#Nana- Misteri Kilang Di Seksyen 16

  • MISTERI KILANG DI SEKSYEN 16 –

Assalamualaikum untuk semua yang sudi membaca penulisan ku, sahabat baru dan yang lama. Disini ada beberapa kisah yang ingin aku kongsikan. Berdasarkan kisah benar, kisah seram suam-suam kuku. Diharapkan sudi-sudilah membacanya dan ini kisahnya….

…………………………………………….

Beberapa tahun lalu, aku pernah bekerja di kilang bertempat di seksyen 16 Shah Alam. Bekerja bersama-sama dengan emak. Sebab emak aku line leader di kilang itu. Kilang membuat botol bedak Jonhson and Jonhson, Syampu dan macam-macam botol lagi. Untuk tidak membuang masa di rumah setelah tamat tingkatan 5 sambil menunggu keputusan SPM, emak mengambil keputusan untuk bawa aku bekerja bersamanya di kilang itu. Sebagai remaja yang teruja kerana dapat bekerja ( terujalah sangat ) apatah lagi bekerja bersama dengan emak, aku pun turut pelawa sahabat baik aku Anne yang berasal dari Johor untuk bekerja bersama-sama dengan ku. Sebenarnya Anne tinggal bersama dengan abang dan kakak iparnya di Meru. Jadi, sudah tentulah seronok bekerja bersama-sama dengan orang yang rapat dengan kita.

Berbalik pada kilang di tempat aku bekerja tu, ada pelbagai kisah seram yang sentiasa menghantui pekerja di dalam kilang itu. Menurut cerita dari orang-orang lama yang bekerja di kilang tersebut, sebenarnya kilang itu mempunyai pelbagai kisah seram kepada mereka yang pernah mengalaminya. Antara orang lama yang pernah mengalami dan bercerita tentang kejadian seram itu ialah kak Maiza, kak Tipah dan wak Nan.

Menurut kak Maiza, pernah dia dan seorang lagi kawannya Fauziah mengalami kejadian yang agak menyeramkan beberapa bulan lalu sebelum aku mula kerja di kilang itu. Ketika itu dia dan kak Fauziah bekerja shift malam. Seperti biasa, kak Maiza dan kak Fauziah akan masuk ke dalam tandas untuk mencuci tangan. Ya, ia berlaku di dalam tandas. Tandas hujung itu tidaklah besar mana, hanya mempunyai tiga kubikel sahaja. Kebetulan hanya kubikel yang di bahagian tengah sahaja bertutup manakala kubikel kiri dan kanan memang sudah terbuka. Sedang leka kak Maiza dan kak Fauziah bersembang sambil menyental tangan yang kotor kerana mengelap botol yang di reject menggunakan cecair peluntur. Tiba-tiba… mereka terdengar suara orang seperti sedang muntah.

UWEKK…!!!

UWEKKK….!!!!

UWWEKKKK….!!!!!!

Seperti muntah yang banyak!

Kak Maiza dan kak Fauziah memandang antara satu sama lain. Sembang mereka yang rancak sedari tadi, kini tenggelam dek kerana suara orang muntah itu tadi. Kemudian masing-masing mula membisu. Terkedu kak Maiza mendengar suara orang yang sedang muntah itu. Muka kak Fauziah pun sudah semacam apabila mendengarkan suara muntah itu tadi. Loya tekaknya saat ini.

Kak Maiza langsung tidak perasan bahawa ada orang di dalam kubikel tengah itu. Sedangkan dari awal masuk ke tandas tadi, dia dan kak Fauziah langsung tidak mendengar suara orang berdehem atau bunyi setitik air pun di dalam kubikel tengah itu walaupun pintu kubikel itu bertutup rapat. Tetapi kak Maiza tetap bersangka baik, berkemungkinan orang di dalam kubikel tengah itu, berak batu. Mungkin terasa segan nak mengeluarkan suara terannya. Mungkin juga. Tetapi kak Maiza dan kak Fauziah mengabaikan sahaja suara orang muntah itu.

