Tujuh Pintu: Bahagian Akhir

Dalam perjalanan pulang ke rumah, fikiran Doktor Roslan hanya tertumpu kepada ingatannya terhadap riak wajah Faris saat dia diberitahu bahawa polis menjumpai cap jarinya pada leher kedua-dua orang anaknya itu. Sememangnya kedua-dua orang pegawai polis yang menemaninya tadi pun tahu bahawa itu cumalah fakta palsu yang sengaja Doktor Roslan gunakan untuk melihat reaksi Faris sahaja. Sungguhpun kedua-dua orang kanak-kanak itu mati kerana dicekik, (punca kematian anak ketiga tidak dapat dikenalpasti) namun tiada sebarang cap cari yang ditemui pada leher mereka.

Pada pendapat Doktor Roslan, riak wajah yang ditunjukkan oleh Faris ketika itu cukup untuk meyakinkan dirinya bahawa lelaki itu tidak berbohong. Semua yang diceritakan oleh lelaki itu kepadanya amatlah meyakinkan. Namun, perihal tentang pintu bilik yang disebut oleh Faris tadi amat membingungkan Doktor Roslan.

“Tak masuk akal!” Ujarnya sendirian.

Sesampai di apartment kediamannya, Doktor Roslan terus merebahkan punggung ke atas sofa di hadapan TV. Tangannya mencapai alat kawalan jauh lalu menekan butang on. Dia memejamkan mata buat beberapa minit. Nafasnya ditarik sedalam mungkin kemudian dilepaskannya laju-laju. Terasa fikirannya tenang semula, Doktor Roslan bangkit menuju meja membacanya, membiarkan TV yang dipasangnya tadi bercakap sendirian, dia mengeluarkan sebuah buku nota. Doktor Roslan kemudian melakar sebuah peta minda berdasarkan kejadian-kejadian dan fakta-fakta yang tercatat dalam salinan fail pesakitnya itu. Termasuk butiran mengenai pertemuan pertama dan keduanya dengan pesakit yang dirasakannya seakan-akan bertemu dengan dua orang yang berbeza. Argono dan Faris. Selesai mencatatkan ringkasan segala butiran ke atas sehelai mukasurat, dia mengoyakkan helaian kertas tersebut lalu dilipat dan dimasukkannya ke dalam kocek seluar.

“Mudah sikit nak dibawa ke mana-mana.” Fikir Doktor Roslan sambil menguap menggosok-gosok belakang kepalanya yang kian botak. Jam di dinding menunjukkan pukul 6:30 petang. Dalam perjalanan ke dapur, Doktor Roslan mencapai cawan yang berada di atas meja makannya separuh mengharap agar ada sedikit lagi baki air kopi di dalamnya. Dihirupnya air kopi yang sudah sejuk itu. Setengah jalan menghirup, Doktor Roslan berhenti. Matanya dibuka luas seperti nampak hantu.

“Aku lupa tulis tentang gelak tadi!” Dia teringat tiba-tiba. Cepat-cepat dia kembali ke meja membacanya, menyambar pen di atas meja sambil sebelah tangan mengeluarkan semula peta mindanya tadi dari kocek seluarnya.

“Suara gelak yang lain dari suara pesakit. Pesakit berada lebih kurang 10 kaki di belakangku tapi suaranya terasa seperti betul-betul di belakang telingaku. Tak masuk akal. Tapi apa maknanya?” Catat Doktor Roslan sambil mulutnya menyebut perlahan apa yang ditulisnya.

Selesai mencatat, Doktor Roslan memasukkan semula notanya ke dalam kocek seluar. Rintik-rintik hujan mulai turun membuatkan tingkap apartment itu nampak berbintik-bintik. Sambil merenung keluar, Doktor Roslan menggosok-gosok lagi belakang kepalanya.

Malam itu Doktor Roslan bermimpi. Di dalam mimpi itu, Doktor Roslan memelihara seekor kucing berwarna kelabu. Doktor Roslan rasa sayang betul dengan kucing itu. Tiba-tiba datang tiga orang kanak-kanak meratah kucing tu hidup-hidup. Darah memercik ke mukanya. Tiba-tiba bergema di dalam mimpinya suara raungan dahsyat yang didengarinya siang tadi. Raungan itu berterusan panjang, namun langsung tidak mengganggu tiga orang kanak-kanak yang sedang asyik meratah bangkai kucing itu. Perlahan-lahan raungan tadi bertukar menjadi derai tawa dari belakang telinganya.

