Tumbal Berdarah

“Johan.. berhenti!”

Leeza bersuara kepada Johan yang ralit memandu. CLA350 meluncur laju di atas jalan raya. Lagu Falling – Trevor Daniel rancak berkumandang di dalam kereta. Kereta tidak begitu banyak di jalan raya pada waktu begini. Johan selesa memutar stereng sambil bibirnya bersiul mengikut rentak lagu. Langsung tidak mendengar suara Leeza di sebelah.

“Johan!!”

Suara nyaring Leeza membuat Johan terkejut dan menekan break. Kereta berhenti mengejut dan Leeza terdorong ke depan sehingga terlanggar dashboard.

“Kau ni kenapa?! Nak kita mati accident ke?! Bodoh punya perempuan!” Jerkah Johan tiba-tiba. Bengang rasanya bila dikejutkan sewaktu dia sedang asyik menikmati pemanduan.

Wajah Leeza sedikit pucat bila mendengar note tinggi Johan. Dia menelan air liur sebelum cepat-cepat meneruskan bicara. “Leeza taknak pergi.” Tergagap-gagap Leeza menutur kata.

“Kenapa ni tiba-tiba?!” Jerkah Johan. Merah matanya bila Leeza tiba-tiba berani mengujurkan kata-kata begitu.

“Aku tak mahu buat kerja terkutuk ni! Kau tipu aku!” Jerit Leeza. Entah dari mana dia mendapat kekuatan seperti itu. Dia tahu dia perlu menjadi kuat kerana sesungguhnya, penyesalan benar-benar sudah membelenggu dirinya saban hari. Tidak tahu bila rasa ini lahir, tapi apa yang pasti, dia mula merasa menyesal mengikut Johan.

Ya, dia menyesal. Dia tak mahu jadi pelacur! Bodohnya dia kerana terpedaya dengan janji Johan yang konon mahu membawa kemewahan dalam hidupnya. Yang kononnya berjanji setia mahu mencintai sehingga mati. Dan atas dasar itulah, segalanya Leeza serahkan kepada Johan, jiwa dan raga. Dan kini, kerana cinta, Leeza yang pada dasarnya terlihat seperti kekasih orang kaya, rupanya hanya sekadar pelacur jalang yang dipukul jika mengelak dari memuaskan nafsu Johan.

Dan sekarang ni.. tubuhnya sudah tidak kuat untuk meneruskan semua ni. Sudah tidak mampu, kerana dia kini bukan berseorangan. Ada nyawa lain yang sudah mula berdegup dalam tubuhnya. Dan yang pasti, dia dah tak mampu teruskan semua benda bodoh ni.

“Hantar aku balik!” Bentak Leeza lagi.

Johan diam. Matanya mencerun memandang Leeza sambil akalnya ligat berpusing. Ah, sudah… Ni mesti penangan minyak sudah habis. Setan! Susahkan orang betul! Sial! Johan merungut di dalam hati.

Dalam diam, Johan mencapai botol minyak kecil di sebelah poket kecil pintu keretanya. Dia mencuit sedikit minyak dengan jarinya. Hatinya laju membaca mantera siam yang dihafalnya. Hah, picisan. Mudah bagi Johan menyelesaikan masalah ini.

Sebuah senyuman kecil terbit di bibir Johan. “Sayang jangan buat macam ni ya.” Johan memegang tangan Leeza yang masih menggigil-gigil. Leeza mengetap bibir. Benci bila dirinya disentuh tangan jijik Johan. Namun secara tiba-tiba, hatinya yang begitu kuat memberontak, menjadi sejuk sendiri. Tiada lagi rasa marah, apatah lagi dendam. Dia sedar bahawa dia masih marah kepada Johan, namun entah kenapa, tubuh dan hatinya seakan di kawal. Rasa marah yang meluap-luap sebentar tadi seakan sudah dicurah air. Padam. Hilang tanpa kesan.

“Lee.. Leeza minta maaf.” Ujar Leeza secara tiba-tiba. Tutur bibirnya seakan dipaksa oleh satu kuasa lain. Air mata merembes laju, turun menuruni pipinya dan singgah ke bibirnya yang luka. Ya, luka kerana ditumbuk Johan. Pedih rasanya bila terkena air mata sendiri. Dan hatinya sendiri berkecamuk. Dia benar-benar bencikan Johan. Dia benci dengan rasa takut yang ada dalam hatinya. Dia benci dirinya yang sekarang ini. Dirinya seakan patung boneka yang dikawal dari jauh. Dari sesuatu kejahatan yang tidak nyata wujud mahupun bentuknya.

