Beberapa tahun lepas, aku pernah bekerja untuk sebuah syarikat penerbangan di Dubai, UAE sebagai pramugari. Memang termaktub dalam kontrak, aku perlu menetap di Dubai dan rumah disediakan oleh pihak syarikat. Apartmen tempat aku tinggal itu agak jauh dari city centre, kawasan yang moden dan urban–senang cerita kawasan yang ada Burj Khalifa, bangunan tinggi-tinggi. Keliling apartmen aku ialah blok-blok apartmen yang dihuni oleh pramugara dan pramugari juga, selebihnya ialah tanah lapang yang belum diusahakan lagi. Kalau waktu malam, kawasan itu agak gelap, hanya berbekalkan lampu jalan. Aku pula menetap dalam apartmen itu bersama dengan rakan sekerja, Cath dari Scotland. Cath ini pula jenis yang keluar malam, pergi kelab atau tidur rumah geng dia. Jadinya, aku selalu tidur berseorangan. Apartmen aku ini boleh dikatakan agak besar untuk dua orang penghuni. Jadi faham-fahamlah apa perasaan aku bila tidur berseorangan.
Sepanjang aku menetap dalam apartmen tersebut, aku berhadapan dengan macam-macam situasi. Apartmen tersebut bukanlah apartmen yang kekal penghuninya, kami sentiasa berpindah-randah mengikut keperluan dan arahan dari pihak atasan. Aku diberitahu sebelum ini apartmen itu dihuni oleh seorang pramugari dari Korea yang sudah berhenti selepas mengalami kemurungan. Untuk pengetahuan anda, masalah kemurungan dalam kalangan kru kabin bukan sesuatu yang luar biasa. Bayangkanlah, duduk negara orang, umur masih muda, jauh dari mak ayah, jadual kerja pula padat, kerja meletihkan, tidak mengejutkanlah kalau ada kru yang mengalami masalah mental.
Suatu hari, dalam 3 bulan selepas aku graduate, aku balik ke rumah aku itu selepas penerbangan panjang dari Toronto. Waktu itu sudah malam, Maghrib hampir ke Isyak. Aku terlalu letih jadi sampai saja di rumah, aku terus masuk bilik aku. Waktu itu ruang tamu dan dapur kosong, aircond pun tak dihidupkan. Jadi aku tahulah yang Cath sama ada tak ada di rumah atau tidur di dalam bilik dia. Aku dan Cath tak berapa rapat disebabkan satu isu, dia letak botol wine dalam fridge padahal sejak awal-awal aku datang, aku dah buat perjanjian dengan dia dan dia bersetuju. Dilarang letak minuman beralkohol dan daging babi dalam peti ais. Dia kata dia hormat aku ialah Muslim, jadi dia bersetuju ketika itu. Berbalik kepada cerita, aku tanggalkan baju dan terus masuk ke dalam bilik mandi aku. Biasanya selepas kerja, aku memang akan berendam dalam bath tub untuk merehatkan badan.
Disebabkan aku terlalu penat, aku tertidur dalam bath tub aku. Tapi tidur-tidur ayam, tak lelap mana. Beberapa minit kemudian, aku terdengar bunyi orang bernafas kuat. Aku terus buka mata, langsir tepi bath tub aku terus tolak ke tepi. Cath. Cath dalam bilik air aku. Aku terkejut sangat, automatik capai tuala aku untuk tutup badan. Aku dalam nada marah juga, tanya dia kenapa dia masuk bilik mandi aku. Dia kata dia nak bagitahu aku yang dia nak order delivery food, jadi dia nak tolong orderkan untuk aku sekali. Aku malas nak ambil pusing, aku kata aku tak nak sebab aku nak tidur terus selepas mandi. Dia pun keluar dari bilik mandi aku, aku pun sudahkan mandi aku. Aku keluar, pakai baju tidur dan berbaring atas katil.
Bilik aku agak besar. Dari pintu masuk, bilik mandi ada setentang dengan pintu, belok ke kiri baru nampak katil. Sebelah kiri katil ialah almari baju, depan katil ialah meja mekap dan sebelah kiri katil ialah sliding door dan balkoni. Malam tu, aku terus tidur selepas buat skincare routine dan keringkan rambut. Lagipun esoknya aku ada turnaround flight ke Jeddah.
Pukul 2 pagi, aku terjaga. Bunyi angin bersiul pada sliding door agak kuat sampailah aku terbangun dari tidur. Aku paling susah untuk terjaga atau tersentak lagi-lagi bila penat. Disebabkan bunyi angin tu kuat sangat, aku tak boleh tidur semula. Aku syak ribut pasir, normal di Dubai. Jadi, aku buka lampu bilik dan ambil keputusan untuk kemas beg aku dan sediakan uniform aku. Selalunya aku buat semua tu sebelum tidur tapi semalam dah penat sangat.Dalam pukul 2 pagi tulah aku sibuk keluarkan barang-barang dari dua beg aku, gantikan dengan baju-baju lain yang bersesuaian untuk layover seterusnya di Jakarta, Indonesia. Sedang aku sibuk-sibuk lipat baju, ada bunyi ketukan pada sliding door. Aku terus toleh tapi tak ada apa-apa. Aku bersangka baik, mungkin batu dan pasir terkena pada sliding door yang transparent tu.
Aku lipat baju seperti biasa. Ada bunyi ketukan lagi. Tiga kali, serupa macam orang yang ketuk. Bulu roma aku dah naik waktu tu. Disebabkan aku mula rasa takut, aku duduk rapat ke kepala katil. Aku ambil telefon aku, hantar mesej dekat Cath. Suruh dia datang bilik aku sebab aku tak berani nak bergerak. Cath tak balas apa-apa, mesti tidur. Aku terus call dia, dia tak angkat. Tidur mati.