Doktor Roslan tersentak terjaga. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh. Jantungnya berdegup laju. Matanya terbuka luas, namun dia tidak mampu menggerakkan tubuhnya sendiri. Di hadapan wajahnya tiba-tiba menjelma sebentuk kepala dengan wajah berwarna hitam pekat. Wajah itu tidak mempunyai mata, telinga mahupun hidung. Pada wajah berwarna hitam itu cuma terdapat segaris mulut yang luar biasa lebarnya.

“Tenang. Ini cuma sleep paralysis.” Kata Doktor Roslan dalam hati, cuba menggunakan penjelasan saintifik.

“Yakah?” Tiba-tiba lembaga itu bersuara. Senyuman di mulutnya semakin lebar. Dada Doktor Roslan terasa semakin berat ditekan sehingga anak tekaknya terasa seperti hendak terkeluar.

Doktor Roslan cuba sedaya upaya untuk menggerakkan mana-mana bahagian tubuhnya, namun tidak berdaya. Belakang kepalanya terasa terlalu sakit. Seakan-akan dicengkam oleh tangan yang berjari-jemari pendek, tetapi kuat. Doktor Roslan merasakan perlahan-lahan lembaga itu meletakkan tangannya pada leher Doktor Roslan pula. Tangan lembaga itu terasa luar biasa dinginnya. Kepala Doktor Roslan didongakkan. Belakang kepalanya dicengkam dan lehernya dicekik oleh lembaga itu. Wajah lembaga itu masih tetap dengan senyuman tanpa perasaan. Seakan-akan senyuman itu cuma satu luka besar yang diguris menggunakan pisau bergerigi. Tiba-tiba luka besar itu bergerak-gerak mengeluarkan suara;

“Aku sangka kau dah terjun. Berani kau masuk semula dalam bilik tu!” Kata lembaga itu.

“Argh…argh… Argho…Arghono…Argono!?” Jerit Doktor Roslan yang akhirnya dapat mengeluarkan suara. Serentak itu juga tangannya dihayunkan ke arah wajah di hadapan mukanya itu. Namun, wajah itu tiba-tiba hilang bagaikan asap hitam kelam di dalam gelap.

Doktor Roslan terlantar tercungap-cungap. Matanya bulat memandang siling. Apa yang terjadi kepada dirinya tadi langsung tidak boleh dihadam oleh mindanya. Belakang kepala, dada dan lehernya masih terasa sakit. Doktor Roslan memalingkan kepalanya ke arah jam loceng di sebelah katilnya. Jam menunjukkan pukul 4:12 pagi. Dalam keadaan yang lemah Doktor Roslan cuba bangkit untuk duduk.

“Apa benda sebenarnya tadi tu? Diakah sebenarnya Argono? Diakah yang bercakap melalui Faris semalam?” Fikiran Doktor Roslan bercelaru memikirkan perkara-perkara yang berada di luar capaian akalnya itu. Dia seorang yang berlatar belakangkan ilmu sains dan logik. Dia langsung tidak pernah mempercayai perkara-perkara karut tentang hantu. Baginya, segala gangguan yang dihadapi oleh pesakit-pesakitnya sebelum ini adalah berpunca dari minda pesakit itu sendiri. Namun kali ini nampaknya pesakit barunya itu memang benar-benar menghadapi gangguan makhluk lain dan bukan dari minda sendiri.

“Aku kena pergi ke rumah tu. Aku kena lihat sendiri bagaimana keadaannya di sana.” Getus hati Doktor Roslan. Perasaan ingin tahunya semakin membuak-buak.

Jam di tangannya menunjukkan pukul satu petang ketika dia berdiri di luar pagar rumah yang disempadani pita kuning polis itu. Dengan kebenaran pihak polis, Doktor Roslan boleh memasuki rumah itu dengan ditemani seorang anggota polis. Pegawai polis yang bertugas menemani Doktor Roslan pada hari itu bernama Khalid.

“Jom doktor.” Kata Khalid berjalan sambil mengeluarkan anak kunci dari kocek seluarnya.

“Baik.” Sambut Doktor Roslan ringkas.

Selepas Khalid membuka mangga kunci pintu rumah itu, Doktor Roslan pun menanggalkan kasut dan melangkah masuk.

“Eh, doktor. Tak payah buka kasut. Pakai balik.” Tegur Khalid.

“Oh, ya. Maaf dah terbiasa masuk rumah buka kasut.”