“Dah… sayang jangan nangis. Abang tak suka sayang nangis.” Johan bersuara sambil mengucup dahi Leeza. “Kita nak dekat sampai dah. Kan kita nak bercuti, happy sama-sama? Abang ada kejutan untuk sayang nanti.”

Seperti orang bodoh, Leeza sekadar menurut. Kereta Johan kembali melancur laju menuju ke sebuah daerah hulu bandar. Jauh masuk ke dalam hutan. Kira-kiranya kelihatan seolah hutan tinggal yang penghuninya mungkin bukan terwujud dari bangsa manusia. Setelah beberapa ketika memandu, keretanya berhenti di sebuah bangsal, jauh di dalam hutan. Persekitarannya gelap dan terlihat gerun pada siapa yang pertama kali memandang.

“Abang.. kenapa kita datang tempat ni? Leeza takut.” Ujar Leeza. Matanya melingas memerhati seluruh bangsal itu. Bangsal lama, usang, tetapi nampak kemas. Mungkin ini rumah persinggahan sesiapa. Sebaik tiba, enjin kereta di matikan. Johan dan Leeza keluar dari kereta. Tidak menunggu lama, Johan masuk ke dalam bangsal, diikuti Leeza dari belakang.

“Abang.. Leeza takut.” Bisik Leeza perlahan.

“Tak ada apalah sayang. Now, come to me. Kita berehat kat sini… jauh dari orang. Nanti tak ada siapa boleh ganggu kita.” Johan bersuara gemersik, sambil menarik tangan Leeza.

“Taknak…”Leeza menepis tangan Johan. Kening Johan bertaut kembali dengan riak wajah yang berubah merah padam. Panas hati melihat kedegilan Leeza.

“Leeza.. I said come to me now!” Tengking Johan.

“Aku taknak!” Leeza kembali membantah.

Johan diam sebentar. Kepalanya berpusing ligat berfikir lagi. Adakah penangan minyak pengasih sudah tidak berkesan? Tadi Leeza masih turut kata aku, tapi kenapa… ah, shit! Damn it! Aku sudah langgar pantang! Terbayang di mata Johan bila dia mengunjungi pusat karaoke tempoh hari semasa bersama Azman, kononnya mahu berbincang soal bisnes. Perbincangannya hanya setengah jam, selebihnya kedua-dua mereka sibuk melayan pelacur yang dilanggan untuk berteman. Pengakhirannya tentu saja ke kamar tidur untuk melampiaskan nafsu masing-masing. Memanglah segala mantera sudah tidak berguna lagi jika pantang larang sudah dilanggar. Antara salah satu pantang untuk minyak pengasihnya yang di pesan Mbah Koryo adalah tidak melakukan sebarang hubungan kelamin dengan orang lain selain orang yang dijampi. Hish, sayang betullah! Aku baru nak merasa bersedap-sedap sekali lagi sebelum nyawa dia ku habisi! Bodoh!

Johan tahu kalau kini Leeza sudah sedar sepenuhnya dan tidak lagi boleh dikawal. Ya, itu juga bermakna Leeza sudah tidak mempunyai nilai untuknya. Dia melihat Leeza yang kini memandang tajam kepadanya. “Sayang..”

“Sial punya jantan! Cepat, hantar aku balik!” Tingkah Leeza keras.

Kata-kata kesat dari Leeza memang mencetus kemarahan yang bukan sedikit kepada Johan. Memang dia cukup pantang kalau wanita berani meninggikan suara kepadanya. “Kurang ajar kau perempuan! Sini aku ajar kau!” Johan melangkah setapak dan menampar wajah Leeza. Bukan sekali gadis itu ditampar.

“Kau celaka Johan! Sial kau!!” Leeza menjerit sambil terus memaki hamun Johan.

Bagaikan api marak dituang minyak tanah, kemarahan Johan memuncak tinggi. Dia tidak menunggu lama untuk menghampiri Leeza, dan segera menendang perempuan itu. Tubuh kerdil Leeza yang sudah tentu tidak mampu menahan hentakan demi hentakan Johan mula menjadi lemah. Ditambah dengan keadaan dirinya yang sudah sedia tidak kuat, membuat tubuh Leeza melayang, terperosok di hujung bangsal bila ditendang Johan.

