#SiCelupar : Nenek Tenggek

Raya Aidiladha yang lepas.

Aku pergi ke rumah sepupu aku, Ikram. Rumah baru siap. Ayah dia beli lot tanah luas kat kampung, lepas tu buat rumah besar-besar. Kitorang anak beranak berkumpul dekat situ malam tu. Dulu, tapak rumah tu hutan. Tapi bukanlah hutan tebal ke apa, hutan kecik tepi-tepi kampung macam tu je. Bila Pakngah beli tanah tu, dia terangkan habis tanah hutan tu, bina rumah besar. Pelik aku dengan pakngah ni, anak beranak dia tak ramai pun, tapi buat rumah macam ramai nak duduk. Biar lah. Duit dia.

Orang lain semua lepak kat ruang tamu borak-borak. Aku pula asingkan diri pergi melantak lemang sorang-sorang dekat dapur. Lemang tu bapak aku yang bakar siangnya, tapi dah tinggal sikit sebab banyak saudara-mara dari jauh datang beraya. Lemang tinggal sikit, so diorang sorokkan dekat dapur konon-konon untuk raya kedua besok. Nasib aku jumpa. Kahkahkah.

Agak lama aku layan keenakan lemang, tiba-tiba pintu bilik air rumah Pakngah tu ada orang buka dari dalam dan Maksu keluar dari situ. Terperanjat aku dibuatnya. Ingatkan tak ada orang kat belakang ni.

Bila Maksu nampak aku layan lemang sorang-sorang, dia terus duduk dekat kerusi meja dapur sebelah aku tu, dia tanya aku satu soalan yang mengejutkan.

“Wan, maksu dengar kau jual buku sekarang? Buku apa?”

Aku tersengih-sengih. Dalam hati aku, mesti abah lah ni yang sebar cerita. Kalau boleh, aku sebenarnya taknak saudara-mara aku tahu yang aku buat part time writing ni.

“Ha’ah. Buku cerita hantu,” aku jawab selamba sambil sumbat sepotong lagi lemang ke mulut. Cicah susu. Aku suka makan lemang cicah susu.

“Maksu ada cerita hantu kalau kau nak tambah koleksi.”

“Cerita pasal apa?” aku tertarik.

“Pasal nenek tenggek.”

……….

KISAH DARI KACA MATA MAKSU

Dua puluh tahun lepas. Ya, korang tak salah dengar. 20 tahun lepas. Ketika aku baru melangkah masuk ke alam universiti walaupun tempat yang aku bakal pergi tu bukanlah universiti. Cumalah sebuah kolej swasta di Seremban.

Selepas mendaftar, aku dan beberapa lagi pelajar baru diberikan hostel – atau lebih tepat lagi rumah flat yang disewa khas oleh pihak kolej untuk dijadikan kediaman pelajar.

Dua puluh tahun dahulu, tak ramai orang berani masuk kolej swasta kerana yurannya yang mahal. Aku akuinya sebab aku sendiri rasa bebanan kos perbelanjaannya. Apabila tak ramai pelajar baru, kebanyakkan rumah dekat sini terbiar kosong sahaja.

20 tahun dulu, kesedaran orang ramai terhadap perkara-perkara Islamic pun agak kurang, jadi dalam satu blok itu pun, rumah lelaki dan perempuan bercampur-campur sahaja. Tak ada blok khas untuk lelaki, blok khas untuk perempuan, tiada.

Di rumah kami, hanya ada lima orang penghuni. Aku (Maria), Siti, Anita (Ita), Juriah(Jue) dan Fatonah(Eton). Rumah kitorang dekat tingkat dua. Tak ada orang tinggal dekat rumah sebelah kiri dan kanan tetapi selang selepas itu ada pelajar senior perempuan yang duduk. Dekat tingkat atas pula, ada beberapa buah rumah pelajar lelaki.

“Area flat ni keras. Make sure korang tak keluar sampai lewat malam. Jadi, apa-apa kitorang taknak bertanggungjawab sebab kitorang dah pesan siap-siap ni.”

Kata-kata senior rumah dua belah kanan yang asyik terngiang-ngiang kat telinga. Dua bulan selepas aku masuk ke sini, aku rasa hidup aku ok je. Lancar tanpa sebarang perkara-perkara yang mengganggu. Sampailah tragedi malam tu.

