Winter 2014 – Patung Tot & Rumah Cinta Kami

Assalammualaikum dan Hallo kepada pembaca FS. Sambungan dari yang lepas.. kisah ROH AUNTY THEA

#WINTER 2014- PATUNG TOT DAN RUMAH CINTA KAMI

Hari ni masuk hari ketiga di rumah mother in law(MIL). Selepas makan tengah hari di rumah mil, kami cuma berbual kosong dan becerita tentang arwah Aunty Thea di ruang tamu.

Sedih dengan pemergian Aunty Thea. Tiada panggilan dari Aunty Thea lagi. Selalunya, Aunty Thea ada jugak call aku dan mil. Mintak tolong beli kan barang keperluan dan sebagainya. Semasa berbual, mil aku tanya sape2 yang nak makan aiskrim.

Orang2 Belanda@Europe ni memang suka makan aiskrim atau puding selepas makan tengahari sebagai pencuci mulut. Ketika itu, aku,mil,ayah mertua,adik ipar dan suami yang berada di ruang tamu. Seperti biasa, ayah mertua aku tidak suka makanan yang manis2. Aku tanya mil aku, Mama simpan aiskrim kat mana? ´OK ke Tiara temankan Mama?Ada kat loteng bawah´.

Rumah mil aku ada 4 tingkat. BASEMENT@loteng bawah, GROUND FLOOR terletaknya ruang tamu, dapur, tandas untuk tetamu, TINGKAT 1 terletaknya bilik tidur adik ipar, bilik tidur mil, tandas dan LOTENG ATAS yang telah dijadikan bilk tidur kami.

LOTENG BAWAH

Loteng bawah ada 2 bilik. Satu bilik `anak patung´dan satu lagi terletaknya mesin basuh iaitu bilik ruangan mencuci baju. Mil aku seorang pembuat anak patung.

Pekerjaan tetap sebagai seorang penolong pegawai perubatan kulit. Mil aku mempunyai sijil kemahiran dalam pembuatan patung. Setiap kali masuk musim panas, mil aku akan buka kelas kemahiran membuat patung.

Jadi, ramai lah yang akan datang ke rumah mil aku dan kelas pembelajaran di buat di loteng bawah. Bukan setakat pandai membuat anak patung tetapi sangat pandai melukis 3D seakan2 gambar yang dilukis betul2 hidup.

Tetapi, mil aku telah berhenti membuat kelas kemahiran membuat patung ini. Katanya, `Mama dah tak larat´. Mil berusia 50 an. Di loteng bawah penuh dengan patung. Seperti patung hidup.

Ada yang menggunakan rambut sebenar pada patung. Harga patung sangat mahal. Paling murah pun RM500. Suami aku cakap macam patung Annabell.

`Pandai Mama buat.´ Mil aku cuma tersenyum. Ada satu patung yang paling besar tinggi sampai bahu aku. Tinggi aku 160cm. WOW. Sangat cantik. Menggunakan rambut asli berwarna coklet gelap. Bermata biru. Dipakaikan gaun berwarna merah.

Pipi kanan dan kiri berbintik merah. Tapi, patung ni macam aku kenal. Ye! Di dalam bilik bacaan Aunty Thea. Ada patung perempuan kecil yang duduk di atas sofa. `Mama, Tiara ada nampak satu patung di rumah Aunty Thea. Serupa sangat dengan patung ni´.

Kata Mama `Ohh, patung tu Nenek Marianne yang buat. Patung yang besar ni pun sama. Nenek Marianne jugak yang buat. Patung ni Aunty Thea yang mintak Nenek Marianne buatkan masa dia muda2 dulu.´Aku mengangguk tanda faham. Hebat! Ibu dan anak mempunyai bakat yang sama. Aku terus mencapai pintu peti ais yang diletakkan di dalam bilik yang penuh dengan patung dan satu oven besar untuk membuat patung. Patung2 ini diperbuat daripada tanah liat.

Aku membawa aiskrim yang sudah ada di tangan dan mil aku membawa baju2 yang telah dibasuh ke tingkat atas untuk disidai. Kami sambung berbual kosong sambil menikmati aiskrim di tangan. Mataku meliar ke kanan dan kiri melihat gambar2 yang dilukis oleh mil dan Nenek Marianne yang digantung di dinding. Tak pelik lah bila suami aku pun pandai melukis.

