Adilla

Keluarga aku hidup berpindah randah. Kami ada satu rumah tetap milik Papa di kampung keluarga sebelah Papa namun disebabkan tugas acap kali juga kami berpindah rumah semasa aku kecil. Rumah milik papa itu kami datang jenguk sekali sekala setiap tahun. Masa aku berumur lapan atau sembilan tahun, papa dapat kerja di Sabah jadi Mama putuskan untuk tinggal di rumah tetap milik papa daripada terbiar tidak digunakan.

Setelah selesai semua urusan daripada hal pindah rumah sampailah hal pindah sekolah, aku, Mama dan kakak pun tinggallah dikampung papa. Pada mulanya agak kekok untuk aku berkawan dengan pelajar di sekolah baru namun lama-lama aku semakin rapat dengan mereka. Sekolah dikampung cuma ada pelajar 15 orang dalam satu darjah dan cuma ada satu kelas untuk setiap darjah berbeza dengan sekolah dibandar, kelas untuk pelajar darjah satu sahaja sudah terdapat empat atau lima kelas dan jumlah pelajar pun sampai tiga puluh orang untuk satu kelas.

Adilla merupakan kawan sekelas aku tapi dia lebih suka menyendiri dan kawan-kawan kelas pun jarang atau tidak pernah aku lihat cuba bergaul dengan dia. Suatu hari, Adilla ditangkap sebab cuba curi makanan di kantin tanpa membayar. Dia beratur bersama pelajar yang lain dan cepat-cepat ambil pinggan makanan dan beredar tanpa membayar. Makcik kantin memang dari awal lagi syak wasangka dengan Adilla sebab dia tak pernah membeli makanan di kantin jadi makcik kantin memang perhatikan tingkah laku Adilla dari awal dia memasuki kantin.

Apa yang aku tahu, Adilla tidak didenda sebab Cikgu Huda yang tolong bayarkan makanan yang dicuri Adilla. Adilla mengaku perbuatannya adalah salah namun dia betul-betul berasa lapar ketika itu. Masa zaman itu, kerajaan ada peruntukan makanan untuk pelajar-pelajar miskin tetapi aku tidak pasti kenapa Adilla tidak mendapat bantuan makanan. Banyak yang aku tidak tahu mengenai Adilla malah jika ditanya pada kawan-kawan sekelas ku yang lain mereka juga tidak tahu dan menasihati aku supaya tidak mendekati Adilla.

“Ma ingat tak acik selalu cerita pasal budak kelas acik yang namanya Adilla tu?.” Aku bertanya sambil menyumbat cucur goreng kedalam mulut.

“Habiskan makanan dalam mulut tu baru bercakap. Ya, Mama ingat. Adilla tu budak kelas acik yang selalu duk seorang tu ya?.” Mama memandang ke arahku. Aku mengangguk laju mengiakan soalan Mama.

“Haah Mama, dia tu lah Adilla. Kesian Ma, hari ni dia kena tangkap sebab mencuri makanan dikantin tapi nasib baik Cikgu Huda tolong bayarkan jadi dia tak kena denda.”

“Bila difikirkan balik Ma, sebelum ni acik tak pernah lihat dia kat kantin waktu rehat.” Aku berhenti makan, entah kenapa terasa perit tekakku untuk menelan makanan. Hati aku tiba-tiba sebak.

“Kesiannya, mesti dia lapar sangat sampai beranikan diri untuk mencuri.” Air mata Mama gugur.

“Esok Mama bagi duit lebih pada acik, acik ajak Adilla makan sekali ya di kantin.”

“Betul ke Mama? Yeay, esok acik makan sama-sama dengan Adilla.” Aku bangun dari kerusi dan bergegas basuh tangan di singki.

“Eh! tu nak pergi ke mana pula tu?.” Mama bertanya apabila melihat aku bersiap-siap mahu keluar.

“Nak pergi main masak-masak dengan kawan.” Aku berkata dengan senyuman tidak lengkang dibibir.

“Sebelum pukul 6 wajib ada di rumah.” Mama bagi amaran.

“Baik Mama.” Aku masuk rumah semula untuk bersalam dengan Mama dan bergegas berlari keluar. Tak sabar untuk pergi bermain.

