Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika sekali lagi terpilih kisah saya ni untuk dikongsi bersama pembaca.
Ibu saya memang rajin berkongsi pengalaman hidup dia terutama semasa dia kanak-kanak. Ibu saya merupakan anak sulung daripada 7 orang adik beradik, 3 lelaki dan 4 perempuan. Semasa kecilnya, ibu dipelihara oleh atuknya, Tok Yem (datuk ibu) dan Tok Yam (nenek ibu) walaupun jarak rumah Tok Yem dengan orang tua ibu cuma sepelaung.
Kampung ibu saya ni boleh dikatakan diceruk. Hingga sekarang pun, jalan masuk ke kampung tu cuma muat sebiji kereta. Kalau terserempak dengan kenderaan lain, pandai-pandai la mengelak masuk ke semak untuk elak dari bertembung.
Masa zaman ibu saya masih kecil, jalan perhubungan utama dan terpantas jika mahu ke pekan adalah melalui sungai. Tok Yam rajin membawa ibu saya bersama sekiranya dia mahu ke pekan mencari barang rumah. Zaman tu (50 ~ 60-an), bukan selalu orang kampung ke pekan, setahun cuma dalam 4 ~ 5 kali je sebab kebanyakan barang harian disediakan sendiri. Tok Yem memproses sendiri gula, kopi, beras. Lauk pauk tiada masalah sebab sungai ada, ternakan banyak, dan tanah pun luas untuk bercucuk tanam. Jadi, bila Tok Yam menyatakan ingin ke pekan, macam satu keterujaan pada ibu saya.
Malam sebelum ke pekan, ibu saya (masa tu berumur dalam 6 ~ 7 tahun) ambil keputusan untuk menunggu Tok Yam di dalam sampan. Takut kena tinggal kononnya. Apabila Tok Yem dengan Tok Yam dah masuk tidur, ibu menyelinap keluar membawa selimut untuk tidur di sampan.
Menurut ibu saya, rasa takut kena tinggal lagi kuat dari rasa takut terserempak dengan hantu. Ibu tolak sampan kepunyaan Tok Yem ke dalam sungai. Ditambatnya ke tiang jeti dan dengan selambanya, ibu pun bergulung tidur dalam sampan. Tetiba ibu terasa sampan bergoyang. Takut juga dia pada masa tu sebab risaukan buaya. Ya, di sungai tu memang ada buaya. Kadang-kadang waktu awal pagi buaya ni naik bersidai di halaman rumah orang yang berhampiran dengan tebing sungai ni.
Ibu menjengah perlahan, mengintai dari selimut dia. Di bawah cahaya bulan, dia nampak air sungai begitu tenang. Tiada riak air yang menunjukkan kehadiran buaya di situ. Ibu cuba untuk sambung tidur sebelum dia terasa perahu bergoyang lagi. Dia dah mula berasa tidak sedap hati, perahu bergoyang, tapi air tidak beriak.
Ibu menyingkap selimut yang membaluti tubuh dia dan bangkit. Terkejut ibu apabila melihat sosok tubuh yang tegap dan gelap sedang memeluk kepala sampan. Lembaga itu menyerupai manusia, ada iras seperti Tok Yem tetapi berganda lebih besar dari manusia biasa dan Tok Yem tu putih melepak orangnya walaupun berjemur berpanas.
Ibu masa tu memang terkaku, hati dan akal menyuruhnya lari, tapi tubuhnya terbatu. Menyesal betul dia curi-curi keluar malam tu. Lembaga tersebut tidak bergerak, dia hanya berdiri dan teguh memegang kepala sampan tu. Ibu pada masa tu dah rasa macam semua isi perut dengan pundi nak terkeluar dah. Gila, berdepan dengan lembaga macam tu, dah la budak kecik lagi, memang gigil gila la dia dalam sampan tu.
Azan Subuh bergema, lembaga tersebut perlahan-lahan tenggelam masuk ke dalam sungai. Hilang je lembaga tu dari pandangan ibu, ibu terus melompat keluar dari sampan. Entah datang mana kekuatan dengan skill, dia boleh lompat lebih dua meter dari sampan ke jeti. Lepas dia lompat, ibu kata dia perasan yang sampan tu terumbang-ambing sampai macam nak terbalik. Tapi tak adanya ibu berani nak tunggu. Dia terus cabut pulang ke rumah. Kain selimut yang berterabur pun tak dipedulikannya.