Kami bersiap menuju ke rumah Nenek Marianne. Sebelum bertolak ke rumah esok pagi, aku dan suami ingin mengucapkan selamat tinggal kepada Nenek Marianne. Papa, Mama dan adik ipar lelaki pun ikut sekali.

Kami menolong Nenek Marianne menyimpan dan mengemas barang2 Aunty Thea untuk diletakkan di loteng atas rumah Nenek Marianne. Saudara mara yang lain ada juga yang datang menolong.

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Salji turun lebat. Aku ingin pulang ke rumah. Tetapi, suami masih tidak mahu pulang. Bila berjumpa dengan saudara lelaki yang lain, main Chess itu memang wajib. Memang boleh main sampai pagi.

Ayah dan mak mertua aku pula masih berkemas menyimpan barang2 peribadi Aunty Thea di rumah Nenek Marianne. Aku pun pulang seorang ke rumah mil. Tak jauh. 8 minit berjalan kaki. Mil memberi kunci rumah kepadaku.

Aku pun berjalan pulang. Menggigil. Sangat sejuk. Masih ada beberapa kuda dan tuannya di atas jalan. Tenggelam tapak kasut aku disebabkan salji yang agak tebal.

Sampai di rumah, gelap. Terkial2 tangan aku mencari suis lampu. Aku hidupkan semua suis lampu yang ada. Takut ke? Mungkin. Kawasan perumahan mil aku agak gelap.

Yang paling aku benci setiap rumah di Belanda, mereka suka mempunyai cermin tingkap sebesar penuh satu dinding. Kita nampak di luar dengan jelas. Pokok ros yang besar. Agak tua. Bunga ros ni bila kembang sebesar dua kali ganda penumbuk aku.

Nampak liar. Selain pokok ros, penuh dengan lavender, pokok buah buahan dan satu bangsal kecil. Setelah aku hidupkan semua suis lampu, aku pun naik ke loteng atas. Ke bilik tidur kami di atas loteng. Aku menukar pakaian dan turun kembali ke tingkat 1 untuk ke tandas berhadapan dengan bilik tidur mil aku.

Tiara! Tiara!´Ada seseorang memanggil nama aku dari bawah. Mil aku sudah pulang agaknya.Kejap ye Mama´ Selesai aku mencuci muka dan memberus gigi, aku berasa agak pelik. Kalau mil aku dah balik, sudah pasti yang lain juga balik. Aku tersentak. Bunyi handphone aku berdering. Suamiku menelefon.

“Ye awak. Kat mana ni?” tanyak aku.

“Saya nampak Aunty Thea berdiri di depan pintu rumah!” Balas si suami.

Waktu tu dia tengah duduk di dalam kereta. Seorang. Suami aku agak risau aku seorang di rumah. Disebabkan itu suami aku pulang ke rumah. Tidak menunggu yang lain untuk pulang. Aku terus turun ke bawah. Buka pintu utama.

“Cepat lah masuk. Takde apa ni.”

Suami aku masuk ke dalam rumah. Kami saling berpandangan. Suami aku nampak takut. Dia teringat bila aku bagitau yang aku nampak Aunty Thea di kawasan perkuburan hari tu. Tiba-tiba…

“Tiara, mana baju Aunty Thea?”

Tangga ke loteng bawah hanya di sebelah pintu utama. Aku dan suami terkejut tiba-tiba ada suara yang agak jelas dan hanya nampak kepala berambut putih yang menjenguk dari tangga loteng bawah. Suami aku terkejut dan menjerit terus menerus. Aku risau melihat keadaan suami aku.

Aku cuba tenangkan suami dengan ayat Kursi. Mungkin suami agak terkejut. Ini kali pertama aku dan suami berhadapan situasi begini bersama. Perlukah aku bagitau dengan keluarga mertua? Tidak! Mereka tidak percaya dengan benda2 mistik begini.

Begitu juga dengan suami aku dahulu. Bila dah terkena di rumah lama kami dahulu, barulah dia percaya. Aku memimpin suami naik ke bilik tidur di atas loteng. Duduk je di atas katil, suami aku bertanya.

“Awak nampak? Awak dengar?!”

Berulang kali suami aku bertanya. Aku pun memujuk suami jangan difikirkan sangat.