Khalid mengangguk serius.

Doktor Roslan mengeluarkan helaian kertas nota dari koceknya sebagai rujukan. Sambil memegang kertas itu, Doktor Roslan berjalan dari hujung ke hujung di dalam rumah itu. Memerhati setiap perincian. Sejenak kemudian, mulutnya terkumat-kamit mengira perlahan sambil berjalan.

“Satu, dua, tiga, empat, lima, enam… tujuh. Tujuh bilik. Termasuk dua bilik air.”

Khalid mengangguk lagi mengiyakan.

“Ini bilik di mana mayat tiga orang kanak-kanak tu dijumpai, doktor.”

“Oh, yang ini?” Tanya Doktor Roslan walaupun sebenarnya dari tadi sudah dapat mengagak tentang bilik itu yang keadaannya cukup lain dari bilik-bilik lain. Terlalu kosong dan kotor. Doktor Roslan menghalakan jarinya ke setiap pintu bilik.

“Bukan bilik ketujuh pun nampaknya. Lebih kepada bilik keenam. Yang hujung tu mesti bilik tidur suami isteri tu, kan?” Tanya Doktor Roslan kepada Khalid menudingkan jari telunjuknya ke arah pintu bilik paling kiri.

Khalid mengangguk lagi.

“Mengikut laporan, suami isteri ni mengatakan yang mereka tak nampak kewujudan bilik ni. Tapi, masa polis dapat laporan, dua orang pegawai terus serbu ke rumah ni. Boleh saja nampak bilik ni. Saya rasa suami isteri tu menipu.”

Doktor Roslan mengangguk perlahan tidak mengendahkan pendapat Khalid. Tiba-tiba sesaat kemudian dia mengangkat kepalanya memandang Khalid.

“Kejap, serbu? Kenapa serbu? Siapa yang buat laporan?

“Kalau tak silap saya, seorang juruelektrik yang dipanggil si suami untuk betulkan wiring di dalam rumah ni.” Jawab Khalid sambil jarinya menunjukkan kipas siling dan lampu di atas kepala mereka.

“Juruelektrik. Sedangkan menurut apa yang saya baca, saudara-mara dan kawan-kawan yang pernah datang pun tak pernah perasan tentang bilik ni. Macam mana seorang juruelektrik yang mungkin pertama kali datang pun boleh perasan? Siapa yang ada masa juruelektrik tu datang.”

“Masa tu si suami ada. Menurut keterangan yang diambil dari juruelektrik tu, masa dia masuk ke dalam rumah tu, dia terbau bau yang busuk sangat. Sepanjang dia buat kerja dalam rumah tu, bau tu tak hilang-hilang. Tapi si suami macam tak terhidu pun bau tu. Mulanya, dia betulkan semua point yang ada di luar bilik dahulu. Kemudian, baru dia masuk ke setiap satu bilik. Pintu bilik lain semuanya terbuka. Pintu ini sahaja tertutup. Jadi, selepas selesai buat semua bilik, dia minta kebenaran pada si suami untuk buka pintu bilik ni. Muka si suami nampak pelik masa tu. Dia macam tergamam tiba-tiba. Macam tak perasan di situ ada bilik. Dia berjalan perlahan-lahan dan buka pintu bilik tu sendiri. Bila terbuka, terjumpalah mayat tig…”

“Cukup! Saya faham. Terima kasih.” Pintas Doktor Roslan sambil mengangkat sedikit tangannya.

Khalid tergamam lantas terdiam. Wajahnya kelihatan kecil hati dengan tindakan Doktor Roslan itu. Doktor Roslan merenung lantai dengan wajahnya berkerut berfikir. Sebelah tangannya menggosok-gosok belakang kepalanya tanpa sedar.

“Kita pun nampak bilik ni. Tak tersorok langsung. Tapi, kenapa si suami isteri dan orang-orang yang datang ke rumah ni tak perasan akan bilik ni? Apa perbezaan kita dengan mereka?” Soal Doktor Roslan menoleh memandang Khalid.

Khalid mengangkat bahunya. “Mungkin bukan perbezaan kita dengan mereka yang penting. Mungkin persamaan kita dengan juruelektrik tu?”

Doktor Roslan merenung Khalid tajam.

“Bijak! Awak memang bijak!” Kata Doktor Roslan bersungguh-sungguh kepada Khalid. Khalid tersenyum malu memandang Doktor Roslan.