Aku asalnya memang malas nak ambil tahu hal-hal tahyul ni. Tapi, Eton ada cakap dia selalu juga kena kacau masa kitorang tak ada dekat rumah. Jadual waktu kelas Eton berbeza sikit dengan kitorang menyebabkan ada masanya Eton akan duduk bersendirian dekat rumah.

Ada satu hari tu, Eton tengah cirit birit. Memerut dalam tandas agak lama. Tiba-tiba ada orang ketuk pintu tandas. Pintu tanda rumah tu jenis yang besi. Pintu tandas style 20 tahun dulu. Ktang! Ktang! Ktang! Ada orang ketuk.

“Sape tu? Jap la, aku sakit perut ni!” Eton melaung.

Ktang! Ktang! Ktang!

Pintu tu terus diketuk.

“Woi! Kau tak boleh sabar ke? Bagi aku selesaikan dulu urusniaga aku ni!” Eton marah.

Lepas dia cuci apa semua, bila dia bukak pintu. “Allah!” Eton terus pengsan.

Aku dan yang lain-lain baru balik kelas masa tu, terkejut tengok ada badak sumbu tidur depan pintu tandas. Kitorang kejutkan dia, bila dia bangun, dia terus menangis-nangis peluk aku.

“Maria! Rumah ni ada pocong, Maria! Rumah ni ada pocong, Maria! Muka dia hitam, Maria! Dia sengeh pandang aku, Maria! Dia telengkan kepala dia, Maria! Aku takut, Maria!” rengek Eton sambil memeluk aku. Tuala dia yang dah macam selimut tu melorot langsung dia tak hiraukan dah.

“Kat mana kau nampak dia?” soal Ita.

“Kat situ..kat..” belum sempat Eton nak habiskan ayat dia, “MARIA!!!!!” jerit Eton sambil menunjuk-nunjuk ke arah sudut dapur. Laju je aku dan yang lain-lain pandang ke arah sudut dapur tu tapi tak ada apa-apa pun. Eton menjerit-jerit macam kena histeria. Seminggu jugaklah Eton balik ke kampung dia tenangkan fikiran.

Aku mulanya susah juga nak percaya cakap Eton tu. Sebab aku ada dengar mulut-mulut yang cakap, Eton tu dah tak minat nak belajar. Sebab tu dia create bermacam-macam cerita. Aku percaya mulut orang-orang tu, sampai lah aku kena sendiri pada suatu malam.

Aku, Ita dan Jue baru balik dari kelas malam. Lapar punya pasal, lepak sampai ke tengah malam lepas habis kelas malam tu. Aku dah ajak si Ita dengan Jue balik cepat tapi diorang ni jenis tak makan saman. Katanya, esok cuti. Jadi, tak perlu nak rushing balik hostel.

Jarak antara kedai makan dengan flat kitorang tu tak adalah jauh mana. Boleh jalan kaki je. Sebab tu lah si Ita dengan Jue ni tak berapa kisah sangat.

Lebih kurang dalam pukul 1 pagi macam tu, barulah kitorang bertiga balik. Aku memang dah mengantuk sangat-sangat dah. Masa kitorang lalu dekat area parking motor banyak-banyak kat bawah tu, tiba-tiba ada satu suara tegur kitorang.

“Lambat balik?” macam tu.

Aku, Ita dan Jue masing-masing berbalas pandang lepas tu tercari-cari siapa yang tegur kitorang tu. Melilau pandang sekeliling. Tak jumpa sesiapa pun. Kot-kot la ada akak senior yang bergayut dekat public phone bawah tu ke.

“Atas ni lah.” Suara tu tegur lagi.

Aku pun terus pandang ke atas. Rasa nak gugur jantung bila aku nampak seorang nenek tua sedang duduk bertenggek atas tiang lampu. Muka dia tak nampak tapi pakaian dia macam nenek tua. Muka dia hitam je.

“Ya, Allah! Maria, apa tu Maria?!” jerit Ita apabila dia pun pandang tempat sama.

“Aaaaaaa!!” Jue jerit semahu-mahunya. Bila aku dengar Jue menjerit, apa lagi, aku dan Ita pun turut sama menjerit la. Aku ngan Ita sampai berpeluk punya lah takut.

“Kehkehkehkeh..” nenek tenggek tu gelak.

Mencanak-canak naik bulu roma aku. Makin kuat kitorang menjerit bila dengar nenek tu ketawa macam nenek kebayan. Kaki ni pula macam kena pasak ke tanah. Nak bergerak tak mampu sebab terlampau takut. Menangis beb. Aku mengaku aku menangis.