“Itu bukan Aunty Thea. Itu cuma benda yang suka mengacau. Tak perlu bagitau Mama atau siapa-siapa. Esok pagi kita balik.”

Suami aku menukar baju dan baring di atas katil. Memandang ke arah siling. Mungkin masih terkejut dengan teguran dari `Aunty Thea´ tadi.

Aku turun ke bawah dan menuju ke dapur. Aku ambil sebotol air mineral dan menuju semula ke loteng atas. Sebelum aku naik ke tingkat atas, aku menjenguk ke loteng bawah. Gelap. Sejuk. Tiba tiba… ada suara kasar dan agak garau dibelakangku.

“Bitte!” (dalam bahasa pasar Belanda maksudnya tumpang lalu!)

Sekali lagi aku terkejut melihat susuk tubuh Aunty Thea yang lalu di sebelahku. Senyum. Nampak kemas dengan lipstick merah dan rambut seperti berminyak.

Menjeling ke arahku. Susuk tubuh itu menuruni tangga loteng bawah dan kemudian hilang. Aku lari ke atas dan mengambil wuduk untuk solat Isyak.

Seusai solat, aku mengejutkan suami aku yang dah tertidur. Aku mengingatkan dia untuk solat Isyak. Suami aku baru perlahan-lahan menunaikan solat. Walaupun tidak penuh, tapi aku bersyukur perubahan positif itu ada. Sama seperti aku. Cuba untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Selesai solat, aku meminta suami aku duduk di sebelahku, di atas katil. Aku tanya adakah dia ok atau tidak atau masih rasa takut. Suami aku hanya diam. Mengeluh.

Dia bertanya apa yang kita nampak dan dengar tadi adakah itu semuanya betul atau imaginasi? Aku jawab yang paling penting percaya wujudnya makhluk lain yang kita tidak nampak dengan mata kasar di sekeliling kita. Aku teringat akan patung besar di loteng bawah.

Aku bertanya kepada suami, kalau2 dia tahu berkenaan dengan patung besar itu. Suami aku kata patung besar itu pernah diceritakan oleh mil aku. Asalnya diceritakan oleh Nenek Marianne kepada mil aku.

Kisahnya begini…

PATUNG BESAR MILIK AUNTY THEA – TOT

Keluarga mil aku tidak percaya wujudnya benda ghaib dan benda2 mistik. Bagi itu semua mengarut. Boleh dikatakan kebanyakkan orang2 di Eropah tidak percaya benda seperti ini. Tetapi, Nenek Marianne, Aunty Thea dan yang terdahulunya sangat percaya dengan benda seperti ini.

Kisahnya bermula, apabila Nenek Marianne diminta oleh Aunty Thea untuk membuat patung besar untuknya. Katanya, kalau boleh cantik seperti dirinya juga.

Ketika itu, sebulan selepas suami Aunty Thea meninggal dunia. Aunty Thea meminta agar rambutnya digunakan untuk membuat patung itu. Lalu Nenek Marianne meminta agar Aunty Thea menggunting rambutnya yang panjang sampai ke bahu itu dan diberikan kepada Nenek Marianne untuk dijadikan rambut patung.

Aunty Thea setuju! Nenek Marianne membuat acuan yang mengikut rupa bentuk wajah Aunty Thea. Agak lama untuk membuat patung ini kerana terlalu besar. Setelah siap, Nenek Marianne pun bagi patung besar yang cantik ini kepada Aunty Thea. Aunty Thea menerimanya dengan perasaan yang sangat gembira.

“Aku tidak sabar untuk memasukkan abu suami ku di dalam badanku (badan patung besar). Kami akan bersatu, Anne.”

Kata-kata Aunty Thea sangat mengejutkan Nenek Marianne. Tidak sangka abu mayat suaminya yang dikutip dari medan perang ingin dimasukkan ke dalam patung besar itu.

“Dia akan sentiasa bersama aku, Anne.”

Aunty Thea menangis sedih. Usianya terlalu muda ketika itu. Sampaikan dia meninggal, dia tidak pernah mencintai lelaki lain. Nenek Marianne tidak bersetuju apa yang ingin Aunty Thea buat.

