“3 Kisah Misteri”

Assalamualaikum & Salam Sejahtera. Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada admin FS kerana menyiarkan kisahku terdahulu. Aku ada 3 kisah yang aku alami sendiri. Maaf kalau tak cukup seram tau. Aku perkenalkan diriku terlebih dahulu. Namaku, Zahra. Jom kita sama-sama baca kisahku ini.

Kisah 1 : Seret, Cakar, Sedut, Tutup

Kisah ini berlaku sebelum aku belajar di Melaka. Kiranya, ia berlaku sebelum kisah Irly tula. Pada akhir tahun 1996, aku mendapat tawaran belajar di Perlis. Aku buat Pra Sains selama 6 bulan di sana.
Ok, mula-mula, aku cerita macam mana keadaan dorm aku. Untuk pengetahuan korang, semua pelajar perempuan yang mengambil Pra Perdagangan dan Pra Sains, akan tinggal di dorm kayu separa simen yang nampak usang gakla dan berlantaikan simen. Bilik air dan tandas semua diperbuat daripada batu/simen.

Dorm tu sebelum nie, pelajar lelaki jer yang duduk, tapi disebabkan jumlah pelajar perempuan untuk pra pada kali ini agak ramai, pelajar perempuan lak yang tinggal sini. Jadi, kami la yang terpilih untuk tinggal di sini selama 6 bulan. Dorm itu ada 4 bilik besar. Setiap bilik dapat memuatkan 40 orang pelajar. Katil double decker ada 20 unit. Disusun di tepi dinding. Locker baju di sudut dinding sebelah kanan katil aku. Meja study pula disusun di tengah-tengah bilik. Dan aku ditempatkan di Dorm 4 sebab ejaan namaku bermula dengan huruf “R”. Susunan nama pelajar di dorm ini disusun ikut abjad. Memandangkan namaku berada di hujung-hujung huruf, aku dapatlah dorm yang paling hujung dan bersebelahan bilik air.

Kisahnya bermula di satu malam di mana cuma aku dan seorang kawan se dorm ku sedang study di malam hari. Rakan-rakan yang lain telah lama diulit mimpi. Jam ketika itu pukul 12:00 malam. Aku study di atas katil ku di tingkat atas, manakala kawanku itu study di meja study. Kawanku itu study sambil mendengar earphone. Sementara aku, memang tak pakai earphone pun. Sedang khusyuk study, lebih kurang sejam lebih aku study, tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu diseret dari jauh. Aku syak dari Dorm 1 sebab laluan ke bilik air dan tandas selari dari Dorm 1 hingga Dorm 4. Pada mulanya bunyi itu sayup-sayup kedengaran sahaja.

Tetapi makin lama makin dekat bunyinya. Seretan itu kedengaran diseret secara perlahan-lahan. Seperti seseorang sedang menyeret mayat, berat bunyi seretan itu dan kedengaran agak ngeri. Pada mulanya aku cuba memberanikan diri bertahan untuk mengulangkaji pelajaran dan tidak mahu menghiraukan bunyi itu. Aku semakin tidak fokus mengulangkaji akibat gangguan bunyi seretan sangat-sangat ngeri itu. Semakin lama semakin menghampiri dorm aku yang paling hujung ini. Tiba-tiba seretan itu terhenti betul-betul di belakang dinding plywood yang memisahkan katil double decker ku dengan tempat “benda”’ itu berhenti menyeret sesuatu itu.

Dinding plywood di dorm ku ini memang nipis. Dan aku boleh menjengukkan kepala aku melalui ruang udara terbuka kerana di antara dinding dan siling tidak bercantum rapat. “Benda” itu mencakar dinding di belakang aku. Terdengar sangat jelas sekali bunyi cakaran seperti cakaran dengan kuku yang sangat panjang. Berkali-kali “benda” tu mencakar. Tiba-tiba aku naik marah dan geram pulak sebab “benda” tu mengganggu aku sedang belajar. Aku hampir-hampir menjenguk kepalaku untuk melihat “benda” tu. Tetapi, di dalam hatiku berkata, jangan diikutkan perasaan, nanti merana badan. Takut juga kalau tiba-tiba aku pengsan seminggu. Aku batalkan niat aku untuk melihat “benda” itu. Aku terus mengemas alat tulis dan buku-buku aku.

