Usus Terburai

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua pembaca FS. Nama aku Ijam. Cerita Mak Cik Kurung Kedah I dan II tu merupakan pengalaman aku semasa di sekolah. Pada kali ni aku nak bawakan sebuah lagi kisah. Kisah ni berlaku semasa aku tahun 1 di Universiti.

Selepas tamat peperiksaan STPM, aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti di Selangor. Universiti ini merupakan antara top 5 di Malaysia berdasarkan QS World ranking. Kalau korang tau ranking QS sekarang ni, mesti korang boleh agak universiti mana yang aku tengah belajar sekarang. Kehidupan aku sebagai seorang mahasiswa di Universiti ini tidak banyak berubah seperti di sekolah. Bagi aku kehidupannya lebih kurang sama cuma di sini aku perlu lebih rajin dan sado kerana assignment yang diberikan terlalu banyak. Jurusan Sains Sosial (Sastera) memang sibuk menurut senior-senior aku.

Memandangkan peperiksaan akhir semester 1 tahun 2014 masih berbaki 3 hari lagi. Aku menghabiskan sisa-sisa waktu menunggu tarikh balik kampung dengan bermain Pro Evolution Soccer (PES) di bilik. Semua kertas exam aku sudah selamat dijawab. Tapi, semuanya silap aku jugak, sebab terlalu sibuk dengan exam, aku terlupa untuk membeli tiket bas pada awal waktu. Seat bas hanya kosong pada hari terakhir peperiksaan! Itupun hanya tinggal beberapa seat sahaja lagi. Nasib aku agak baik kerana kertas peperiksaan roommate aku berakhir pada hari terakhir peperiksaan juga. Tak la aku mati kutu sorang-sorang dekat kolej.

Kawan-kawan yang lain sudah menarik bagasi sambil melambai-lambai tangan semasa aku sedang berjoging di sekitar kampus. Petang itu agak sunyi kerana kebanyakan pelajar telah pulang ke kampung masing-masing. Masih tinggal aku yang sedang berlari-lari anak di sekitar jalan dalam kampus. Lebih kurang 30 minit aku berjoging, aku berehat sebentar di kafe kolej. Kolej aku merupakan antara kolej yang agak jauh dari kolej-kolej kediaman yang lain. Sambil meneguk segelas air kosong, aku ternampak sepasang couple yang sedang rancak berbual. Sah! Itu Azim roomate aku. Baru tahun 1 dah ada makwe, apa la ilmu yang dia guna. Kalau ikut dari segi rupa, aku lagi hensem daripada dia, kahkah.

Lebih kurang 10 minit di kafe, aku mulakan langkah mendaki ke tingkat 4, blok 9 kolej aku. Azan Maghrib lagi 15 minit akan berkumandang. Aku cepat-cepat mengambil tuala dan masuk ke bilik mandi. Bilik mandi ini terbahagi kepada dua bahagian, satu bahagian untuk tandas (jamban) dan sebelah lagi bilik mandi. Semasa mandi, aku tersentak kerana pintu diketuk berkali-kali dan tuala yang aku sangkut di pintu direntap dengan ganas. Terkejut dengan tindakan itu, aku menjerit, “Woi! Aku dok mandi la, bagi balik tuala aku. Jangan sampai aku keluar aku tendang kepala hang Zim!”. Aku merasakan bahawa Azim yang cuba menyakat aku pada masa tu. Aku dan dia selalu sama-sama menyakat semasa mandi (kami bukan gay). Namun, tiada sebarang suara orang ketawa seperti yang selalu aku dengar.

Aku buka perlahan-lahan pintu bilik mandi, cuak juga masa ni sebab aku tanpa seurat benang, dah macam toyol. Takut-takut ada orang lain yang masuk, mau pengsan dia tengok aku. Masa pintu dibuka, aku ternampak sehelai kain putih yang kekuningan diseret keluar dari pintu tandas. Aku membiarkan sahaja hal itu kerana merasakan mungkin itu hanya permainan mata aku. Tuala aku yang direntap tadi betul-betul aku jumpa disangkut dia atas pintu sebuah jamban. Masuk sahaja dalam bilik, aku terdengar azan Maghrib telah berkumandang dan bilik itu kosong tanpa Azim. Di mana Azim? Kalau bukan dia siapa yang bergurau dengan aku tadi?.

Selepas sahaja azan selesai, aku terus solat Maghrib. Semasa tengah berdoa aku terdengar tombol pintu bilik di pulas. Aku ternampak Azim masuk dengan satu beg plastik merah. Dia mengatakan yang dia ada belikan nasi lemak dekat aku tadi masa makan dengan makwe dia dekat kafe. Dia macam tau ja perut aku tengah lapar pada masa tu. Selesai makan, aku menghidupkan suis laptop. Aku ada misi yang penting malam tu. Misi merebut kembali piala UEFA yang aku gagal pertahan dalam Master League PES. Masa ni Azim baru saja sudah mandi dan sedang solat maghrib. Masa aku tengah-tengah syok main game tu, Azim bagitau yang dia nak keluar sebab nak pergi print assignment dekat kedai print di kafe. Aku hanya mengangguk tanda faham. Hujung-hujung semester pun masih print assignment, itu la kehidupan di Universiti.