Suami kepada Nenek Marianne (Opa Sostman) adalah seorang yang alim Kristian. Opa adalah panggilan atuk di sesetengah negara Eropah. Dia berpesan kepada Aunty Thea, hidup mesti diteruskan. Opa Sostman juga pernah berpesan ketika ayah dan ibu mertua aku bercinta dulu. “Jangan sesekali tidur bersama selagi belum berkahwin.”

Tetapi, Aunty Thea tidak mengendahkan kata2 orang lain. Dia memasukkan abu mayat suaminya ke dalam bahagian patung besar itu. Kemudian, dia meletakkan patung itu di atas sofa. Seolah olah sedang duduk. Kadang2, Nenek Marianne tidur di bilik kakaknya itu.

Kesian pula keseorangan. Pada waktu malam ketika Nenek Marianne tidur di bilik Aunty Thea, Nenek Marianne pernah ternampak `dua orang Aunty Thea´. Kebiasannya Nenek Marianne akan tidur sekatil dengan Aunty Thea.

Nenek Marianne terjaga dari tidur. Terasa ingin membuang air kecil. Nenek Marianne pun bingkas bangun dan menuju ke tandas di tingkat bawah. Semasa keluar dari tandas, Nenek Marianne ternampak `Aunty Thea´ mundar mandir di tengah ruang tamu.

Kepalanya tunduk. Tandas hanya bersebelahan di ruang tamu. Nenek Marianne menegur Aunty Thea. Bila Thea turun ke bawah ni?Awak buat apa kat situ?´ Tiba2Aunty Thea´ berhenti. Berdiri tegak. Membelakangi Nenek Marianne.

Tiba2 Nenek Marianne perasan yang baju dipakai Aunty Thea´ itu sama dengan baju yang dijahit dan dipakaikan olehnya pada patung besar yang menyerupai Aunty Thea.Ini bukan Thea!´ Bisik hatinya. Nenek Marianne lari ke atas dan masuk ke bilik tidur. Kelihatan Aunty Thea nyenyak tidur atas katil.

Nenek Marianne mula risau melihat keadaan Aunty Thea. Selalu bercakap seorang. Setiap kali menyediakan makanan mesti ada juga bahagian untuk suaminya yang telah meninggal dunia. Di satu sudut, ada meja besar berwarna hitam.

Di atasnya, terletak sebuah bingkai gambar suami Aunty Thea yang agak besar juga saiznya. Di sisi gambar, ada 2 batang lilin besar. Di sudut itu, Nenek Marianne selalu terjumpa patung besar itu duduk di bawah meja besar berwarna hitam itu.

Nenek Marianne juga pernah mendengar orang bersembang ketika tidur pada waktu tengah malam. Bila mengintai di tingkat bawah, melihat Aunty Thea menyikat rambut patung besar itu. Sambil beborak dan ketawa.
Thea, apa nama yang awak bagi pada patung besar ni?´Saya namakan dia TOT.´ Aunty Thea sangat teruja dengan patung besar ini.

Dia merasakan tidak keseorangan lagi. Nenek Marianne bertambah takut. TOT?? Kenapa TOT?? TOT adalah bahasa lama belanda yang bermaksud SI M**I. Setelah 2 tahun berlalu, Nenek Marianne, Opa Sostman dan Oma Claudia(ibu kepada Nenek Marianne dan Aunty Thea) nekad untuk merampas patung besar daripada Aunty Thea. Keadaan Aunty Thea seperti orang tidak siuman.

********Untuk pengetauhuan pembaca FS, hanya 1 tahun lebih saya mengenali Aunty Thea. Sepanjang saya mengenalinya, dia seorang yang sangat baik. Umur dah 90 lebih tetapi kakinya masih kuat berjalan.

Di Malaysia, sudah pasti ada yang mengambil ilmu susuk atau bela saka. Tetapi, orang2 di Eropah sangat menjaga pemakanan dan selalu bersenam. Disebabkan itu mereka masih kuat hingga ke penghujung usia.

Tetapi, sepanjang aku mengenali Aunty Thea, kadang2 aku perasan yang dia suka bercakap seorang. Aku pernah duduk semeja bersama Aunty Thea. Minum petang. Kemudian, Aunty Thea bertanya. Awak nak kopi tak?´ Aku mengangguk.Nanti saya ambil sendiri di dapur, Aunty Thea.´ Tiba2 Aunty Thea memandang tepat padaku. Dia menggelengkan kepala. Pertanyaan itu bukan ditujukan pada ku. Tetapi, yang duduk disebelahnya. TIADA SESIAPA YANG DUDUK DI SEBELAHNYA!

