TUJUH PINTU: Bahagian 3
Oleh: Ahmad Rusydi
TUJUH PINTU: Pesakit Baru Doktor Roslan.
Sambil menghirup kopi panas, Doktor Roslan membelek-belek fail pesakit baru yang diletakkan okeh misi di atas mejanya tadi. Dalam kenikmatan bau kopi yang menyegarkan itu, mindanya masih ralit dengan maklumat-maklumat baharu yang tercatat di dalam fail kuning itu.
Kes kurung anak, bunuh dan simpan mayat di dalam rumah sehingga bertahun-tahun. Kalaulah Doktor Roslan bukan seorang profesional, sudah tentu dia juga akan buat kesimpulan yang sama dengan netizen-netizen yang mengecam pesakit barunya itu.
Sudah viral di laman-laman sosial mengenai penemuan tiga mayat kanak-kanak yang dikurung di dalam sebuah bilik di rumah yang dihuni oleh sepasang suami isteri tidak berapa lama dahulu. Selepas siasatan dibuat, pasangan tersebut diberkas kerana disyaki mengurung, membunuh dan menyimpan mayat ketiga-tiga orang anak mereka sendiri.
Selepas perbicaraan selesai, pihak mahkamah memutuskan bahawa pasangan ini adalah pasangan yang menghidapi gangguan mental dan tidak wajar dikenakan hukuman-hukuman yang termaktub dalam mana-mana akta yang hanya digunapakai bagi menghukum pesalah-pesalah normal.
Mengikut laporan mahkamah yang dibaca oleh Doktor Roslan, si isteri tidak dapat menerima hakikat mengenai apa sebenarnya yang terjadi walaupun selama bertahun-tahun mereka tinggal bersama mayat anak-anak mereka yang disimpan di dalam bilik itu.
Berdasarkan laporan polis pula, selepas perbicaraan pertama di mahkamah, si isteri telah menghantukkan kepalanya sendiri pada paku di dinding mahkamah lalu mati kerana pendarahan otak di tempat kejadian. Kes bunuh diri ini juga menyebabkan dua orang polis pengiring yang mengiringi suami isteri tersebut digantung kerja atas tuduhan cuai dalam menjalankan tugas.
Tengahari itu juga Doktor Roslan dipanggil ke wad isolasi untuk bertemu buat pertama kali dengan pesakit lelaki itu. Pintu wad isolasi dikawal oleh dua orang anggota polis di kiri dan kanan. Dari pagi tadi juga Doktor Roslan asyik terlihat beberapa kereta polis keluar dan masuk dari kawasan hospital. Selama 16 tahun dia bertugas sebagai seorang pakar psikiatrik, tak pernah sekalipun dia melihat suasana seserius dan setegang itu di dalam hospital ini.
“Doktor, tolong isikan nama, nombor kad pengenalan dan waktu masuk doktor di sini.” Arah salah seorang anggota polis yang menjaga pintu.
Doktor Roslan menuruti arahan anggota polis tersebut lalu dibenarkan masuk ke dalam wad isolasi yang lantai, dinding dan silingnya lembut dilapik dengan lapisan-lapisan kusyen putih. Tidak ada sebarang perabot diletakkan di dalam wad tersebut. Di hadapannya, seorang lelaki sedang melutut. Lelaki itu kelihatan seakan-akan sedang memeluk tubuh kerana dipakaikan straitjacket. Wajahnya tenang. Terlampau tenang jika dikenangkan apa yang telah dilakukan olehnya terhadap anak-anak sendiri. Namun, sebagai seorang profesional, Doktor Roslan tidak boleh meletakkan penilaian terlalu cepat kepada pesakitnya. Tugasnya hanyalah untuk menilai tahap gangguan mental pesakit dan membuat laporan untuk diserahkan kepada pihak mahkamah untuk digunakan sebagai rujukan lanjut. Tindakan penilaian hanya boleh dibuat oleh badan judisiari.
“He is a patient first, a criminal second.” Fikir Doktor Roslan mengingati semula nasihat yang diingatinya ketika masih belajar mengenai etika merawat pesakit yang mempunyai rekod jenayah di sekolah perubatan dahulu.
