9 Kuntum Bunga

9 Kuntum Bunga

2017
Malam tu aku bermimpi berada dalam satu rumah kayu berlantaikan tanah. Rumah tu aku gambarkan bersederhana luas, berbumbung tinggi, ada banyak bilik dan terdapat satu meja makan yang diperbuat daripada kayu ditengah ruang tamu.

Aku perhatikan penghuni rumah tu ada beberapa orang budak dalam lingkungan 6 tahun macam tu, orang dewasa pula aku tak berapa ingat sangat yang aku tahu ada sorang makcik yang tengah sediakan makanan atas meja, dan datang seorang lelaki muda dalam awal 20an dan terus duduk kat meja makan tadi. Mereka semua langsung tak hiraukan kehadiran aku kat situ, dan aku perasan makcik dan lelaki tadi tu tunduk je, muka pun tak tunjuk sebarang reaksi apatah lagi nak bercakap.

Masa tu perasaan aku dah lain macam, aku dah mula sedar yang mereka semua tu bukan dari dunia aku. Aku pandang muka mereka satu persatu dan aku nak cakap aku nak balik. Tapi sumpah satu ayat langsung tak keluar dari mulut aku, Kiranya macam tekak aku dikunci m**i.

Lelaki tu sebenarnya berminat dengan aku, dan dia nak aku stay kat tempat dia. Dia janji kehidupan aku kat situ akan sama macam dekat dunia asal aku. Aku diberi kebebasan kesana sini, bersosial, shopping.. Yess! Shopping. Shopping maksudnya mesti ada mall kan? Hmm, masalahnya mall yang ada kat situ di tengah hutan, dah lah tak ada orang, pekerja boleh dikira dengan jari, kiranya macam aku sorang je kat situ. Barangan yang ada cuma dipamer tanpa penjual.

Ada satu masa tu aku diajak oleh seorang gadis yang tinggal dihujung kampung untuk datang bermain dirumahnya. Sepanjang perjalanan tu aku terserempak dengan sepasang suami isteri orang putih berpakaian trek jungle dan mengalas bagpack dibelakang masing-masing. Aku tengok muka mereka dalam keadaan kebingungan memandang sekeliling sambil berkata sesuatu. Aku tak tahu apa yang mereka bualkan sebab aku tak dengar apa-apa yang keluar dari mulut mereka, tapi aku pasti mereka tersesat masuk ke sini. Aku berniat nak tolong, tapi aku batalkan je lah niat tu sebab nak tolong macam mana, aku sendiri tak tahu cara nak balik ke dunia asal aku.

Semasa kat rumah gadis tu kami cuma bermain buaian yang dipasang dibawah kolong rumahnya. Kami hanya bermain tanpa bersuara dan masing-masing diam. Ya, sepanjang aku kat sini tak ada sorang pun yang pernah bersuara ataupun berkomunikasi dengan aku. Termasuklah lelaki yang aku maksudnya awal-awal tadi. Mereka disini berkomunikasi menggunakan telepati dan naluri. Kiranya mereka membaca fikiran masing-masing untuk memahami antara satu sama lain, dan aku pun tak terkecuali untuk berkomunikasi macam mereka.

Sedang aku sibuk menghayun buaian tiba-tiba gadis tu pandang aku dan terus menapak naik keatas rumah tinggalkan aku sorang-sorang kat bawah. Mungkin mak dia panggil kot, aku bermonolog sendiri. Aku suka dengan kawasan rumah gadis tu, kawasan rumahnya tak macam tempat lain, tempatnya hijau dan lapang, tak suram macam kebanyakan tempat kat kampung ni. Cahaya matahari pun terang je. Aku perasan sepanjang aku kat sini siangnya tersangat lah panjang dan tak pernah malam. Rasanya macam dah berhari-hari. Tu yang aku pelik, kitaran masa di sini tak sama macam dunia kita yang asal. Sehari disini macam 3 hari di dunia sebenar.

Tipulah rasa nak balik rumah tu tak ada, aku dah keliru macam mana nak keluar dari sini. Tempat ni rasa kosong, sepi, suram. Cantik dan elok macam mana pun tempat dan kehidupan yang dijanjikan takkan sama dengan tempat asal aku. Masa aku syok2 layan perasaan sedih tiba-tiba muncul seorang wanita berjalan kaki ke arah aku. Aku kira-kira umur wanita tu dalam pertengahan 30an, cara dia berpakaian pun agak berbeza dengan penduduk kampung disini, nampak lebih klasik dengan mengenakan kebaya pendek berkain batik, dan lebih menarik perhatian aku dia memakai terompah dan payung yang diperbuat daripada kertas, macam dalam filem P. Ramlee pula.