“Tapi, apa persamaannya?” Soal Doktor Roslan lebih kepada dirinya sendiri. Sebelah tangannya menggosok-gosok dagunya. Doktor Roslan berdiri merenung lantai. Lantai rumah itu berjubin berwarna putih telur. Lantainya sudah berhabuk. Banyak kesan tapak kasut mencemari jubin putih itu. Ada sesetengahnya nampak seperti tapak but. Kemudian pandangan Doktor Roslan beralih kepada but yang dipakai oleh Khalid pula. Kemudian pada kasutnya sendiri. Tiba-tiba Doktor Roslan mendongak memandang Khalid dengan wajah seperti nampak hantu.

“Eh, kenapa doktor?” Khalid terkejut.

“Khalid, buka kasut!” Arah Doktor Roslan kasar.

“Eh, kenapa doktor?”

“Buka sajalah! Buka stoking sekali! Tapi jangan alihkan pandangan dari pintu tu!” Arah Doktor Roslan lagi sambil terkial-kial membuka kasutnya sendiri.

Khalid cepat-cepat membuka butnya dan kemudian menanggalkan stokingnya lalu dicampakkan ke tepi.

Tiba-tiba mereka tergamam memandang antara satu sama lain. Kedua-duanya berkaki ayam di dalam rumah itu. Wajah kedua-duanya kelihatan pelik. Mereka seakan-akan lupa akan sesuatu yang penting! Ketika itu Doktor Roslan terpandang kertas nota yang ada di dalam tangannya. Doktor Roslan merenung membaca kertas nota itu buat beberapa saat. Kemudian, perlahan-lahan Doktor Roslan mengangkat wajahnya ke arah pintu yang berada betul-betul berada di hadapan mereka itu.

“Pintu ni!” Kata Doktor Roslan sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah pintu berwarna kuning cair itu.

“Astaghfirullah, doktor. Macam mana kita boleh lupa tentang pintu ni?” Kata Khalid separuh tergamam.

“Kasut! Sebab kita buka kasut! Jangan alihkan pandangan dari pintu tu!”

“Kasut, doktor? Kenapa kasut?”

“Cuba awak fikir, Khalid! Apa persamaan kita dengan juruelektrik tu? Kita pakai kasut! Juruelektrik akan pakai kasut penebat bila buat kerja. Tetapi penghuni dan tetamu rumah takkan pakai kasut di dalam rumah. Kan? Polis-polis yang serbu rumah ni takkan buka kasut pula, kan? Jadi mereka pun boleh perasan pintu ni!”

Khalid terdiam. Wajahnya kelihatan terlalu pucat untuk menghadam apa yang dikatakan oleh Doktor Roslan. Entah kenapa, kedua-dua mereka terasa seperti hendak sangat berpaling dari pintu itu. Tidak mahu melihat pintu itu. Tidak mahu mengendahkannya. Menganggap ia tidak wujud.

“Ma… maknanya kita sekarang dipukaulah ni doktor?” Soal Khalid sambil matanya masih terpaku pada pintu di hadapan mereka itu.

“Bukan pukau Khalid. Mungkin penglihatan dan segala deria kita dibiaskan. Jadi, kita tak akan nampak, dengar atau menghidu apa sahaja yang datang dari bilik tu!”

“Tapi, kan si suami kata dia pernah beberapa kali terlihat pintu bilik ni. Takkan dia pakai kasut dalam rumah?” Soal Khalid lagi.

“Mungkin stoking! Stoking diperbuat daripada kain nipis. Mungkin ia mengelirukan apa sahaja sihir yang diletakkan pada pintu ini.”

“Si… sihir, doktor?”

“Ya. Khalid, dengar sini. Saya adalah seorang yang hidup berlandaskan logik. Tapi sekarang ni, sihir sajalah perkara logik yang saya boleh fikir. Ironik.”

“Sihir tu memang wujud doktor. Tapi ini dah melampau ni!” Kata Khalid.

“Pakai semula kasut awak, Khalid. Mata pada pintu.” Arah Doktor Roslan tidak mengendahkan kata-kata Khalid. Dia pun turut sama menyarungkan stoking dan kasutnya. Selesai memakai kasut, mereka dapati pintu itu semakin mudah untuk dipandang. Tiada lagi perasaan seperti hendak menoleh ke tempat lain seperti dirasakan mereka tadi. Doktor Roslan mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengambil seberapa banyak gambar bilik dan sekitar rumah itu sehingga dirasakannya cukup.