“Assalamualaikum.” Ucap Doktor Roslan tenang.
Tiada apa-apa respon daripada si pesakit. Doktor Roslan pun hanya separuh mengharap yang salamnya akan disambut. Doktor Roslan duduk bersila di hadapan lelaki itu dengan tangannya memegang fail yang dibacanya tadi.
“Awak nak minum atau makan apa-apa?” Tanya Doktor Roslan perlahan.
Lelaki itu menggeleng. Doktor Roslan pula mengangguk faham.
“Boleh kita bercakap?” Tanya Doktor Roslan lagi dengan nada yang lembut.
Lelaki itu menganggukkan-angguk perlahan. Doktor Roslan tersenyum sambil membuka failnya. Selepas menyelak beberapa helaian, Doktor Roslan meneruskan soalannya;
“Awak ingat nama awak?”
“Argono.”
“Tapi di dalam fail ni, nama awak lain. Atau awak lebih selesa kalau saya panggil awak Argono?” Tanya Doktor Roslan cuba untuk mengambil hati.
“Ya, Argono.”
“Baiklah Argono, maafkan saya jikalau soalan saya ni kedengaran tidak sensitif; Awak masih ingat tentang isteri dan anak-anak awak?” Tanya Doktor Roslan dalam nada lembut yang tegas.
Argono mengangguk-angguk.
“Apa yang terjadi kepada anak-anak awak?”
“Masih ada di rumah”. Jawab lelaki itu sambil mengangkat kepalanya melihat wajah Doktor Roslan.
Mata lelaki itu kelihatan kosong namun sesaat kemudian satu terukir senyuman lebar di mulutnya. Doktor Roslan tergamam dengan perubahan riak wajah tiba-tiba itu. Beberapa saat kemudian, mulut lelaki itu mula terkumat-kamit menyebut perkataan-perkataan yang bunyinya sangat pelik. Bahasa yang bukan dari dunia ini. Dengan wajah tenang, lelaki itu menghembuskan nafasnya ke arah muka Doktor Roslan. Nafas lelaki itu terasa luar biasa panasnya.
Doktor Roslan bingkas bangun, berjalan membuka pintu wad isolasi itu dan melangkah keluar. Pegawai polis yang berkawal di muka pintu kelihatan sedikit pelik.
“Ya, Doktor? Doktor perlukan apa-apa ke?” Tanya pegawai polis itu kepada Doktor Roslan.
“Eh, taklah. Saya akan sambung kemudian. Saya rasa tak berapa sihat. Mungkin sebab terlalu lama duduk dalam bilik tu tadi.” Jawab Doktor Roslan dengan riak wajah kosong tanpa apa-apa ekspresi.
“Lama? Doktor baru jer masuk dua minit lepas.” Kata pegawai polis yang satu lagi.
“Tak kisahlah.” Kata Doktor Roslan tanpa memalingkan mukanya lalu berjalan pergi melewati pintu-pintu wad yang kelihatan suram sehingga ke hujung koridor. Sesampainya dia ke hujung koridor, Doktor Roslan mendaki tangga ke tingkat atas bumbung hospital itu. Dalam keadaan yang begitu tenang, Doktor Roslan membuka kasutnya kemudian disusunnya kedua-dua belah pasang di tepi tembok penghadang bumbung. Perlahan-lahan Doktor Roslan memanjat tembok penghadang itu lalu mendepangkan tangannya seakan-akan sedang mengecapi masa terbaiknya sebagai seorang manusia.
Tiba-tiba Doktor Roslan terasa tangannya disentap ke belakang oleh seseorang. Doktor Roslan jatuh terduduk. Kepalanya terasa berpinar-pinar seperti baru bangun dari tidur yang lama. Dia melihat sekeliling. Salah seorang dari anggota polis yang menjaga pintu wad isolasi tadi masih memegang sebelah tangan Doktor Roslan.
“Apa yang terjadi?” Tanya Doktor Roslan kebingungan.
“Tadi Doktor tiba-tiba keluar meninggalkan wad isolasi. Saya syak ada sesuatu yang tak kena, jadi saya ekori doktor dari belakang. Tiba-tiba Doktor naik ke tingkat atas bumbung, bertindak macam orang nak bunuh diri. Jadi saya tarik tangan Doktor. Doktor tak sedar ke apa yang Doktor buat tadi?” Tanya pegawai polis berwajah gelap itu.