Mereka sambung semula bersembang dengan pelbagai topik artis terkini ketika itu. Kemudian tidak lagi kedengaran suara orang muntah. Namun sedang kak Maiza dan kak Fauziah bersembang diselang seli dengan ketawa sehingga memecah suasana sunyi di dalam tandas itu, kedengaran suara seseorang sedang ketawa di dalam kubikel tengah itu lagi. Seperti “dia” sedang ketawa bersama dengan mereka. Seolah-olah mencuri dengar topik lawak yang sedang di bincangkan kak Maiza dan kak Fauziah.

Sekali lagi mereka berpandangan. Berhenti sahaja mereka ketawa, maka suara seseorang ketawa itu juga turut berhenti. Sunyi kembali. Memandangkan kak Maiza merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena, terus sahaja dia mendekati pintu kubikel tengah itu lalu menolak kuat pintu itu hingga terbuka luas.

Sah! Pintu tidak berkunci tetapi hanya tertutup rapat sahaja. Namun, di dalam kubikel tengah itu kosong! Tiada sesiapa! Habis tu, suara siapa yang muntah dan ketawa tadi?

Tanpa berfikir panjang, kak Maiza dan kak Fauziah terus keluar dari tandas tersebut.
Kak Maiza kata…

“Tak kuasa aku nak ambik tahu siapa yang ada kat dalam tu. Tak berani aku!!”

Ada sesiapa yang hendak tahu siapa yang ada di dalam tu…?

…………………………………………………….

Kisah ini diceritakan oleh kak Tipah pula ketika baru bekerja di kilang itu.

Kejadian ini berlaku di dalam surau kilang di tingkat atas. Ketika itu kak Tipah hendak menunaikan solat Asar. Waktu ini dia bersendirian, sebab perlu bergilir-gilir untuk solat dengan pekerja lain. Di area surau ni memang sunyi. Tambahan pula kalau sudah masuk waktu petang hingga ke malam. Suasana area situ macam kelam dan gelap sebab terletak di bahagian atas dan terperosok sikit.

Sedang kak Tipah hendak sujud untuk rakaat kedua, dia terdengar seperti pintu surau di buka seseorang.

KRREEEKKK…….

Lepas tu…..

BAMMM!!!

Pintu surau seperti di tutup kuat, dengan cara menghempas pintu. Kemudian….

KRREEEKKK…..

Pintu seperti di buka lagi, kemudian….

BAMMM!!!

Di hempas lagi.

Saat ini kak Tipah sudah tidak tentu arah hendak solat. Hendak sampaikan hingga ke rakaat terakhir pun terasa lama. Rambut dan bulu tengkuknya terasa kembang dan hangat. Kata kak Tipah lagi, jantungnya bagai hendak luruh apabila mendengar dentuman kuat pintu surau itu. Seperti di tutup kuat oleh seseorang. Namun di gagahkannya juga sehingga rakaat yang terakhir.

Usai solat, kak Tipah terus pusing belakang dan memandang sekeliling. Tiada sesiapa yang kelihatan. Pintu surau pun bertutup seperti biasa. Tanpa berlengah, terus sahaja kak Tipah menanggalkan telekung dan melipat sejadah lalu terus keluar dari surau. Tetapi kak Tipah tetap tidak lupa untuk menutup pintu surau.
Kemudian sebaik kak Tipah berjalan beberapa langkah, tiba-tiba…..

KRREEEKKK……

BAMMM!!!!

Kedengaran pintu surau terbuka sendiri dan tertutup kuat seperti tadi. Mendengar sahaja bunyi itu, kak Tipah apalagi buka langkah seribulah. Selepas kejadian itu, kak Tipah pasti mengajak sesiapa untuk bersolat bersama. Tidak berani dia hendak bersendirian lagi, walaupun di siang hari.

Pada kak Tipah, tiada giliran untuk bersolat lagi. Mesti ada teman, katanya.
Ada sesiapa yang hendak temankan?