Dia berhenti menapak dan berdiri jauh dari aku. Kami saling berpandangan. Aku cuba tebak isi hati dia, tapi kosong. Aku rasa pelik. Dia lambai tangan suruh aku datang dekat. Bila aku mendekat baru dia tersenyum. “Mau balik rumah? ” ringkas dia bersuara. Aku mengangguk pantas. Aku rasa keliru tapi aku abaikan sebab keinginan aku nak balik lebih menebal waktu tu.
“Kalau mau balik rumah, carikan aku 9 kuntum bunga. Kumpul kesemuanya dan bagi kepada aku. Tunggu saja aku disini”. Itulah syarat yang wanita tu bagi. Lepas sahaja aku dengar syarat yang dia bagi, aku dah mula berputus asa. Mana tidaknya selama aku di sini aku langsung tak nampak sekuntum bunga pun, apalagi pokok bunga. Lama aku berfikir, mana nak cari semua bunga-bunga tu, 9 kuntum tu terasa banyak sangat. Walau apapun terjadi aku tetap kena cari bunga-bunga tu, aku nak balik!

Gadis tadi datang mendekati aku. Aku pandang dia dan berharap dia faham apa aku nak sampaikan. Aku bersyukur dia nak tolong aku carikan bunga-bunga tu. Katanya dia pernah nampak bunga tumbuh dikawasan rumahnya. Dipendekkan cerita, bersungguh jugalah kami berdua nak dapatkan bunga sebanyak yang boleh. Seingat aku bunga yang aku petik ada berwarna merah, oren, kuning, ungu dan macam-macam lagi. Dan part melucukan bila bunga plastik yang digunakan untuk bungkus telur masa kenduri kahwin pun kami kumpul juga. Dah wanita tu kata 9 kuntum, bukannya 9 jenis kan.

Dalam tempoh yang singkat kami berjaya juga kumpulkan 9 kuntum bunga, termasuk bunga plastik tadi,hehe. Aku tunggu wanita tu ditempat yang sama yang dia janjikan. Gadis tadi dah balik ke rumahnya. Walaupun kami tak banyak berkomunikasi, aku rasa dia sorang je yang baik hati dan boleh dibuat kawan. Aku tak terfikir nak balik ke rumah family yang aku tinggal kat situ. Kemungkinan kalau aku balik pun aku akan dikurung, sebab mereka boleh baca isi hati aku. Mereka nak aku tinggal kat rumah tu tapi tak layan aku selayaknya sebagai tetamu, aura mereka dingin.
Aku disapa oleh wanita tersebut dari arah belakang. Penampilannya sama seperti mula-mula kami bertemu, cuma kali ni tanpa payung kertas. Mungkin sebab langit semakin gelap dan nak malam. Aku jadi teruja dan tidak sabar. Aku duduk melutut ke tanah dan tunjukkan kesemua bunga tadi. Dia juga melutut ke tanah sambil meneliti kesemua bunga tersebut. Dia mengukir senyuman dan serta merta aku terjaga dari tidur.

Agak lama aku melihat sekeliling untuk memastikan aku betul-betul berada dirumah. Mimpi terasa seperti berhari-hari. Aku tak tahu berapa lama aku tertidur yang pasti aku terjaga tengah malam. Lama aku berfikir sama ada nak sambung tidur balik atau tak, takut kalau tersesat balik ke tempat tu. At last aku tertidur juga malam tu dan Alhamdulillah takda apa-apa yang berlaku.

Januari 2023
Baru-baru ni aku bersama dua orang mak saudara aku pergi ke hutan berdekatan dengan rumah untuk ‘meramu’ atau memungut hasil hutan. Macam-macam kami dapat dan yang paling banyak sekali adalah rebung buluh dan cili padi. Penuh plastik kecil kami dengan cili yang masak ranum. Aku yang jarang masuk hutan rasa puas hati dan bangga tengok plastik yang aku jinjit penuh dengan cili yang aku petik tadi.

Sebelum tu aku dah plan lepas meramu nak mandi sungai pula. Memandangkan langit cerah matahari pun panas terik, elok sangatlah berendam kejap dalam sungai kan. Maka berendam lah kami bertiga dengan kedalaman sungainya cuma separas lutut. Bermacam aksi yang kami lakukan dan sekali sekala kami memecahkan kesunyian dengan gelak ketawa kami. Lunas juga hajat aku nak mandi sungai setelah sekian lamanya, seingat aku kali terakhir aku mandi sungai masa aku kecik-kecik dulu.

Malam tu aku dapat satu mimpi. Dalam mimpi tu aku duduk diluar lobi bangunan yang aku tak pasti bangunan apa. Kawasan lobi tu ada ramai orang yang lalu lalang, ada juga yang keluar masuk ke dalam bangunan tu. Aku tak tahu apa tujuan aku ada kat situ, tapi yang pasti aku cuma duduk bersantai-santai melihat orang yang sibuk kehulu kehilir.

Aku duduk disalah satu bangku yang memanjang yang ada di sudut lobi, aku perasan baju yang aku pakai agak pelik, macam baju punjabi dan berwarna kuning. Pelik juga tapi rasa macam woww gitu sebab nampak cantik dan rare. Tengah aku bersantai dengan kaki bersilang dan tangan tongkat dagu, ada sorang lelaki yang elok berjalan menuju ke pintu utama bangunan tu berhenti secara tiba-tiba selepas dia terpandang kat aku. Dia punya terkejut tu aku tak dapat nak gambarkan. Dia macam tak tenang, muka diraub dengan tapak tangan, dia seolah-olah speechless bila nampak aku kat situ. Rasa macam nak lari lepas dia datang dekat dengan aku, malangnya badan aku rasa macam kena gam tak boleh nak gerak, seolah-olah aku pasrah je dengan keadaan tu.