Jue lah yang paling teruk. Dia menjerit macam orang gila sampai terkencing dalam seluar. Boleh imagine tak betapa takutnya kitorang masa tu sampaikan orang dewasa macam Jue ni boleh terkencing dalam seluar. Tak lama lepas tu, dia jatuh pengsan. Cepat-cepat Ita dan aku sambut badan Jue. Bila aku pandang semula ke atas tiang lampu tu, nenek tu dah tak ada.

“Tolong! Tolong!” Ita jerit kuat sambil nangis-nangis dengan harapan adalah penghuni flat tu yang datang turun. Tapi, tak ada seorang pun yang datang tolong.

Malam tu suasana sunyi sepi kot. Mustahil tak ada orang dengar kitorang tengah kecoh-kecoh kat bawah ni. Ita punya suara pun, boleh tahan kuatnya. Takkan tak ada sorang pun yang sedar? Entah la. Aku rasa benda tu dah tutup pancaindera pendengaran semua orang satu flat ni kot. Kitorang mintak tolong, sorang pun tak sedar.

Nak tak nak, terpaksalah kitorang papah Jue naik ke rumah kitorang dekat tingkat dua. Mujur flat tu ada lif.

Masuk dalam lif, kitorang sandarkan Jue dekat dinding lif tu. Aku tekan butang nombor 2. Pintu tertutup. Ita tak lepas-lepas peluk lengan aku. Menangis memang tak berhenti. Air mata mengalir macam air terjun. Aku dapat rasa tangan dia ketar semacam.

Kting!

Pintu lif terbuka. Lampu dekat butang lif tu maintain dekat huruf G. Aku pandang ke luar lif, suasana masih lagi dekat tingkat bawah. Ah, sudah! Kenapa pulak ni? Aku tekan semula butang nombor 2 dan butang tutup pintu.

Kting!

Pintu lif terbuka lagi. Lampu dekat butang lif tu maintain dekat Huruf G. Macam tadi, aku jenguk ke luar lif, suasana masih lagi dekat tingkat bawah. Ita dah makin galak menangis. Aduh! Mana aku nak handle Jue tengah pengsan, mana aku nak handle Ita tengah menangis gigil-gigil ni lagi. Aku pun bukannya kuat woi!

“Lif ni rosak ke Maria?” Ita merengek.

“Entah. Tadi sebelum kita pergi kelas, elok je.”

“Nenek tadi nak main-mainkan kita ni, Maria!” Ita menangis makin kuat. Suara dia serak-serak basah dah jadinya.

Aku tekan semula butang nombor 2 dan butang tutup pintu.

Kting!

Sekali lagi pintu lif terbuka. Lampu dekat butang lif tu maintain dekat huruf G. Suasana luar lif masih lagi dekat tingkat bawah. Cuma, kali ini pakej sekali dengan bau wangi.

“Weh, bau a…” cepat-cepat aku tutup mulut Ita.

Pintu lif tertutup kemudian dapat rasa lif tu bergerak naik ke atas. Sepanjang beberapa saat dekat dalam lif yang tertutup tu, aku berharap jangan lah benda yang menghasilkan bau wangi tu munculkan diri. Mujur tak ada. Cuma bau wangi tu tak hilang-hilang pun.

Sampai dekat tingkat dua, lif berhenti. Tapi, pintu tak terbuka pun. Lampu dekat butang nombor 2 menyala.

Aku tekan butang ‘Buka Pintu’ tapi pintu masih tak terbukak.

“Apsal pula pintu ni tak terbuka ni?!” aku merungut sambil aku tekan butang yang sama berkali-kali. Kuat-kuat sebab aku geram. Bodoh! Masa ni lah nak buat hal.

Lampu lif tiba-tiba terpadam pulak. Apa lagi, terus menjerit si Ita tu sambil dakap lengan aku kuat-kuat. Dengar dia menjerit sambil menangis tu, aku pun dah jadi sama-sama menjerit dah. Kitorang ketuk-ketuk pintu lif tu sambil menjerit minta tolong. Aku rasa macam orang buta duduk dekat dalam lif tu. Gelap dia tahap kau tak nampak apa-apa langsung.

“Heh heh heh heh heh” ada suara perempuan ketawa dekat sebelah kitorang. Aku dengan Ita terus menjerit bagai nak gila. Masa tu aku harap sangat aku pengsan macam Jue tapi entahlah kenapa semangat aku ni kuat sikit. Takut, tapi masih lagi kuat semangat. Tak sampai level nak pengsan.

