Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca FS. Terima kasih kepada admin jika cerita ni disiarkan di page FS.
Kisah terjadi semasa aku menyambung pengajian di sebuah kolej matrikulasi yang terletak di selatan tanah air. Sebelum aku mulakan cerita, aku akan terangkan serba sedikit tentang kawasan kolej kediaman yang aku duduki.
Kolej kediaman aku berada di tengah – tengah antara 6 buah kolej kediaman yang lain. Kolej kediaman aku dipisahkan dengan satu padang kecil antara kolej kediaman yang lain. Bilik aku terletak di tingkat ketiga bersebelahan dengan padang tersebut. 4 buah katil dan almari, 2 buah katil berada di tepi pintu bilik manakala dua buah katil lagi berada di tepi tingkap tapi dipisahkan antara almari pakaian. Aku memilih katil di tepi tingkap, lebih selesa kerana mempunyai sedikit ruang privasi. Melalui tingkap tu, aku dapat melihat padang kecil yang aku sebutkan tadi dan juga bangunan kolej kediaman yang lain. Teman sebilik aku, Nana dan Mimi yang memilih katil di sebelah pintu, dan Siti, katil di sebelah tingkap sama seperti aku. Okey, cukuplah dengan penerangan tentang kolej kediaman dan bilik aku ni.
Malam itu, aku membuat kerja seperti biasa. Lebih kurang jam 11.50 malam, aku sudah mengambil tempat untuk tidur. Mimi sudah lena tidur diulit mimpi. Nana masih tekun menelaah buku. Siti pula, aku tak tahu apa yang dia lakukan waktu itu kerana tempatnya terhalang dengan almari pakaian yang berada di antara katil kami berdua.
Baru saja melelapkan mata, aku terdengar suara Siti terjerit kecil. Mata dibuka, gelap. Aku mencapai telefon bimbit di sebelah membuka flash light. Masa menunjukkan jam 12 tengah malam. Aku lihat Siti sudah terduduk di sebelah katil Mimi. Terkejut kerana lampu terpadam tiba – tiba. Aku membuka pintu bilik. Seluruh kawasan kolej kediaman yang gelap gelita diterangi dengan lampu suluh dari telefon bimbit penghuni kolej itu. Suasana di luar riuh rendah. Aku masuk semula ke dalam bilik. 5 minit kemudian, lampu menyala semula.
Disebabkan aku terjaga dari tidur yang tak sampai 10 minit, mata aku jadi segar. Dah susah pula nak tidur balik. Jadi aku teruskan melayan youtube sampai hampir pukul 3 pagi. Teman sebilik yang lain sudah lena dibuai mimpi.
2.45 pagi, mata sudah letih menatap skrin telefon dalam gelap. Telefon diletakkan di tepi bantal. Elok saja aku pejamkan mata, terdengar pula bunyi lolongan anjing yang kuat. Sangat – sangat kuat seolah – olah anjing itu berada betul – betul di sebelah tingkap bilik aku. ‘Ah, mana datang pulak anjing ni?’
Serentak itu, aku terdengar bunyi riuh rendah di sebelah tingkap. Seolah – olah penghuni di aras bawah dan kolej kediaman di sebelah padang mengadakan parti sampai lewat malam. Aku fikir, mungkin ada lagi penghuni yang masih belum tidur sebab belajar sampai lewat malam. Tapi tak logik lah buat bising berbual – bual pukul 3 pagi macam ni? ‘Ahhh, tak de apa – apa lah, biasalah tu student matrik mana kenal siang malam.’ ayat nak tenangkan hati sendiri.
“heeeeeeeeee hee heee heeee” Suara ilaian nyaring dan panjang pula kedengaran. Lolongan anjing liar juga semakin kuat kedengaran di sebelah tingkap. Dah sudah bukan dia dah ni! Cepat – cepat aku capai earphone dan telefon bimbit. Surah Al-Mulk dibuka. Walaupun volume aku letakkan pada paras yang paling tinggi, aku masih boleh mendengar hilaian dan lolongan anjing yang kuat dan memanjang. Aku kaku di atas katil. Tak berani bergerak walau seinci pun. Mata dipejam rapat. Sedar – sedar saja jam loceng berbunyi dan lampu bilik sudah terbuka terang.
Dua hari aku mendiamkan diri, tak berani nak ceritakan pada teman sebilik yang lain sebab risau mereka akan jadi takut. Sebenarnya bukan aku seorang sahaja yang mendengar bunyi macam – macam malam itu. Siti yang katilnya di sebelah tingkap pun terdengar bunyi yang sama. Bila diceritakan pada Nana dan Mimi, semua jadi takut. Sudahnya tiada siapa yang berani tidur lewat. Tapi Alhamdulillah, aku tak ada kena gangguan lebih teruk dari itu. Itulah kali pertama dan terakhir aku terkena gangguan sepanjang aku duduk di Kolej Matrikulasi
Nasib dia tak tunjuk muka . Mau tak boleh belajar nanti
“Bagi aku “E””…”EEeee..Eeee..Eeee..”. -agaknya cmtu la situasi masa tu
😨
nasib dy bg bunyi jer kalo dy muncul…jenuh lah
tapi seram gak kalo dengar mengilai..
mahu tak seram….nasib cik syu ni ade gak sempat pakai ear phone kan…ade laa jugak modal buat lena tido..hehe
Sbnrya pd mama bunyi anjing pun dah seram..sbb fobia masa sek dulu…
Aku cukup fobia kalau dgr anjing melolong..serammmm nokkkk
“Dia” nak cari kawan borak kot..
sebut jer pasal kolej kediaman pelajar mesti ade cerita di tempat belajar masing2 kan…pengalaman mistik terutamanya akan terkena pada sesiapa saja…atas kite pulak berani ke tak nak hadap…xder ke lagi cerita lain yg terjadi kat matrik tu?
itu jer?