Assalam admin FS. Ini adalah chapter pertama Dari Tanah Ke Tanah. Diharapkan admin FS terhibur membaca Prolognya. Salam juga pada semua warga FS. Semoga dapat manfaat.
#1
KRIIINGGG…
Menggelupur tubuh Ali disentak dari tidur yang sangat dalam bila telinganya disumbatkan dengan jeritan jam loceng yang maha dahsyat. Bengang betul dia dikejutkan dengan cara yang sangat kurang ajar itu, namun hendak dihalakan kemarahan itu pada siapa? Bukannya orang lain yang membelikan jam loceng yang paling lantang deringannya itu untuknya. Dia beli sendiri!
Takkan terjaga dia jika jam yang menjadi tukang kejutnya itu mengeluarkan irama lembut penuh syahdu. Makin terlena, mungkin!
Kepalanya menggerenyut kesakitan. Rasanya baru sahaja dia masuk tidur. Dalam sepuluh minit begitu. Takkan sudah pagi?
Hati Ali bersungut lantaran tidur yang tidak mencukupi.
Berderam-deram mulutnya tatkala tangan menggapai menggila mencari jam loceng di atas meja kecil di sebelah katilnya. Mata haram dibuka. Kelopak matanya masih melekat dek rasa kantuk yang hebat.
“Arghhh…” rengusnya dengan kasar lantaran sangat tertindis perasaan dengan lalakan yang menyakitkan hati dan telinga. “Pukul berapa ni? Takkan dah pukul enam kut,” omelnya, marah.
Tangannya terus menggapai mencari objek yang ternyata kecil sahaja saiznya tetapi hingarnya, masya-Allah… namun, entah di mana pula terletaknya jam loceng itu, padahal meja sisi katilnya itu bukanlah besar sangat.
“Mana engkau ni, jam?” dengusnya, kasar.
Terasa dipermainkan, Ali terpaksa membuka matanya.
“Nok-haram!” jeritnya, selantang lalakan jam locengnya.
Terus dia melompat turun dari katil tetapi terpaksa bertinggung memegang birai katil untuk menstabilkan diri yang sedikit pening. Mulutnya terkumat-kamit tetapi entah apa yang dibacanya, meraban-raban.
Matanya yang kabur ditajamkan supaya dia dapat mengawasi susuk tubuh berbalut kain putih yang duduk di birai katilnya. Ketika itu rasa kantuk dengan ajaibnya menghilang diganti oleh ketakutan yang terzahir melalui renik-renik peluh dingin yang bertebaran di atas dahi dan batang hidungnya. Jantungnya berdegup laju, menyebabkan dadanya sakit menyengat. Rasanya jika degupan jantung itu tidak diperlahankan, bila-bila masa sahaja dia akan rebah. Pengsan atau mati, wallahualam!
Biar pengsan. Dia masih terlalu muda untuk mati. Impiannya pun masih banyak yang belum tercapai lagi.
“Nokharam kamu kata aku? Amboih, mulut kamu! Kemain lagi!” hambur susuk tubuh berbalut kain putih itu.
“Mak?!” Mata Ali semakin fokus dan terlihatlah wajah emaknya dalam suasana bilik tidurnya yang kelam itu.
“Yalah! Maklah ni. Kamu ingat siapa? Hantu?” Fatimah ketawa seraya mendiamkan jam loceng yang masih memekak di tangannya.
“Ya Allah, mak…”
Ali bersandar pada dinding untuk menghilangkan gementar. Lemah kembali tubuh badannya bila ketakutan yang menguasainya lenyap. Mata terus merenung emaknya yang berselubung dengan telekung, kemudian melirik pada jam loceng yang sedang dibelek-belek oleh tangan emaknya.
‘Patutlah aku cari tak jumpa. Mak pegang rupanya,’ desis hati Ali. “Kenapa mak buat Ali macam ni, mak? Mati terkejut Ali nanti macam mana?”
“Hish! Sah-sah mak yang mati dulu, Ali,” tingkah Fatimah.
“Ajal maut bukan kira tua muda, mak!” Ali menghamburkan keluhan yang maha dahsyat. “Jangan buat lagi, mak. Mati terkejut Ali nanti,” ulangnya sambil mengusap dada yang masih dilanyak debaran.
“Lama sangat jam loceng ni berbunyi. Mak masuklah tengok apa ke halnya.”
“Kenapa mak tak tutup je jam tu tadi? Sanggup mak dengar jam tu melalak!” Mengeluh lagi dia. “Dah pukul berapa sekarang ni?”
Dia tengok emak memakai telekung. Sudah subuhkah? Adoiii… dia masih penat. Masih belum puas tidur lagi.
“Pukul 4.30.”
“Kenapa jam tu berbunyi pukul 4.30 pulak? Ali set pukul 6.00.” Meleret-leret suara kecewanya lantaran merasakan jam loceng itu sudah biul.
Dia menguap beberapa kali. Rasa kantuk kembali menyerangnya.
“Mak masuk bilik kamu masa kamu tidur. Set balik pukul 4.30. Saja. Nak ajak kamu buat solat tahajud. Mak dengan ayah dah sudah. Kamu je belum. Lekaslah! Pergi basuh-basuh sikit badan kamu tu lepas tu ambik wuduk. Lepas solat kamu tidurlah balik,” gesa Fatimah seraya keluar dari bilik tidur anak terunanya.
Perlahan-lahan Ali melabuhkan punggung di atas katil. Dada yang masih gementar cuba diredakan.
