#HaikalFansuri – PENCEROBOH (Bahagian 2)

The events depicted in this story took place in Irbid Jordan in 2015.
At the request of the survivors, the names have been changed.
Out of respect for the dead, the rest has been told exactly as it occurred.

IRBID : Polis sedang menyiasat kes penemuan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan di sebuah rumah sewa yang didiami seorang pelajar bukan Arab, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10 malam itu, Ahmed Ben Salah, 35 tahun, ditemui oleh penjaga bangunan dalam keadaan terbaring di dalam sebuah bilik dengan kesan kelar dan lebam pada seluruh tubuhnya.

Ketua Polis Irbid, Ibrahim al-Alawneh berkata, anggota polis yang membuat siasatan di lokasi jenayah turut menemui kesan pergelutan yang menunjukkan wujudnya pihak kedua dipercayai milik penjenayah yang membunuh mangsa.

“Setakat ini, siasatan masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar dan identiti penjenayah terbabit. Kita juga sedang mengenalpasti apakah hubungan mangsa dengan tuan rumah dan bagaimana mangsa boleh berada di situ pada hari kejadian.” Kata beliau ketika dihubungi wartawan Soutul Faizin sebentar tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Qanun Urduni yang jika terbukti bersalah akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Madi melipat akhbar itu dan meletakkannya di atas meja. Tangan kirinya menggaru sebelah kening. “Aku tak faham.” Kata Madi sambil menggeleng. “Aku ingatkan kau dah berubah.”

“Berubah?”

“Gaya kau cakap sama macam dulu, sentiasa penuh dengan teka-teki. Kau suruh aku datang pagi-pagi ni takkan semata-mata suruh aku baca surat khabar minggu lepas?”

Aku meneguk kopi yang sudah suam. Di tengah meja ada sepinggan nasi goreng direndami minyak dan lempeng goreng manis yang belum terusik.

“Aku betul-betul minta maaf, Madi.” Kataku sambil meletakkan cawan di atas meja. “Aku tak sepatutnya keluar dari rumah kita dulu. Salah aku sebab lebih percayakan cakap orang luar berbanding korang, housemate aku sendiri.” Aku berhenti sebentar untuk menyusun kata. Peluang ini mungkin tidak akan muncul lagi.

“Tapi situasi ni lain, Madi. Kalau aku tahu ada orang lain yang boleh tolong aku, aku takkan panggil kau ke mari.”

“Takkan kau dah lupa Syuk?”

Aku terdiam. Nama itu membuat aku rasa serba salah. Aku segera mengalih topik perbualan.

“Berita yang kau baca tadi sebenarnya menimpa aku minggu lepas.”

Wajah Madi berubah. Dia mencapai surat khabar tadi dan membacanya semula. Tak lama kemudian Madi kembali memandangku.

“Jadi sebab tu kau pindah.” Kata Madi perlahan. Aku membalas dengan anggukan lemah.

“Terus-terang, Kal. Apa sebenarnya berlaku malam tu?”

Aku meneguk baki kopi di dalam cawan. “Tak lama lepas kami jumpa mayat tu, ada dua kereta sedan berwarrna hitam berhenti depan bangunan PUSKOM. Aku pelik kenapa polis yang keluar dari kereta tu semuanya pakai baju biasa, tanpa uniform.”

“Mukhobarat?” Madi membetulkan kedudukan kopiah putih di atas kepalanya.

Aku mengangguk. Mukhobarat merupakan gelaran Arab bagi polis khas atau Special Branch (SB).

“Lepas tu aku dan Abu Muhammad dipisahkan. Polis tu bawa Abu Muhammad masuk semula ke dalam rumah dan aku dibawa ke dalam kereta hitam kedua. Kau tahu siapa ada dalam kereta tu?”

“Siapa?”

“Pegawai dari pejabat kedutaan.”

Madi terkejut. “Prof Faisal ada sekali?” Tanya Madi. Dia menyangka jika duta besar Malaysia turut hadir malam itu, tentulah kes itu bukan kes biasa.

Aku menggeleng. “Prof tak ada. Cuma Encik Farouk dan Mejar Azki. Tapi yang banyak cakap malam tu Mejar Azki. Encik Farouk diam saja.”

“Mejar cakap apa?“

“Mejar suruh aku rahsiakan apa yang berlaku malam tu. Pihak kedutaan janji akan jamin keselamatan aku dengan syarat aku tak beritahu sesiapa.”

“Allahuakbar. Kiranya kau pindah ni depalah yang aturkan?”

