Hai semua pembaca FS. Maafkan saya kerana menghantar kisah bersambung. Ini adalah sambungan dan part terakhir. Selamat membaca dan terima kasih pihak FS kerana sudi menyiarkan kisah saya..
.
.
.
.
TUAN RUMAHKU KAK SITI (EPISOD AKHIR)
“Mayat!”
Jantungku berdetak kencang. Di dalam mesin basuh tu ada satu jasad manusia yang sudah tidak sempurna fizikalnya. Lehernya terkehel dan anak matanya terkeluar. Mulutnya pula terngaga luas dengan rahang yang lari dari paksinya. Air d***h hanyir bertakung di dalam dengan bau yang sangat busuk.
Aku sudahpun terjelopok di atas lantai dan tubuhku lemah tidak berdaya. Betulkah apa yang aku nampak? Siapa punya angkara ini? Kak Siti ke? Tapi mayat itu seperti sudah lama mereput. Kenapa baru sekarang baunya timbul?
“Kejap. Kan Kak Siti cuci baju setiap hari. Jadi selama ni..?” aku segera menutup mulut. “Astaghfirullah..”
Aku cam mayat itu. Wajahnya sama macam wajah anak kecil yang aku peluk tadi!
KSSTTTT.. KSSTTTT..
Telingaku menangkap bunyi pergerakan sesuatu. Macam datang dari arah mesin basuh itu tadi. Aku dapat rasakan bulu romaku naik sejengkal. Dengan berbekalkan cahaya dari bulan, aku nampak ada sesuatu sedang cuba keluar dari dalam mesin basuh itu.
Seperti mana-mana filem seram, watak utama akan melongo menanti sehingga hantu keluar, barulah terfikir untuk melarikan diri. Itulah yang berlaku padaku sekarang. Bodoh!
Kini, di depan mataku sendiri, satu sosok tubuh yang mengerikan sedang memandang kearahku dari mesin basuh itu.
Bayangkan, kepala manusia dipusingkan 360° kebelakang. Dan kepala itu memandang ke arah kita dengan pandangan yang menakutkan. anak matanya pula berjuntaian dari soket mata dan rahangnya hampir tercabut. Ya, itulah pemandangan dihadapanku sekarang.
Tiada kata mampu aku titipkan. Hanya tubuhku spontan mengundur beberapa tapak kebelakang sambil mataku tertancap pada ‘makhluk’ itu.
“Kakak…” panggil ‘benda’ itu.
Berderau darahku sampai ke kepala. Tidak sedar air mata mula menitis. Berbekalkan kekuatan yang ada, aku bangun dan bergegas menaiki anak tangga. Biar buruk langkahku, aku sudah tidak peduli.
Sampai di anak tangga terakhir, aku hampir-hampir tergolek kerana terperanjat. Kak Siti sedang berdiri di hadapanku. Matanya tajam memandang, tapi bukan kearahku. Bila aku toleh ke bawah, ‘makhluk’ tadi sudahpun berada di anak tangga pertama. Ia merangkak!
Kaku aku disitu. Tapi seketika kemudian, kak Siti mengatakan sesuatu kepadaku.
“Masuk bilik kau. Jangan keluar walau apapun yang terjadi.” arah kak Siti tegas.
Dengan perlahan, aku berjalan melepasi kak Siti dan aku masuk ke dalam bilik.
KLIK.
Pintu ku kunci. “Macamlah boleh halang hantu daripada masuk. Tapi kak Siti bukan hantu. Bukan kan?” aku berteka-teki sendiri. Dia kelihatan seperti manusia normal.
Keadaan kembali sunyi. Aku menuju ke katil dan aku kemas barang-barang penting yang akan aku bawa keluar dari rumah ini. Aku capai kunci motor dan telefon bimbit.
“Arhhhhhhhhhhh!!” satu jeritan yang nyaring dan kuat kedengaran dari luar bilik.
Jantungku berdegup bukan main kepalang. Apa yang berlaku di luar? Siapa yang menjerit tadi? Kak Siti ke?
TOK. TOK. TOK.
Aku terdiam. Perlahan dan datar saja ketukan itu. Aku tahu, ‘benda’ tu yang ketuk pintu. Dan sekarang ia mahu menakut-nakutkan aku. Tahniah, ia berjaya!
“Kakak….” Ya Allah, seramnya suara yang memanggil tu. Terduduk aku ditepi katil. Telefon di tangan ku genggam kuat.
“Kau nak apa hah??? Tolonglah jangan ganggu aku! Aku tak kacau kau pun!” jeritku merayu.
“Tapi kakak cakap nak tolong Nina..” tona suara itu berubah sedih. Tapi masih bernada angker. Apatah lagi dengan raut wajahnya yang hancur sebegitu.
Aku sudah tidak berani membalas. Terkumat-kamit bibirku melafazkan surah.
“Kau baca apa tu hah?!” tiba-tiba suara itu berubah garau dan bernada marah.
Aku endahkan dan aku teruskan bacaan. Itu saja pendindingku saat ini.
DUM!! DUM!! DUM!!
“Buka pintu ni! Buka cepat!” herdik suara itu lagi. Macam nak pecah pintu itu dihempas.
Tapi aku tidak akan tewas. Aku tahu dia sedang kepanasan mendengar surah suci itu. Seketika kemudian, aku dengar macam ada bunyi sesuatu mengengsot.
“Benda tu dah lari ke?” soalku sendiri. Aku sedikit lega. Entah berapa lama aku duduk disitu, akhirnya aku tertidur. Tidak sedar hari sudah meninggi, barulah aku terjaga.
Aku pisat-pisatkan mata yang beransur segar. Aku lihat sekeliling. “Aku kat mana ni?” Bilik ini terasa asing bagiku. Macam bilik kosong yang sudah lama ditinggalkan. Tapi sususan perabotnya hampir sama dengan bilikku. Malah, barang-barang dan pakaianku turut berada di sini.
Tanpa berfikir panjang, aku kemas bag pakaianku dan menuju ke pintu. Aku terhenti. Kejadian semalam terlayar semula. Perlahan-lahan aku pulas tombol pintu.
Lega. Tiada apa-apa pun di luar bilik. Tapi yang peliknya, keadaan di dalam rumah sangat usang. Aku turun ke bawah dan aku nampak mesin basuh itu. Di dalamnya sudah menjadi besi buruk dan ada bau yang kurang enak keluar dari situ.
Aku lihat ruang tamu yang sebelum ini cantik dihias kini hanya dipenuhi sawang dan debu. Otakku masih cuba memproses apa sebenarnya yang berlaku. Aku berjalan pula ke arah bilik kak Siti.
Bilik itu kosong tiada perabot. Tapi ada satu tali pada kipas siling bilik itu. Macam… Tali gantung. Dan.. di atas lantai ada sekeping gambar yang sudah renyuk. Aku ambil. Serta merta aku kenal wajah di dalamnya. Kak Siti dan anak kecil itu!
Tapi gambar itu seperti telah dikoyakkan. Pada bahagian yang dikoyakkan itu, kelihatan tubuh seorang lelaki sedang berdiri disebelah kak Siti. Kak Siti nampak bahagia dengan senyuman di bibir. Berbeza sekali dengan kak Siti yang aku kenal.
Sedang aku ralit melihat gambar itu, aku rasa macam ada seseorang lalu di belakangku. Segera aku toleh. Namun tiada sesiapun di situ. Seram sejuk aku jadinya.
Tanpa membuang masa, aku keluar dari rumah itu dan apabila berada di luar rumah.. Aku lihat kawasan sekeliling dipenuhi semak samuk yang meninggi. Dan rumah itu pula seperti sudah lama terbiar.
Aku menelan liur. Bagaimana aku boleh tinggal di rumah ini selama dua bulan? Kenapa semasa aku datang, suasana dan keadaan rumah ini berbeza? Adakah kak Siti sebenarnya tidak wujud? Dan mayat yang aku lihat di dalam mesin basuh itu? Aku tiada jawapan, yang penting aku harus pergi dari situ.
.
..
…
….
SEBULAN KEMUDIAN
Kini aku sudahpun menetap bersama kawan baikku, Zara. Jauh lebih baik daripada aku menyewa secara rambang. Aku trauma. Tapi tidak pernah aku ceritakan apa yang berlaku kepada sesiapa. Biarlah ia menjadi rahsia hidupku.
Tapi aku juga mahu mencari jawapan kepada apa sebenarnya yang berlaku padaku, dan kenapa aku lalui semua itu.
Untuk mencari jawapan, aku layari forum-forum misteri dan seram yang berkisar di Malaysia. Dengan menggunakan identiti palsu, aku cipta ‘thread’ ataupun bebenang baru untuk menceritakan pengalaman aku serta bertanyakan kisah disebalik rumah yang aku diami itu.
Tidak sampai sehari, aku terima notifikasi yang menunjukkan ada balasan pada hantaran aku itu.
“Anonymous888 reply: Uish. Aku tahu kawasan tu. Rumah tu memang sudah lama terbengkalai dan ditinggalkan. Aku dengar, ada kes pembunuhan yang berlaku. Anak kepada sepasang suami isteri telah dilemaskan di dalam mesin basuh, dan mesin itu dipasang semasa anak itu masih hidup.”
Aku dapat rasakan bulu romaku meremang. Patutlah aku nampak mayat tu di dalam mesin basuh itu. Sampai sekarang aku tidak mampu melupakan gambaran itu sehingga terbawa-bawa kedalam mimpi. Tapi siapa yang b***h anak tidak berdosa itu? Adakah… Aku scroll lagi balasan-balasan di hantaranku. Ada satu balasan yang agak panjang.
“Lilyghostgirl30 reply: Wahh beraninya awak. Kalau saya mesti dah lama pengsan. Haha.. Saya pernah baca, rumah tu asalnya didiami oleh sepasang suami isteri yang baru berpindah. Mereka ada seorang anak perempuan yang berusia lima tahun.
Mereka sangat bahagia dan hampir setiap petang mereka akan keluar menemani anak mereka bermain di taman permainan berdekatan. Tapi malangnya, suami akak tu kantoi curang, dan rumah tangga mereka mula berantakan.
Suami akak tu dah mula tak balik rumah berhari-hari dan akak tu mengalami kemurungan. Akibatnya, anaklah jadi tempat dia melampiaskan amarah dan ketidakpuashatiannya terhadap sang suami.
Sampailah satu hari apabila si suami balik ke rumah, dia dapati pintu rumah tidak berkunci dan keadaan di dalam rumah gelap gelita dan mesin basuh sedang berputar. Apabila dia pasang suis lampu, dia pelik melihat keadaan rumah yang tidak terurus. Kat meja pula banyak makanan yang terhidang dan belum disentuh. Dia pun panggil isteri dan anak dia. Tapi senyap je.
Dia pun dah rasa lain macam. Mesin basuh di’on’, tapi orang takde. Takkan isteri dia keluar rumah tanpa matikan mesin basuh. Dia pun pergi kearah mesin basuh dan matikan. Selepas matikan dia pun hendak berjalan menuju ke bilik tidurnya.
Tapi, dia macam perasan sesuatu dalam mesin basuh tu. Hati dia dah mula berdebar dan minda dia mula berfikir yang bukan-bukan. Apabila dia buka je mesin basuh tu, dia nampak mayat anak dia yang sudah terkulai layu kat dalam. Keadaan mayat tu sama macam yang awak describekan.
Kat situ juga dia meraung dan memanggil-manggil nama anak dia. Tapi nak buat macam mana, anak dia dah takde.
Dia pun geram dan marah sebab dia tahu, mesti ini angkara isteri dia yang cemburu. Dia pun masuk dapur dan ambil pisau. Bila dia masuk bilik, dia nampak isteri dia dah terkulai kaku tergantung di kipas siling.
Lelaki tu sendiri yang call polis dan dia yang ceritakan semua tu. Tapi sejak kejadian tu, saya dengar lelaki tu jadi tak waras dan sampai kehari ini tiada siapa tahu apa yang terjadi kat dia.”
================================================================
Aku beristighfar panjang. Akhirnya, aku dah jumpa jawapan yang aku cari-cari. Aku tidak tahu kenapa aku yang dipilih untuk melihat semua itu. Sebagai pengajaran barangkali. Wallahualam.
Aku mula rasa kasihan pada kak Siti dan pada masa yang sama aku juga berasa marah kerana seorang ibu sanggup mendahulukan emosi dan menjadikan anak sebagai mangsa.
Tapi satu je jawapan yang aku tak dapat. Apa benda yang aku makan sepanjang dua bulan kak Siti masak kat rumah tu?
TAMAT.
Terima kasih sudi membaca..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Menarik cerita awak ni
I loikeeee
Macam biasalah, makanan yg awak makan tu mesti daun kering atau kerang-kerang, ulat-ulat? Opsss maaf. Biasa tengok cerita hantu ke, bunian ke, macam tu lah
Syukur awak tak jatuh sakit.
Ada juga hantu caring masak-masak kan
😲😳 Kisah benar ke ni? Seram dan sedih
rekaan ke betul ni?
Makan Barang Kotor ..
Sila pergi Jumpa Ustaz atau Bijak Pandai dalam hal Kerohanian …
Benda kotor yang dimakan perlu dibuang nanti menjadi penyakit kelak ..
Saya rasa ni cite rekaan je tapi mmg best pandai penulis reka.