……………………………………………………

Kisah ini diceritakan oleh wak Nan. Berlaku padanya beberapa tahun yang lalu juga. Sebenarnya wak Nan pernah beberapa kali kena ganggu, tetapi kisah ini lebih rare sikit sebab dia nampak jelas sosok tubuh hantu itu.

Ketika itu wak Nan nak pergi surau. Untuk menunaikan solat Maghrib. Surau lelaki dan perempuan sebelah- menyebelah saja. Alhamdulillah, ketika sedang solat Maghrib tidak ada apa-apa gangguan. Semuanya okey.
Usai solat wak Nan keluar dan terus menutup pintu surau seperti biasa.

Namun dalam beberapa langkah wak Nan berjalan menuju ke tangga, dia ternampak ada sosok seorang sedang berdiri ditengah-tengah kantin. Kalau malam kantin memang tak buka, esok pagi baru kantin buka semula. Walaupun begitu wak Nan langsung tidak syak apa-apa, boleh jadi pekerja yang datang tumpang makan sambil bawa bekal atau beli dari luar. Memang sudah biasa macam tu.
Tetapi, siapa perempuan tu? Ya, sosok seorang perempuan yang wak Nan nampak. Berbaju kebaya putih dan rambut panjang paras pinggang. Wak Nan langsung tidak pernah melihat perempuan itu. Pekerja baru ke? Kenapa dia berdiri sahaja ditengah-tengah kantin tanpa sedikit pun pergerakkan sambil memandang ke hadapan. Khusyuk benar pandangannya. Entah apa agaknya yang dipandang oleh perempuan itu, sehingga wak Nan yang sedang perhatikannya pun dia tetap buat tidak tahu.

Terdetik hati wak Nan untuk pergi bertanya. Lalu wak Nan berjalan perlahan kehadapan. Tidak terlalu hampir, cukup hanya sekadar dapat melihat dengan lebih jelas sahaja. Adalah dalam 5 meter jaraknya. Kemudian terus sahaja dia menyapa perempuan itu.

“Dik, orang baru ke? Shift malam ye?”

Ada riaksi terperanjat oleh perempuan itu. Seolah-olah lamunannya terhenti dek sapaan wak Nan tadi. Namun dengan tanpa memandang ke arah wak Nan perempuan itu terus berjalan laju menuju ke bahagian dapur kantin. Buntang mata wak Nan apabila melihat tindakan perempuan itu.

Apa tidak buntangnya mata wak Nan ketika itu, dengan sapaan mesra wak Nan itulah dia dapat mengetahui bahawa yang di tegurnya itu bukanlah manusia tetapi hantu.

Sebaik sahaja wak Nan menegur perempuan itu dan kemungkinan perempuan itu turut terperanjat dengan sapaan wak Nan itu, terus sahaja perempuan itu melayang! Bukan berjalan, tetapi melayang dan terus tembus ke pintu dapur yang bertutup. Kantinkan tutup waktu malam, sudah tentulah pintu bahagian dapur bertutup kemungkinan berkunci sekali. Kata wak Nan lagi, bila dia tembus ke pintu dapur tu, terus tubuh perempuan tu terpecah seperti kepulan asap putih. Itu yang buntang mata wak Nan apabila melihat situasi itu.

Apabila ditanya pada wak Nan, cantik ke perempuan yang dilihatnya itu. Wak Nan kata, wajahnya macam perempuan melayu juga cuma putihnya lain macam! Putih pucat!
Kata pengawal keselamatan di situ, kelibat perempuan itu sentiasa ada walaupun company bertukar ganti. Kata orang-orang lama di situ, pernah ada kejadian rogol di kawasan itu sebelum kawasan perindustrian di bina.

