Assalamualaikum pembaca setia FS dan selamat sejahtera, sis ada nak kongsi satu kisah benar. Perkara ni terjadi 2-3 tahun lalu, lokasi kejadian dirahsiakan. Kisah ni diceritakan oleh sahabat sis. Jom kita sama² ikuti kisah ni.
Aku pada penceritaan ni ada lah member sis tu ya untuk korang lebih faham dan menghayati kisah ni.
Riang suara kanak-kanak bermain di taman permainan itu. Riuh! Ada yang memanjat monkey bar, ada yang sedang bermain kasut roda, ada tengah bermain jongkang-jongket dan berbasikal. Mujur juga taman itu agak lapang dan besar.
Ibu bapa pun selesa tengok anak-anak bermain. Ada disediakan bangku-bangku di bawah pokok. Bolehlah berehat sambil tengok anak-anak beriadah. Aku? Belum kahwin lagi, bawalah adik-adik. Jadilah tu.
Langit dah mula berubah warna, merangkak ke waktu senja. Budak-budak ni tak nak balik ke? Bising pulak mak nanti kat rumah tu.
Aku mengatur langkah mendekati adik-adikku. Ada seorang nenek sedang berbual dengan mereka. Ditangannya ada satu bakul entah apa isinya. Awal pula penduduk lain bawa anak-anak mereka balik. Tinggal aku dan adik-adik je disitu.
“Qimi, Emir! Jom balik!” teriakku. Nenek itu memandangku sambil tersenyum sinis. Cuma nampak bibirnya kerana separuh wajahnya dilindungi kain batik yang dijadikan tudung. Aku mengintai bakul itu, ada beberapa kotak susu didalamnya.
“Dik, kamu nak beli susu? Tak mahal pun, belilah..” tanya nenek itu padaku.
“Nek, maaf ya. Saya tak bawak duit lebih petang ni, dah habis beli jajan untuk adik-adik awal tadi,” aku memberitahu. Riak wajahnya berubah.
Aduh.. Aku salah cakap ke? Maafkan saya nenek, saya betul-betul tak bawak duit lebih hari ni, ucapku dalam hati.
“Tak apa, nenek sedekah pada kamu. Bagilah adik kamu minum nanti..” kata nenek tua itu pula. Aku pulak yang terkejut dengan kata-katanya. Adik-adik aku dah terkinja-kinja dengar nenek tu cakap. Yela, memang dia orang dah tarik muka bila aku cakap tak nak beli tadi.
Sekarang nenek tu nak bagi percuma tak kena bayar, memang excited la budak-budak ni. Aku pelangkung seorang-seorang baru tau! Aku jegil mata pandang Qimi dan Emir. Nampak tak beradab betul perangai.
“Eh nek! Tak apa la. Terima kasih tapi saya tak boleh ambil. Nenek susah-payah meniaga berjalan dekat taman ni takkan nak bagi percuma pulak?” aku menolak.
Sudah hampir masuk waktu maghrib. Orang lain sudah beransur pulang ke rumah masing-masing. Aku pun nak balik tapi macam kurang sopan kalau berlalu begitu saja meninggalkan nenek itu. Sekadar berbasa-basi, aku berbual pendek dengannya.
“Nenek tinggal kat mana? Tak pernah pun saya nampak nenek dekat taman permainan ni?” soalku. Adik-adikku berjalan di hadapan kami. Aku bantu nenek susu itu memegang bakulnya. Tengok keadaan dia berjalan macam sakit. “Nenek sakit kaki ke? Jauh lagi ke rumah nenek?” tanyaku lagi. Entah dimana dia tinggal. Memang tak pernah pula kulihat dia sebelum ini. Dia menggeleng perlahan. Bakul ditanganku diambilnya semula.
Aku curi pandang mukanya tapi tak nampak jelas. Kain batik yang dipakainya ala orang dulu-dulu menutup kepala mereka.
“Dekat hujung sana rumah nenek. Senja-senja macam ni, memang nenek baru pulang ke rumah. Pergi berjualan susu di tempat lain dulu,” beritahunya. Aku mengangguk faham sambil meminta diri.
Azan maghrib kedengaran dari surau kawasan perumahan yang aku dan keluargaku tinggal. Qimi dengan Emir dah sampai ke rumah pun. Tak jauh mana pun rumah aku dengan taman mainan tadi. Sambil berbual dengan nenek itu, tak sedar masa dah berlalu.