‘Ya Allah, sabarkanlah hatiku…’ doanya dalam diam.
Emak belum memahami rutin hariannya lagi sebab emak dan ayah baru dua hari berpindah duduk serumah dengannya. Dia pun baru sahaja berpindah dengan sepenuhnya ke rumah itu. Dahulu, emak dan ayah duduk di kampung, dia pula menyewa dengan seorang kawan. Bila dia menerima kunci rumah barunya beberapa bulan yang lalu, diajaknya emak dan ayah tinggal bersama. Dengan kasih sayang dia akan menjaga mereka.
Selepas ayah bersara, barulah emak dan ayah pindah ke rumahnya. Namun, dia tidak menjangka emak akan menghadirkan dugaan yang maha hebat itu untuknya.
Bukannya dia liat hendak menunaikan solat sunat tahajud atau solat sunat lain. Ada kesempatan memang dia buat tetapi sejak akhir-akhir ini badan dan mindanya tersangat penat selepas hampir 16 jam bertungkus lumus membereskan tuntutan kerja. Kadang-kadang balik dari kerja, dia terpaksa keluar semula. Macam malam tadilah, tengah malam baru dia balik ke rumah selepas menguruskan hal penting itu. Yang mengajaknya keluar pula adalah orang atasan di pejabatnya.
Penatnya hanya Allah sahaja yang tahu tetapi berbaloilah kalau penat pun sebab dia ada tanggungjawab, ada kerja. Lainlah penat berlingkar seharian di atas katil tidak buat apa seperti setengah-setengah manusia yang dikenalinya. Kerja malas tetapi buat anak pandai. Kemudian anak-anak dibiarkan berkeliaran menjadi penyangak, meragut sana, menyamun sini.
Satu sahaja pesanan Ali untuk mereka dari spesis manusia haprak ini; meninggallah kerana dunia pasti akan lebih aman tanpa adanya korang!
Macam mana penat sekalipun dia, tugas tetap digalas dengan penuh tanggungjawab. Oleh sebab itulah bila berada di rumah, dia hanya mahu tidur dan tidur dan tidur supaya dia mendapat rehat yang secukupnya. Dan oleh sebab itu jugalah dia masih belum mahu berkahwin. Biarlah dahulu. Ada jodoh dia kahwinlah. Dia pun masih belum puas membalas jasa emak dan ayahnya.
Ali berderam lagi. Tubuhnya direbahkan, meniarap di atas tilam. Mata dipejamkan semula, berbaring dengan sebelah pipi beralaskan bantal. Dua tangan sasanya memeluk bantal yang sama. Sambil melayan kantuk, dia terkenang-kenang semula kejutan yang emak lakukan terhadapnya sebentar tadi. Mengorak senyumannya. Emak memang kuat menyakat tetapi Ali tidak kisah. Itu cara emak memanjakannya.
Senyumannya terus melekat sehingga dia terlena semula.
“Ali… Ali Imran!”
Usapan lembut pada badannya menyusuli suara yang memanggil. Dalam keadaan mamai Ali tersenyum. Dia memang selalu merindui sentuhan kasih emaknya.
“Ali!”
Dia tersedar. Tanpa membuka mata nafas dihela.
“Hurm… emak… biarlah Ali tidur kejap!” omelnya.
“Nak tidur sampai pukul berapa? Tak kerja ke hari ni?”
“Kerjalah. Pukul 6.00 karang Ali bangunlah.” Dia mengeratkan pelukan pada bantal alas kepala. Terasa nikmatnya laksana memeluk seseorang yang berasal dari tulang rusuk kirinya.
“Pukul 6.00 petang ke? Sebab sekarang ni dah pukul 6.45 pagi,” kata Fatimah.
“Hah!”
Terus terduduk Ali. Jam loceng diambil.
“Alah… kenapa cepat sangat pukul 6.45-nya?” Berdecip-decip mulutnya bila melihat waktu yang ditunjukkan oleh jam itu. Merungut hatinya kerana masih belum puas tidur. “Mak pun satu. Bukannya nak kejutkan orang awal-awal. Dah lambat dah ni. Pukul berapa nak sampai ofis? Nak beli sarapan pun tak sempat!” omelnya lagi sambil turun dari katil menuju ke bilik air.
“Ai?! Mak dah kejut awal tadi kan? Pukul 4.30 tadi mak kejut kamu. Kamu yang tak nak bangun. Nak salahkan mak jugak!”
“Arghhh!” Ali mendengus. “Kejut pukul 4.30. Mana larat orang nak bangun. Kejutlah pukul 6.00! Arghhh…”
Pintu bilik air dikatup. Sambil mandi, Ali bernyanyi.
“Bahagia nampak!” Fatimah mengetuk pintu bilik air sebelum keluar dari situ.
“Bahagialah!” jawab Ali dari dalam. ‘Bahagia sebab mak dengan ayah ada.’
Bersambung…
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Mana pulak dtg Fatimah
Eh terfirst
bukan mak dia ke fatimah
Haah la hahahha thank you cikorked
Hantu blom kuar lagi.. sabar..sabar.. Pengenalan yang menarik.. Cepat sambung yer..
Teruskan berkarya!?
Xde elemen seram.. Jalan cerita setakat ni difahami
So kena tggu utk sambungan seterusnya
Sambung cepat2 eh..?
terbaik…
Killing me?
Baru prolog dah mendebarkan!
Sambung cepat sikettt!
x sabar nak baca sambungan 🙂
Ni bukan da ada buku dia ke??
?
x best la blm ade ape2 dh sambung2……..