Dahulu, dalam tahun 70 an kawasan perindustrian itu berbukit-bukau dan berhutan. Seorang perempuan ditemui mati didalam hutan itu akibat di rogol lebih dari seorang. Menurut mereka lagi, perempuan itu baru sahaja tiba di Selangor kerana baru mendapat pekerjaan. Pulang sahaja perempuan itu dari kerja dengan berjalan kaki seorang diri ketika waktu senja, menyebabkan kehadirannya telah menarik perhatian beberapa orang lelaki di kawasan itu, lalu perempuan itu di bawa lari dengan menaiki kereta. Lantas perempuan itu di seret masuk ke dalam hutan lalu di rogol secara bergilir-gilir. Mungkin itu salah satu puncanya. Tidak pasti kesahihannya kerana kisah ini dari mulut ke mulut.

Adakah kelibat perempuan itu masih ada? Entahlah…..

……………………………………………….

Kisah yang ini diceritakan oleh beberapa orang pekerja bangladesh.

Sebelum mereka dapat tempat tinggal yang sepatutnya oleh majikan, mereka diarahkan tinggal di dalam bilik tingkat atas kilang, berhampiran surau lelaki dan perempuan untuk mereka yang seramai 20 orang tinggal. Bilik yang dikatakan itu sememangnya cukup luas dan besar, cukup untuk mereka 20 orang tinggal. Sebab kata wak Nan bilik tu dipecahkan menjadi satu, itu yang jadi luas. Sebenarnya pekerja bangladesh ramai. Hanya yang 20 orang ni sahaja yang tidak dapat tempat tinggal. Sebab rumah yang majikan sewakan itu terlalu ramai yang duduk. Jadi majikan cuba mencari rumah sewa yang lain berdekatan dengan tempat kerja.

Hampir sebulan mereka tinggal di bilik atas tu. Boleh dikatakan setiap malam mereka diganggu. Bunyi pintu surau berdentum berkali-kali, macam yang kak Tipah kena. Kalau hendak kata salah seorang dari pergi solat sunat tahajud pada tengah malam tu, tidak juga. Walaupun ada antara mereka yang bekerja shift malam, tapi tak kanlah sampai hendak hempas pintu surau pukul 2 pagi sehingga berkali-kali. Kalau namanya berdentum, bukannya slow-slow. Kuat sampai bergegar pintu bilik diorang. Macam orang tengah marah sangat.

Bunyi orang berjalan dari luar bilik, sudah kerap mereka dengar. Tetapi seperti biasa, buka pintu sahaja, kosong. Tiada sesiapa di luar. Ada sorang mat bangla ni cerita, masa ni dia cuti, dengan alasan tidak sihat. Dia baring dalam bilik lebih kurang pukul 11 malam. Memang dia seorang dalam bilik tu, sebab ada rakan-rakannya yang kerja shift malam, ada yang turun ke bawah untuk makan. Bangla masa tu kalau aku tengok macam pasangan bercinta lagaknya. Aku perhatikan je! Hendak pergi makan pun sampai berpimpin tangan. Kejadahnya!

Bangla yang demam ni namanya Munir. Dia memang fasih berbahasa Melayu walaupun loghat bangla tu tetap ada. Tengah dia baring kat atas tilam tanpa katil, tiba-tiba dia terdengar bunyi orang berjalan sambil menyeret sesuatu di luar koridor. Dia fikir, mungkin itu kawannya yang balik nak mandi ke, nak solat ke, atau yang sudah habis makan. Masalahnya bunyi tapak kaki tu asyik ke depan belakang, ke depan belakang sambil menyeret sesuatu. Katanya macam bunyi rantai besi. Sambil jalan patah balik, jalan patah balik lagi. Tak tentu arah rupa gayanya. Munir ni pun bangun dari pembaringannya dan terus buka pintu.

“Eh! Sunyi saja. Tak ada pun orang?”

Itu yang si Munir ni pelik, sebab dia tengok tak ada pun orang dekat luar. Mungkin juga dia fikir, kawan dia nak perdajal dia. Kemudian dia tutup pintu sambung balik baring. Namun dalam dia sambung kembali baring di tilam, bunyi di luar kembali lagi bersambung. Berjalan mundar mandir di luar koridor sambil menyeret rantai besi.