Serentak dengan itu, “benda” itu pun beredar seakan berpuashati sebab berjaya membuatkan aku tak teruskan ulangkaji pelajaran aku. Aku lihat, kawan aku yang belajar di meja study itu juga turut berkemas buku dan melihat-lihat ke arah pintu bersebelahan katil aku ini. Aku tidak pula bertanya dia samada dia dengar atau tidak apa yang aku dengar sebab bimbang nanti kami sama-sama menjerit dan membuatkan kawan-kawan lain terjaga dari tidur pula. Sampai ke sudahlah aku memang tak tanya dia sebab malas nak ingat kejadian itu.

Tidak lama selepas itu, “benda” itu menghala ke bilik air. Menyelongkar tuala wanita/pad dari tong khas tuala wanita/pad. Tiba-tiba aku terdengar “benda” itu menyedut tuala wanita/pad itu dengan rakus. Aku hanya merelakan telinga aku mendengar segala perlakuan “benda” tersebut. Huhuhu, seram jugak bunyinya… “ Sluuuuuuuuurrrrprpppppp…crettttt…cretttt…crettttt…..” Tapi tula, angkara sesetengah pelajar perempuan di dorm ini yang tidak bertanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak mencuci tuala wanita/pad tersebut, inilah jadinya.

Lepas tu, baunya jangan cakapla, sampai menusuk hidung penghuni Dorm 4 nie. Setelah selesai menyedut segala yang ada dalam tong berisi tuala wanita/pad itu, “benda” tu pun berlalu. Jangan mengesot-esot. Jelas di pendengaran aku. Tutup telinga dengan bantal pun tak jalan, dengar jugak. Dan aku pun tak sedar jam berapa aku terlelap. Kisah ini aku tak cerita pun pada sesiapa di dorm tu sebab malas nak takutkan mereka. Hari berlalu seperti biasa, aku tak kena dah gangguan dari “benda” itu selepas tu sebab aku tukar masa study ku.

Sehinggalah suatu malam, ketika aku mahu ke tandas untuk membuang air kecil. Hanya aku seorang sahaja ke tandas ketika itu. Aku mengambil baldi dan gayungku untuk menadah air untuk kegunaanku. Sedang aku menadah air, tiba-tiba paip di luar tandas yang aku gunakan terbuka dengan sendirinya. Mulanya aku malas nak layan walaupun aku terkejut dan mula takut. Tapi bila tiba-tiba paip tu terbuka, tutup, terbuka, tutup dengan sendirinya. Aku keluar dari tandas tanpa sempat membuang air kecil dan tinggalkan baldi dan gayungku di dalam tandas tersebut sebab terlalu takut. Kawan sebelah katilku pelik sebab aku macam tercungap-cungap berlari. Aku tak cerita pun hal tu sebab taknak dia takut.

Dalam sejam kemudian, dalam pukul 11:30 malam, kawanku itu ajak aku temankan dia ke bilik air. Aku pun pergilah ke tandas yang sama sebab tadi memang tak sempat buang air kecil dan baldi serta gayungku aku tinggalkan dalam tandas tersebut. Alhamdulillah, tiada apa yang menakutkan berlaku.
Tetapi selepas beberapa lama kemudian, ada la jugak berlaku hal usik-mengusik nie, tapi terpaksa memberanikan diri sebab memang kena hadap selagi hidup di hostel nie.

Kisah 2 : Tangga & Bathtab

Berlaku semasa aku berumur 11 tahun ( tahun 1989 ). Kiranya, baru 3 tahun aku dan keluargaku tinggal di rumah kami yang ayahku beli. Rumahku ini terletak di Subang Jaya, Selangor. Rumah teres 2 tingkat. Masa tu, tak ramai lagi orang tinggal di situ. Tiada jiran yang berdekatan ketika itu.Mungkin sebab kawasan ini bising dengan laluan kapalterbang dan kurang kemudahan awam ketika itu serta kawasan perumahan tersebut masih baru. Kawasan perumahan aku siap sekitar tahun 1983. Dan aku serta keluargaku berpindah ke sini pada bulan Mei 1986.