Opa Sostman sangat marah pada Aunty Thea. Ketika itu, Aunty Thea berumur 27 tahun. Opa Sostman mengambil patung besar itu dan menyembunyikan patung besar itu di loteng bawah rumah dimana rumah mil aku sekarang. Dan sampailah ke hari ini patung besar itu berada di loteng bawah.

Mungkin disebabkan itu, jelmaan susuk tubuh Aunty Thea berada di loteng bawah. Andaian ku sahaja. Lalu ketika itu Nenek Marianne membuat patung yang serupa tetapi saiz yang agak kecil. Saiz yang sama seperti patung Barbie.

Semenjak dari itu, Aunty Thea sudah kembali seperti biasa. Patung kecil itu disimpan di dalam almari. Ketika Aunty Thea berumur 50 an, dia berpindah masuk ke rumah kebajikan orang2 tua.

Sama seperti Nenek Marianne. Mereka suka tinggal bersendirian seperti orang2 tua yang lain di Belanda. Aunty Thea jadikan bilik kecil di dalam rumah itu sebagai bilik bacaan dan bilik memperingati suaminya.

SELAMAT TINGGAL NENEK MARIANNE

Keesokkan paginya, selepas sarapan pagi, kami mengucapkan selamat tinggal pada Nenek Marianne dan juga keluarga mertua dan kami terus pulang ke rumah kami. Sedih rasanya, bila melihat orang tua yang tinggal bersendirian.

Tetapi, itu pilihan orang2 tua di Belanda. Suka bersendirian. Dan tanpa disangka itulah kali terakhir kami berjumpa dengan Nenek Marianne. Setelah 3 minggu kematian Aunty Thea, pemergian Nenek Marianne pula yang menyusul.

*********Sebelum aku mulakan cerita berkenaan dengan barang2 yang aku dan suami ambil dari rumah Aunty Thea,dan juga pemergian Nenek Marianne, aku ingin ceritakan di sini dahulu tentang rumah lama kami. Aku panggil itu `RUMAH CINTA KAMI´. Rumah sewa pertama kami selepas berkahwin.

RUMAH CINTA KAMI

Aku masih ingat. Masih melekat di dalam kepala aku. 5 bulan sebelum aku dan suami bernikah, aku terbang ke Belanda untuk menguruskan dokumen perkahwinan.

Aku memerlukan beberapa surat atau dokumen dari suami aku. Semasa aku menguruskan dokumen suami aku di Belanda, suami aku telah berpindah keluar dari rumah mil.

Dia telah mendapat rumah sewa yang berdekatan dengan tempat kerja. Jarak dari rumah mil tidak lah jauh. Dalam 1 jam dengan menaiki kereta. Ayah mertua, adik dan abang ipar menolong suami aku memindahkan perabot dan memperbaiki apa yang patut.

Ketika aku meingikuti suami dan yang lain ke rumah sewa itu, aku berasa agak lain. Seram? Aku rasakan sesuatu yang tidak selesa. Sangat sejuk di dalam rumah ini. Aura yang negatif.

Bukan aura mistik atau apa, tetapi aura yang tidak membangkit semangat. Pendek kata aura MALAS. Gelap. Sejuk. Suami aku pernah cakap Saya mintak maaf. Hanya rumah ni saja yang saya dapat bagi untuk kita´Takpe, Sayang. Awak baru je mula kerja´

*****Lihat lah hari ni, awak dah bagi saya rumah yang sangat cantik. Terima kasih, Sayang.
Walaupun aku dah duduk di rumah yang lebih selesa, aku tak pernah lupa dengan RUMAH CINTA KAMI. Rumah ni terletak di tingkat bawah sekali. Apartment.

Tapi, kami menyewa di tingkat paling bawah. Sebab, harga untuk rumah bawah tanah la yang paling murah. 600 Euro sebulan lebih kurang RM3000 lebih. Bila sebut rumah bawah tanah, pasti suasana gelap. Hanya sedikit cahaya matahari yang masuk ke rumah kami, bila pemanas rosak, jadi kesejukkan lah kami.

Hanya ada sebuah bilik, satu tandas dan ruang tamu bersambung dengan ruang dapur. Sesuai untuk aku dan suami sahaja.