Aku mengangguk. “Masa datang tadi kau nampak tak kereta hitam parking depan bangunan Sakran? Kereta tu sebenarnya dari pejabat kedutaan. Dah seminggu mereka pantau pergerakan aku.”

“Macam mana dengan pembunuh tu? Kau kenal siapa dia?”

“Tak. Tapi aku yakin dia menyamar jadi Faiz malam tu. Orangnya muda, hampir sebaya dengan kita. Muka dia pun macam kau, muka orang baik-baik, sebab tu aku tak syak apa-apa. Aku dah beri semua maklumat ni kepada polis. Rupa dia, suara dia, bentuk tubuh dan lain-lain. Malah aku dah suruh pihak polis periksa rakaman CCTV di Orange Centre sebab kami ada pergi sana malam tu. Tapi sampai sekarang polis kata masih dalam siasatan.”

“Beberapa hari lepas, aku dapat panggilan telefon daripada Mejar Azki dan dia beritahu mayat tu bukan Faiz, tapi seorang pemuda Arab. Polis masih siasat motif pemuda tu dibunuh. Tapi mereka percaya itu kerja Faiz. Dan sekarang Faiz jadi buruan pihak berkuasa dua negara, Malaysia dan Jordan.”

Madi melepaskan keluhan. Aku faham hal seperti ini berat untuk dihadam dalam satu pertemuan.

“Kes ni sekarang melibatkan hubungan dua negara. Walau apa pun motif pemuda Arab tu dibunuh, kes ni tetap akan dilihat sebagai orang Malaysia bunuh orang Jordan. Kalau hal sebenar terbongkar, orang akan panik dan keadaan jadi huru-hara. Kau bayangkan kalau berita ni sampai ke pengetahuan orang Malaysia, silap-silap semua pelajar Malaysia berbondong-bondong dipanggil balik oleh keluarga masing-masing. Sebab tu berita kau baca tadi langsung tak sebut nama aku dan warganegara mana. Malah kepala mayat tu kena penggal pun depa tak berani sebut.” Jelasku lagi.

“Tapi ni dah melampau, Kal. Hampir semua pelajar Malaysia sekarang percaya Faiz hilang ketika travel ke Turki. Aku pun percaya Faiz hilang sebab pihak kedutaan yang keluarkan kenyataan tu. Tak sangka mereka sanggup buat macam tu untuk tutup hal sebenar.”

“Firasat aku kuat mengatakan Faiz masih hidup.”

Madi diam mendengar kata-kataku. Kepalanya ligat memikirkan sesuatu. Melihat dia diam, aku meneruskan,

“Kau mesti rasa pelik kan, kenapa aku bocorkan rahsia ni kepada kau sedangkan Mejar dah halang aku daripada beritahu sesiapa.” Aku berhenti sebentar mengambil nafas. “Sebabnya Madi, sejak dari Malaysia lagi kaulah satu-satunya kawan yang aku paling percaya. Terus terang aku cakap, kepalaku aku sekarang rasa macam nak pecah. Rahsia ni terlalu besar untuk aku simpan seorang. Kalau aku pendam lagi lama, mungkin suatu hari nanti aku akan jadi gila.”

“Kau trauma ni, Kal. Apa nama tu, PTSD? Kau kena lekas jumpa doktor.”

“Aku minta maaf terpaksa kongsi beban ni dengan kau. Apa pun berlaku lepas ni, kau kena janji tak cerita benda ni kat sesiapa.”

Madi terdiam. Setelah agak lama berfikir, barulah dia mengangguk setuju untuk menyimpan rahsiaku. Aku berasa amat lega. Seakan-akan ada ketul batu yang besar telah diturunkan dari belakangku.

Tak lama kemudian Madi meminta diri dan aku menghantarnya ke muka pintu.

“Sebelum aku terlupa, kau free tak malam ni?” Tanya Madi.

“Free rasanya. Kenapa?”

“Teman aku pagar rumah akhowat? Bangunan Bahauddin, lepas Maghrib. ” Kata Madi.

Aku terdiam lama, mencari alasan untuk menolak. Kejadian ngeri di bangunan PUSKOM masih terlalu baru. Lukanya terlalu dalam dan aku perlukan lebih waktu untuk sembuh.

Madi di muka pintu masih menanti jawapan.

“Err, orang lainlah. Ramai lagi hafiz Quran di Irbid ni.” Balasku acuh tidak acuh.