Dipendekkan cerita, ayah dan ibuku menetapkan bilik di rumah kami. Bilik master bedroom, ayah dan ibuku beri kepada kami berdua, anak-anak perempuan. Bermakna, aku dan adik perempuanku ketika itu berumur 5 tahun, akan tidur di bilik berkenaan. Manakala, ayah dan ibuku tidur di bilik kedua dan 2 orang adik lelakiku tidur di bilik bersebelahan. Bermakna mereka berkongsi bilik air. Aku pun tidak faham mengapa kami anak-anak perempuan mesti tidur di masterbedroom yang besar ini. Aku tak pernah tanya pun pada kedua ayah dan ibuku. Mungkin sebab senang nak ke bilik air dan anak-anak perempuan kan kena jaga betul-betul. Mungkin itulah sebabnya, itu sahaja yang aku terfikir pada usia aku yang baru 11 tahun.

Kisahnya bermula bila malam menjelma, biasa la, budak-budak, mudah melihat dan mendengar benda-benda yang menakutkan dan aku tergolong dalam kategori penakut dan takutkan kegelapan. Seperti biasa, bila tiba waktu tidur, lampu-lampu semua dipadamkan. Cuma lampu tangga sahaja yang terpasang. Lampu tangga pula, ayah letak mentol berwarna kuning dan di bahagian luarnya berbentuk mutiara sebutir. Jadi kalau aku intai dari bawah pintu bilikku, memang jelas kelihatanlah cahaya lampu dan bayang-bayang sesiapa yang lalu lintas di sekitar depan bilik aku dan adikku ini. Jam ketika itu telah menghampiri 12:00 malam.

Sebenarnya aku dan adik masuk bilik sejak jam 10:30 malam dan ibuku tutup lampu. Tetapi mataku sukar untuk lelap. Mungkin sebab rumah baru. Jadi sukarlah aku nak tidur. Semua orang dalam rumahku dah tidur kecuali aku seorang. Tiba-tiba aku terdengar, “Tap, tap, tap…” Bunyi air dari bathtab bilik airku berbunyi. Serentak dengan itu, aku mendengar bunyi derapan kaki seolah-olah manusia melangkah naik ke tangga dari tingkat bawah. Yang menambahkan seram tu, boleh pulak aku dengar bunyi macam bergetar macam jarum jam, “ Tik…tik…tik…” Sungguh seram bunyinya sehingga aku rasa macam nak jerit dan nak ketuk pintu bilik kedua orang tuaku.

Tetapi, untuk aku ke bilik kedua orang tuaku, aku mesti kena melalui depan tangga tersebut sebab semua bilik memang berdekatan dengan tangga. Terpaksalah aku diam di dalam selimutku. Seminit aku rasa bagaikan sehari. Lama sungguh bila berada dalam situasi seram bagi kanak-kanak kecil seperti aku ketika itu. Telinga aku mendengar lagi derapan kaki naik tangga perlahan-lahan. Makin lama makin hampir ke tingkat atas. Begitu juga dengan titisan air menitik dari bathtab bilik airku. Aku bangun dari perbaringan dan melihat ke arah lubang bawah pintu.

Kelihatan bayang-bayang sepasang kaki telah sampai ke tingkat atas, mula-mula, baying-bayang tersebut pergi ke arah bilik orang tuaku dan adik-adik lelakiku. Menyedari semua orang telah tidur, “benda” itu seolah-olah tahu yang aku masih belum tidur, aku nampak bayang-bayang kaki berdiri di hadapan pintu bilikku. Aku ingin menjerit tetapi suaraku seakan tidak mahu keluar. Aku selubung diriku dengan selimut dan tekup mukaku dengan bantal. Serasa seperti “sesuatu” telah berada di sisiku.

Semua bulu roma menegak. Aku dapat rasa rambut dan kain “benda” tu. Aku semakin takut. Menjerit tapi suara tak keluar. Lepas tu aku tak sedar sehinggalah keesokkan harinya aku terbangun. Keadaan sebegitu berlaku setiap hari. Aku begitu takut pada rumahku sendiri bila malam tiba. Bila aku suarakan hal itu kepada ayahku. Ayahku marah dan suruh aku cuba jadi berani serta jangan terlalu takut. Ibuku sependapat dengan ayahku.

