Assalamualaikum wbt pembaca FS. Thanks admin sudi terbitkan cerita aku. Aku Naz, 27. Ini sambungan kisah ‘Kawan atau Lawan?’. Aku jamin kali ni aku taip sampai habis. Bukan main kome hentam teman ye, naik seriau bulu rome teman.
Tajuk :- Kawan atau Lawan (II)
Pencerita :- Aina
Lokasi :- Perak
Aina beritahu aku yang mula-mula uminya kerap juga pergi berubat tapi sembuhnya seketika, selepas itu jadi sakit makin bertambah dan makin teruk. Gangguan lain juga kerap terjadi namun mereka sekeluarga tidak endahkan cuma kesian pada uminya lah menanggung sakit setiap kali datang h**d. Bertahun berlalu, kakak sulung dan nombor tiga sudah bekerja di Kuala Lumpur manakala abang nombor dua kerja di Ipoh, Aina pula baru habis diploma di universiti tempatan dan adiknya bakal menduduki SPM dan menetap di asrama.
Mula-mula Aina bercadang mahu cari kerja part time sementara tunggu hari konvo tapi uminya menyuruh dia menemani uminya sampai hari konvo dan sampai hari perkahwinan kakaknya yang nombor tiga. Jadi, Aina ambil alih perniagaan kerepek pedas uminya daripada tidur dan makan sahaja. Disinilah bermulanya segalanya, apabila kakaknya, Kak Dila mahu berkahwin. Gangguan yang biasa bertukar jadi kasar.
Gangguan 1
Aina :- Eh! Umi kata malam ni ada bacaan yassin kat sekolah. Tak jadi ke nak buat bacaan yassin tu?
Makcik Siti :- Aku lapar! Aku lapar! Aku lapar!
Aina berasa pelik, uminya tidak pernah membahasakan dirinya sebagai ‘aku’ selalunya bahasa yang digunakan adalah ‘umi’ dan muka uminya juga pucat.
Aina :- Acik ada masak kat atas meja tu tapi sikit je la sebab umi yang pesan jangan masak nanti umi bawa balik makanan.
Makcik Siti :- Aku lapar! Aku laparrr…
Makcik siti terus menuju ke arah tong sampah didapur dan diselongkarnya tong sampah itu. Aina tahu ada sesuatu yang tak kena, segera dia berlari ke dalam bilik dan menguncikan pintu. Telefon dicapai, nombor telefon uminya di dail. Aina terdengar bunyi pintu peti ais dibuka dan bunyi seperti sesuatu sedang diratah. Bunyi itu kuat kedengaran, tidak mungkin tulang.
Aina :- Umi kat mana? Umi balik cepat dan bawa lah sesiapa pun yang pandai berubat. Ada benda kacau acik. Dia ada kat dapur.
Suara Aina terketar-ketar. Butir bicaranya pun hampir tidak kedengaran. Tiba-tiba lampu terpadam, Aina sudah hampir rasa mahu menangis. Bunyi ratahan yang awalnya didengari dari arah dapur bertukar perlahan-lahan didengari seperti berada disebelahnya. Seperti betul-betul benda itu sedang meratah ditelinganya. Aina pejamkan mata serapat yang boleh. Apa pun yang terjadi, dia tidak akan buka mata sampailah dia tertidur dan pintu biliknya ditendang dari luar oleh Ustaz Amri, kawan umi. Bila dilihat didapur, tong sampah elok sahaja ditempatnya, tiada yang terusik.
Gangguan 2
Kalau dulu, ketika Aina membuat kerepek pedas pada waktu malam, dia hanya mendengar bunyi seperti seseorang sedang mengheret cangkul diatas simen ditepi rumah padahal dirumahnya tiada cangkul tetapi sekarang dia mendengar bunyi heretan cangkul mengelilingi rumah dan setibanya di pintu utama rumah akan terdengar seperti bunyi orang berborak rancak dan kuat. Kadang-kadang pintu rumah dipulas dan digoncang kasar. Nasib pintu rumahnya terdapat lima kunci, dua diatas, satu di tengah dan dua dibawah. Kalau tidak, mesti sudah redah terbuka pintu rumahnya.
Rumah kampung arwah ayahnya dikelilingi dengan pokok kekabu, pokok kelapa, pokok pisang, pokok ciku, pokok nangka, pokok limau dan pokok jambu. Kalau haiwan, boleh dijadikan zoo juga lah. Segala kera, lembu, kambing, biawak, ular, ayam, itik, kuda semua ada silap hari bulan, kalau Pak Belang bina pondok disemak belakang rumahnya pun boleh. Rumahnya dikelilingi dengan hutan dan memang jauh sangat dari rumah jiran yang lain.