“Dik, kamu ambil la susu-susu ni, nanti nenek bawak balik pun rosak. Tak ada yang minum. Nenek tinggal seorang. Rumah pun tak ada peti sejuk..”
“Lagipun, ini susu segar ambil dari ladang. Tak letak pengawet jadi tak boleh disimpan lama,” sambungnya lagi tanpa aku sempat menjawab. Dihulurnya kotak-kotak susu yang tidak berlabel itu padaku.
Alah, ambil jelah. Ini rezeki namanya. Kan orang tu nak bersedekah. Aku mengomel dalam hati. Kami berpisah arah. Nenek itu bergerak pulang ke rumahnya dan aku sudah pun sampai di depan rumahku.
“Terima kasih banyak ya nek, semoga murah rezeki nenek,” doaku. Dia pusing membelakangkan aku. Eh? Betul ke apa yang mata aku nampak ni?
Ba.. Badan dia.. Berulat ke belakang tu? Aku gosok mata berkali-kali. Ya Allah! Aku berjalan tadi bukan dengan manusia ke? Serta-merta merinding bulu romaku. Nenek itu menoleh memandangku. Sinis senyuman dia. Agaknya sebab aku dah tahu dia bukan manusia.
Aku berlari masuk ke dalam rumah, kunci pintu. Terus aku duduk di sofa. Terkebil-kebil mata aku. Rasa beku otakku sekejap. Betul ke apa aku nampak tadi tu? Rasa darah menyerbu kepala. Seram sejuk pulak.
“Along! Kita orang ingat Along tak balik tadi!” kata Qimi. Ciss! Memang korang ni tak nak aku balik rumah ke? Tahulah aku garang huh.
“Haa tadi Along jalan dengan hantu kan abang! Nenek tu tak ada kaki. Mata dia merah, mulut dia koyak ada darah sikit! Sebab tu kita orang lari tadi. Kita panggil pun Along tak dengar,” sahut Emir pula menyambung ayat si Qimi.
Bersungguh Emir gambarkan wajah nenek itu. Biar betul? Habis susu yang ada dekat tangan aku ni apa? Pelik ni.
“Along ambil susu yang nenek tu bagi ke? Kita orang takut la, entah-entah bukan susu dalam tu. Kalau ada hantu dalam kotak tu macam mana? Yang bagi susu tu pun hantu jugak,” Qimi meneka isi kotak susu yang ku bawa pulang bersama tadi.
Aku pun sengal jugak, kenapa tadi tak buang je dekat tong sampah luar pagar rumah tadi? Hesy! Tak pasal-pasal bawa barang pemberian hantu.
Mujur aku uzur, waktu maghrib yang semakin berlalu tidak meresahkan aku. Yang lebih aku fikirkan sekarang adalah betul ke dalam kotak tu isinya susu? Kalau goncang, memang bunyi air pun.
“Qimi, Emir nak tengok ke isi dia?” aku tanya budak berdua tu. Antara dia dengan Emir, dia berani sikit. Antara aku dengan Emir, aku ni lagi penakut. Sebab tu kot nenek tu kacau aku. Nak pulak aku tengah tak ‘bersih’.
Kami bertiga pergi ke dapur. Mak dengan abah tak ada kat rumah pulak masa aku balik tadi. Ke surau biasanya kalau waktu solat. Aku ambil pisau dan mangkuk untuk tuangkan isi dalam kotak itu.
Minta-minta betul lah susu yang keluar bila aku potong kotak ni nanti. Tapi, betul cakap Qimi. Kandungannya memang susu, tapi basi. Sudah berulat dan berbau tengik. Masam baunya. Susunya juga kehitaman bukan warna putih susu biasa. Terus aku termuntah di singki.
“Werk! Busuknya!” kata Emir menutup hidungnya. Kebetulan abah dan mak balik dari surau terus masuk ke dapur dengar suara Emir menjerit.
“Bau apa ni Along?” tanya abah. Dia melihat ke dalam mangkuk terus beristighfar. Ulat yang meliuk-liuk di dalam mangkuk itu terus dituang ke dalam singki. Abah menyuruh aku ke ruang tamu. Mak mengusap belakang badanku. Adik-adikku sudah membuka mulut kecoh bercerita pada abah dan mak.
Mak geleng-geleng kepalanya. Dia memarahi kami. Sudah banyak kali mak pesan kalau ke taman tu jangan sampai maghrib. Orang lain balik awal tu bersebab. Rupanya, memang pernah ada orang diganggu oleh nenek yang kononnya berniaga susu itu.