Keadaan berubah bila aku dan adikku besar sedikit. Kami bertukar bilik dengan kedua orang tuaku. Mereka ke bilik master bedroom dan kami ke bilik mereka. Tetapi aku tetap merasakan “sesuatu” yang tidak kelihatan itu masih di dalam rumahku hingga kini. Mungkin juga tapak kebanyakan perumahan di sini ada sejarahnya tersendiri.

Menurut orang-orang lama di sini, dahulunya kawasan di sini merupakan ladang kelapa sawit. Apabila seluruh ladang dibersihkan, taman-taman perumahan baru dibina di sini. Lain-lain cerita tidak pula aku ketahui. Wallahu a’lam.

Kisah 3 : Surau R & R Ayer Hitam, Puchong

Kisah ini berlaku pada tahun 2007 sewaktu aku singgah untuk bersolat Asar pada suatu petang selepas habis kerja. Waktu balik jam 05:00 petang. Aku bergerak pulang dari ofis kira-kira jam 06:15 petang. Tempat kerjaku di Putrajaya ketika itu. Perjalanan dari ofis ke rumahku kira-kira 55 minit. Tapi kalau petang, mungkin sejam atau sejam lebih sikit. Aku tak sempat solat asar di ofis ketika itu kerana semua staf telah pulang dan aku seram pulak nak solat sorang-sorang kat ofis. Jadi aku ambil keputusan untuk solat di surau R & R Ayer Hitam jela, sebab R & R tu aku akan lalu sebelum aku pulang ke rumahku di Subang Jaya.

Kira-kira jam 6:35 petang, aku pun sampai di R & R Ayer Hitam. Aku park keretaku dan terus menuju ke surau. Masa aku sampai di surau tersebut, kelihatan seorang wanita sedang bersolat. Lega hatiku sebab bukan aku seorang sahaja dalam surau tersebut. Surau lelaki pula terdapat lebih kurang 4 orang bersolat. Usai berwuduk, aku segera sarung telekung dan bersegera solat. Wanita yang ada bersamaku itu sedang berdoa. Jadi aku memang tak sempatlah menyapa dia sebelum aku solat. Ketika aku berada di rakaat ke 2, wanita yang bersolat sebentar tadi, keluar dari surau tersebut. Aku terperasan dengan ekor mata sebab dia lalu depan aku. Aku menghabiskan solatku.

Dan ketika aku berada di rakaat keempat, tiba-tiba seperti ada “sesuatu” berwarna putih terbang. Aku menyedapkan hati dengan berkata dalam hati, “ aku kini berada dalam surau, mustahil la “benda” tu ada…” Jadi tak tenteram aku solat. Aku menghabiskan solatku dan segera berdoa. Semasa melipat telekung, “benda” putih tu terbang lagi. Lepas tu stop betul-betul depan aku. Aku nampak hujung kain dia…Serammmmmmmnya…Aku terus capai handbag aku dan keluar dari surau tersebut.

Aku perasan, bila aku keluar, hanya tinggal kereta aku sahaja di tempat parking. Menyesal aku tak solat awal-awal di ofis tadi. Semasa aku nak masuk kereta, aku Nampak seorang lelaki lingkungan umur 50 atau 60 an sedang menuju ke arah keretaku. Aku cepat-cepat drive dan keluar dari situ kerana waktu itu sudah menhampiri senja. Selepas dari kejadian itu, aku dah tak solat dah di surau tu. Serik dah.

Pengajaran yang aku dapat, janganlah solat lewat-lewat. Sekian dahulu “3 Kisah Misteri” dari aku kali ini. Ada masa, aku cerita lagi kisah-kisah lain pula. Terima kasih admin sekiranya sudi siarkan lagi kisah aku.

Zahra
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

7 comments

  1. bile mase pulak ko pernah dengar org seret mayat?! lenx buat lh perbandingan sprt org seret guni berisi beras ke, semen ke, kelapa sawit ke… ni mayat pula..confirm ceta tipu…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.