Gangguan 3
Aina dan uminya tidur bilik berasingan, kadang kala dia tidur dibilik uminya juga, saja nak bermanja. Namun, suatu hari tu, Aina berada dibiliknya, dia terdengar seperti bunyi perempuan dan bayi sedang ketawa, kuat sangat. Aina fikir mungkin uminya sedang bercakap ditelefon bersama salah seorang kakaknya jadi dibiarkan sahaja namun makin lama makin kuat. Perasaan ingin tahu makin membuak jadi Aina bangun dari katil dan menuju ke bilik uminya. Sebelum itu, uminya kerap kali mengigau, setiap kali mengigau umi beritahu Aina ada seorang perempuan yang sedang mengendong bayi kerap menganggunya. Setibanya didepan pintu bilik uminya, memang benar dia dengar dengan jelas suara perempuan dan bayi ketawa.
“Bismillahirrahmanirrahim… Dengan Nama Allah Yang Berkuasa, Aku perintahkan kau keluar dari rumah ini.” Aina berkata dengan sedikit menjerit. Terketar jugalah suaranya namun itu yang dipesan ustaz yang pernah berubat uminya jika dia dan uminya diganggu.
Seusai sahaja Aina berkata begitu, bunyi ketawa itu terhenti dan pintu bilik uminya tiba-tiba terbuka. Seperti ada yang membukanya dengan kasar. Dilihat uminya sedang nyenyak tidur. Aina melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran dibilik uminya sampai dia tertidur.
Aina bercerita diseberang jalan utama adalah hutan. Tidak jauh beberapa meter dari rumahnya, suatu ketika dulu ada sebuah rumah. Aina beritahu yang memang kisah itu jadi buah mulut orang kampung kerana kadang-kala kita akan nampak rumah tersebut, kadang-kala tidak nampak. Rumah kayu usang itu besar tapi jenis bertangga. Orang kampung panggil ‘Rumah Atas’. Kisahnya ada sebuah keluarga menetap disitu. Lelakinya penagih dadah, dia minta duit pada ibunya namun ibunya bertegas tidak mahu berikan sebab sudah habis semua barang kemasnya digadai untuk membeli dadah. Lalu, lelaki itu m*******l kepala ibunya, diminta pada isterinya pula dan isterinya juga tidak mahu memberikan wang kepadanya kerana duit yang ada untuk membeli keperluan rumah dan anaknya yang masih bayi. D*******l kepala isterinya dan d*****h anaknya yang masih bayi. Kepala ibu dan anaknya ditanam di bawah rumah. Badan ibu, isteri dan anaknya disimpan diatas siling rumah. Kepala isterinya disimpan dibawah katil dan lelaki itu b***h diri. Lelaki itu dahulunya kaya tetapi kaya kerana ‘membela’ apabila terjebak dengan dadah, hidupnya tidak keruan dan apabila dia m**i dikatakan terdapat ular besar berwarna hitam yang menjaga rumah tersebut. Sebab itulah apabila rumah itu hendak dirobohkan atau dibakar, pasti terdapat sahaja halangan.
Apa kaitan kisah tu dengan Aina? Sebab Aina kata benda yang menumpang dibilik tidur uminya adalah isteri dan bayi tersebut manakala nenek tua yang membongkok itu adalah ibu kepada lelaki tersebut. Sudahlah diganggu dengan belaan Makcik Nab, terdapat pula gangguan lain.
Perniagaan mereka makin hari makin merosot, tepung yang diuli dan tinggal untuk digorengkan sahaja tiba-tiba jadi berkulat padahal tidak sampai sehari dan walaupun sudah dijemur tepungnya. Kesihatan uminya juga turut merosot. Dua bulan sebelum kakaknya berkahwin, uminya balik dari mesyuarat usahawan dan kepalanya menjadi pening. Aina menyuruh uminya berehat setelah diberikan ubat dan Aina menguruskan rumah seperti biasa. Tiba-tiba umi menjerit kuat, berambat Aina lari menuju ke arah uminya dan dilihat uminya sudah terkena stroke.
Dua bulan sebelum Kak Dila kahwin, Makcik Siti terkena stroke, doktor pula sahkan jantung kronik dan paru-paru berair. Mahu dibedah paru-paru tidak boleh kerana kondisi jantung Makcik Siti lemah. Jika dibedah jantung, risau datangkan komplikasi pada paru-paru. Lagi pula doktor beritahu yang jika dibedah, kemungkinan Makcik Siti hidup akan bergantung pada tiub. Setelah berbincang adik beradik, mereka bawa pulang Makcik Siti ke rumah. Perkahwinan Kak Dila hampir dibatalkan kerana Makcik Siti kerap dimasukkan ke hospital dan kerap berada di ICU namun tetap diteruskan jua.
