Hati Manusia

Assalamualaikum kepada para pembaca FS, sebelum ini saya hanya seorang pembaca tegar tetapi hari ini saya ingin mencuba nasib. Jadi mari kita mulakan cerita kita.

Ayah aku selalu bekerja keras untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Dulu, ayah pernah dinaikkan pangkat dan mungkin ada insan yang iri hati dengan hal tersebut sebab perkara-perkara pelik sering terjadi kepada kami sekeluarga selepas itu.

Aku ceritakan dari awallah. Selepas beberapa minggu ayah dinaikkan pangkat, kejadian pelik mula berlaku. Pada satu hari ni, ayah baru balik dari outstation. Kami menyambut ayah di lapangan terbang dan pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, ayah aku pelik kenapa semua barangan di rumah kami diterbalikkan (katil,TV,etc.).

Kami yang lain memang nampak benda-benda tu dalam posisi biasa. Ayah kata apabila dia mendekati barang-barang tersebut. Barang itu seakan-akan berubah posisi dengan sendiri. Ayah cuma mengendahkan perkara tersebut dan mengatakan dia cuma penat dan mengantuk.

Keesokan harinya gangguan berlaku kepada adik bongsu aku yang masih bersekolah rendah pada masa itu. Waktu itu pagi, ayah menghantar aku dan kakak ke sekolah dan adik aku sakit waktu tu jadi dia tidak ke sekolah. Cuma ada adik dan ibu sahaja di rumah. Ibu masa itu menyuruh adik untuk mengambil ubat di dalam bilik. Ibu terdengar yang adik memanggil namanya beberapa kali dengan nada yang takut. Ibu mendekati adik dan memegangnya. Adik kata dia tidak nampak apa-apa kecuali ibunya. Kemudian adik mengatakan yang dia ternampak satu susuk badan menghampiri ibu dari belakang kemudian adik pengsan.

Ayah pulang selang beberapa minit dan ibu menceritakan perkara tadi kepada ayah. Demam panas adik semakin teruk selepas itu. Ayah aku berkata yang rakan kerjanya menghadiahkan sebuah sapu tangan yang berisi seperti daun- daun kering dan berikat. Kawan ayah kata benda itu untuk mengusir ‘benda’ di dalam rumah. Ayah membuang benda itu kerana dia lebih percaya kepada kekuasaan tuhan. Tapi
mungkin kerana ayah sudah tersentuh benda itu jadi ‘benda’ tu ikut balik.

Aku tidak faham dengan hati manusia, kenapa harus menggunakan ilmu-ilmu sebegini hanya untuk membalas dendam? Semua orang boleh berjaya jika seseorang itu ikhlas dan jujur. Sihir dan bomoh tidak akan membawa kejayaan kita kemana-mana. Maaf, termarah sekejap. Sambung-

Dalam keluarga aku, cuma aku dan ibu sahaja yang tidak diganggu. Kisah kakak aku pula, dia terhidu bau m4yat. Masa itu kakak aku sedang mandi kemudian dia terhidu seperti bangkai sesuatu yang sudah lama ditinggalkan. Dia segera mandi dan mengambil barangan di depan cermin tandas. Aku, ayah dan ibu masa itu menonton TV. Adik aku pula sedang tidur. Kami terdengar kakak teriak dari tingkat atas jadi kami pun bergegas ke atas. Kakak berada di dalam tandas jadi ibu yang masuk dan periksa kakak. Aku terdengar ibu berkata:

‘Alia, kenapa lia teriak tadi? Kenapa tangan bedarah ni?’

Ibu membawa kakak aku keluar dari tandas dan pergi ke bilik.

‘Tadi Lia mau ambil barang di cermin, tiba-tiba ada nenek di belakang Lia. Dia cakap dia tak suka Lia.’

Itu yang ibu ceritakan kepada kami selepas lama menemankan kakak di bilik. Ayah aku pergi ke bilik adik aku untuk memeriksanya, ayah aku mula panik kerana adik tidak lagi tidur di biliknya. Adik hilang. Ayah keluar untuk mencari adik di sekitar perumahan sementara aku, ibu dan kakak tinggal di rumah. Kami hanya mampu berdoa dan berserah kepada tuhan pada waktu itu. Rasa kehilangan seseorang itu sungguh sakit. Ayah kemudian pulang bersama beberapa jiran yang lain sambil membawa adik. Adik berkata yang dia terbangun apabila dia terdengar ayah memanggilnya dari luar rumah. Dia berkata lagi yang mata ayah kelihatan lebih besar dan bulat waktu itu. Adik keluar dan pergi ke tempat ‘ayah’.

Adik kata ‘ayah’ ada berkata sesuatu kepadanya.

‘Mari kita keluar dari tempat ini, kita pergi ke tempat yang lebih indah’ adik kata benda tu senyum lebar sambil memegang erat tangannya menuju ke arah hutan. Kemudian adik terdengar namanya dipanggil berkali-kali. Dia menoleh dan ‘ayah’ hilang. Ayah dan jiran yang lain menjumpai adik dalam keadaan tangannya luka.

Ayah memutuskan untuk meminta pertolongan ustaz malam itu juga. Proses mengubat mengambil masa lebih kurang sejam setengah. Ustaz itu berkata yang ada benda ikut ayah balik selepas kawannya memberikan sapu tangan yang sudah dibuang ayah. Sebenarnya kawan ayah cemburu dengan kerajinan dan ketekunan ayah jadi dia menghantar belaannya untuk menghancurkan keluarga kami.

Akhirnya, kami sekeluarga berpindah rumah kerana ayah dinaikkan jawatan sekali lagi dan berpindah ke cawangan di negeri sebelah. Hidup kami sekeluarga kembali normal selepas itu.

Ini pesanan kepada semua pembaca termasuk diri saya sendiri, kita sebagai manusia haruslah bersabar mengharungi segala cabaran di dunia kerana itu semua ujian. Jika kita tabah dan redha dengan ketentuan yang sudah ditentukan, kita pasti akan merasa kemanisannya nanti. Terima kasih kepada anda kerana sudi membaca kisah saya.

Assalamualaikum

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

1 thought on “Hati Manusia”

Leave a Comment