Bau wangi tu pula kuat. Wangi dia bukannya jenis wangi kau rasa sedap nak bau, tapi wangi yang menusuk sampai kepala kau boleh jadi pening dan nak muntah. Bercampur pula dengan bau hancing seluar Jue.

AAAAAAA!!!

Aku dengan Ita menjerit makin kuat bila aku dapat rasakan ada rambut landing slow-slow atas kepala kitorang. Dalam gelap, kau mana boleh nampak rambut siapa. Tapi, aku dapat rasa rambut tu turun perlahan-lahan dari atas, geli-geli kena kat muka aku. Aku dengan Ita terus duduk sambil pegang-pegang kepala kitorang, taknak rambut tu kena muka.

Tengah kitorang duk mencangkung menjerit-jerit kat atas lantai lif tu, lampu lif menyala balik. Bila aku pandang sekeliling, Ya Allah! Apa pula kali ni? Jue takde dengan kitorang. Aku dengan Ita je ada dalam lif tu.

Kting!

Pintu lif terbuka. Meremang bulu roma aku weh bila aku nampak Jue tengah terbaring dekat depan pintu lif. Masih lagi pengsan. Aku dengan Ita terus berlari keluar. Aku angkat Jue dan papah dia pergi ke pintu rumah. Masa tu kitorang kat tingkat 2 dah.

Pintu rumah aku ketuk macam nak roboh tapi Siti dengan Eton tak datang buka pun. Seriously bising macam orang ketuk rumah nak cari gaduh. Tapi, masih tak ada seorang pun penghuni lain flat tu yang keluar tanya apa-apa. Akak senior rumah dua belah kanan pun tak keluar padahal aku tengok lampu rumah diorang terbuka, maknanya tak tidur lagi.

Terpaksalah aku pakai kunci pendua aku untuk nak masuk ke rumah. Masa nak cucuk kunci dekat tombol tu lah tiba-tiba,

“Assalamualaikum..”

Halus je suara perempuan bagi salam. Perlahan, halus dan lemah lembut. Kemudian bau wangi macam dalam lif tadi datang semula.

“Cepat Maria! Cepat!” Ita dah goncang-goncang badan aku suruh cepat buka kunci pintu.

“Ye, aku tau. Sabarlah!” jerkah aku. Tangan aku gigil-gigil masa nak pulas anak kunci tu.

Cepat-cepat aku buka pintu bila anak kunci aku dah pulas, lepas tu tolak semua orang masuk ke dalam. Dekat dalam, Siti tak tidur lagi. Dia tengah layan movie. Masa tu pakai videotape lagi. TV dan videotape tu Siti bawak dari rumah dia.

“Eh, korang ni dah kenapa? Apsal tak ketuk pintu je?” soal Siti.

“Aku dah ketuk banyak kali. Kau yang tak dengar.”

“Bila masa pula kau ketuk? Aku dari tadi duduk kat sini. Tak dengar pun bunyi pintu. Ni, Jue ni dah kenapa?”

“Jue pengsan. Nenek tenggek kacau kitorang tadi.”

“Nenek Tenggek? Kau biar betul?” Siti ketawa sinis.

“Betul! Dia duk bertenggek atas tiang depan sana.” Ita bersuara keras, mengiyakan hujah kami.

Tiba-tiba Siti senyap. Dia berhenti gelak. Lepas tu, dia berjalan ke tingkap depan. Entah sejak bila tingkap tu terbuka. Setahu aku, masa sampai tadi, tingkap tu langsung tak terbuka.

“Maria. Tu apa tu Maria?” Siti bersuara takut-takut.

“Siti, tutup tingkap tu!” aku menyergah.

“Ita, apa benda tu Ita?”

“Tutup tingkap tu Siti!”

“Maria, benda tu pandang aku Maria!”

“Tutup tingkap aku kata!!”

Siti terus senyap. Tapi dia masih lagi berdiri dekat depan tingkap tu, memandang ke luar. Membelakangkan aku dan Ita. Jue aku dah sandarkan siap-siap ke kerusi.

“Siti.” Aku panggil Siti. Rasa lain macam pula bila dia berdiri keras tak bercakap tu.

“Siti.” Aku panggil lagi.

Baab!!

Siti jatuh terbaring atas lantai. Jatuh straight weh! Kepala dia terhantuk ke lantai tu dengar kuat terhentak. Lepas tu, Siti menggeletis macam orang sawan. Macam zombie dalam filem World War Z, atau nak lebih jelas bayangan, korang search video orang high sebab dadah Flakka. Macam tu lah Siti menggeletik atas lantai masa tu.