Bunyi ketukan tu datang lagi. Bersulam dengan bunyi siulan angin. Aku menggigil, apa yang aku mampu buat cuma baca ayatul Kursi, tiga Qul dan berdoa. Waktu inilah aku tak tahan sangat. Waktu aku baca ayatul Kursi, aku rasa macam ada echo. Bacaan aku macam bergema. Macam ada orang ikut. Aku baca kuat-kuat, tahap nak menjerit. Aku tutup mata aku rapat-rapat. Teruskan bacaan aku satu persatu. Datang bunyi mengila-ngilai macam pontianak, bersulam dengan bunyi angin tadi. Aku bersembunyi bawah selimut, berharap semua ni akan berakhir.
Lebih kurang 10 minit aku duduk macam tu, menangis teresak-esak. Kemudiannya, aku dengar bunyi pintu bilik aku terbuka. Gedegang! Cath masuk bilik aku.
Aku terus alihkan selimut dan pandang muka dia. Dia confuse tengok aku menangis beriya-iya, risau pun ada juga riak wajahnya. Dia tanya aku kenapa. Aku kata aku kena kacau, ada hantu dalam rumah ni. Dia lagi bertambah confuse. Dia tak nak ambil pusing, dia bawa aku keluar dari bilik tu. Bilik tu jadi normal selepas Cath masuk, serius. Cuma bunyi angin tu masih ada sebab betul-betul tengah ribut pasir.
Aku tumpang tidur rumah jiran aku, Sam, dari Perancis dan Hamoud dari Egypt. Rasa selamat sikitlah ada orang lelaki tolong jagakan waktu tu. Aku langsung tak boleh tidur mula-mula tu. Tapi disebabkan aku letih, aku terlelap juga.
Esok paginya, Cath tanya aku secara detail apa yang jadi. Kami berempat dekat rumah aku waktu tu. Temankan aku untuk bersiap pergi HQ. Aku cerita dari A sampai Z. Cath sangat terkejut waktu tu dan selepas aku dengar jawapan Cath, aku lebih terkejut.
Sejak aku balik dari Toronto, rumah tu memang kosong. Cath sebenarnya dalam penerbangan dari Johannesburg, South Africa. Dia tengah kerja! Dia balik awal pagi tu. Dia nampak mesej aku masa dia dalam crew bus, on the way balik rumah dari HQ. Sebab tu dia terus masuk bilik aku, nampak aku dah berselimut meraung-raung. Aku keliru gila, siapa yang ada dalam bilik mandi masa aku berendam dalam bath tub tu? Cath tapi bukan Cath. Sam saja nak sejukkan hati aku, dia kata mungkin sebab aku letih sangat, aku nampak benda-benda pelik. Dia pun pernah kena kacau tapi waktu tu dia agak mabuk jadi dia tak berapa pasti.
Sejak peristiwa tu, aku cuba buat permohonan untuk tukar apartmen tapi malangnya susah sangat untuk diterima. Jadi aku kuatkan hati untuk kekal dekat apartmen tu dengan Cath. Setiap kali Cath tak ada dekat rumah, aku akan keluar pergi mana-mana. Shopping mall ke cafe ke rumah kawan ke. Aku akan cuba kill the time. Bila rasa takut tu reda barulah aku balik rumah untuk tidur. Aku masih diganggu ketika itu tapi aku kuatkan semangat. Ada juga kena kacau, contohnya aku tengah tengok TV, bunyi gelas berlaga dekat dapur. Aku tengah bersiap pakai mekap semua, ada benda melintas dalam bilik aku. Pernah juga waktu aku call mak abah aku, aku nampak ada lembaga duduk dekat balkoni bilik aku.
Aku cuba untuk tak tinggalkan solat lagi dan mengaji. Ya, aku akui bila fly ni aku remehkan solat. Dapat pula hidup dalam komuniti yang boleh tahan liar social life-nya. Aku mula jaga solat dan mengaji setiap kali sebelum tidur. Alhamdulillah, aku bukan saja tidak diganggu tapi hidup aku makin tenang. Aku dah tak rasa serabut dan lonely serta kosong. Nak kerja pun happy, even kena operate flight 17 jam. Sebelum ni gaji RM 12k pun rasa macam tak cukup tapi selepas jaga hubungan dengan Allah, aku mampu buat simpanan sampailah dapat beli rumah dekat KL. Alhamdulillah.
Pesanan aku; yakin yang Allah tu ada. Ujian Allah juga sebenarnya boleh jadi teguran dari Allah. Bayangkan kalau aku tak kena kacau malam tu, mungkin sampai sekarang aku masih kelaut lagi.
Area Sharjah ke?
alhamdulilah & tahniah…semoga kekal istiqamah…
semoga terus istiqamah sis..Allah sentiasa no 1 dlm hati kita,jgn trus dilupakan wlupun kita kerja apa sekalipun.
Alhamdulillah. Semoga sis istiqamah dan menjadi hamba yang solehah.
Alhamdulillah. Tahniah semoga kita semua istiqomah dengan perintah Allah
tahniah dari zul kajang
good job girl……org pandang pramugari ni jenis yang pakaian dh mmg2 bkk aurat…senang cita orang dh judge awal2….tp dorg xtau apa rasa pramugari…even ada pramugari nk solat dalam surau kat KLIA tu pon dipandang sinis…manusia….well..cerita ni part menarik bila kita dh tau punca kesilapan dan kita btulkan…tu paling menarik…tahniah….