Hi, aku Laila Umbara. Kenapa aku pilih nama ni? Sebab Umbara tu sendiri bermaksud ‘mengembara.’ Hidup aku tak menetap di sesuatu tempat. Sebab tu kot aku ada banyak cerita mistik untuk dikongsi. Hehe..
Kali ni cerita aku santai-santai saja. Tentang batu yang dikutip di tepi jalan. Aku pernah ada hobi mengayuh basikal. Misi aku ialah ‘round island.’ Ada la beberapa pulau yang aku dah round. Sampai la ada satu peristiwa yang buat aku serik nak berbasikal.
Kisah ni terjadi semasa aku dalam persiapan untuk round sebuah lagi pulau. So aku bersama seorang rakan decide untuk berlatih di kawasan berbukit bukau. 7.30 pagi kami park kereta di taman rekreasi berhampiran. Plan kami untuk kayuh melewati sebuah empangan sehingga ke puncak bukit.
Perjalanan lancar semasa mendaki sehingga ke puncak. Selesai berehat dan ambil 2-3 keping gambar kenangan kami pun bergerak turun dengan lajunya. Tak berhenti untuk rehat langsung sehingga kami sampai semula ke empangan. Masa ni matahari tersangatlah panas terik.
Dari jauh aku melihat rakan aku, Iman, melambai tangan ke sebelah kanan jalan. Maksudnya dia nak menyeberangi jalan untuk berehat di bawah pokok redup di bahu jalan. Jam melewati 1 petang apabila kami sampai di situ.
Dalam hati aku pelik juga. Sebab tak jauh dah nak sampai tempat kami park kereta. Kenapa pula si Iman nak berhenti rehat. Perjalanan pun bukannya perlu mendaki. Semua kayuhan menurun. Tinggal lepas paddle nak nikmati saja.
Sedang kami berehat sambil borak kosong, Iman mengutip beberapa biji batu. Dia melambung bolak balik dengan tangannya. Aku hanya melihat dengan pandangan kosong. Tak terfikir apa-apa. Sebab panasnya kawasan tu melebihi panasnya hati bila buah hati diambil orang.
“Aku nak bawa balik ni, nak main batu seremban di rumah,” kata Iman sambil mengutip beberapa biji batu lagi.
“Nanti main dengan aku ya, sambung Iman lagi.”
“Yalah..” kata aku acuh tak acuh. Kami memang sewa serumah. Jadi memang mudah la untuk plan itu ini.
Iman menyimpan batu-batu yang dikutipnya ke dalam porch bag aku. Porch bag yang memang sengaja aku pakai ke belakang pinggang. Lalu kami menyambung kayuhan ke kereta. Sepanjang perjalanan pulang Iman banyak diam. Mungkin letih.
Sampai saja di rumah kedua-dua kami terbongkang di ruang tamu. Jam 6 petang aku terjaga. Aku menapak ke bilik untuk mengambil tuala. Bilik kami bersebelahan jadi aku boleh nampak Iman sedang baring atas katil. “Mungkin dia bangun bersihkan diri untuk solat tadi, desis aku dalam hati.”
Tok..tok..bunyi ketukan perlahan di pintu bilik air. Aku tutup shower untuk memastikan apa yang aku dengar. Mana la tahu Iman ada emergency ke apa. Bila tak ada apa-apa, aku buka kembali shower.
“Laila….suara Iman memanggil aku dari luar.”
Aku pantas tutup semula shower. Memang suara Iman yang aku dengar. Tapi nada kedengaran aneh. Lagi aneh bila mulut aku seolah dikunci dari menyahut panggilan Iman. Jantung aku berdegup kencang. Cepat-cepat aku habiskan mandi.
Tandas kami terletak berdekatan dapur. Jadi aku berlari-lari anak untuk ke bilik..nak cepat sampai. Masa tu belum pasti pun apa entiti yang panggil aku tapi ada satu perasaan tak enak.
Aku menjeling ke arah bilik Iman. Posisinya dari meniarap kini sudah terlentang. Dia mengadap siling sambil mata terkebil-terkebil. Boleh bayang tak? Macam orang baru bangun tidur.
“Baru bangun ke Iman?”
“Umm,” jawab Iman perlahan.
Masa tu aku fikir Iman panggil aku sebab dia nak mandi kot. Tak dapat menahan rasa ingin tahu, masa lepak depan tv aku tanya juga Iman.
“Kau ada panggil aku ke tadi?”
“Bila?” Tanya Iman.
“Tadi..masa aku mandi.”
“Tak ada..masa kau tegur tadi aku baru bangun. Lagipun memang aku dengar kau tengah mandi so aku tunggu jela, sambung Iman.”
“Kenapa?” Tanya Iman lagi bila jawapan panjang dia tak dapat respon aku.
“Tak ada apa..aku salah dengar kot.”
Iman bukan jenis percaya benda-benda mistik. Jadi perbualan kami habis di situ.