“Kau kurang ajar ya perempuan! Kau nak minta mati malam ni!!” Johan menjerkah, terasa bergegar seluruh bangsal lama itu dek lantunan suara Johan. Kedinginan angin malam serta likatnya pekat malam bagaikan tidak membawa sebarang pengertian kepada manusia gila bernama Johan.

Leeza yang masih terperosok di hujung bangsal menggigil-gigil sambil memegang bibirnya yang sudah pecah berdarah. Darah laju menuruni dahinya yang terhentak sebentar tadi. “Ja.. Jangan pukul aku.. aku merayu… Ja.. ”

Belum sempat Leeza menghabiskan ayat, satu lagi sepakan dari Johan tepat mengena muka Leeza. Sepakan itu membuat tubuh Leeza berpusing ke belakang dan jatuh tertiarap. Bagai dirasuk syaitan, Johan mencapai kayu di tepi meja katil dan memukul kepala Leeza. Selayaknya bagai gila, tidak henti-henti Johan memukul tubuh dan kepala gadis itu. Leeza menjerit sehingga habis suaranya. Tubuhnya menggeletar, kaki dan tangannya terkapa-kapa sebelum kaku sendiri setelah beberapa ketika dipukul Johan. Dalam keadaan meniarap, Leeza tidak lagi bergerak. Suaranya juga sudah tiada. Keadaan sekeliling juga menjadi sangat sepi lagi sunyi.

“Mampus kau betina sundal! Berani kau cuba lari dari aku!” Ujar Johan kuat. Puas dia melihat darah yang membasahi baju blouse Leeza. Rambut Leeza juga sudah basah dengan merah darah. Keadaan sekeliling seolah kaku dan sunyi, merengsa malam yang kian sepi.

“Hah, cubalah lagi naikkan darah aku! Dasar betina sundal! Baru kau tahu tingginya langit, rendahnya bumi jika berani mencari pasal dengan Johan!”

Tubuh Leeza di pandang jijik. Puas bila tapak kakinya hinggap ke tubuh Leeza. Dasar perempuan, harus di ajar. Kalau dah kena ajar sekali, barulah otak tu boleh berfungsi! Barulah tahu terhegeh-hegeh meminta ampun. Ah, ini bukan kali pertama Leeza diberi pengajaran. Biar dia sedar diri sikit! Biar dia tahu Johan ini ternyata seorang jaguhan yang tak mudah untuk diselingkuh. Sebuah senyuman lebar terukir di wajah Johan. Puas!

Namun, senyuman Johan tidak lama. Leeza tidak bergerak hatta bersuara walau sedecit setelah habis dipukul. Sebelum ini, dihentak sekuat mana pun, Leeza pasti bangun dan merayu. Walau darah berjejeran dari seluruh tubuh, perempuan itu pasti datang sujud di kakinya memohon ampun. Tapi kali ini, dia kaku.

Johan mula merasa pelik. Dia berjalan mendekati Leeza dan memijak belakang gadis malang itu. “Hoi betina! Bangun kau sial! Kau tidur ke?!”

Johan menjerkah lagi. Namun, tubuh gadis itu kaku di situ. Johan menendang tubuh kaku itu, memusingkan semula tubuh Leeza.

Papp!

Johan terkedu. Sebuah besi tajam tertusuk masuk, tepat ke dalam bola mata Leeza. Darah pekat membasahi wajah gadis itu. Tusukan besi di mata membuat gadis malang itu mati serta merta. Mulutnya ternganga, sambil sebelah mata lagi terbuka luas. Pukulan bertalu-talu Johan membuatkan kepala Leeza pecah, jelas menampakkan isi di dalamnya. Wajah Leeza terlihat sungguh mengerikan dek kematian yang maha tragis.

Lelaki itu terduduk. Nafasnya seakan terhenti melihat Leeza yang terbaring kaku di hadapannya. “Lee.. Leeza sayang.. Sayang…” Johan menyentuh sedikit tubuh basah Leeza yang dipenuhi darah. Sejuk! Johan kaget dan terkesima. Leeza dah mati?!