Dia tengok aku dari atas ke bawah, reaksi dia masih sama, terkejut dan tak percaya aku ni ada didepan mata dia. Tangan aku dia genggam, lepas tu dia tanya aku pergi mana selama ni, puas dia cari aku dan baru sekarang aku muncul. Macam-macam lagi dia tanya tapi aku tak ingat dah. Aku pula terdiam seribu bahasa satu perkataan pun tak terluah. Otak aku ligat berfikir, dia ni siapa sebenarnya. Rasa macam kawan lama, tapi aku tak kenal dia. Memori aku pasal lelaki ni tak berapa nak jelas.

Fikir punya fikir aku tak sedar dia bawa aku ke satu bilik kecil macam lokap. Dia suruh aku duduk situ diam-diam dan tunggu dia datang semula. Aku pula langsung tak buat apa-apa, tak membantah, tak juga menolak dengan apa yang dia suruh. Diam je tak bercakap sepatah kata. Dia kunci aku kat dalam tu siap arahkan sorang guard untuk tengokkan aku dan jangan bagi aku terlepas.
Aku tengok lelaki tu dah jauh sikit dari situ, aku dengan tenang berjalan menembusi palang besi bilik tersebut. Aku pelik, entah macam mana aku boleh terfikir cara tu. Bila aku lalu depan guard pula dia langsung tak nampak aku. Tiba-tiba pula aku jadi halimunan. Tanpa buang masa aku cabut lari dari situ, pada masa yang sama aku tertanya-tanya apa akan jadi dengan lelaki tu bila dia tau aku dah terlepas. Aku bercadang nak tunggu sekejap dan sembunyi dibalik dinding.

Tak berapa lama lepas tu dia muncul. Aku perhatikan dia dari jauh. Tindakan lelaki tu jauh dari apa yang aku fikir. Cukup jelas lelaki tu menunjukkan perasaan kecewanya. Nampak dia hilang kawalan, dan mundar mandir di dalam bilik yang dia kurung aku tadi. Guard tadi pun nampak kebingungan. Kesian. Itu je lah yang mampu aku gambarkan masa tu.

Berhari-hari juga aku fikirkan tentang lelaki dan mimpi tu. Buat apa kerja pun tak senang. Fikir punya fikir sampailah aku teringat tentang mimpi 9 kuntum bunga tu. Lelaki tu! Lelaki yang nak aku stay kat tempat dia. Bila aku dah dapat kaitkan pasal mimpi tu rasa macam satu renjatan eletrik menjalar diatas kulit muka aku. Perasaan aku tiba-tiba rasa lain macam. Aku memang tak cam muka lelaki tu, tapi aura dia aku ingat, dingin dan buat aku tak selesa, rasa macam nak larikan diri je.

Banyak perubahan yang aku nampak kat tempat tu, penduduk makin ramai, pakaian pun dah moden. Walaupun kebanyakan mereka masih mute, tapi lelaki tu dah pandai bercakap menggunakan vokal.

Puas juga aku fikir apa punca aku boleh jumpa lelaki tu dalam mimpi semula. Terdetik kat hati aku mungkin sebab siangnya aku ada masuk hutan dengan mak sedara aku, siap mandi sungai bagai. Sebelum ni aku masuk ke hutan tu tak pernah lagi lah aku mimpi yang bukan-bukan. Berkemungkinan suara kami semasa mandi sungai pada masa tu telah menarik perhatian penghuni yang tinggal disekitar kawasan situ. Termasuk lelaki tu. Jadi nak dikatakan mereka tu orang bunian pun aku tak berani, sebab kehidupan mereka yang ada dalam mimpi aku tak ada beza dengan kehidupan kita. ‘Sama tapi masih Berbeza’

Itu sahaja kisah yang aku nak share untuk pertama kalinya kat Fiksyen Shasha. Harap para pembaca suka. Kalau pihak FS publish kisah ni dan ramai yang suka, aku nak up lagi kisah-kisah seterusnya di masa akan datang. Sekian,

Sang Pemimpi★

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Sang Pemimpi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 77 Average: 4.4]

2 thoughts on “9 Kuntum Bunga”

  1. Ini sebuah pengalaman mimpi yg agak rare bagi aku, sebenarnya aku juga pernah mengalami situasi semacam ni maksudnya hal hal yg tak dapat diungkapkn dengan jelas kenapa boleh bermimpi begitu dan jelas ini luar biasa bagi aku. Aku juga pernah alami dan aku mohon maaf mmg hasrat hati ingin menyampaikan ke fiksyen shasha tapi aku mengalami kesukaran utk menulis, maksud aku tak pandai menyusun ayat2 supaya pembaca dpt memahami dgn jelas dan aku tak tahu bagaimana nak mulakan. Pendek kata jika aku menulis pasti berterabur dan akan terjadinya hasrat penceritaan tidak match dengan penulisan sangat sedih bagi aku perkara semacam ini…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.