Mendengarkan bunyi itu datang kembali. Si Munir hanya mampu menekup bantal dengan telinga sehingga matanya terlelap sendiri. Malas agaknya nak bangun. Tapi wak Nan tak puas hati terus tanya lagi pada Munir.

“Kenapa lu tak tengok lagi? Lu confirm ke itu hantu?”

“Saya confirm itu memang hantu. Dia seret rantai besi lalu depan bilik saya. Tapi saya buka tak ada orang. Kosong jugak. Rantai besi yang dia seret tu kan berat. Kalau saya buka, mesti dia tak sempat lari. Kalau lu tak percaya sama saya, malam ni lu boleh tidur sorang dalam bilik saya. Ada berani?”

Wak Nan menggeleng. Cukuplah sekali penampakan perempuan di kantin dulu. Tak mahu dia mengalaminya berkali-kali. Selagi boleh di elak, dia elak. Melainkan kalau nasib seseorang itu di ganggu berkali-kali.

…………………………………………………

Ok sekarang aku nak cerita pengalaman aku dan kawan aku Anne pula. Pengalaman seram suam-suam kuku. Bolehlah seramnya….

Masa ni bukan time rehat, tapi sebab mesin berhenti secara tiba-tiba mungkin ada botol tersangkut dekat bahagian dalam agaknya. Jadi bolehlah aku dan Anne berehat sekejap. Hendak luruskan badan. Rasanya dah dua jam duduk dekat kerusi dihadapan convayer sambil mengadap botol Jonsons je. Memandangkan emak terpaksa kerja lebih masa sampai pukul 8.00 malam. Jadi aku dan Anne bercadang hendak ke toilet untuk mencuci tangan. Jam sudah pun menunjukkan ke pukul 6.30 petang. Sambil tu aku dan Anne dengan bijaknya mengharap sangat agar mesin tu boleh rosak lebih lama lagi. Bolehlah aku dan Anne berehat sambil bersantai-santai di dalam toilet. Poyo betul bila aku fikirkan saat itu. Kejadahnya bersantai dalam toilet lama-lama.

Masa tu aku langsung lupa kisah yang kak Maiza ceritakan tu. Sumpah! Memang aku tak ingat langsung. Lagipun aku fikir baru pukul 6.30 petang. Apa ada hal, ya tak? Lagipun berdua, bukannya seorang diri. Masuk sahaja aku dan Anne dalam toilet, apalagi basuh tanganlah. Tepek-tepek bedak, kasi lagi tebal 2 inci ( kah kah, camnerlah rupanya tu) dan calit lagi lipstik bagi lagi merah menyala. Hambik kau! Dah boleh buat cop mohor!

Dalam ralit sangat sembang dengan Anne, barulah aku dan Anne terdiam seketika. Sebab tiba-tiba saat ini barulah otak aku dan Anne berhubung dengan cemerlangnya. Sebab dari tadi aku perasan kubikel tengah itu bertutup tetapi sekelumit bunyi pun tak ada. Lepas tu aku pandang Anne, Anne pandang aku. Sebiji macam cerita kak Maiza. Aku dah rasa seriau tahap babun walaupun masih tak dengar lagi suara orang muntah. Jadi untuk tidak menunggu lebih lama dan buang masa, aku dan Anne pun bercadang untuk keluar sahaja dari toilet tu. Namun sedang kami buka pintu hendak keluar, tiba-tiba terdengar bunyi orang ketawa halus dalam kubikel tengah tu. Bukanlah ketawa berdekah sangat, tapi ketawa halus macam jenis ketawa segan- segan nak keluar suara. Walaupun dia ketawa, tetapi seolah-olah seperti mengejek kami yang sedia takut ni. Seakan ketawa dia tu macam nak cakap….

“TAKUT KE…..? HI HI HI HI….”

…………………………………………….