Seingat aku lebih kurang 10 minit lepas Azim keluar, aku terdengar hentakan yang kuat dari bilik atas, bilik Din dan Arif. Blok aku mempunyai 6 tingkat. Bunyi itu seperti orang tengah menghentakkan kaki seperti sedang berkawad. Bunyi tu tak lama tapi cukup membuatkan bulu roma aku berdiri tegak. Setahu aku Arif dengan Din dah balik semalam. Sebab aku sendiri nampak yang Din galas beg hiking Deuter dia masuk dalam Rapid KL. Si Arif pula aku sendiri yang hantar dia ke Hentian Bas. Lepas bunyi hentakan kaki tu, aku dengar bunyi guli ditabur dengan cakaran kat siling. Misi aku nak ambik balik piala UEFA dari Mourinho memang terganggu!

Aku memberanikan diri naik ke tingkat 5. Pintu bilik tu aku ketuk dengan sekuat hati supaya benda-benda yang ada dalam bilik tu tak ganggu fokus aku lagi dah. Selepas pintu bilik tu aku ketuk, bunyi seperti suara bayi menangis pula bergema di anak telinga. Mungkin dia sedih aku mengganggu masa dia tengah bermain. Aku masuk semula ke dalam bilik. Tiba-tiba pintu bilik aku pulak yang diketuk dengan perlahan tapi laju. Dengan keadaan marah aku buka pintu bilik sambil menghayun payung ke arah entiti tu.

Terkejut juga aku masa tu, entiti yang aku pukul tu rupanya Azim, nasib baik dia sempat mengelak. Dia bagitau aku yang kunci bilik dia tak bawa masa turun ke kedai print. Dia tengok aku pelik, dan aku cuma bagitau yang ada orang dok main ketuk-ketuk pintu bilik tu. Semasa awal semester, aku pernah nampak seorang perempuan bertenggek dekat atas tembok bangunan yang tak siap depan bilik kami. Perempuan tu pakai kain putih yang lusuh. Mungkin yang curi tuala aku tadi perempuan tu la. Azim ni aku tengok dia tak berapa percaya benda-benda halus ni.

Dia meminta aku untuk membawanya ke Fakulti. Katanya bahawa assignment yang baru diprint tu perlu disubmit sebelum esok pagi. Disebabkan perasaan kasihan tu, aku terpaksa mengorbankan misi aku pada malam tersebut. Semasa aku menghidupkan motosikal, aku tersuluh satu lembaga hitam yang berbulu seperti mawas. Lembaga tu membuka mulutnya seperti tengah menguap. Aku dapat melihat taringnya yang begitu tajam dan matanya merah seperti biji saga. Masa ini motor aku parkir di bawah bangsal yang berhadapan dengan bangunan yang tidak siap tu. Azim pula sedang menunggu aku di flyover di tingkat 3. Kolej aku ni memang unik sikit sebab tingkat 3 tu merupakan laluan utama pintu blok yang menghubungkan terus dengan jalan raya.

Perjalanan dari kolej ke fakulti mengambil masa lebih kurang 5 minit. Sesampai di fakulti dia mengajak aku untuk menemannya ke tingkat 5 Pusat Pengajiaan Sejarah. Agak takut sebenarnya untuk menggunakan lif jika berlaku kecemasan kerana keadaan fakulti begitu senyap sunyi. Kami memilih tangga sebagai jalan selamat. Laluan koridor pusat pengajian tersebut memang menakutkan, lampu koridor menyala dengan malap. Semasa kami tengah mencari nama pensyarah dia di pigeon hole, aku terdengar bunyi seperti lif berhenti. Namun tiada sesiapa yang keluar dari muka pintu lif. Aku menyuruh Azim supaya cepat-cepat meninggalkan tempat tu.

Masa kami berdua tengah turun tangga untuk ke motosikal, aku terdengar satu suara yang garau menjerit “Tunggu!”. Aku tersentak mendengar suara tu. Aku memusingkan sedikit kepala dan menggunakan ekor mata untuk melihat pemilik suara tersebut. Seorang lelaki tua yang sedang memegang usus perutnya yang dah terjatuh ke lantai. Di tangannya terdapat sebilah pisau dan dia sedang berjalan sambil mengheret kedua-kedua kaki yang terbelah dua ke arah kami. Keadaan dia tu seperti dalam kesakitan. Aku berlari dengan pantas seakan bertanding dalam Olimpik. Azim yang kelihatan blur turut mengikut aku berlari. Entiti tersebut terus mengejar kami sehingga ke kolej.

Semasa perjalanan balik, kami ditahan oleh pakcik tersebut di persimpangan masuk ke kolej. Dia melambai tangan seakan-akan minta untuk ditumpangkan. Ususnya yang terburai begitu memualkan tekak aku. Nasi yang baru dimakan tadi seperti nak keluar semula. Baunya seperti mayat yang sudah seminggu mereput. Kaki dia yang terbelah dua tu telah berulat. Bila sampai di kolej aku terus mengajak Azim untuk berehat di surau. Selepas solat Isyak berjemaah, kami membaca Yasin. Selepas keadaan kembali tenang, setelah kelibat pakcik tua itu tidak kembali lagi, baru aku mengajak Azim naik ke bilik.

Setelah keesokan harinya, aku menceritakan kepada Azim tentang kejadian itu, aku lihat mukanya begitu cuak dan pucat. Aku bukan nak menakutkan dia, tapi sebagai pengajaran supaya jangan buat kerja last minute. Kerja last minute ni memang menyusahkan banyak pihak terutamanya berkaitan dengan kes entiti ni. Ini merupakan kisah pertama aku diganggu di universiti. Kisah-kisah yang lain aku akan kongsi dengan kalian selepas ini. Aku nak study dulu, esok aku exam. Doakan aku ya.Terima kasih semua pembaca FS.

6 thoughts on “Usus Terburai”

Leave a Comment