Dah lama nenek tu tak muncul di taman itu. Entah apa malangnya, dia muncul dan akulah yang diganggunya. Tapi kenapa adik-adik aku tak pernah nampak nenek tu? Aku tanyakan soalan itu pada mak.
“Sebab, mak tak pernah izinkan dorang pergi taman tu sendiri jika tak ada sesiapa teman. Kalau mak pergi, sebelum pukul 6 mak dah ajak dorang balik. Abah kamu lagi tak pernah bawak pergi..” kata mak.
Patutlah orang lain sekejap je. Masing-masing dah gerak balik walaupun belum gelap. Manalah aku tahu, sebelum ni aku tak pernah bawa dia orang ke taman tu. Selalunya, Qimi dan Emir ke situ dengan mak atau angah dorang je. Ni si Angah tak ada, aku la bawa.
“Lain kali, jangan merayau senja-senja. Kamu tahu kan, dunia ni berapa punya banyak jenis makhluk ALLAH yang wujud? Mereka pun menumpang bumi sama macam kita..” abah muncul dari dapur menasihatiku.
“Kan dah mendapat. Haaa merasa la kamu bercakap dengan kaum kerabat iblis dan jin. Dah tahu kamu tu uzur, kenapa tak beringat?” soal abah lagi.
Aku tunduk kepala, tak berani bidas apa-apa sebab apa abah cakap tu betul. Tapi, sungguh aku tak sedar masa tu. Nenek tu pun mujur dia tak buat sesuatu dekat aku.
“Nenek tu, dengarnya dulu memang ada orangnya. Meninggal kena langgar lari masa jual susu dekat taman tublah. Lepas kejadian tu, banyak la cerita pasal orang nampak dia jual susu lah, duduk dekat bangku, bercakap dengan orang yang pergi taman situ, macam kamu kena ni,” mak memberitahu.
Memang aku tak pergi lagi dah taman tu waktu senja-senja. Biarlah si angah yang bawa adik-adik pergi nanti. Aku punya tahap penakut ni, lepas skala 10 kalau dikira. Tahap berani aku pun tak berapa nak banyak peratusannya.
Malam itu, susah betul aku nak lena. Masih teringat perbualan pendek dengan nenek tu petang tadi. Tak sangka aku layan sembang dengan makhluk yang namanya iblis.
“Hesy! Susahnya nak lelap!” aku marah diri sendiri. Yang pergi fikirkan sangat tu buat apa? Dari duduk, aku baring semula di katilku.
“Dik, kamu nak beli susu?” tiba-tiba soalan itu kedengaran di telingaku. Halus berbisik. Tanpa wajah yang boleh aku lihat.
Alamak! Nenek tu ikut aku masuk bilik pulak ke? Serentak itu, terasa satu hembusan angin di telingaku bersama ketawa kecil.
“Dik, kamu nak beli susu?”
Okay la, sampai situ saja perkongsian sis kali ni. Jadi korang yang suka lepak taman sampai waktu senja tak balik² lagi, jangan sampai nenek tu cari korang sudah la. Terima kasih yang sudi membaca. Maaf entry kali ni terpanjang pulak. Kalau ada cerita lagi sis story la ya.
nice
Thanks
hi fatin syg
kita pun pernah teman anak buah main kat taman permainan sampai senja. pastu nampak banyak permainan kat situ bergerak sendiri padahal time tu semua dah balik, angin pun Xde. anak buah pulak ckp nampak benda pelik2 memang cuak ah.lepas tu dah x berani pegi time senja. bkn time senja je tak pegi, tapi mmg tak pegi terus dah haha 😂
Fuhh, memang seram la sis. Kalau sy pun memang taknak jejak da ke situ😂
Terima kasih admin sudi publish, maaf guys ada typo sikit..😅
Kawasan mana lah tu. Seram lak baca.
Kalau jadi kat sy sendiri pun boleh trauma agaknya😥
dah boleh tulis novel ni.. mantop !
meh. 5/10
mudah difaham. jalan cerita pun best! keep sharing babe 😉
Terima kasih ya awak. Inshaa Allah😊
ni kisah benar ke mmg btul2 fiksyen?? best sgt… nanti kongsi kat FS ni lgi yaa…
Inshaa Allah sis terima kasih tau🤗 tapi kita banyak typo cite kat atas tu😅
Sori dik, sis sbnrnya pening dgn cite kamu. Ulang byk kali pn masih lg kurang paham😇
Terbaek