“Apa.. Apa aku dah buat ni?! Leeza! Leezaaa!!!” Johan mula menjerit gila. Baru sedar, gadis yang sebelum ini berada dalam dakapannya, kini mati kaku di hadapannya. Lolongannya yang memecah pekat malam juga tidak mampu mengubah sifat yang telah berlaku. Nyawa gadis itu habis di tangannya sendiri!

Tanpa Johan sedar, ada sepasang bola mata yang sedang memerhati sedari tadi. Dan bibirnya menyeringai apabila melihat Leeza sudah mati. Dia melangkah mendekati Johan.

“Johan!!!”

Suara garau dan kasar Mbah Koryo mengejutkan Johan. Nenek tua dengan muka yang dipenuhi kutil jelek itu mendekati Johan. Tubuh Mbah Koryo kecil, dan jalannya dibantu dengan tongkat setinggi tubuhnya. Walau keadaan sudah siap sunyi, kehadiran Mbah Koryo membuat suasana lebih terasa angker, seperti kuasa kegelapan yang mencengkam.

“Johan, kenapa kau menggila? Apa kau sudah hilang akal?”

“Mbah… Leeza.. dah mati.. Leeza..” Johan tidak lagi untuk menyambung perkataannya. Kedua tangannya menarik rambut, memegang kepalanya sambil matanya tidak lepas memandang mayat kaku Leeza.

Mbah Koryo ketawa besar dengan suaranya yang dalam. “Apa perlu kau berlakon begini? Untuk siapa kau meraung begini? Sudah gila kah kau?” Tanya Mbah Koryo sebelum menyambung tawa besar. “Bukankah aku sudah bilang, jika wanita ini sudah mati, kau sudah boleh menghentikan kepuraan mu. Ah, kau!” Tempelak Mbah Koryo lagi.

Dia berjalan mendekati mayat Leeza. Menggunakan tongkat, Mbah Koryo melihat mayat Leeza yang kaku. Kepala yang sudah pecah, di kuak lagi bahagian yang luka. Sekali hentakan dari tongkat Mbah Koryo, isi kepala Leeza terburai keluar. Kayu tajam yang masih terpacak di bola mata Leeza, menambah kengerian yang sedia ada.

Johan diam menunduk wajah. Hanya beberapa saat, dan perlahan-lahan senyuman yang begitu sinis terukir di bibirnya. “Kau ni Mbah.. Hahahaha! Ya, memang aku berpura-pura tadi! Kau dah lama sampai di sini?” Tanya Johan. Perwatakan gila sebentar tadi seakan hilang di telan angin malam. Hilang sama sekali, malah diganti dengan perwatakan Johan yang sebenar. Kejam dan kaku. Seperti patung orang-orang di paku di tengah sawah padi.

Johan menyeluk poket. Rokok yang disimpan dari tadi, dikeluarkan. Api lighter dinyalakan. Berkepul-kepul asap keluar dari hidungnya. Ah, nikmat. Asyik rasanya bila asap yang berkelun, disedut puas sehingga masuk ke peparu, dan dihembus keluar sepuas hati.

“Dari tadi. Dari semenjak kau mengemaskan bangsal kotor ini, menyediakan kayu tajam dan belantan untuk menyeksa dia.” Mbah Koryo menjawab sambil menyeringai. Kelihatan barisan gigi tajam yang hitam, bauan dan lendir busuk dari mulutnya.

Johan mula ketawa. “Rupanya kau sudah ada lama di sini.”

“Iya, aku tidak mahu melepaskan peluang melihat kematian seorang lagi cucu cicit anak adam. Oh, silap.. bukan seorang.. dua orang! Hahahahaha!”

“Dua?”

Johan mengerut kening. Cuma ada Leeza di sini. Siapa lagi seorang ?

Dari sebuah senyuman sinis, bibirnya melebar dan menyeringai. Kelubungan hitam yang sentiasa dipakai Mbah Koryo, tampak usang dan uzur, seusia dengan umurnya barangkali. Riak wajah Mbah Koryo yang dimamah usia, dengan sejuta kedutan di wajah, bergelung hitam di keliling kelopak mata, berhidung runcing tajam dan mempunyai suatu parut buruk di pipi. Mata kanannya yang buta sebelah sengaja dibiar terlopong, menampakkan jalinan selaput putih keseluruhan, menambahkan lagi rasa gerun terwujud. Manakala, bebola mata kirinya adalah berwarna hitam malam, namun putih warna anak matanya. Ilmu hitam yang menyatu dalam dirinya membuat sifat wujud Mbah Koryo seperti terlaknat, dan tersumpah abadi.