“Astaghfirullah. Saya langsung tak sedar. Perkara terakhir saya ingat, saya duduk di hadapan pesakit tu, dia hembuskan nafasnya ke muka saya dan saya rasa mengantuk sangat.” Jawab Doktor Roslan perlahan. Matanya memandang lantai. Masih cuba memahami apa yang terjadi kepada dirinya tadi.
“Mari saya tolong Doktor.” Kata pegawai polis itu sambil menarik tangan Doktor Roslan bangun.
“Terima kasih.” Kata Doktor Roslan ringkas. Fikirannya masih membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya pegawai polis itu tidak mengekorinya tadi.
Malam itu ketika di rumah, Doktor Roslan mendapat panggilan telefon dari orang atasannya mencadangkan agar dia mengambil cuti rehat selama seminggu. Pada awalnya, Doktor Roslan ingin sahaja membantah cadangan itu atas rasa tanggungjawabnya terhadap pesakit lelaki itu. Tetapi, membayangkan apa yang mampu dilakukan oleh pesakit itu kepadanya, Doktor Roslan turuti sahaja cadangan yang diberikan dengan hati yang tidak tenteram.
“Argono…” Sebut Doktor Roslan tanpa sedar ketika dia sedang termenung memerhati keluar tingkap apartmentnya. Mindanya sedang cuba mengingati setiap butir kejadian yang mampu diingatinya siang tadi namun tiada apa yang mampu ditafsir demi jawab beribu persoalan yang ada di dalam benaknya sekarang.
Sebelum disuruh balik oleh pihak atasannya tadi, Doktor Roslan sempat membuat salinan beberapa helaian dari fail pesakit lelaki itu untuk dibawa balik. Doktor Roslan berjalan ke arah meja kopinya dan mencapai beberapa helai kertas yang berada dari atas meja.
Dibeleknya satu persatu.
Nama: Muhammad Faris Bin Ja’afar.
Tarikh Lahir: 24 Februari 1982.
Tempat Lahir: Banting, Selangor.
Setelah selesai membaca semula beberapa helaian yang dianggapnya penting untuk lebih mengenali pesakitnya itu, Doktor Roslan merapikan helaian-helaian salinannya dan disimpan di dalam laci meja membacanya. Doktor Roslan membuat keputusan untuk pergi ke hospital esok dan minta kebenaran dari pihak atasan untuk berjumpa dengan pesakit tersebut sekali lagi. Entah kenapa, Doktor Roslan merasakan suatu perasaan ingin tahu yang amat kuat mengenai lelaki yang bernama Faris Ja’afar atau Argono ini.
Selesai menandatangani buku pelawat, Doktor Roslan melangkah masuk ke dalam wad kuarantin tersebut buat kali kedua. Pihak atasannya memaklumkan kepada Doktor Roslan bahawa hanya dirinya dan beberapa pakar psikiatrik sahaja yang dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan pesakit lelaki itu. Mulai hari itu juga, pihak berkuasa meletakkan syarat; mereka hendaklah sentiasa ditemani oleh dua orang anggota polis bersenjata apabila memasuki wad itu.
Di sebelah kiri dan kanan Doktor Roslan, berdiri dua orang anggota polis yang salah seorangnya adalah anggota polis yang telah menyelamatkan nyawanya semalam. Dihadapan Doktor Roslan pula, Faris sedang duduk bersila merenung lantai. Langsung tidak mendongak untuk melihat siapa yang berada di hadapannya.
Entah kenapa kali ini wajah lelaki itu kelihatan resah dan tertekan.
“Assalamualaikum.” Sapa Doktor Roslan.
“Wa’alaikumsalam.” Jawab Faris lemah tanpa mendongak.
“Argono, bagaimana keadaan awak hari ini?” Tanya Doktor Roslan dengan suara yang sengaja ditenangkan.
Faris mendongak dengan wajah hairan.
“Argono?” Soal Farid kekeliruan.
“Maaf. Semalam awak kata awak lebih selesa jika saya panggil awak Argono.”