Bulan Ogos pada musim panas. Aku telah selamat bernikah. Kami bernikah di Malaysia. Suami aku pulang terlebih dahulu ke Belanda. Aku menyusul selepas 2 minggu kemudian. Pada awal suami aku duduk di rumah tersebut, iaitu sebelum berkahwin, suami aku selalu mendengar bunyi orang berjalan di luar tingkap.

Bunyi orang di dalam tandas. Dia seorang yang tidak percayakan benda ghaib ketika itu. Dia tidak kisah. Aku pula memang kurang berkenan. Rumah bawah tanah.

Gelap dan kotor. Sebelumnya, rumah ini dijadikan stor tuan punya rumah. Tuan rumah betul2 di atas rumah kami.

Ketika ketiadaan aku, suami aku cerita ada sesuatu yang terjadi ketika mengemas rumah. Suami aku cerita melalui Skype.


Suami>>> Aku tengah mengemas rumah pada hujung minggu. Tak lama lagi penghujung musim panas. Di dalam tandas, ada satu kipas kecil di dinding. Fungsi kipas ini untuk pengaliran udara di dalam tandas tersebut. Setiap kali hidupkan suis lampu tandas, kipas ini akan berpusing dan berbunyi agak bising.

Ketika aku mengemas di ruang tamu, tiba2 aku terdengar bunyi kipas berpusing di dalam tandas. Pelik. Aku pun berjalan menuju ke tandas. Aku buka pintu. Gelap dan kosong. Kipas berpusing. Mmmhh mungkin rosak agaknya.

Sebelum aku menutup pintu tandas, tiba2 kipas berhenti berpusing. Aku biarkan. Tutup pintu. Ketika mengemas, sekali lagi bunyi kipas berpusing di dalam tandas. Hati tiba2 berdebar. Aku menuju perlahan ke pintu tandas. Aku buka pintu tandas.

`SCHLIESSSTTT!!´(maksudnya TUTUPPPP!!) Aku terkejut! Ternampak seorang lelaki yang duduk mencangkung di bawah sink. Bermata besar dan berkedut memandang aku. Aku tersandar pada dinding berhadapan dengan pintu tandas.

Aku masih tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Sebelum ini pun, seluar jeans aku selalu beralih tempat. Bunyi seperti orang tengah mengemas dapur dan ketukan di luar tingkap. Bunyi orang berjalan di luar tingkap.


Hanya 2 tahun kami tinggal di RUMAH CINTA KAMI. Ada satu kisah yang terjadi semasa aku tinggal di rumah ini. Yang aku tidak akan lupa. Wajah seorang lelaki dan seorang perempuan yang agak tua dan yang sudah pastinya aku tidak akan lupa.

Perempuan tua ini adalah pemilik rumah. Usia dalam lingkungan 80an. Tetapi, suami aku selalu berurusan dengan anak pemilik tuan rumah. Tentang pembayaran sewa rumah atau apa2 masalah berkenaan dengan rumah kami.

Bunyi pintu luar dihempas. Aku meninjau ke luar dari tingkap ruang tamu. Aku ternampak Tuan Rumah keluar menuju ke tempat pembuangan sampah.

Memakai gaun panjang berwarna kuning lembut dan ada renda di hujung lengan. Ketika dia kembali menuju ke pintu masuk, dia memandang aku dengan wajah yang garang.

Mungkin tengah marah. Aku biarkan. Sapaan aku tidak diendahkan. Hari semakin gelap. Penghujung musim luruh. Siang semakin pendek. Aku tidur di ruang tamu. Suami aku keluar sebentar bersama kawan kawannya. Aku mengunci pintu utama.

Aku baring di atas sofa dan menonton you tube. Bunyi loceng yang agak kuat dari gereja menunjukkan pukul 10pm. Aku tertidur.

Ketika aku tidur nyenyak, tiba2 aku tersedar. Lenganku disentuh. Astaghfirullah!! Seorang lelaki tua duduk mencangkung di tepi sofa yang aku tidur.

Mukanya tepat memandang aku. Botak di tengah. Berkedut. Mukanya putih. Berbaju kemeja hitam lengan pendek. `BANGUN!´ Susuk tubuh itu menjerit dan meyuruh aku bangun. Aku bangun dan terus berdiri di atas sofa. Menggigil ketakutan.