Mbah Koryo, tukang sihir ilmu hitam paling ampuh, takkan pernah terlawan oleh siapa pun manusia yang wujud di muka bumi ini. Renungan tajam Mbah Koryo bisa membuat jiwa gentar, malah jika tiada ilmu dan iman di dada, maka jiwa itu bisa menyembah dukun si tukang sihir ini, yang tentunya terhasil dari bisikan iblis laknatullah.

“Apa maksud kau, Mbah? Aku bunuh Leeza seorang saja. Siapa lagi seorang?” Tanya Johan.

“Dasar manusia goblok. Hahahaha! Kau sudah membunuh dua orang malam ni. Tepat, sesuai dengan keinginan ku.” Jawab Mbah Koryo.

“Siapa ?“

Ini!”

Mbah Koryo mendekati mayat Leeza. Dia mengeluarkan sebilah pisau tajam, kelihatannya seperti pisau rambo. Tanpa walau sedetik belas kasihan, dia menoreh perut mayat Leeza, memburaikan segala isi perut dan seketul gumpalan daging yang sudah mula membentuk tangan dan mata.

Mata Johan terbuntang. “Tu.. Janin ke? Leeza mengandung ?”

Mbah Koryo ketawa besar. “Si bodoh, kau tiduri dia bukan hanya sekali. Sudah tentu perempuan ini mengandung!”

Johan diam sebelum mencemik bibir. “Patutlah kau suruh aku bunuh perempuan ni cepat. Dah mengandung rupanya. Aku sendiri pun tak tahu dia mengandung.” Johan menutur kata walau sekelumit tanpa bersalah.

“Kan ini dari benih kau? Masa kau tidak tahu benih kau sudah bercambah?” Mbah Koryo sengaja menduga, mahu melihat ceteknya akal si manusia.

“Ah, belum tentu ni anak aku, Mbah. Perempuan ni, entah dengan berapa jantan dia tidur!”

Johan mengelak, membuang rasa takut dan kesal di hati. Malah, dia merasa geli bila melihat Mbah Koryo mengeluarkan sebuah botol dan mengambil janin itu. Tali pusat dipotong dan janin itu dimasukkan ke dalam botol. Walau botol itu ditutup rapat, warna merah darah likat masih jelas kelihatan di botol, bersama bau hanyir yang maha dasyat.

Suasana jeda sebentar sebelum suara garau Mbah Koryo kembali memecah sepi. “Aku tak peduli pasal ni. Yang penting, ibu dan anak sulung sudah selesai menjadi korban kita. Itu yang aku mahu.”

Mbah Koryo tidak mahu mengendahkan omelan Johan. Dia bahkan tidak peduli dengan siapa benih itu terwujud. Apa yang penting, ibu dan janin sulung dalam kandungan mesti mati untuk dia menyempurnakan ritual besarnya nanti.

“Jadi, apa selepas ni Mbah?“ Tanya Johan sambil matanya melingas ke kiri dan kanan. Dalam kepalanya sudah berkira kira mahu membakar bangsal ini. Biar hilang dan padam segala bukti dan saksi pembunuhan Leeza.

Mbah Koryo tersenyum menyeringai. “Sekarang ni… hanya perlukan nyawa ketiga untuk selesaikan semuanya.”

“Nyawa ketiga? Siapa?”

Mbah Koryo tidak menjawab. Sebaliknya, dia berjalan di mengelilingi setiap penjuru. Serbuk putih, kelihatan seperti serbuk kapur barus ditabur seiring laluan yang dibentuk Mbah Koryo.

“Apa kau buat ni, Mbah?” Tanya Johan pelik.

Mbah Koryo tidak terus menjawab sebaliknya tersenyum sinis. “Bukankah kau mahukan ganjaran?”

Bibir Johan yang tadinya mencemik, kini mula menguntum senyuman lebar. “Aku akan dapat harta kan? Aku akan jadi kaya! Yes!!!” Johan sudah melompat gembira. “Lepas ni, tak siapa boleh halang aku! Aku akan jadi kaya dan ternama! Terima kasih Mbah! Aku kaya! Yahoo!!!”