“Semalam? Bila saya jumpa dengan awak semalam?”
Doktor Roslan dapat menangkap sesuatu. Sebagai seorang pakar psikiatrik, Doktor Roslan dapat membaca riak wajah dan gerak tubuh seseorang. Lelaki di hadapannya dilihat memang benar-benar keliru. Dia memang langsung tidak ingat tentang perjumpaan singkat mereka semalam.
“Tak apa, lupakan. Saya Doktor Roslan. Pakar psikiatrik. Saya di sini untuk bertanyakan kepada kepada Encik Faris beberapa soalan. Boleh saya duduk?”
Faris mengangguk perlahan.
“Baiklah. Berdasarkan maklumat di dalam fail awak, awak dibesarkan di Kampung Alor, Banting. Betul?”
“Ya.”
Awak berkahwin dengan Zulaikha sepuluh tahun lepas. Ketika awak berumur dua puluh lima. Betul?”
“Ya.”
“Hasil dari perkahwinan awak, awak mempunyai tiga orang anak. Betul?”
“Betul.”
“Boleh awak cerita tentang anak-anak awak pada saya?”
Suasana senyap seketika. Kedua-dua anggota polis yang masih berdiri di sebelah kiri dan kanan Doktor Roslan kelihatan tenang, namun berjaga-jaga. Sejak dari mereka masuk ke dalam wad tadi tangan kedua-duanya sudah bersedia diletakkan pada senjata Glock mereka, namun tidak dikeluarkan daripada holster masing-masing.
Sejenak kemudian, Faris mula bercerita;
“Anak saya yang pertama, Mohd Fidaus. Berumur sembilan tahun. Anak kedua, Norhana. Berumur lapan tahun. Anak ketiga saya bernama…”
“Encik Faris?”
Wajah Faris kelihatan berkerut. Seperti memikirkan sesuatu yang amat sukar untuk diwarasi. Dia terdiam seketika.
“Anak ketiga saya bernama… Doktor, mana isteri saya?”
“Isteri awak sudah meninggal, Faris. Awak tak ingat?”
Faris terdiam lagi. Wajahnya ditundukkan ke lantai.
“Ya, saya ingat. Di mahkamah. Maksud saya, di mana jenazah dia sekarang?”
“Saya tak tahu Faris. Maaf.”
“Tak apa.” Jawab Faris tidak bermaya.
“Faris, pihak polis menjumpai mayat ketiga-tiga anak awak di dalam sebuah bilik di rumah awak. Salah satunya, seorang bayi, sudah tinggal tulang-belulang sahaja. Setelah siasatan forensik dibuat, didapati bayi tersebut meninggal ketika usianya masih belum mencecah sebulan. Usia kerangka yang dijumpai pula sudah mencecah tiga tahun. Bermakna bayi tersebut sudah meninggal tiga tahun yang lalu. Awak tahu tentang itu?”
Faris tidak memberi sebarang respon. Matanya dipejamkan serapat mungkin. Air mata kelihatan mengalir ke pipinya.
“Doktor, fikiran saya dan isteri dipermainkan oleh sesuatu. Saya langsung tak sedar tentang hal ni. Selama tiga tahun saya sangkakan anak ketiga saya masih hidup. Masih ada bersama saya dan isteri. Begitu juga dengan dua orang lagi. Setiap hari selama sebulan lebih saya menghantar dan menjemput mereka ke sekolah. Entah kenapa van yang selalu mereka naiki tidak lagi ambil dan hantar mereka. Mana mungkin mereka boleh ke sekolah jikalau mereka sudah mati!”
Faris terdiam seketika.
“Faris, awak boleh sambung kalau awak mahu. Kalau awak tak mahu, saya boleh datang kemudian.”