Esoknya aku ikut Iman balik ke kampung. Aku bermalam di rumah keluarga Iman sebelum aku meneruskan perjalanan ke kampung aku pula. Malam tu sedang aku tidur lena…
“BAGI AKU MASUK!!!!AKU TAKNAK DUDUK DI LUAR NI, SEJUKKK!!!!”
Kedengaran suara garau seseorang menjerit-jerit di luar pagar rumah Iman. Rumah Iman ni rumah taman dua tingkat. Aku tidur di bilik Iman tingkat atas. Suara tu sangat jelas..rasa macam tepi telinga ja.
“BUKA PAGAR NI!!!!” Jerit entiti itu lagi sambil merengkuh pagar rumah Iman. Pagar besi itu digoyang dengan kasar.
Dalam hujan renyai-renyai ayah Iman keluar melihat.
“Kau nak apa? Sini bukan tempat kau, pergi dari sini!” Jerit ayah Iman.
“Kau siapa? Bagi aku masuk! Mereka yang bawa aku ke sini!!”
Kini aku pasti ia bukan manusia. Makhluk yang tidak berwajah, hitam gelemat badannya. Tak tahu mana letak anggota badan yang pasti matanya bolong. Aku yakin mata, takkan lubang hidung besar sangat. Pada ingatan aku yang menakutkan bukan rupa, tapi suara dia! Tambah pula dengan suasana hujan dan pekat malam.
Makhluk itu bersungguh merengkuh pagar rumah Iman. Hampir saja tercabut.
Mulut ayah Iman terkumat kamit membaca sesuatu. Kemudian ayah Iman membaling sesuatu di dalam genggamannya ke arah entiti tersebut.
SAKIT!!!!ARGHH…HANTAR AKU BALIK!!!!!!AKU NAK BALIK!!
Aku tersentak. Peluh membasahi kepala dan seluruh badan. Basah kuyup baju yang aku pakai, penghawa dingin seperti sengaja mengeluarkan haba panas dingin. Dada pula berdegup kencang sehingga aku boleh dengar degupan jantung sendiri. Rasa macam roh disentap dari jasad, tak pernah aku mimpi senyata itu.
Aku toleh ke sebelah, Iman sedang tidur lena. Selepas nafas mulai teratur aku merebahkan badan. Katil empuk Iman sudah tidak mengizinkan tidur lena. Aku terkulat-kulat cuba menghadam maksud mimpi sebentar tadi.
Hampir mata terpejam otak tertangkap pada satu memori. Batu! Cepat-cepat aku kejut Iman.
“Iman, mana batu yang kau kutip di tepi jalan empangan hari tu??”
Dalam kemanguan Iman menjawab, “Ada dalam porch bag kau lah..”
Aduh..patutlah makhluk tu ganggu aku. “Kita kena pulangkan batu tu Man…dia kacau aku ni.” Aku ceritakan dari awal peristiwa semasa di rumah sewa.
Terkedip-kedip mata Iman dengar cerita aku. Antara percaya dengan tidak ja mukanya.
“Yalah..yalah…esok aku bagitau bapak aku. Sekarang ni jom tidur.” Kata Iman sambil memusingkan badannya membelakangi aku.
Malam tu aku tak tidur sampai pagi. Bimbang mimpi yang sama berulang.
Sebelum bergerak pulang aku pesan kepada Iman supaya selesaikan hal batu tersebut. Memandangkan sedang rushing, aku letakkan 100% kepercayaan kepada Iman.
“PULANGKAN AKU!!!!!!!”
Mimpi yang sama menghantui aku malam berikutnya. Pekikan dari entiti yang sama. Namun kali ini aku boleh bertenang dan call Iman even jam 3 pagi.
“Sorry Laila.. Aku tak sempat buat hari ni. Esok aku ajak bapak aku.” Kedengaran suara Iman di hujung talian. Mendengar berita itu, tergemaplah aku seketika.
“Sabarlah.. esok ada orang hantar kau.” Entah kepada siapa aku bisik. Yang pasti lepas tu aku boleh tidur nyenyak.
Petang Sabtu, Iman video call aku. Aku melihat dengan mata sendiri ayah Iman meletakkan kembali semua batu-batu itu di tempat asal. Seperti ada satu perasaan lega yang tak dapat dijelaskan. Sejak itu tak ada lagi mimpi ngeri menghantui tidur malam.
“Aku tak tahu kenapa aku nak berhenti kat sini hari tu..padahal sikit lagi kita nak sampai bawah,” kata Iman semasa video call. Dia seolah baru sedar apa yang berlaku.
“Tak apa lah Man.. semua dah selamat,” balas aku.
Aku tak boleh bayangkan macam mana aku bawa batu tu dalam porch bag sampai rumah. Tak rimas ke dia kat dalam tu? Atau dia sanggup tahan sebab excited nak ‘bermain’ dengan kami tapi akhirnya rungsing sebab ditinggal sepi. Sukar dirungkai dengan akal.
Konklusinya.. Jika terjumpa batu dan ada rasa nak bermain dengannya, biarkan saja. Sebab aku sudah belajar, ada benda yang bukan milik kita… dan tidak sepatutnya dibawa pulang.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit