Assalamualaikum wbt. Nama aku Tihah. Aku berasal dari Johor. Aku minta maaf sekiranya mengguriskan hati pembaca dengan membahasakan diri sebagai “aku”.Kisah aku bermula ketika aku berusia 11 tahun dimana aku dan Ibu berpindah di Melaka. Aku merupakan anak tunggal. Pada ketika itu, aku tidak sama sekali tahu bahawa Ibu aku sudah bercerai dengan ayah aku sehinggalah aku terjumpa surat penceraian. Ibu aku sudah berkahwin lain begitu juga dengan ayah aku.,..
Aku berpindah di Melaka dan mempunyai adik beradik tiri yang lain. Ayah tiri aku mencari sebuah rumah berdekatan dengan kota bandar. Disitu aku dibesarkan dalam keluarga yang sangat asing bagi aku. Adik beradik tiri aku terdiri daripada 5 orang. Abang, Kak Sara, Kak Siti, Suraya dan juga Sofia. Suraya merupakan adik tiri yang rapat denganku kerana umur kami hanya beza satu tahun sahaja.
Kisah aku bermula apabila Ayah tiri aku menyewa sebuah rumah yang mempunyai dua tingkat dan mempunyai loteng. Tingkat pertama terdapat sebuah ruang tamu, ruang meja makan dan belakang sekali adalah dapur serta dua buah bilik air. Tingkat kedua memiliki 3 buah bilik dimana bilik pertama adalah bilik Aku, Suraya dan Sofia. Manakala, bilik kedua pula Kak Siti dan juga Kak Sara. Bilik ketiga merupakan bilik Ibu dan ayah tiri aku. Di hadapan bilik merupakan ruang untuk kami solat secara berjemaah dan terdapat satu tangga untuk ke loteng. Manakala abang tiriku sudah mempunyai rumah sewanya sendiri dan tidak tinggal dengan kami. Dibelakang rumah kami pula terdapat sepohon pokok mangga dan semak samun.
Pada suatu malam, aku memanjat tangga untuk naik ke loteng dan menjengah kepala disana. Kaki aku terasa berat sekali untuk naik ke atas. Aku tidak dapat melihat apa-apa kerana terlalu gelap diatas sana. Cuma ada satu cahaya sahaja kerana terdapat tingkap kecil di tengah tengah loteng. Aku melihat tingkap tersebut dan secara tiba-tiba angin menerpa ke arah mukaku dengan kuat sekali. Aku memandang ke bawah dan mendengar bunyi kesan tapak kaki yang semakin lama semakin dekat denganku.
Kaki aku seperti diikat dengan tali di tangga yang aku pijak. Dada ku semakin kencang. Aku tidak mampu untuk menjerit bahkan mengeluarkan satu suara pun aku tidak mampu. Jariku erat memegang tangga dengan kuat. Aku cuma mampu menutup mata dan berdoa supaya Ibu datang kepadaku. Bunyi tapak kaki semakin dekat. Aku menggigil gigil kerana aku perasan dimana ada yang sedang memerhatikanku dalam gelap. Aku sedar ada yang sedang melihatku semasa aku memanjat tangga.
Dan secara tiba-tiba, Suraya menerpa ke arahku dan memanggil ku supaya turun. Suraya berlari dengan pantas untuk memanggil Ibuku. Ibuku sampai dan mendorong ke arahku. Aku menggigil ketakutan dan bulu romaku meremang. Aku memandang ke atas dan terdengar seperti ada sesuatu yang sedang ketawakan aku. Ibu memarahiku kerana memanjat tangga di loteng. Ibu membantuku untuk turun ke bawah. Manakala Suraya cuba untuk menenangkan aku. Bunyi ketawa serta menangis semakin kuat kudengar.
Selang beberapa minggu, selepas pulang dari sekolah, aku memberitahu kepada Suraya bahawa aku terdengar bunyi tapak kaki semasa aku memanjat tangga di loteng. Suraya yang berusia 10 tahun seakan tidak percaya kepadaku malah kami berbincang untuk naik ke loteng semula. Suraya terlebih dahulu memanjat tangga dan seterusnya aku.
Aku dan Suraya melihat keadaan di loteng. Bersepah dengan barang barang ayah tiriku. Mataku dimasuki habuk dan kami berpeluh kerana terlalu panas diatas sana. Kaki aku tidak berganjak sedikit pun. Malah, Suraya berjalan kesana kesini untuk mencari barangnya di loteng. Aku menunggunya dan melihat dia membuka kotak yang berhampiran dengan tingkap dan mengambil satu anak patung yang mempunyai satu anak mata sahaja. Aku menggeleng dan dia berkata ” Boleh bagi dekat Fia (Sofia) ni “. Aku cuma memerhatikan Suraya yang mengibaskan anak patung tersebut kerana terlalu berhabuk.
Hari sudah hampir senja, dan aku meminta Suraya untuk turun. Suraya turun terlebih dahulu dan membawa satu anak patung untuk diberikan kepada adiknya, Sofia. Semasa aku mahu turun, aku perasan bahawa ada sesuatu yang sedang memerhatikan kami. Ada sesuatu yang sedang memandang tepat ke arah kami. Ada sesuatu yang sedang mahu menerpa ke arah kami. Dan ada sesuatu yang sedang merengus marah ke arah kami. Maka, aku turun dengan cepat.
Sejujurnya, aku tidak mahu memberitahu Ibu kerana takut dimarahi lagi.
Dan sejak daripada itu, aku tidak mahu memanjat tangga lagi tetapi ada sesuatu yang mengganggu fikiran ku.
Aku berfikir, kisah yang menghantui aku sampai disitu sahaja, tetapi anggapan aku salah sama sekali..
” Ni lah Moksu, dari kampung. ” Kata ibu kepada kami. Kami menyalam moksu berselang seli. Ibu menghidangkan pelbagai aneka juadah kepada Moksu. Moksu seorang yang pendiam dan seorang yang lemah lembut dalam bicara.
Dua minggu kemudian, Ibu dan ayah tiriku menemani Kak Sara dan Kak siti balik ke asrama. Ibu meminta untuk Moksu menjaga kami selama beberapa hari.
Kisahnya bermula pada malam khamis, ketika itu, hujan lebat dan rumah kami dimasuki air dibahagian dapur. Moksu, aku, Suraya dan Sofia yang berada di dapur membantu mengalihkan barang. Secara tiba-tiba, moksu melihat di tingkap yang menghadap sepohon pokok mangga. Moksu termenung dan tingkah lakunya sangat aneh. Moksu berdiri tegak dan bulu romaku meremang. Aku menegur moksu dan bertanya keadaannya dan Moksu berkata ” Moksu okay je lah, pergi lah naik atas dulu, nanti Moksu naik ” sambil tersenyum.
Aku menarik Suraya dan Sofia ke arahku dan memimpin tangan mereka untuk naik ke bilik kerana sudah masuk waktu tidur.
Kami tertidur kepenatan dan tiba tiba aku terjaga daripada tidurku kerana terdengar ada satu suara yang sedang menangis di hujung penjuru bilik. Aku membuka mata dan mencari Sofia tetapi dia tiada disampingku, suara menangis semakin lama semakin kuat kudengar. Aku mengejutkan Suraya untuk mencari Sofia dan Suraya bergegas untuk buka lampu. Dan tiba-tiba, kami ternampak Sofia dihujung penjuru bilik. Sofia sedang merapatkan kakinya ke dada dan menutup mukanya dengan kedua dua belah tapak tangan.
Suraya bertanya kepada Sofia sambil memeluknya,
” Sofia, kenapa? Kenapa menangis? ”
Selepas itu, Sofia memberitahu bahawa, Sofia turun ke bilik air untuk membuang air kecil. Kemudian, bila dia membuka pintu bilik air, dia ternampak kelibat Moksu yang berlegar legar di dapur. Moksu memandang tepat ke arah matanya. Sofia menyatakan bahawa mata Moksu menjadi sangat merah. Moksu semakin mendekat ke rak pisau. Dan menjerit kepadanya ” Kau nak lari ke mana hah? “, sambil merengus kemarahan kepadanya.
Sofia menggigil gigil ketakutan dan terus berlari ke tangga. Sofia terjatuh di tangga dan Moksu cuba menarik kakinya tetapi Sofia cuba untuk bangun dan lari ke bilik.
Aku menggigil ketakutan ketika itu dan cuba untuk mendail nombor Ibu dan Abang. Ibu tidak menjawab panggilan aku. Aku melihat di telefon bimbit sudah pukul 2:36 pagi dan aku berharap supaya abang mengangkat panggilanku dan akhirnya abang berkata akan datang ke sana dengan segera.
Abang tiriku merupakan seorang yang hijab terbuka dan mempunyai deria yang keenam.
Aku dengan beraninya keluar dari bilik dan meminta Suraya untuk menjaga Sofia. Aku menyuruh Suraya untuk menguncikan pintu dan jangan sesekali membuka pintu kepada sesiapa pun. Aku menyuruh Suraya untuk terus menerus mendail nombor Ibu dan ayah tiriku.
Aku melangkah kaki ke ruang untuk kami solat secara berjemaah, aku mengambil Al-Quran yang berada di rak dan memeluknya dengan erat. Di dalam kegelapan, aku mendengar satu suara bisikan yang sedang memanggilku berkali-kali. Tapak kaki yang kudengar semasa di loteng kembali berbunyi. Dada aku semakin berdebar debar dan sekali lagi kakiku terkunci. Terasa berat untuk melangkah. Ya allah, masatu aku cuma berharap Abang tiriku sampai pada ketika itu. Tapak kaki semakin kuat berbunyi dan tiba-tiba aku dengar barang ayah tiriku seperti dihempas di atas loteng sana. Pinggan mangkuk kaca yang Ibu aku simpan di atas sana dibaling baling sehingga kaca bertaburan. Loteng seperti mahu roboh dibuatnya. Hujan sudah kembali lagi, bulu romaku semakin meremang. Aku tahu ada sesuatu yang sedang mengamuk disana. Loteng seakan akan bergegar. Dengan bunyi guruh dan kilat lagi berselisih ganti. Aku mendengar suara menangis dan ketawa dengan kuat sekali. Hujan terlalu lebat pada hari itu.
Aku menjerit didalam hati untuk memanggil Moksu.
” Moksuuuuu!!! Mana Moksuu niiiii ya Allah ”
Mulut dan kakiku seperti dikunci. Aku tidak boleh bergerak sama sekali. Dan tiba-tiba, seperti Moksu membaca isi hatiku. Moksu datang ke arahku dan memelukku. Moksu berkata sambil ketawa ” Dapat pun kau heheheheheheheheeh “.
Aku seperti mahu pitam. AlQuran yang ku pegang jatuh semasa Moksu mengheretku di tangga. Aku meraung dan menangis untuk dilepaskan. Aku menjerit nama Ibu, Ibu, Ibu, Ibu. Pergelangan tanganku seperti hendak putus ditariknya. Moksu merentap rambutku dengan kuat. Ditangan Moksu terdapat satu anak patung yang bermata satu. Aku merayu kepada Moksu untuk dilepaskan. ” Moksu, sakit Moksu sakit lah “. Aku menangis teresak esak dan menggigil ketakutan. Moksu menarikku ke dapur. Dapur dimasuki air. Aku ternampak pintu dapur terbuka. Aku cuba untuk melepaskan diri malah Moksu menarikku dengan lagi kuat.
Moksu menarikku pergi ke belakang rumah. Disitu aku ternampak satu kelibat yang berwarna hitam.Tidak jelas kelibatnya kerana hujan semakin lebat pada ketika itu. Dengan petir lagi. Aku menggigil ketakutan. Moksu seperti sedang dirasuk. Moksu melepaskan aku dan berdiri menghadap pohon mangga tersebut. Moksu ketawa dan menangis berselang seli. Moksu menjerit dengan kuat sekali. Moksu menarik rambutku ke atas dan mencekup leherku dan kembali merengus marah kepadaku.Penglihatan aku menjadi sangat kabur. Ketika itu, aku cuma nampak semuanya berwarna hitam.
Aku menangis sekuat-kuatnya dan meronta-ronta. Aku membuka mata dan tiba-tiba, Abang, Sofia, dan Suraya berada disampingku. Aku bersyukur sehingga menangis kerana aku nampak abang dihadapanku. Abang memberitahuku bahawa abang ternampak pintu dapur yang terbuka luas pada ketika itu dan abang berlari ke arah dapur. Abang terjumpa aku yang lemah terbaring di hadapan pokok mangga dan mengangkatku naik ke bilik. Baju aku dibasahi dengan air hujan. Sofia dan Suraya menangis teresak esak memelukku. Pergelangan tanganku menjadi lebam dan kakiku menjadi sangat merah. Terlalu sakit kepalaku untuk bangun. Aku tidak boleh bangun kerana aku menggigil ketakutan. Malah, mengeluarkan satu suara pun aku tidak mampu.
Abang berkata kepadaku bahawa Abang tidak nampak kelibat Moksu. Dimanakah Moksu berada? Menjadi persoalan kepada kami pada ketika itu.
Dan tiba-tiba, ada satu ketukan yang sangat kuat di tingkap bilik kami. Bukan satu ketukan, tetapi tumbukan. Tumbukan yang sangat kuat sehingga mengejutkan kami. Suraya memeluk Sofia yang sedang menangis ketakutan. Tingkap dalam bilikku menghadap halaman belakang rumah kami. Maka, Abang membuka tingkap tersebut dan abang memberitahuku bahawa ada sesuatu yang sedang merangkak berhampiran dengan pokok mangga tersebut. Aku diam terpaku kerana aku ternampak ada satu sosok tubuh di belakang pohon pokok mangga. Sedang mencangkung. Ya, itulah Moksu aku. Moksu sedang menangis sambil mencangkung.
Abang semakin kuat membacakan surah dan secara tiba-tiba angin kuat menerpa ke arah muka aku. Aku dapat merasakan bahawa satu rumah ni seolah-olah bergoncang dan mahu roboh. Dan abang tiba tiba menutup tingkap dengan kuat dan berlari keluar ke belakang rumah. Aku tidak tahu apa yang terjadi selepas itu kerana badan aku terlalu keletihan dan lemah. Aku terbaring lemah disisi katil bersama Suraya dan Sofia. Ketika itu, aku cuma mampu memejamkan mata sambil ditemani dengan tangisan Suraya dan Sofia. Aku berdoa ketika itu supaya semua ini akan berakhir dengan cepat.
Aku terdengar bunyi azan bergema dirumah ku. Aku bangun dari tidur dan berjalan perlahan lahan sambil memegang pergelangan tanganku. Aku melihat terdapat 2 orang Ustaz dan seorang ustazah yang berada di ruang tamu. Beberapa jiran juga datang untuk membantu Abangku mengangkat barang-barang yang terbalik. Rumahku seperti dilanda bencana. Kerusi di ruang tamu, meja makan, semuanya terbalik seakan ada sesuatu yang mengamuk. Sedangkan, air dimasuki rumah di bahagian dapur sahaja. Yang bertambah pelik apabila bilik Kak Siti, Kak Sara dan bilik ibu Ayah tiriku juga turut berselerakan. Kaca-kaca barangan perhiasan Ibuku juga pecah. Belum lagi aku menjengah kepala di loteng, lagi berselerakan agaknya.
Aku ternampak Moksu terbaring lemah di ruang tamu.
Keesokan harinya, Ibu aku sudah pulang ke rumah. Ibu aku menangis memelukku, Sofia dan Suraya. Ibu memberitahu bahawa Moksu akan pulang ke kampung pada minggu depan.
” Moksu balik Kampung dulu ya ” Kata Moksu kepada kami sekeluarga.
Moksu memelukku dan ketawa kepadaku sambil berkata,
” Heheheh moksu balik dulu! Main lagi tau dekat loteng, Moksu tunggu kamu, nanti boleh main sama-sama lagi dekat atas ” bisik Moksu.
Aku diam terpaku dan bulu romaku mencanak naik apabila Moksu memberitahuku bahawa Moksu sentiasa berada disampingku. Apa maksud Moksu? Bila masa aku bermain di loteng dengan Moksu? Adakah “Moksu” berada disini sejak di hari pertama lagi kami menyewa disini? Sedangkan aku naik ke loteng sebelum Moksu datang ke sini. Entah, fikiran aku melayang entah ke mana.
Senyuman sinis yang dilemparkan ketika naik ke bas membuatkan fikiran aku terganggu. Sehingga sekarang, fikiran aku masih terganggu dan membuatkan aku tertanya-tanya. Kata-kata moksu tidak pernah kulupa sehingga sekarang.
Maaf ya sekiranya korang rasa cerita aku tergantung. Pada tahun berikutnya, Moksu telah meninggal dunia akibat buatan orang. Banyak lagi sebenarnya cerita aneh yang terjadi kepadaku selepas Moksu pulang ke kampung, tetapi aku biarkan sahaja fikiran aku terganggu. Mungkin aku cerita nanti. Nenek aku cuba untuk memberitahu Ibuku bahawa sebelum moksu meninggal, Moksu mahu berjumpa dengan aku. Tetapi ditakdirkan kami tidak dapat berjumpa. Aku minta maaf Moksu. Terima Kasih semua yang sudi membacanya.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Rasanya dlm diri mksu tu ada jin penunggu rumah tu atau saka yg bersarang hingga keakhir hidup mksu. Jd sentiasalah berzikir memuji Allah swt agar melindungi kamu dr dikuasai oleh mereka.
Elok jugak awak tk jumpa moksu awak!! Tachoodd nnti pnyakit dia ikut awak 😰😰
agak tergantung tapi layan cita ni..hope ada sambungan lagi ya..keep it up !!