“Suatu hari beberapa minggu lepas, cikgu sekolah anak-anak saya call saya. Katanya sudah lebih sebulan kedua-duanya tidak hadir ke sekolah. Saya menjadi keliru. Saya sendiri melihat dengan mata kepala saya sendiri mereka pergi dan pulang dari sekolah. Sehingga beberapa hari selepas itu, saya terlihat sebuah pintu di sudut rumah saya. Selama saya tinggal di rumah tu, sudah banyak kali saya terlihat pintu itu, tetapi setiap kali saya mengalihkan pandangan saya daripada pintu itu, saya akan lupa tentang kewujudannya. Tetapi pada hari itu, saya cuba sedaya upaya untuk melawan segala apa yang menghalang saya daripada membuka pintu tersebut. Apabila saya buka, saya dapati di dalamnya ada…”
“Faris, awak nak berehat? Awak tak perlu teruskan cerita kalau awak masih belum bersedia.” Ujar Doktor Roslan dengan nada simpati.
“Doktor, percayalah! Bukan saya yang bunuh mereka! Saya dan isteri dipermainkan! Minda kami dipermainkan! Tolonglah Doktor. Doktor saja yang boleh tolong saya. Saya sudah tidak ada siapa-siapa lagi. Tiada siapa yang percayakan saya lagi. Tolonglah Doktor!” Faris meraung teresak-esak. Wajahnya kelihatan begitu teruk ekspresinya. Kesedihan bercampur takut yang teramat sangat. Doktor Roslan tidak pernah melihat wajah seseorang tertekan sebegitu. Namun firasat Doktor Roslan mengatakan bahawa wajah di hadapannya itu bukanlah wajah seseorang yang gila.
“Faris, saya percayakan awak. Tapi awak perlu berehat. Saya janji, kita akan sambung sesi ini pada hari lain. Boleh, kan?”
Faris terus teresak-esak tidak menjawab. Matanya kelihatan bengkak. Faris duduk sambil memeluk lutut.
“Doktor. Jangan tinggalkan saya seorang di dalam bilik ni doktor. Saya dah tak tahan lagi!”
Doktor Roslan bangun perlahan-lahan. Matanya merenung Faris dengan wajah yang sedih. Ini bukan kelakuan seseorang yang menghidapi gangguan mental. Selain tertekan dan kesedihan melampau, dia dapati adalah seorang lelaki normal.
“Faris, anak-anak awak mati akibat ketiadaan oksigen pada otak. Anak-anak awak mati dicekik. Dan cap jari yang dijumpai pada leher anak-anak awak adalah cap jari awak.”
Faris meraung sekuat hatinya. Doktor Roslan tidak pernah mendengar raungan sebegitu dahsyat. Doktor Roslan tahu, raungan itu akan diingatinya sampai bila-bila. Selepas memberi isyarat pada kedua-dua anggota polis di sebelahnya, Doktor Roslan melangkah ke arah pintu untuk keluar dari wad itu. Tiba-tiba dari belakangnya kedengaran suatu derai tawa yang amat dahsyat sekali. Wajah Doktor Roslan menjadi pucat. Dia berpaling melihat Faris yang masih duduk meratap sambil memeluk lutut. Tidak mungkin suara itu datang dari Faris. Suara itu kedengaran seperti betul-betul di belakang telinganya.
“Kenapa Doktor?” Tanya pegawai polis berwajah gelap yang kelihatan pelik melihat riak wajah Doktor Roslan.
“Ah… tak ada apa-apa.” Jawab Doktor Roslan.
Bersambung…
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
*tepuk tangan*
wak..jgn lama2 sgt smbung ye.. nnti sy rindu nak baca… hmmm
Adulahhhhh, ni kalau novel ni memang tak henti baca sampai habis ni.
encik writer, Ahmad Rusydi,
Sy belom baca, tp teros nak komen sebab nampak nama writer.
nak tanya, ni writer yg sama ke dgn penulis buku 3T?
( curious gila nak taw. haha )
ok baru nak bacaa
penulis yg sama dgn cerita Tragedi Kampung Alor?
hahahaha… baru nk tny soalan sama. ingtkn bam bikai jugak tdi.
Kesiannye…
X dpt bygkan perasaan empunya bdn…
Kehilangan isteri dan anak2 dek kerana hasutan dan.pengaruh syaitan…
“Nama: Muhammad Faris Bin Jaβafar.
Tarikh Lahir: 24 Februari 1982.
Tempat Lahir: Banting, Selangor”
Sebaya den…???
Org kampong den…????
