Hai semua peminat tegar FS. Terima kasih admin FS sebab sudi publish cerita Misteri Lebuhraya Sultanah Bahiyah. Kepada peminat FS sekalian, kali ini penulis nak bawakan sebuah lagi kisah tentang Sultanah Bahiyah juga. Tapi latarnya kali ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). HSB ini mula beroperasi sekitar tahun 2007 dan pada masa itu umur Penulis baru mencecah ke angka 13.
Hospital ini dibina di atas sebuah tanah sawah padi (bendang) dan dikelilingi oleh beberapa buah taman perumahan. Mengikut cerita yang penulis dengar dari bualan mulut orang setempat, tapak pembinaan hospital ini telah meragut banyak nyawa pekerja kontrak yang membina hospital tersebut.
Pada penghujung tahun 2010 dalam bulan Oktober, sebahagian bandaraya Alor Setar telah ditenggelami air bah yang teruk. Jalan-jalan sekitar Alor Setar telah ditutup dan melumpuhkan derapan kaki majoriti penduduknya untuk bergerak ke sana sini. Nak dijadikan ceritanya pula, Ibu penulis telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan dua buah kereta. Kemalangan tersebut telah menyebabkan ibu terpaksa ditahan di wad HSB.
Setibanya di HSB, Ibu dibawa ke bilik X-ray untuk pemeriksaan tangannya. Ibu mengadu bahawa tangannya begitu sakit dan terdapat kesan lebam kebiruan di pergelangan tangan. Hasil imbasan X-ray, doktor mendapati bahawa pergelangan tangan Ibu telah patah akibat hentakan kuat di papan pemuka (dashboard) kereta. Ibu perlu ditahan di wad selama satu malam untuk urusan menyimen dan pemantauan doktor terhadap tangannya. Setelah segalanya selesai, Ibu dibawa ke tingkat 5 dan di tahan di Wad 5A (kalau tidak silap pada ingatan penulis).
Masuk sahaja ke dalam wad tersebut, penulis dapat melihat pelbagai ragam manusia. Boleh dikatakan semua pesakit dalam wad tersebut mengalami patah-patah di bahagian anggota badan mereka. Di satu sudut, penulis terpandang seorang perempuan berbangsa Cina yang agak berusia sedang berdiri melihat orang ramai yang mundar-mandir dalam wad berkenaan (masa ini waktu melawat). Kelihatan kesuraman diwajahnya. Tanggannya juga dibalut seperti tangan Ibu tetapi pipinya ada kesan luka yang agak dalam. Penulis membiarkan sahaja perempuan Cina itu melayan perasaan.
Beberapa ketika semacam bau seperti bauan colok yang digunakan oleh penganut agama Buddha untuk bersembahyang menusuk ke hidung Penulis. Dengan agak celupar penulis bertanya kepada Ibu, “Ibu bau tak apa yang Adik bau ni? Bau macam asap Cina dok semayang tu”. Ibu menjawab, “Mulut tu jaga sama Dik, hang jangan dok merepek sangat! Bau ubat yang Doktor cuci luka kat mulut ibu ni ada la”. Nahhh, tak pasal-pasal Penulis pulak yang kena marah, haha. Ibu, ibu. Penulis nekad pulang ke rumah kerana bauan colok itu langsung tidak menyedapkan hati.
Pada sebelah malamnya, tiba giliran Penulis pula menggantikan Mak Teh yang penat setelah seharian menjaga Ibu dari pagi. Penulis perlu menjaga Ibu kerana Penulis sahaja yang tinggal dengan Ibu pada masa itu. Ayah kerja di luar kawasan dan abang Penulis pula sedang belajar di Universiti di Selatan tanah air. Pada pukul 9 malam, Penulis meminta izin dari Ibu untuk turun mencari sedikit kudapan di mini mart yang terdapat di sebelah kafeteria hospital.
Langkah Penulis ke muka lif terhenti seketika apabila bauan pagi tadi kembali dihembus ke hidung Penulis. Ketika ini Penulis seorang sahaja yang menunggu lif. Debar dan resah dalam dada ini hanya Allah sahaja yang tahu. Penulis cepat-cepat menekan butang turun beberapa kali supaya lif menguakkan mulut besinya itu dengan serta-merta. Semasa pintu lif terbuka, terdapat beberapa orang nurse didalamnya. Jadi hilang sedikit perasaan cuak itu.
Setelah sampai di bawah, Penulis cepat-cepat membeli dua bungkus roti Delicia, setin air Nescafe, dan sekotak air soya seperti yang dipesan Ibu. Perjalanan Penulis naik semula ke wad tidak begitu cantik. Kali ini Penulis terpaksa menggunakan tangga kerana lif yang ditunggu lebih kurang 10 minit tidak sampai-sampai. Langkah kaki ini seakan mengikut rentak jantung. Semakin pantas jantung Penulis berdetak semakin laju langkah kaki ini.
Penulis masih ingat, sesampainya di Tingkat 4, Penulis terdengar suara seorang wanita seperti sedang menangis dan diselang-selikan dengan tawa yang berkekek panjang. Suara itu semakin lama semakin sayup dan terus hilang. Ayat Qursi yang sudah melekat dikepala hanya beberapa p****g sahaja Penulis ingat. Dengan langkah seribu, Penulis memulakan pecutan lagak seperti Usain Bolt yang obesiti sedang bergelut menentang graviti.
Setibanya di wad, Penulis tidak menuju terus ke katil Ibu, Penulis masih ingat pesan Tok Wan. “Bila hang kena kacau dengan benda tu, hang jangan balik rumah terus, hang pi bilik ayaq kat mana-mana kedai minyak dulu, biaq dia dok dalam tu”. Lebih kurang macam tu la pesan Tok Wan kepada Penulis. Nasib Penulis agak baik kerana entiti tersebut tidak menampakkan diri dia dalam tandas. Mungkin tawa hilai tadi tu cuma salam perkenalan antara Penulis dengan penghuni di situ. Ibu dibenarkan pulang setelah satu malam ditahan di wad berkenaan.
Sebelum pulang, Penulis sempat bertanya kepada nurse tentang perempuan Cina tua itu. Nurse mengatakan bahawa tiada pesakit perempuan Cina yang diadmit di wad. Kalau ada pun, mungkin di wad lain. Nurse tu boleh buat lawak pulak dengan Penulis. Masa ini baru penulis sedar yang perempuan tua itu bukan manusia seperti kita. Semasa urusan discharged Ibu dekat kaunter pejabat di bawah, Penulis terpandang lagi sosok Cina tua itu. Kali ini wajahnya agak berseri dan luka dipipinya juga telah hilang. Mungkin ada sesuatu khabar gembira yang diterimanya?
Sekian sahaja pengalaman yang tak berapa nak seram daripada Penulis. Ada masa kita ketemu lagi dengan cerita yang baharu selepas Penulis habis peperiksaan akhir di Universiti. Doakan Penulis dapat menjawab soalan exam dengan tenang dan sukses ya Sahabat FS.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Mayat antie tu dh dituntut anak2nye kot…
Huhuhuhuuu…
Mesti penulis ni karangan dpt A+..tersusun giler ayt dia… ?
rasa mcm baca karangan time sekolah dulu hehehe….tapi wad HSB mmg berhantu.
so penulis ni obesiti lah eh? hahaha
oh kira baru beroperasi la eh HSB ni..ok la ceritanya….khabar gembira ape ye cina tua tu?
Hantu pun makhluk Allah juga kan kalau takut downland ayat kursi dlam fon jangan dok mengata kat hospital sultanah bahiyah tu