“Alaa bolehlah Kal. Sekali sekala kau kena keluar, tengok dunia luar, jumpa kawan-kawan. Baru fikiran tu lapang sikit. Lagipun insya-Allah tak lama, Baqarah tu kita bahagi lima. Sebelum Isyak dah boleh habis,” Pujuk Madi. Perhatianku tertarik pada angka lima yang Madi sebutkan.

“Kau ajak siapa lagi?”

“Kau, Wan, Banjir, dan Syuk. Anggaplah malam ni reunion tak rasmi Darul Hanaa.” Madi ketawa kecil. Nama-nama itu merupakan bekas housmateku ketika tahun pertama di Jordan. Kami saling mengenali sejak zaman diploma, sebelum bersama-sama menyambung pengajian ijazah ke Jordan.

Rumah sewa kami ketika itu bernama Darul Hanaa, terletak di kawasan Syimali berhampiran Mat’am Meqbel. Masuk tahun kedua, aku berpindah rumah ke kawasan Hijazi atas alasan inginkan kediaman yang lebih hampir dengan universiti. Tetapi Syuk tahu itu bukan alasan sebenar aku meninggalkan Darul Hanaa.

“Aduh, kenapa kau ajak Syuk? Kau tahukan aku dengan dia ada history.”

“Bukan aku ajak Syuk, Syuk yang ajak aku. Tuan rumah akhowat tu sebenarnya minta tolong Syuk. Kerja aku cuma carikan orang.” Jelas Madi bersungguh-sungguh. Aku terdiam tanpa mampu membalas apa-apa.

“Jangan risaulah, Kal. Syuk dah lama maafkan kau. Tinggal kau je kena rendahkan hati pergi jumpa dia. Kau tahukan perangai Syuk macam mana. Kalau orang tak sudi, sampai matilah dia tak peduli.” Madi memandang wajahku dalam-dalam.

“Syuk ada beritahu aku sejak Faiz hilang minggu lepas, kau dah banyak berubah. Mula-mula kau pindah Sakran tak beritahu sesiapa, lepas tu kau dah tak keluar rumah, berkurung je dalam sakan. Aku rasa eloklah kau datang malam ni, mana tahu Syuk boleh tolong kau.” Terang Madi panjang lebar.

“Tapi … lepas apa yang aku dah buat … aku, aku segan.”

“Alaa, hati tu jangan tisu sangat. Semua orang pernah buat silap. Ramai sebenarnya sayangkan kau, cuma kau belum nampak atau buat-buat tak nampak. Macam nilah Kal, kalau kau masih anggap kami kawan kau, lepas Maghrib kita jumpa depan bangunan Bahauddin. Assalamualaikum.”

Madi berlalu pergi. Sambil menyandarkan belakang tubuh ke pintu, aku mengeluarkan telefon dari poket seluar. Aku membuka kotak mesej dan tertera di skrin mesej terakhir yang ditinggalkan Faiz. Satu keluhan berat ku lepaskan.

“Maafkan aku, Madi.”

Selepas Maghrib,
Bangunan Bahauddin.

“Mula-mula kan ustaz, kami tak rasa gangguan dalam rumah ni ada kaitan dengan makhluk halus. Ingatkan cuma perasaan kami je sebab dia kadang-kadang jadi kadang tak. Tapi sejak akhir-akhir ni makin menjadi-jadi pula. Sorang-sorang kami kena ganggu.”

“Ayat tu tak payah dramatik sangat. Sazah cerita hat penting-penting je.” Balas Syuk selamba.

Empat akhowat di depan kami saling berpandangan. Mungkin mereka terkejut mendengar jawapan Syuk. Mungkin juga mereka sukar menerima pemuda berambut panjang separas bahu dan menggenggam sekotak Winston putih itu adalah ustaz yang akan memagar rumah mereka malam itu.

Aku, Madi, Wan dan Banjir cuba mengawal diri daripada ketawa.

“Macam mana bentuk gangguan tu?” Syuk melanjutkan pertanyaan.

Ustazah yang bersuara mula-mula tadi berundur sedikit dan berbisik sesama mereka. Tak lama kemudian mereka kembali berpaling ke arah kami dan seorang demi seorang mula membuka cerita,

“Hampir setiap malam antara jam 1 ke 2 pagi, kami akan dengar bunyi orang memasak di dapur. Kadang-kadang bunyi orang memotong atas papan landas, kadang-kadang bunyi orang guna lesung batu. Tapi bila kami jenguk, tak ada sesiapa.”