Kg Alor??? X penah dgr plak…
Ini cerita rekaan jelah kak. Kalau betul betul terjadi, dh masuk berita dah time jumpa tiga rangka budak tu.
aah la kat tang mana eh ahaha
kenapaaaaaaa bersambunggg…
masa mula2 baca cte tujuh pintu ni… rasa mcm bengang je sbb rasa entah pape…. tp gagah jgk baca sbb xdak cte lain dah nak baca… bila kuar part 3… rasa semakin menarik….
good job penulis… cpt2 sambung pls…
so nais. haha
fuhhh besttt… dari bahagian 1 lagi dah rasa cerita ni cam something sket.. thumbs up ! hope penulis cepat2 sambung..
Cerita ni mcm betul2 pasal split personality ni.
mohon sambung secepat yang mungkin, tak sabar nak baca
ha baru nk kabo, abg bikai ka penulis ni
sah aku akan jd follower tegar kisah ni
terbaik. teruskan menulis yer
macam cerita korea, innocent defendant. dalam cerita tu bini dia mati, time dia dlm penjara dia hilang ingatan mcm si faris ni.
kak yulie
…eh gleme plk kampung kita kak,,,sm umur ko kak akk ko kenal x kak hahaaha
=Nama: Muhammad Faris Bin Jaβafar.
Tarikh Lahir: 24 Februari 1982.
Tempat Lahir: Banting, Selangor.
Superb bro…Aku dah tak sabar nak tggu sambungan dia…aku follow rapat citer kau dari yg 1st tu…yang ke 2 ritu content heavy sgt smpai 3 kali aku ulang baca baru faham…you’re a pioneer in fixi story in here bro…aku tak sabar menunggu part 4. Keep on writing bro.
tahniah buat penulis, memang dari part 1 lagi penulisan dah ada tarikan tersendiri.
tak sabar nak tunggu karya seterusnya π
Memang menarik la cerita ni.
jangan lama sangat tau nak sambung ni nanti akak lak kena jumpa doktor roslan. kah !
Sambung.. sambung cepat..klu buku novel ni kompom tak benti baca.. terbaik la bro..
terbaik bro
terbaekkk!
ni la baru fiksyen!
boleh buat novel ni..novel fiksyen gaya penulisan sama spt Ramlee Awang Mursyid..good job!
Best best best! Klu buat novel ni, den sanggup beli! Cpt2 lah smbng En. Writer…
sapa tau part 2 citer ni boleh tak copy url citer ni please
http://fiksyenshasha.com/tujuh-pintu-sambungan/
Terbaik !
Seperti ada dua watak berbeza dalam diri dia..hmm ?
Part 1st dan 2nd mmg blur sebab xdapat tangkap jalan cerita tapi nak jugak baca. Masuk part 3rd baru boleh paham. Sila sambung π
Part 1 dengan 2nd mana? Boleh bagi link?
Penulis bijak..cerita sgt best..nama pun fiksyen.mmg cerita rekaan pun fiksyen tapi salute kat writer..x sabar nk terus bace sambungan
Ni cerita mmg fiksyen ya…boleh buat buku ni. Mmg writer penulis ya?
Mungkin typo kot, tapi kalau dah berkahwin 10 tahun, tak kan umur dia 25?
Bagilah 35, kalau tak lepas pmr terus kahwin
ok silap baca. sorry π
memang terbaik penulisannya. Dari yang episod pertama buat orang tertanya2 sampai rasa tengah baca novel triller mistik .
Best
bila baca part 3 ni…aku jd rindu dgn buku2 fixi kat rumah (skrang aku baca kat office :P)…plus rasa nk g borong fixi lg la kat kedai π
writer tujuh pintu mmg trbaik (Y)
Kiranya Faris Bin Ja’far tu adlh dari keturunan Deli ke??????
Hurmmmm…xsbr nk baca y seterusnya..curious giler bila dy ckp nama dy Argono..
Bestπππ
Siapa da beli no 7 pintu?.. yg da beli kita geng.. yg blm beli sila beli.. berbaloi
dah beli lepastu nak sangkut mana tok? rumah memasing dah ada nombor
NOVEL 7 PINTU LA RATIK OIIII
salah tok la ni.. kenapa tak cakap novel.
tok dah beli ke? pinjam tok