Doktor Roslan dan Khalid senyap sahaja sepanjang perjalanan. Masing-masing seperti sedang memujuk minda mereka untuk cuba menghadam apa yang mereka alami di dalam rumah itu tadi. Sesampainya mereka di hospital, Khalid menurunkan Doktor Roslan yang berulang kali mengucapkan terima kasih kepadanya. Doktor Roslan berdiri di hadapan pintu hospital sehingga kereta Khalid berlalu pergi.

Sesampainya Doktor Roslan di pejabatnya, dia terus mula menulis laporan mengenai lawatannya bersama Khalid ke rumah itu. Doktor Roslan cuba untuk memasukkan seberapa banyak perincian ke dalam laporan itu. Ini mungkin akan membantunya untuk membuktikan bahawa Faris tidak bersalah.

Setiap butiran apa yang berlaku dan setiap maklumat baru yang diperolehinya tadi dimasukkan ke dalam laporan itu.

“Selesai laporan ni, aku kena jumpa Faris di wad isolasi. Aku kena beritahu dia tentang perkara ni. Aku perlu yakinkan dia yang bukan dia sahaja merasakan perkara itu. Aku dah nampak dengan mata aku sendiri.” Kata Doktor Roslan dalam hati sambil sebelah tangannya menggosok-gosok belakang kepalanya. Semakin lama semakin kuat. Tangannya dirasakan seperti tidak boleh berhenti. Tiba-tiba tangannya terasa basah. Doktor Roslan terkejut melihat tangannya berlumuran darah. Belakang kepalanya terasa pedih. Sangat pedih. Semakin lama suara-suara yang didengarinya hanya di dalam mindanya menjadi semakin kuat. Seakan benar-benar menggetarkan gegendang telinganya.

“Anak-anak aku tak suka kau datang ke rumah mereka! Kau mencari nahas, Roslan! Kau patut mati!” Raung suara itu sekuat-kuatnya. Alangkah terkejut Doktor Roslan apabila dia dapati bahawa suara itu terbit dari mulutnya sendiri. Kedua-dua belah tangannya menarik-narik rambutnya. Tangannya yang berlumuran darah kini penuh dengan rambut-rambutnya sendiri. Dia menghantukkan belakang kepalanya berulang kali ke dinding belakang mejanya. Pandangan matanya menjadi merah apabila wajahnya berlumuran dengan darahnya sendiri. Bau hanyir darah menusuk ke dalam hidungnya terus ke tekak. Doktor Roslan cuba untuk melawan dirinya sendiri, tetapi tidak mampu.

Petang itu, Doktor Roslan ditemui mati oleh seorang petugas hospital. Kematian Doktor Roslan adalah akibat dari pendarahan di dalam otak. Laporan yang baru separuh ditulisnya habis berlumuran darah dan tidak mungkin dapat dibaca lagi. Laporan siasatan menyatakan bahawa Doktor Roslan membunuh diri akibat dari tekanan kerja. Malam itu pula kecoh di dalam berita tentang seorang anggota polis yang memandu merempuh sebuah lori yang datang dari arah berlawanan. Selepas siasatan dibuat, didapati anggota polis itu didapati sengaja memutar stereng merempuh lori itu. Kes itu juga dilabelkan sebagai kes bunuh diri akibat tekanan perasaan.

Faris dikurung berbulan-bulan di dalam wad isolasi dan akhirnya dihantar ke sebuah penjara dengan kurungan berasingan kerana telah mencederakan ramai petugas hospital. Faris tidak dijatuhkan hukuman bunuh kerana laporan mahkamah masih mengklasifikasikan dia sebagai seorang pembunuh yang tidak siuman. Kes pembunuhan anak-anaknya akhirnya terbiar begitu sahaja tanpa peguambela. Tanpa perbicaraan. Tanpa laporan susulan.

Beberapa tahun kemudian, di kawasan perumahan yang dahulunya didiami Faris dan keluarga kelihatan satu papan tanda iklan yang mengiklankan sebuah rumah kosong untuk disewa.

“Sebuah rumah teres untuk disewa. Empat bilik dan dua bilik air. Harga boleh dirunding.”