Tak lama lepas tu dia stop dan kaku. Dia bangun lepas tu duduk mencangkung.

“Lambat balik?” soal Siti.

Perlahan-lahan Siti berpaling ke arah aku. Terus meremang satu badan apabila di depan aku masa tu bukanlah Siti tetapi seorang nenek tua bermata bulat terjegil.

“Assalamualaikum.” Ita tiba-tiba bersuara dan tersengih menyeringai memandang aku. Bau wangi mencucuk masuk ke dalam hidung.

“Kehkehkehkehkehkeh.” Suara gelak nenek kebayan keluar dari mulut Jue yang entah sejak bila terjaga.

“Allah!!” aku menjerit kecil. Aku terus buka mata. Rasa pedih sikit-sikit. Suasana sekeliling nampak macam dah nak gelap tetapi masih samar-samar. Aku dengar bunyi televisyen kat ruang tamu dan bunyi kuali pung pang pung pang. Ada yang sedang bersilat di dapur agaknya.

Aku capai jam loceng kat tepi kepala katil. Pukul 6.30 petang. Fuh! Lega. Aku bermimpi je rupanya. Inilah padahnya tidur lepas asar sampai nak masuk maghrib.

……….

“Jap maksu. Wan nak ambik sate jap kat depan.” Aku mencelah maksu yang tengah sedap bercerita. Lemang dalam pinggan aku dah habis. Nak dengar cerita sedap ada makanan. Jadi, aku nak pergi ambil lah beberapa cucuk sate kat depan, dekat ruang tamu.

Elok je aku melangkah masuk ke ruang tamu..

“Lambat balik?” Maksu menegur Paksu yang baru sampai ke rumah dekat pintu depan. Anak dia yang masih kecil tu menyendeng dekat kaki. Laju je mata aku ni terus pandang ke pintu depan. Ya, memang ada maksu dekat situ, tengah ambil plastik air batu yang paksu baru beli.

“Allah!” itu je kalimah yang mampu keluar dari mulut aku. Meremang satu badan dibuatnya. Aku serta-merta pandang ke belakang –  ke arah meja dapur tempat aku dan ‘Maksu’ lepak makan lemang tadi.

‘Maksu’ tak ada kat situ.

-Tamat-


Aku dah keluarkan buku kedua bertajuk SEGITIGA. Ada 24 buah kisah seram hasil gabungan otai-otai penulis FS iaitu DeeFen, SenyumanPerantau dan Shizu. Siapa yang pernah mengikuti kisah Sihir Berdarah 1 dan 2 dalam FS ni dulu, buku ini ada kesudahan kisahnya – Sihir Berdarah 3.

Kalau berminat nak tempah, boleh follow Facebook kami Wan SC, DeeFen DF, SenyumanPerantau SP ataupun Shizu.

HANTAR KISAH ANDA: fiksyenshasha.com/submit

72 thoughts on “#SiCelupar : Nenek Tenggek”

  1. Cerita dari si felypar ni mmg semua nya best…nenek baca semua cerita2 karya si celupar….cuma kali ni si celupar tak pula bermulut celupar sperti selalu…

    Nenek masih tertanya2 cerita pasal maya..cerita aku rindukan maya…nak tahu ape yg terjadi pada dia….fizi pon lama tak menulis..

    Wah2 nenek tenggek ni, menakut2 kan org pulak ye…tu la cu, balik lagi lewat malam..

    Reply
  2. lama xmelayan FS sbb bz kek opis.. dulu rajin layan waktu rehat, tp sesejak kne kacau tbe2 dgr azan time mkn + layan FS, aku stop rutin tu.. opis aku jauh dr masjid & bila aku keluar mmg xde dgr azan dr luar.. just dr tmpt aku mkn tu je… mau xserammm~

    Reply
  3. dah lame gile tunggu #sicelupar ni hantar story… bestnye.. hari ni banyak penulis kegemaran ade… kita bagi 5 bintang. move forward to next story…

    Reply
  4. Ni cerita betul ke tak? Kalau tak betul, adui bosan buang masa aku baca. Semua nak kejar jadi writer je sekarang. We are losing the essence of fiksyen shasha nowadays. Btw #sicelupar kau memang best aku minat je kau ni. In fact I am considering to buy your books. Tapi cerita betul lah please.

    *Jangan marah, nanti kena jual.

    Reply

Leave a Comment