Berdebar. Hilang lelaki tua itu pada pandangan aku. Aku toleh ke kiri. Melihat satu susuk tubuh pada pintu utama. Pendek. Aku jerit. `Siapa??!´ Susuk tubuh itu melangkah ke depan.

`Pintu tak berkunci jadi saya masuk´. Aku nampak samar2 wajah susuk tubuh itu. Hanya ada lampu kecil berwarna kuning di ruang tamu yang menyala. WHATTTT??!! TUAN RUMAH?!

Eh! Macam mana awak boleh masuk kesini?! Saya kunci pintu!´ Walaupun yang di depan aku ketika ini hanya seorang perempuan tua yang lemah. Aku berasa takut. Seperti bukan manusia. Tambahan lagi masuk rumah orang secara tiba2.Hihihi. Saya cuma nak melawat suami saya. Cuma singgah sebentar.´ Ketawa sambil menunjukkan kunci rumah yang ada pada tangannya.

Dihayunkan ke kanan dan ke kiri. Aku rasa orang tua ni dah gila. Aku menelefon suami dan suami aku pula berada agak jauh dari rumah kami ketika itu. Suami aku meminta anak kepada Tuan Rumah tolong datang ke rumah.

Menurut anak kepada Tuan Rumah, ibunya menghidap penyakit Alzheimer. Dia selalu ingat suami nya masih ada di rumah bawah tanah ni, rumah yang kami duduk. Suaminya meninggal di dalam tandas ketika jatuh semasa dihempap batang paip besar di atas siling tandas rumah kami.

Memang dia yang buka pintu rumah kami dan masuk kononnya ingin melawat suaminya yang masih berada di situ. Kejadian ini aku tidak akan pernah aku lupa. Sampai berbulan juga aku takut tidur seorang di rumah. Takut kalau2 ada yang memecah masuk ke dalam rumah. INILAH RUMAH CINTA KAMI.

Aku akan sambung cerita berkenaan dengan barang antik yang kami ambil dari rumah Aunty Thea, patung besar milik Aunty Thea sepanjang berada di loteng bawah rumah mil aku dan juga pemergian Nenek Marianne.

*****Rindu pulak dengan rumah lama. RUMAH CINTA KAMI. Bersusah susah dahulu, bersenang2 kemudian. Winter 2014 sangat sedih bagiku. Ayahku telah menghadap Ilahi. Aunty Thea dan Nenek Marianne juga telah pergi. Mereka sudah tiada pada WINTER 2014….Al- Fatihah untuk Ayahanda ku yang tercinta…

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]
Tiara

21 thoughts on “Winter 2014 – Patung Tot & Rumah Cinta Kami”

  1. Baru tau tajuk winter 2014 terlalu istimewa buat Tiara…
    Rsa yer Aunty Thea(Granny )ksunyian…
    Tp memang seram pun dsuro letak abu suami dlm patung tu…
    Umah Cinta Tiara&suami memang seram kan,
    Ada kisah dsbalik yer…
    nnti sambung balik k mngenai barang2 yg Tiara ambik dri umah Aunty Thea(Granny) tu k

    Reply
  2. Kisahnye seram tapi lebih ke arah menyedihkan…
    Perasaan cinta yg terlalu mendalam wpun sehingga akhir usia membuatkan ia menghantui org di sekelilingnye…
    Tak sabar sbnrnye dr episod yg sebelum ni lg nk tau sgt psl barang peninggalan auntie thea tu…

    Reply
  3. best sgt citer ni sis tiara..saya baca smbil mmbygkan keadan rumah MIL awak.. family suami awak..Aunty Thea.. Patung TOT.. seolah2 sya trbawa dlm situasi tu sekali..plezzz sambung cepat2 ye..

    Reply
  4. Hi Tiara, membaca cerita awak mcm membaca sebuah novel Inggeris yg dialih bahasa, rasa terbawa2 ke Belanda pulak..haha. Memang menarik dan terbaik! (Oh ye, awak mmg seorg penuliskan?) Jgn berhenti menulis kerana awak mmg sgt berbakat. Syabas Tiara!

    Reply
  5. Bestnya dpt rasa pengalaman duduk diluar negara..salji..sejuk..hantu tak selekeh..pakai lipstick lagi..best cita ni..seolah2 yg baca berada di Belanda juga

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.