“Kena tindih tu dah selalu sangat, ustaz. Yang seramnya bila ana buka mata, ana nampak lembaga hitam dengan wajah mengerikan sedang mengilai ketawa. Setiap malam ana akan pasang ayat-ayat suci al-Quran sebelum tidur. Tapi pernah sekali tu bacaan Quran yang dipasang tiba-tiba terhenti ketika gangguan tindih tu berlaku.”

“Waktu musim exam, kami selalu stay-up sampai pukul 2 ke 3 pagi. Waktu tu kami selalu dengar bunyi kanak-kanak ketawa sambil main guli di tingkat atas. Sedangkan tingkat atas ni sutuh (bumbung), ustaz. Tak ada rumah dah di atas.”

“Emm, rasanya cukup dah maklumat tu. Kami pun dah boleh mula dah.” Kata Syuk.

“Sementara ustaz pagar rumah ni, kami akan stay di rumah sebelah. Kalau ustaz perlukan apa-apa, tekan saja loceng atau ketuk pintu. Kami harap ikhtiar kali ni berhasil dengan izin Allah. Terima kasih banyak ustaz, kami minta diri dulu.”

Aku melihat empat akhowat itu beredar. Setelah kelibat mereka menghilang, Syuk cermat menutup pintu. Kami kembali berkumpul di ruang tamu menanti arahan selanjutnya daripada Syuk.

“Surah Baqarah ada 49 muka surat. Kita lima orang jadi sorang baca 10 muka. Aku mula dari ayat …” Aku berpura-pura tekun mendengar arahan Syuk. Namun fikiranku melayang jauh memikirkan kata-kata Madi pagi tadi. Benarkah Syuk boleh menolongku? Mungkinkah Syuk sudah tahu apa yang menimpaku seminggu yang lalu?

“Banjir, kau baca kat dapur. Kal, bilik tidur 1 sebelah dapur. Aku stay sini, ruang tamu. Madi dan Wan pergi baca dalam bilik tidur 2 dan 3 di belakang. Korang pandai-pandailah pilih nak bilik belah kanan ke atau bilik belah kiri. Kalau aku … aku akan pilih kanan.”

Mendengar kata-kata Syuk, Madi dan Wan saling berpandangan. Mereka baru ingin berlumba ke bilik belakang sebelum ditahan oleh Syuk.

“Sebelum kita mula, ada benda sikit aku nak pesan.”

Wan dan Madi tidak jadi berlumba. Aku dan Banjir juga berhenti melangkah dan kami kembali merapati Syuk.

“Waktu baca nanti, jangan layan kalau benda tu datang. Jangan balas apa yang dia cakap, dan jangan tegur kalau dia tak bercakap. Buat bodoh dan terus baca sampai habis. Dah habis baca, don’t get any ideas. Terus keluar dan kumpul balik sini. Faham?”

Kami serentak mengangguk dan bergerak ke tempat masing-masing. Baca. Jangan tegur. Habis baca. Ruang tamu. Aku meringkaskan pesanan Syuk di dalam kepala.

Hampir setengah jam kemudian, kami berkumpul semula di ruang tamu. Rupanya-rupanya aku orang yang terakhir selesai. Di ruang tamu, semua orang sedang menungguku. Madi kemudian mengetuk pintu rumah sebelah untuk memaklumkan tugas kami sudah selesai. Memandangkan waktu Isyak sudah masuk, kami meminta izin untuk menumpang solat.

Setelah selesai solat, Syuk memanggil empat akhowat itu dan menitipkan nasihat akhir sebelum kami pulang.

“Lepas ni sazah semua jaga ibadat wajib terutamanya solat fardu. Ibadat sunat macam tahajjud, solat dhuha dan baca al-Quran pun jangan abaikan. Hidupkan suasana ibadah dalam rumah. Untuk zikir pendinding, amalkan tiga qul dan ayat Kursi. Paling penting saya nak pesan, sentiasa ambil berat urusan solat berjemaah sesama ahli rumah.”

Empat akhowat itu mengangguk-angguk.

“Kebersihan diri pun jaga betul-betul. Darah-darah apa semua tu jangan tinggalkan lama-lama di dalam tandas. Buang elok-elok di tempatnya. Dapur pun sama, selalu bersihkan dan jangan tinggalkan tulang merata-rata.”

“Sambil hidupkan suasana ibadah dalam rumah, cuba kurangkan perkara-perkara lagho dan melalaikan. Poster-poster K-Pop dalam bilik tu tak perlulah kot. Saya ni kadang-kadang tengok juga Running Man, tapi taklah sampai buat koleksi dan simpan banyak-banyak gambar artis Korea dalam laptop. Ok lah, kami minta diri dulu. Assalamualaikum.”