Sekarang Makcik Siti tidak boleh berjalan atau berdiri lama, untuk ke tandas masih boleh, doktor berpesan jangan selalu bawa umi menggunakan kerusi roda, kena berjalan juga kerana risau lumpuh seluruh badan jika tiada pergerakan badan dilakukan dan jika hanya bergantung pada kerusi roda. Makcik Siti kini menggunakan bantuan mesin oxygen dan perangainya seakan-akan budak-budak kecil.
Aina pernah bermimpi, dia didatangi seorang perempuan. Sebelah wajahnya cantik dan sebelah lagi hodoh berulat.
Aina :- Kau siapa?
Dia :- Kau tak kenal aku? HAHAHAH
Aina perhatikan betul-betul wajah itu. Dia tidak terkejut.
Aina :- Kau benar-benar Makcik Nab atau belaan dia?
Dia :- Aku belaan dia. Aku datang untuk pantau keadaan keluarga kau yang kucar kacir. Aku puas. HAHAHA
Aina :- Salah. Kau datang sebab aku yang panggil.
Aina berkata tenang, dia yakin, setelah tujuh hari tanpa henti dia melakukan solat hajat, taubat dan tasbih, Allah berikan dia petunjuk siapa sebenarnya yang salah.
Aina :- Kenapa tuan kau tidak puas hati pada umi aku?
Dia :- Sebab tuan aku memang dah lama benci pada perempuan tu. Perempuan tu yang masih bodoh berkawan dengan tuan aku. Semua saka-saka tuan aku dijamukan dengan d***h h**d perempuan tu.
Aina :- Lagi? Apa yang tuan kau lakukan pada umi aku?
Dia :- Kepala perempuan itu ditanam dengan umbuk rumput. Akarnya berbisa menjalar ke setiap d***h yang boleh melumpuhkan pergerakan dan mnyebabkan gangguan pada otaknya. Matanya telah aku tusuk dengan pisau dan aku jahitkan supaya perlahan-lahan pandangannya kabur dan seterusnya buta.
Aina :- Lagi? Apa yang tuan kau buat pada perniagaan keluarga aku?
Dia :- Aku dah tanam tujuh paku di tujuh penjuru dunia supaya tertutup segala pintu rezeki perempuan tu. Aku siram air mayat yang busuk setiap kali kerepek itu dibuat dan aku tabur habuk besi supaya sesiapa yang memegangnya akan jatuh sakit.
Aina :- Salah. Bukan kau yang memberi dan menghalang rezeki. Itu semua dengan izin Tuhanku, Allah SWT.
Dia :- Hahaha! kau tahu kenapa aku beritahu kau semua ni?
Aina :- Kenapa?
Dia :- Sebab walau kau dah tahu puncanya, perempuan tu tak akan sembuh sampai bila-bila kerana sumpahnya hanya satu, samada tuan aku yang m**i atau perempuan tu yang m**i.
Aina :- Pulanglah kau, beritahu tuan kau, suatu hari nanti semua kesakitan ini akan berbalik pada tuan kau semula dan kau serta yang lainnya akan dipancung dan dibakar.
Dia :- Kau manusia angkuh. Kau tunggu siapa yang akan menang. Lepaskan aku.
Saka itu kepanasan. Tali itu membakar setiap pergelangan kaki dan tangannya serta lehernya.
Aina :- Kau tahu kenapa umi aku tidak m**i dan tidak juga tuan kau?
Dia :- Kenapa?
Aina :- Sebab bukan kau dan belaannya yang lain yang mendatangkan kemudratan dan yang memberi kesembuhan. Kau dan yang lainnya hanya makhluk yang angkuh dan sombong dan kerana ajal maut itu ditentukan Tuhanku.
Aina melepaskan ikatan tali itu. Dia hanya boleh mengikat sahaja, tidak pandai bertarung. Itu pun dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh mengikat makhluk itu. Setelah ikatan dilepaskan, makhluk itu mahu menyerang namun seperti ada yang menempiskan terus makhluk itu meraung dan lenyap.
Sampai hari ini, Makcik Siti masih sakit. Keadaannya seperti ikan yang terdampar ditepi pantai, mengharapkan alunan ombak yang datang sesekali untuk memberikannya peluang untuk bernafas.
“Kadang kala kita berkawan seperti adik beradik malah kadang kala lebih rapat dari adik beradik sendiri tetapi siapa sangka rupanya senyuman, pelukan dan gurau tawa itu hanya lakonan.” Aina berkata dengan senyuman dibibir.
“Tak nak berubat Makcik Siti lagi ke? atau minta maaf kepada Makcik Nab? Mungkin setelah minta maaf semua ini akan berakhir.” Aku tahu mungkin pandanganku tidak berasas tapi siapa tahu kan?
“Dah minta maaf, Makcik Nab pun dah bertaubat tapi saka-sakanya tidak boleh dibuang selagi tiada pewaris dan sumpah tu kekal sampai salah satunya terjadi.”