Tok Yam terkejut bila ibu tiba-tiba muncul di pintu dapur bila dia mahu turun mengambil wudhu’. Dia tak perasan pun cucunya tu tak ada di rumah. Ibu terus mengadu dengan Tok Yam apa yang dialaminya. Tok Yam tak tunjukkan reaksi terkejut atau takut, dia cuma cakap; “Haaa…nasib baik dia tak angkut ko balik dengan dia. Dia belum kenal ko, tu yang nak kenal-kenal tu.” Kecut hati ibu dengar Tok Yam cakap macam tu.
Bila terang tanah, Tok Yam pun mengajak ibu menemaninya ke pekan. Tok Yem balik saja dari surau, memang terus ke bendang. Ibu, selayaknya anak kecil, rasa nak berjalan-jalan lagi kuat dari rasa takutkan hantu. Dia mengekori Tok Yam ke jeti untuk bertolak. Dalam hati berdebar juga, bukan sebab takut lembaga tu ada lagi, tapi takut sampan terbalik dan tenggelam akibat terjahan dia semasa melompat keluar dari sampan tu. Mahu mengamuk Tok Yem nanti kalau sampan tu rosak.
Ibu terkejut bila lihat sampan tu molek terikat di atas tebing sungai dan tak basah langsung. Dia sangatlah pasti tiada sesiapa di jeti tu semasa dia melarikan diri. Kalau ada insan yang tolong tarik sampan tu ke darat pun, takkan sekejap je sampan tu boleh kering. Tambahan pula, selimut yang dibawa molek berlipat dan diletak di atas sampan padahal bertabur selimut tu masa dia mencicit lari.
Ibu hanya mendiamkan semua persoalan dalam hati apabila melihat Tok Yam berlagak seperti biasa. Tak mahu menanggung risiko dimarahi jika dibangkitkan persoalan tu semua. Orang tua, kalau banyak sangat soal ada yang baik-baik tadi dia tak marah tindakan ibu tidur kat sampan, boleh diungkit balik nanti. Ada yang dari dapat ikut pergi ke pekan, marah punya pasal, ditinggal dia kempunan sendiri.
Ibu beritahu saya lembaga itu mungkin memang penghuni sungai tu. Ada yang membela atau dia memang asal dari situ, ibu saya pun tak pasti sebab selepas kejadian tu, ibu memang taubat dari pergi ke sungai tu bersendirian terutama di waktu malam. Tok Yam pun tak ada bercerita lanjut lagi pasal lembaga tu mahupun bagkitkan pasal tindakan ibu saya malam tu pada sesiapa. Cuma hingga sekarang ibu masih tertanya kenapa raut wajah lembaga itu seiras dengan Tok Yem. Nak ditanya pada Tok Yem, memang tak berani, garang wooo walaupun dia sangatlah sayang dan manjakan ibu saya.
Maaflah ye kalau agak bosan. Saya cuba bercerita balik apa yang dikongsi oleh ibu saya secara santai. Jika ada kesempatan lain, saya cuba kongsikan lagi kisah-kisah ibu saya.
Sekian,
Makcik Otomen
I like.
Best!
Daripada cerita awak ni mcm Tok Yem awk ada membela. Sb tu dia menyerupai tok yem awk. Org zmn dlu kn biasa gune bnde2 ni utk jage kwsn rmh, kwsn bendang. Lgpun dia tlg simpankan perahu n selimut awk. Pendapat sy la. Xsemestinya betul.
Ikutkan cerita macam benda tu menjaga kan
comeynyanama..macik otomen😂😂
tu la pasal….kelakar nama penulis ni…hihi
Best!
ok la…..best cite nie
mcm penjaga.. sb muke iras Tok Yem.
Best2… true story always intriguing makcik otomen
rse nye penjaga…mcm yg tok yem kate..nk kenal2. tu yg die munculkan diri. klo takat jaga dri dlm air mungkin dia takkan keluar tggu kat kepala sampan.
berani gile tido dalam sampan sesorg…
Org dulu2 mmg mcm2 mmbela…walaupun agama masih cetek..tp semua tu utk kebaikan demi keluarga nya…
Sama lah dgn atok saya…cuma masalahnya bila tuan punya bdan dah tak ada…mula lah usik ank cucu minta utk bertuan baru…no no no…
Makcik otomen tak fire dia ke masa nmpk hantu tu…
Daebakkkk
Aku suka dia ni cerita..jujur.