Ini pun kisah aku dan Anne juga. Sebenarnya bukan kami sahaja yang mengalami. Sebelum ni ramai lagi pekerja di situ yang sudah terkena. Benda ni boleh buat rupa orang, dia menyamar.

Masa ni pun aku, emak dan Anne balik sampai pukul 8.00 malam. Memang kami selalu OT sampai pukul 8.00. Pukul 7.00 rehat sekejap untuk solat Maghrib. Sudah macam rutin. Tetapi bukan cerita fasal surau tu. Tetapi kisah selepas aku dan Anne solat Maghrib. Turun sahaja ke bawah usai solat Maghrib, kami bercadang nak lepak kejap dekat luar. Kiranya mengularlah kut. Bukan dekat luar sangat, dalam gudang tapi ada pintu besar boleh mengadap jalan raya yang masih dihuni kenderaan lagi. Sedang ralit meninjau kenderaan yang lalu lalang umpama seorang polis trafik yang tak dapat balik raya, aku terperasan sesuatu! Ada seorang lelaki tengah best melayan rokok masa tu. Sambil bersandar di timbunan kotak. Aku kenal lelaki ni. Dia selalu bawa forklift.

Aku fikir dia ni gila agaknya. Agak-agaklah hisap rokok dalam gudang, dekat dengan kotak pula tu. Aku cuit Anne sambil tunding ke lelaki tu. Lepastu Anne ajak aku, pergi dari situ, kononnya nak mengadu dengan wak Nan. Biarlah wak Nan yang lebih tua tegur lelaki tu. Sambil kami berjalan mencari wak Nan, tiba-tiba lelaki yang kami nampak hisap rokok tu ada dekat dalam sambil bawa forklift. Kami pun peliklah, sekejapnya dia ada dekat dalam kilang sambil pandu forklift lagi. Rasanya jalan dari gudang ke dalam kilang adalah laluan yang sama. Kalau lelaki itu sampai dengan cepat, mestilah dia akan berjalan melepasi kami dahulu. Betul tak?

Lepas tu untuk lebih meyakinkan lagi, aku pergi tanya sendiri pada lelaki yang pandu forklift tu.

“Bang, stop kejap!” Pinta ku dalam nada yang kuat sebab bunyi mesin membingitkan telinga.

“Ada apa dik?” lalu lelaki tu mematikan enjin forklift.

“Tadi abang ada hisap rokok kat luar sana tak. Dekat dengan kotak?” Soalan itu memang sengaja aku tanyakan.

“Bila masa abang hisap rokok dekat sana? Sekarang time abang bekerja dik. Nampak tak banyak kotak atas pelet abang nak angkut bawa masuk dalam lori. Agak-agaklah abang nak hisap rokok dekat sana! Bukan ke banyak kotak dekat sana. Buatnya terbakar nanti macam mana?” Berikut antara penjelasan lelaki itu.

Mendengar penjelasan yang boleh di rasakan munasabah dari lelaki itu. Aku dan Anne memandang sesama sendiri. Siapakah lelaki yang kami lihat itu? Rupa dan pakaiannya sama dengan lelaki itu. Tetapi di nafikan sekeras-kerasnya oleh lelaki tersebut.

Apabila kami ceritakan semula pada wak Nan….

“Itulah, lain kali jangan nak mengular. Waktu Maghrib jangan nak merayap tak tentu hala dekat dalam kilang ni. Dia boleh menyamar sesiapa pun. Nak mengular lagi ke….?”

Kami?

Dah tak berani nak mengular lagi!

  • Tamat –

#hasilkarya
#suhanamatlazim
#nana

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

19 thoughts on “#Nana- Misteri Kilang Di Seksyen 16”

  1. Alamak kak nana, ni bukan tahap suam suam suku nii seram dia.. Esok meiyo sambung baca, sampai je ketawa halus mcm ejek takut ke tu, terpaksa stop.. Seram sejuk semacam.. Hihi..

    Reply

Leave a Comment