Jantungnya berdegup pantas dengan mata yang bersinar-sinar, tidak sabar mahu menjadi orang kaya. Ya, memang dia mencari Mbah Koryo untuk menjadi kaya raya. Syarat yang Mbah Koryo kenakan adalah sangat mudah. Dia cuma perlu mencari perawan dan menghamili perempuan itu. Mulanya dia memang susah mencari perawan yang sudi. Yang ada, hanya pelacur-pelacur yang sudah lama hilang kedaraannya. Namun, Mbah Koryo sudah siap membekalkan minyak pengasih untuk memudahkan Johan mendapatkan seorang perawan seperti Leeza. Kerana itu, dia menjampi Leeza dan bersama dengan perempuan itu. Dia tahu kalau Leeza memang seorang perawan, sesuai dengan syarat yang dikenakan Mbah Koryo. Dan, dia merasakan kalau tuah itu memang sentiasa menyebelahinya. Pada mulanya, memang dia aneh kenapa Mbah Koryo menyuruh dia membunuh Leeza malam ni. Rupanya, Leeza sudah mengandung! Dan, itu bermakna penantiannya tidak sia-sia! Pengorbanan Leeza akan membuat dia menjadi kaya dan berkuasa!

Serbuk putih ditabur lagi sehingga selesai membentuk bintang bersegi lima di dalam lingkaran. Mbah Koryo kemudiannya mengeluarkan sebuah kantung kecil dan melohongkan mulut kantung ke lantai. Dihalanya betul-betul menghadap Johan.

“Mbah, apa tu?”

Tanya Johan. Aneh melihat tingkah Mbah Koryo. Nenek tua itu tidak menjawab sebaliknya terus menyeringai menayangkan gigi tajam miliknya. Johan semakin aneh. Pandangannya dihala ke arah mulut kantung tersebut. Apa yang akan keluar dari kantung itu?

“Mbah..” Baru sahaja Johan membuka mulut mahu menutur bicara, kelihatan beribu Semut Peluru sebesar jari telunjuk meluru laju keluar dari kantung tersebut dan menuju kepada Johan. Dalam sekelip mata, Tubuh Johan diratah dan ditutupi sepenunya oleh semut peluru.

Meluntang mata Mbah Koryo melihat seluruh tubuh Johan tidak lagi kelihatan. Sebaliknya, juntaian Semut Peluru yang sepertinya ribuan ekor sudah meliputi keseluruhan tubuh Johan, memasuki segala pelusuk rongga badan, hidung, mulut, telinga dan mata. Terkapai-kapai Johan cuba menyelamatkan diri. Namun, tiada lagi daya yang tersisa lantaran banyaknya semut peluru yang menghurung tubuhnya.

“Mbah!!! Sakit!!! Sial!!!! Tolong aku!!!! Sakit!!!!! Tolongggggg!!! Sak…!!!”

Dalam lima minit, suara Johan diam sendiri. Dia tidak lagi terkapa-kapa mahupun melolong. Jeritan itu tamat. Sunyi. Hanya kedengaran bunyi Semut Peluru yang masih lahap menghurung Johan yang kini sudah menjadi mayat.

“Hahahahaha!!!”

Mbah Koryo ketawa sepuas hati. Puas hatinya melihat Johan yang sudah menjadi mayat, di samping mayat Leeza yang mulai membusuk.

“Dasar manusia bodoh! Goblok! Ini adalah ganjaran mu kerana membelakangkan Tuhan mu. Manusia bodoh yang memilih untuk mensyirikan Tuhan mu sendiri. Malah memilih untuk menghadap kekuatan iblis seperti aku untuk mendapatkan kuasa dan harta. Bodoh! Memang selayaknya kau menjadi makanan kepada peliharaan ku! Hahaha! Akan aku sembahkan kepada tuan ku Raja Iblis, dengan khabar gembira bahawa ada lagi manusia sesat yang sudah terpesong dari imannya! Ya, aku akan membantu Raja Iblis untuk terus menyesatkan manusia, sehingga hari kiamat kelak. Itu janji kami untuk terus menyesatkan kamu, wahai anak adam!!”

Tawa Mbah Koryo memenuhi segenap dimensi sambil dirinya menyaksikan kematian puak manusia yang ingkar dari perintah Allah, yang matinya tanpa sebarang Syahadah, dan pada akhirnya masuk bersama ke neraka Jahannam, sesat sehingga selamanya.

Tamat….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

2 thoughts on “Tumbal Berdarah”

Leave a Comment