi bila mereka tengok atas pentas, kosong tak ada apa.

Sebab tu, jangan disangka sekolah agama pun tak ada apa-apa. Sebab kita belajar ilmu Allah lah, lagi benda-benda ni datang mengganggu. Lagi tinggi kita belajar, syaitan general tahap pangkat besar-besar la yang mengganggu kita. Akhir kata, maaf kalau tak seram. Kisah semuanya benar. Cuma waktu berlaku tu yang aku ubah suai sikit sebab dah tak ingat sebelum atau selepas aku diganggu waktu camp tu. Tapi semuanya seingat aku, berlaku pada tahun yang sama.

Maafkan aku andai ada kekurangan dalam penulisan. Mohon jangan tinggal solat, lazimi Quran dan banyakkan berzikir. Aku ingatkan diri aku sendiri jugak ni. Sekian. Wassalam.

2 thoughts on “Sekolah Agama – Madrasah”

Leave a Comment