**************************

“Hahahahaha.” Suara ketawa riang kedengaran dari arah semak dipinggir jalan. Aku menoleh.

“Kelakarnya. Weii cepatlah. Aku nak main.” Suara kanak-kanak itu kedengaran lagi.

Aku kenal suara itu, suara milik Adilla. Aku lihat Adilla keluar dari semak, lagaknya sperti rancak berbual dengan seseorang namun tiada siapa disitu.

Aku lihat Adilla memasuki kawasan permainan terbiar dan hilang dari pandangan. Aku terpinga-pinga mencari kelibat Adilla namun tidak ditemui.

“Lantaklah, nanti lambat pula aku sampai rumah Hana.” Aku biarkan persoalan yang bermain difikiranku dan berlari-lari anak menuju ke rumah Hana.

*****************************
Esoknya, seperti dijanjikan Mama, Mama berikan aku duit lebih untuk aku beli makanan dan makan bersama-sama Adilla. Waktu rehat, aku mencari Adilla di serata tempat tapi tidak jumpa. Hati aku terdetik masa itu untuk cari Adilla dibelakang bangunan lama sekolah yang menyimpan perkakas tukang kebun sekolah.

Sampai hari ini aku masih ingat lagi apa yang aku lihat. Bukan drama tetapi betul-betul kejadian depan mata. Aku lihat Adilla memetik beberapa helai daun pokok dan membasuhnya dengan air paip yang ada disitu lalu disuapkan ke dalam mulut. Wajah Adilla berkerut mungkin sebab cuba menelan daun yang kelat dan pahit itu. Selepas menelan daun itu, Adilla minum air paip dengan banyak.

“Alhamdulillah.” Ucapan syukur yang keluar dari bibir Adilla. Adilla mengukir senyuman kecil.

“Adilla.” Aku tersedu-sedu memanggil nama Adilla. Adilla tersenyum apabila aku mendekatinya.

“Kenapa ang makan daun?.” Aku bertanya dengan air mata tidak henti-henti mengalir.

“Aku lapar tapi aku tak nak mencuri lagi. Aku tak ada duit. Ini saja yang aku mampu.” Adilla berkata jujur.

“Ni duit Mama bagi aku suruh belanja ang makan dikantin. Lepas ni ang tak payah makan daun dah, hari-hari kita makan sama-sama tau. Kalau Mama tak bagi aku duit, kita kongsi makan dalam satu pinggan.” Aku memeluk erat Adilla.

“Terima kasih Aishah, dari awal ang masuk sekolah, aku tahu ang mesti orang yang baik.” Adilla turut menangis.

“Weii.. semalam aku nampak ang keluar dari semak kat seberang jalan masa aku nak ke rumah Hana. Ang buat apa kat situ? Aku dengar macam ang sembang dengan seseorang tapi aku tak nampak pun sesiapa kat situ. Aku nak tegur ang tapi ang dah hilang.”

“Ohh! Setiap petang aku selalu main dengan kawan-kawan aku. Mereka bukan dari kampung ni, mereka selalu bawa aku main kat tempat mereka. Seronok sangat, tempat tu cantik. Mereka semua tak kisah berkawan dengan aku, tak pernah hina aku. Nanti aku bawa ang jumpa mereka, nak tak?. ” Adilla bersungguh bercerita padaku.

” Nak! Nanti kita main sama-sama. Jom kita makan, nanti habis pula waktu rehat.”Aku menarik tangan Adilla dan kami jalan seiringan menuju ke kantin sekolah.

*****************************

“Aishah, petang ni kita main kat rumah Damia nak tak? Rumah dia ada congkak.” Hana memberi idea.

“Aku ok je tapi aku bawa Adilla boleh tak? Kesian dia tak ada kawan.” Aku bertanya. Hana dan Damia berpandangan sesama sendiri lalu menggeleng.

“Tak boleh, bukan sebab kami tak suka tapi mak dan ayah kami tak bagi kawan dengan Adilla sebab mak ayah dia orang jahat.” Damia berkata dengan nada takut.