Aku mengerutkan muka, belum sempat aku berkata-kata Aina meneruskan katanya sambil tersenyum. Comel dan manis je orangnya. Aku jujur lah bukan menggoda, ok.
“Ya, Makcik Nab dah bertaubat tetapi umi tak akan sembuh sampai bila-bila sampailah umi atau Makcik Nab yang m**i tapi saya percaya kalau Allah takdirkan umi untuk sembuh, sampai masa nanti umi akan sembuh. Kami masih teruskan rawatan hospital, untuk rawatan islam kami sekeluarga amalkan solat hajat, bacaan yassin dan air yassin tu buat mandi dan minum. Kami semua sudah redha, anggap sahaja semua ni Allah hadirkan untuk sedarkan kami supaya dekatkan diri denganNya.”
Dari gaya percakapan Aina, aku tahu dia kasar diluar tetapi hatinya baik. Pandai Makcik Siti didik anak-anaknya. Aku terperasan cincin di jari manis Aina sebab acap kali jugalah Aina selalu memusing dan bermain dengan cincin itu ketika bercerita.
Aku :- Tunang?
Aina :- Belum.. mungkin lebih kepada hadiah.
Aku :- Specialnya hadiahkan cincin, kalau dihadiahkan oleh perempuan pun rasa pelik, kalau lelaki yang hadiahkan pun pelik juga.
Ehh aku ni, tetiba jadi kepoci pula kan.
Aina :- Betul, ni hadiah. Dari Abang Edi.
Aku :- Ohh.. Abang Edi.
Walaupun aku tak kenal siapa Edi tu tapi tak nak lah aku jadi pakcik bawang nak sibuk hal orang kan. Aina tiba-tiba ketawa, tidak terlalu kuat.
“Ahh sudah.. jangan kata dia ni kena rasuk kat sini. Aku berani dengar cerita je nak lawan-lawan ni aku tak pandai.”
Aina :- Haah, Abang Edi. Anak sulung Makcik Nab, dia kerja engineer, saya pula tidak bekerja. Abang Edi kata Makcik Nab tak tahu pasal ni.”
Aina hentikan perbualan sampai situ sahaja. Sebelum balik, Aina hidangkan nasi berlaukkan kari ayam, sambal belacan dan sedikit ulam. Seusai makan aku balik tidur di rumah Paksu dulu sebab esoknya aku mahu berjumpa dengan kawan aku.
Aina beritahu yang dia menceritakan kisah ni kat aku sebab nak orang ambil pengajaran, jangan sebab kita anggap kawan kita itu sudah akrab, kita berkongsi gambar, berkongsi pakaian. Sihir yang dihantar oleh Makcik Nab menggunakan gambar keluarga Makcik Siti dan pakaian yang kononnya Makcik Nab minta untuk dipinjamkan sementara kerana air tertumpah atau terdapat kotoran dan selain itu Makcik Nab turut menghantar sihir melalui makanan juga. Untuk pengetahuan korang, Paksu aku tinggal satu kampung dengan Aina, Paksu aku tahu pasal hobi aku, dia yang ceritakan kisah Makcik Siti tu sebab rata-rata orang kampung kata yang Makcik Siti bukanlah sakit hospital tetapi sakit disihir. Aku paksa Paksu aku untuk temukan aku dengan Aina. Aina pun mula-mula tidak bercerita sebab aku ni boleh dikatakan orang luar juga lah kan tapi ada la taktik aku guna. Jenuh tau aku kena berkampung dekat rumah Paksu aku berminggu dan Paksu aku pun bukan main minta aku tolong dia kat kebun. Nasib dapat juga upah sekupang dua. hahaha.
Jika memang jodoh Aina dengan Edi, aku doakan yang terbaik untuk mereka berdua dan semoga Makcik Nab redhakan hubungan mereka berdua. Apa-apa pun aku tetap doakan yang terbaik untuk keluarga Makcik Siti dan Makcik Nab. By The Way, Aina juga kerap sakit kebelakangan ini, harapnya sakit yang dia alami bukanlah sakit seperti yang aku fikirkan.
#MayAllahprotectus
#stayathomeguys
#tqforallourfrontliners
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Naz adik dia iqah tu umur berapa sekarang?hahah
Jangan cakap Edi pun penulis??HAHAHAHAHA LOL
akhirnya ..khatam juga ..kisah Mak Cik Siti dan Aina …semoga mereka diberi Kesembuhan dan Rahmat keredhoan yang berkekalan oleh Allah swt …Amin …
DRI CERITA PERTAMA BCA TP SHA TK KOMEN,,ni bru nk komen best ceritanya,,kebanyakan aina yg aku jumpe sopan org nye,,hehe
best koreklah lgi crita kt sape2,,,btw stay safe bro,,
abg edi arjuna ke yang bagi cincin