Tamat

42 thoughts on “Tujuh Pintu: Bahagian Akhir”

  1. Harap akan ada lagi cerita2 seterusnya dari writer, kalu writer ada buat novel pon saya sanggup cari n beli..
    Tahniah dan terima kasih untk writer *thumbs up* (y)

    Reply
    • dah awal2 penulis mentioned cerpen. cuba google, u akan nampak macam ni…. Mar 27, 2017 – Cerpen #1: TUJUH PINTU. Pernah tak, tengah kau duduk depan TV dalam rumah yang kau dah diami selama lebih dari tiga tahun, tiba-tiba …

      Reply
  2. ok frust. jln cerita dah mcm novel thriller tapi ending sangat2 mengecewakan. Mungkin penulis ada sambungan penyewa baru dan terungkai semua misteri rumah tu?. penulis ni memang saja bawa minda pembaca berteka teki dan berfikir tentang jln cerita dia. psiko sgt arrgghh

    Reply
  3. sye meletakkan harapan yg tinggi utk cerita ni..jalan cerita,plot dah oke,tapi ble ending die..hurmm,sedeyy sungguh..sungguh x puas rasenye..harap penulis x berhenti disini..keep it up!

    Reply
  4. best! plot yg tak bosan. kalau penulis publish buku confirm kena beli. tulis lah byk cerita lg. nama pun fiksyen!..

    Reply
    • Bukan ke getih xde dlm blik tu..dr episod lepas xsilap mayat getih dah dtanam kan oleh faris..smpai anak2 faris sedih n time tu la anak2 faris dpujuk utk masuk blik tu.

      Reply
  5. Fuh! Mind blowing..best!.. xkn ada ending sebab setiap.kali yg siasat mesti akan mati..persoalan terus bermain..apa yg ada dirumah itu?.huhu.

    Reply
  6. tahniah penulis. sy suka cerita anda. walaupun ramai yg merungut ending xmcm yg diharapkan tp bg sy ending dia bagus. dalam hidup x selalu happy ending mcm cerita dongeng. keep it up. keep writting

    Reply
  7. cerita kau best . tapi cerita benar ke ? kalau cerita betul tolong cerita smpai habis please . ini lg best dari ceria hantu bunian semua tu .

    Reply
  8. Walaupun ending dia mcm tergantung skit tapi bagi aq normal lah. Sangat best! Buatlah cerita baru lagi… Serius aq suka jalan cerita mcm ni. Gudjob writer!

    Reply
    • Hahahahaah…
      Ate tetiap hari ghaye ke nk meghondang selalu weeeiii…
      Bizi sket bakalnye 2-3mgu ni sbb nk pindah umah…
      Bace curik2 mase…
      Nk komen meriah mcm selalu x sempat…
      Jadi jgn percaya klu ade rumours kate akk meninggal tau…

      Aaarrggghhhh…
      Paling ngilu part die gosok blkg kepala sampai berdarah…
      Pastu tarik2 rambut smpi tercabooottt…
      Aaaarrggghhhhh ngeri aarrrr…

      Umah tu berpuaka…
      Menuntut korban…
      Udah mcm batu belah batu bertangkup karnivor makan org…
      Eerrrrrr…takot…
      Camni carik umh sewa kena pakai kasut+stokin tebal2…

      Reply
  9. Tertunggu-tunggu sambungan crita tujuh pintu…ok lah misteri terungkai tapi tak dpt dijelaskan…sbb smua mati..sian faris…best cerita tapi ending huwaaaaa……x puas hati….mcm cepat2 ditamatkan..abis gitu je hmmm

    Reply
  10. Best
    Tapi kesian sebenarnya
    Sbb jadi mangsa
    Takutnya nak menyewa rumah nie
    Tapi beli umah sendiri pun mungkin ada jer makhluk2 tu kan

    Good job penulis
    Teruskan menulis ok

    Reply
  11. Jalan cerita yang rare dan mindblowing.

    Kudos to the writer.

    P palang S : Harap penulis Ahmad Rusydi ada hashtag sendiri supaya senang nak search kt FS.

    Reply
  12. Haah dia tergantung mcm tu je… Pembaca expect lebih dr ni ending dia. Klu dmbung lagi menjelaskan misteri n conclusion cerita ni lagi better. Jalan cerita bagus dah…mcm thriller novel

    Reply
  13. Hi…selama ni cuma silent reader tapi bila habis je baca cite ni memang tergerak hati nak comment..jalan cerita yang sangat menarik dan seperti cerita luar negara..harap sangat ada pengarah nak jadi kan cite ni filem…btw I’m Alfatah Nazriem not Fattah Amin k and I’m 13 but really like this all stuff but doesn’t even want to experience it…?bye2..

    Reply

Leave a Comment