Syuk beredar like a boss.

Ketika menuruni tangga, kami semua ketawa beramai-ramai. Reaksi tercengang pada wajah-wajah akhowat tadi benar-benar priceless. Tentu mereka tertanya-tanya bagaimana Syuk tahu hal-hal sesulit itu.

Aku selalu menyangka Syuk bertuah kerana memiliki sepasang mata istimewa. Selain dapat melihat makhluk halus, Syuk boleh melihat ke dalam sesuatu dengan hanya menyentuhnya. Syuk juga dapat mengetahui jika seseorang bercakap benar, berniat jahat atau menyembunyikan sesuatu.

Tetapi Syuk mendakwa kelebihannya itu adalah sumpahan dan bukan anugerah. Dia tidak pernah berbangga apatah lagi menunjuk-nunjuk. Malah ketika kami tinggal serumah dahulu, lebih daripada sekali aku mendengar Syuk berkata dia rela menyerahkan matanya kepada sesiapa yang mahukan kelebihan yang dimilikinya itu.

Syuk hanya menggunakan kelebihan itu untuk membantu orang-orang dalam kesusahan. Malangnya bukan sedikit suara-suara sumbang yang membenci Syuk. Ada yang menuduh Syuk sebagai bomoh, membela jin, syirik, khurafat dan sebagainya. Lebih malang perkara itu dilakukan oleh pelajar Malaysia sendiri.

Aku sendiri akhirnya termakan kata-kata jahat yang tersebar itu dan mengambil keputusan berpindah rumah setahun lalu. Hubungan kami serta-merta bertukar dingin. Dan sejak itu tidak ada hari yang berlalu tanpa aku menyesali tindakanku yang terburu-buru menyisihkan Syuk.

Satu tepukan lembut di bahu menyedarkan aku daripada lamunan. Kami sudah berada di luar bangunan Bahauddin. Madi berbisik ke telingaku supaya melihat ke arah sebuah kereta hitam yang diparkir tidak jauh dari lokasi kami. Menyedari kereta itulah yang sering mengawasi gerak-geriku, aku cuba berlagak seperti tidak ada apa-apa.

Syuk mencadangkan kami pulang bersama-sama. Pada mulanya Wan membantah kerana dia mahu segera pulang ke rumah. Tetapi Syuk meminta Wan bersabar. Kata Syuk, dia mahu mendengar kami berkongsi kisah masing-masing ketika sesi memagar rumah tadi. Kami terdiam dan memandang satu sama lain.

Nampaknya Syuk tahu.

Aku menghitung-hitung di dalam kepala. Ini bermakna Banjir akan jadi orang pertama membuka cerita kerana rumahnya terletak paling hampir dengan bangunan Bahauddin. Selepas itu giliran Madi yang tinggal di bangunan Abu Muhammad, seterusnya aku yang tinggal di Sakan Sakran. Akhir sekali barulah giliran Wan yang tinggal di Imarah Bukhari, bangunan paling hampir dengan rumah lamaku, PUSKOM.

Kami melangkah meninggalkan bangunan Bahauddin. Ketika Banjir mula bercerita, aku melihat sekilas ke belakang.

Lampu kereta hitam itu baru dinyalakan.

BERSAMBUNG …

Haikal Fansuri
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

12 comments

  1. Ceritàà ni yang tiap Kali aku tunggu sambungan nyaa. Hopefully sambungan nyaa ASAP k. Tak sabar nak tahu endinggg

  2. Assalamualaikum.. harap sape2 boleh tlg kekurang fahaman aku sikit di sini..

    1) masa ending bhg 1Kal dpt mesej dari faiz yg sebenar atau ‘faiz’ yg menyamar..

    2) bhgn 2 di atas – lepas madi balik kal tersandar di dinding sambil tngok mesej dari faiz ‘maafkan aku, madi’. Kenapa bkn ‘maafkan aku, Kal’.. ?? Hp madi dkt kal ke??

    Mohon pencerahan reader2 sekalian.. kot aku ada terskip scene ke.. baca bnyk kali dah.. hmm

  3. Cerita ni fiksyen or reality? Sbb 1st story tu hg cerita watak pembunuh yg dh bunuh dr. Farhana n Faiz..so kiranya at the end Faiz pun mati jugak la kan? Or dia mmg dh mati tp pembunuh tu pegang telefon dia?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.