“Ya ke? Aku tak pernah jumpa dengan mak ayah Adilla tapi kan… mak ayah dia je yang jahat, Adilla tu baik. Dia mencuri makanan hari tu pun sebab dia lapar.” Aku cuba berpihak pada Adilla.

“Tak tahu tapi mak aku kata kalau mak dan ayah jahat, anak pun mesti jahat juga.” Damia tetap dengan pendiriannya.

“Kalau ang nak bawa Adilla sekali, kami tak nak main dengan ang. Ang pergi la main dengan Adilla tu nanti ang pun jadi jahat juga.” Hana berkata sambil terus mengajak Damia berlalu dari situ.

Aku termenung seketika, tidak sedar bila masa Adilla sudah ada disisi.

“Ang berangan apa?”. Adilla bertanya dengan senyuman dibibir.

“Ishhh… mana ada aku berangan. Aku nak main kat rumah Damia petang ni dengan Hana tapi ajak ang sekali, mereka tak bagi bawa ang main sekali.” Aku berkata dengan nada sedih.

“Alaa.. aku dah biasa. Memang semua kat sini tak nak kawan dengan aku sebab mak dan ayah aku orang jahat. Kalau mak dan ayah orang jahat, anak pun mesti jahat juga. Itu yang selalu mereka kata kat aku bila aku nak berkawan dengan mereka. Apa kata ang ikut aku main dengan kawan-kawan aku. Mereka baik, tak pernah hina aku. Rumah mereka pun cantik-cantik.” Adilla berkata sambil tersengih.

“Jauh ke? Mak aku tak bagi main jauh-jauh.”

” Tak lah, dekat semak seberang jalan sebelum ke rumah Hana tu je.” Adilla memberitahu.

“Ohh.. dekat semak yang aku nampak ang tengah sembang tu ke? Ok. Petang ni aku tunggu ang kat situ.” Aku berkata dengan nada teruja.

-Pukul 3 Petang-

“Adilla~ Adilla~” Aku memanggil Adilla sambil mencarinya disebalik semak.

“Adilla~~Ishh… mana dia ni? Kata nak jumpa kat sini pukul tiga.” Aku melihat jam tangan yang sudah menunjukkan pukul 3.15 petang namun kelibat Adilla masih tidak kelihatan.

“Kau siapa? Kenapa kau cari Adilla?.” Suara garau seorang lelaki tiba-tiba menerjah.

“Opocot!.” Aku mengurut dada perlahan-lahan akibat terkejut.

Dihadapanku berdiri tiga orang kanak-kanak yang aku kira sebaya denganku namun suaranya garau seperti orang besar. Seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

“Aku Aishah, kawan sekolah Adilla.” Aku memperkenalkan diri dan menghulurkan tangan untuk bersalam namun tidak disambut.

Ketiga-tiga mereka menghampiriku perlahan-lahan, mata mereka berubah kekuningan seperti mata ular. Pandangan mereka tajam ke arahku seolah-olah sedang marah.

“Adilla tu kawan kami, kau tak boleh berkawan dengan Adilla. Manusia semua keji, Adilla hanya layak berkawan dengan kami, kau pergi bermain dengan kawan kau saja. Aku tak nak kau rapat dengan Adilla.” Kanak-kanak lelaki itu berkata dengan suaranya yang garau, dua kanak-kanak perempuan itu masih melihatku dengan pandangan marah.

” Tapi.. Adilla tu kawan aku juga. Aku tak kan tinggalkan dia.”Aku beranikan diri bersuara.

“Kau akan terima padah kalau kau masih berdegil.” Ketiga-tiga kanak-kanak itu berkata serentak. Aku lihat mata mereka bertukar sepenuhnya menjadi hitam. Badan aku ditolak kasar dan mereka hilang dari pandangan.

Badan aku terasa sakit sangat seperti ditolak puluhan manusia. Aku lihat pergelangan tangan dan kakiku timbul kesan lebam. Aku tetap menunggu Adilla sampai pukul 5.30 petang namun Adilla tidak muncul pada petang itu.

InsyaAllah jika ada kesempatan akan aku coretkan lagi mengenai kisah Adillah…  Sekian terima kasih…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]
Aishah Humairah

10 thoughts on “Adilla”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.